Saturday

PABILA MALAM MENJENGAH

Pabila malam menjengah dinihari
Makin aku menjadi jauh terasing
Jiwa menerawang entah ke mana
Mencari noktah pada sebuah rindu
Yang kian menjadi payah dah parah
Rindu yang entah tiada penghujungnya
Aku cuma sekadar mahu menjadi diriku
Untuk semuanya dikesempatan sedikit ini
Tetapi rupanya akulah yang sering alpa
Menyimpan rasa yang terlalu berlebihan
Lalu timbul satu perasaan yang sukar
Yang bukan seharusnya buat diriku
Yang bukan selayaknya untuk aku
Kerana rasa itu akan membawa luka

Pabila malam semakin dingin menggigit
Hatiku menjadi semakin resah kecelaruan
Menilai diri dalam muhasabah sendirian
Mencari suatu noktah yang tiada di situ
Perlukah aku teruskan hidup yang begini
Yang aku sendiri menjadi ragu dan sendu
Kerana rindu yang tak menentu dan kian haru
Mungkin kerana ku turut sangat kata hati
Kata hatiku kerapnya adalah kata diriku
Tapi kali ini aku terasa makin tewas
Aku semakin lemah dan mengalah di sini
Membiarkan diri lemas dengan rindu ini
Rindu yang entah akupun tidak tahu
Akulah sepatutnya memohon pergi berlalu
Membawa segala rindu ke jalanan kelabu
Agar terpisah segalanya menjadi abu
Yang debunya akan sampai ke kamar itu
Kemudian akan lenyap selepas disapu
Dan takkan muncul lagi bila-bila pun.

Pabila malam semakin bertambah kelam
Aku menjadi semakin bertambah karam
Lemas sendirian di tengah lautan kerinduan
Yang airnya semakin pekat dan berkarat
Lalu riak-riak sendu berkocak di dadaku
Bagai badai menghentam pantai semalam
Yang buihnya adalah hatiku yang hancur
Berderai memutih di kalbuku yang sebu
Mengharap buihnya menjadi sekuntum mawar
Untuk kucium harumnya dan kudakap erat
Dalam pelukanku yang semakin longlai
Kerana kutahu aku cumalah seorang perindu
Rindu yang tidak kesampaian di angin nan lalu
Rindu yang parah dan kian menjadi debu
Yang abunya semakin berterbangan dipuput bayu
Semakin kian hilang entah ke mana di celah diriku
Namun aku kini menjadi semakin mengerti
Tersedar dari lamunan fantasia sebuah ilusi

Pabila malam menjadi semakin suram
Aku sebenarnya takubah seorang primadona
Yang melagukan nyanyian rindu di pentas opera
Baru kusedar rupanya aku hanyalah sendirian
Mengusung rindu yang semakin hambar
ke dalam seluruh urat nadiku yang semakin kelat.

No comments:

Post a Comment