Thursday

PERTANDINGAN JORAN BANYAK BERASASKAN JUDI
Prof Madya Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin

Setelah diteliti didapati kebanyakan pertandingan joran yang sekarang begitu meluas dalam negara ini berasaskan ‘judi’ atau qimar. Malangnya, pertandingan joran yang berasaskan prinsip perjudian ini begitu telah membabitkan pelbagai pihak; kerajaan negeri, kerajaan tempatan, majlis perbandaran, parti-parti politik, sekolah, syarikat perniagaan, persatuan dan lain-lain. Masyarakat pula tidak mengambil serius tentang pembabitan unsur atau asas perjudian dalam kebanyakan pertandingan joran yang diadakan. Untuk itu beberapa perkara berikut perlu disebutkan;

1. Dalam Islam judi atau qimar adalah haram dan tersenarai dalam dosa-dosa besar. Qimar atau judi bermaksud ‘setiap pertandingan yang mensyaratkan pemenang mengambil sesuatu dari yang kalah’. Dalam qimar atau judi ada pihak yang rugi dan yang untung atas pertaruhan tersebut. Hal ini berlaku dalam kebanyakan pertandingan joran dalam negara ini. Wang pertaruhan yang dinamakan ‘yuran penyertaan’ yang diambil itu dijadikan hadiah untuk yang menang, atau keuntungan kepada pengajur atas kekalahan peserta. Pembayaran wang penyertaan kebanyakannya bukan untuk kemudahan yang dinikmati oleh peserta, sebaliknya sebagai wang pertaruhan. Ini terbukti setiap peserta dikehendaki membayar berdasarkan mata pancing yang digunakan. Wang yang terkumpul itu juga dijadikan hadiah, atau keuntungan penganjur jika peserta gagal. Unsur pertaruhan itu jelas. Biasanya, lebih besar pertaruhan, lebih lumayan hadiah.

2. Sebenarnya, yuran penyertaan itu jika sekadar pembayaran peserta menggunakan kemudahan yang disediakan seperti makan minum, duit kenderaan dan seumpamanya, maka itu bukan judi dan pertaruhan. Namun, apabila ia menjadi wang terkumpul untuk hadiah pemenang, maka itu adalah satu perjudian. Konsep ini hampir sama dengan apa yang digunakan oleh syarikat-syarikat loteri yang pernah menamakan diri mereka ‘loteri kebajikan’.

3. Umat Islam wajib menghindari penyertaan pertandingan joran atas konsep perjudian yang seperti itu. Ia adalah haram dan dosa besar.

Firman Allah: (maksudnya) 90. Wahai mereka yang beriman! Sesungguhnya arak, judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib adalah keji dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. (Surah al-Maidah: 90).

4. Para penganjur yang sekarang sudah membabitkan pelbagai peringkat hendaklah mengelakkan unsur perjudian dalam pertandingan joran yang diadakan.

Firman Allah: (maksudnya) “Wahai mereka yang beriman, jangan kamu makan harta kamu antara kamu dengan cara yang batil (salah)” (Surah al-Nisa: 29).

Haram sesiapa yang terbabit dalam menganjur kegiatan judi atau menggalakkannya.

Sambutan Tahu Baru Cina



Sejarah Tahun Baru Cina

Sejarah Tahun Baru Cina bermula beribu-ribu tahun dahulu, di mana seekor makhluk ganas yang bernama ‘Nian’ membuat huru-hara di Tanah Besar China. Ini membuatkan manusia hidup dalam ketakutan dan kesengsaraan. Mereka mencari ikhtiar untuk menewaskan makhluk ini. Akhirnya mereka berjaya menakutkan makhluk ini dengan melemparkan reben merah ke udara, meletupkan mercun dan membakar bunga api siang dan malam.

Perayaan Tahun baru Cina adalah menandakan permulaan tahun baru bagi kalender masyarakat Cina. Bersama-sama dengan warna merah, tanglung, mercun dan pakaian ‘cheongsam’ , ia menjadi simbol tradisi kemeriahan masyarakat cina.

Tahun Baru Cina melambangkan permulaan, titik permulaan dalam nasib dan kehidupan. Sebelum hari tahun baru bermula, sanak saudara yang jauh akan kembali berkumpul. Rumah akan dicuci dan segala hutang-piutang dikutip atau dibayar agar mereka tidak sentiasa dikelilingi hutang sepanjang tahun yang baru. Mercun dibakar pada tengah malam bagi menandakan bermulanya tahun baru dan bagi menghalau puaka dan nasib malang. Rumah-rumah dihiasi dengan buah limau sebagai simbol murah rezeki, bunga dan pokok limau.

Perayaan yang bersamaan dengan permulaan kepada musim bunga di China adalah permulaan kepada bulan baru dan zodiak baru. Seperti yang kita ketahui, terdapat 12 ekor binatang yang menjadi simbol tahunan kepada orang Buddha. Lagenda meriwayatkan, bahawa suatu masa dahulu Buddha telah menjemput semua binatang untuk mengadapnya, tetapi Cuma 12 binatang sahaja yang sampai. Sebagai penghargaan dari Buddha, kesemua binatang ini diberi penghormatan menjadi zodiak yang mulia bagi masyarakat Cina Buddha. Binatang-binatang itu ialah anjing, khinzir, tikus, monyet, harimau, kambing, ayam, kuda, ular, naga, lembu dan arnab. Kononnya dikatakan bahawa mereka yang lahir dalam tahun-tahun ini akan mewarisi sifat dan untung nasib binatang tersebut.

Malam Tahun Baru Cina

Pada malam Tahun Baru , kaum keluarga sama ada dekat atau jauh akan berkumpul di rumah ibu bapa untuk upacara makan besar. Ini simbol eratnya ikatan kekeluargaan yang menjadi tunjang masyarakat harmoni. Hidangan makan malam tahun baru ini biasanya adalah tradisi turun temurun seperti itik panggang, khinzir, tiram berkicap, dan sayuran ‘prosperity’ yang dimakan bersama arak.

Selesai makan, semua ahli keluarga akan berdoa dan menjalankan upacara ‘shuo sui’ , yang dipercayai akan memanjangkan umur seseorang. Bagi yang tua, malam tahun baru akan dihabiskan dengan bermain ‘mah jong’ sebagai hiburan untuk merapatkan hubungan antara ahli keluarga. Tepat detik tengah malam, mercun dan bunga api akan dibakar, menandakan sambutan tahun baru bermula.


Tarian Singa memeriahkan lagi sambutan Tahun Baru Cina

Apabila hari siang, lilin upacara akan dibakar, pakaian baru yang berwarna merah akan memeriahkan suasana, di samping ucapan ‘Kong Hee Fatt Choy’ akan diucapkan sesama penganut. Ia membawa maksud ‘ semoga tahun ini akan membawa kebaikan’. Tetamu mula berkunjung membawa limau mandarin, yang bermaksud kekayaan manakala tradisi memberi ‘ang pow’ diteruskan kepada kanak-kanak dan orang yang belum berkahwin.

Tahun Baru Cina diraikan dengan jamuan yee sang dan kuih bakul. Kaum keluarga akan makan besar dengan masakan tradisi seperti daging itik, daging salai, sosej, kuih pulut, dan limau mandarin. Golongan muda pula akan melawat golongan tua dan menerima wang ang pau dalam sampul merah bagi melambangkan nasib baik, yang diberikan oleh orang yang berkeluarga kepada mereka yang masih belum kahwin. Perarakan tarian naga atau singa akan diadakan, dengan kereta berhias yang diiringi bunyi gendang.

Chap Goh Mei


Hari kelima belas bagi perayaan ini iaitu hari ‘ Chap Goh Mei ‘ tidak kurang pentingnya. Ia adalah hari terakhir bagi bulan penuh, menandakan penutup bagi perayaan ini.

Perayaan tersebut jatuh pada malam 15 hari bulan, bulan pertama Imlek China. Hari itu juga disebut "Pesta Lampu", kerana lampu-lampu dinyalakan pada sebelah malam sebagai aktiviti utama pada hari perayaan itu.

Menikmati onde-onde dan memasang lampu-lampu merupakan dua perkara utama perayaan ini. Mengapa memasang lampu-lampu pada Hari Capgome? Pada tahun 180 Sebelum Masihi, China diperintah oleh Dinasti Han. Maharaja pada ketika itu, maharaja Liu Heng berjaya mematahkan gerakan penderhakaan. Hari itu kebetulan 15 hari bulan bulan pertama Imlek Cina. Untuk merayakan kejayaan tersebut, Liu Heng memerintahkan lampu-lampu dipasang di seluruh negara. Beraneka bentuk lampu dipasang di tepi-tepi jalan pada hari itu. Adat istiadat tersebut diamalkan sehingga kini.

Lampu-lampu tersebut biasanya diperbuat dengan kertas yang berwarna-warni, berbentuk seperti gunung, bangunan, orang, bunya, burung dan binatang. Sekarang teknologi moden yang canggih ianya diperbut dari gentian optik, laser, kawalan bunyi dan cahaya juga telah digunakan dalam pembuatan lampu-lampu warna-warni.

Tahun Baru Cina bukan sahaja diraikan oleh kaum Cina di merata dunia, malah turut dirayakan oleh bangsa Korea, Vietnam, Mongol dan Miao (Hmong China) yang dipengaruhi oleh China dari segi kebudayaan dan keagamaan.

BILA USIA MENJELANG EMPAT PULUH…

Waktu berlari dengan pantas. Detik, jam, hari, minggu, bulan dan tahun terus beredar dalam kealpaan insan atau sedar. Waktu yang berlalu tidak pernah menunggu persetujuan kita, atau menunggu sambutan tahunan. Samada ia disambut, atau ia tentang tiada siapa dapat menghalang perjalanannya. Ia terus datang dan pergi. Berlari tanpa henti. Dalam setiap nafas insan yang disedut atau dihembus keluar, waktu terus beredar.


Waktu tidak pernah hirau yang mati atau yang hidup. Waktu terus datang tanpa diundang, dan ia akan berlalu tanpa dihalang. Waktu adalah makhluk makhluk Tuhan yang paling ajaib. Berulang kali dalam al-Quran yang suci, Allah bersumpah dengannya; Demi masa! Demi waktu fajar! Demi waktu malam! Demi waktu dhuha! Demi waktu subuh dan seterusnya. Ciptaan yang maha ajaib.


Tiada raja, tiada penguasa yang mampu menghalang waktu dari beredar. Kita adalah makhluk Allah yang dipenjara dalam ikatan waktu. Tidak mampu keluar dari sistemnya walaupun sedikit, melainkan dengan izin Allah jua. Jika Allah mahu, nilaian dan kadar waktu kita akan berbeza atas kurniaan keberkatan dari Pencipta waktu iaitu Allah Yang Maha Agung!


Saya menulis tulisan ini ketika melihat tanpa mampu menghalang usia sendiri yang makin bergerak menuju 40 tahun. Tak berapa lama lagi, angka itu akan menjelang. Ramai orang berfalsafah tentang usia empat puluh. Ada yang berkata ia permulaan ‘kenikmatan hidup’, ada pula yang berkata ia adalah permulaan tarikh luput kehidupan. Ada yang berkata ia detik untuk mula berpesta dengan hidup. Ada yang kata usia empat puluh mula jadi ‘orang tua’. Ya! empat puluh juga menamatkan usia ‘pemuda’ dalam banyak organisasi.


Usia 40 Dalam Al-Quran

Jika kita kembali kepada Allah, Tuhan yang mencipta usia insan, Yang menentukan panjang atau singkatnya, maka kita dapati Al-Quran memberikan ingatan tentang usia 40 tahun dengan penuh makna dan menusuk jantung hati. Demikian Allah berfirman: (maksudnya)

“dan Kami berpesan kepada insan agar berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan kepayahan dan melahirkannya dengan kepayahan, dan tempoh mengandung beserta menceraikan susunya ialah tiga puluh bulan. Setelah dia besar sampai ke peringkat matang yang sempurna dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, maka dia berdoa: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai; dan jadikanlah untuk kebaikan dalam zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadaMu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang menyerah kepadaMu)” (Surah al-Ahqaf: 15)

Bagi yang dapat memahami bahasa Arab, dapat merasai keindahan bilah-bilah ayat di atas. Ia tersusun dengan cantik, indah dan penuh kerohanian. Ia menusuk kalbu, menusuk rohani yang lesu lantas mengheret insan ke dataran Tuhan. Ia mengingatkan tentang perjalanan insan; dari hari dia dalam kandungan ibunya, sehingga dilahirkan, sehingga matang, sehingga berusia empat puluh.

Lalu dia diajar agar berdoa untuk dirinya, untuk keturunannya dan agar dia bertaubat atas segala dosa yang dilalui sebelum menjelang empat puluh. Maka dia pun menjadi insaf yang benar-benar menyerah diri atau muslim. Dengan ayat ini, insan yang insaf tersentuh jantung hatinya, perasaannya tersentak, rohaninya sebak lalu dia terduduk insaf, taubat, ibadat dan terus membasahi perjalanan hidupnya dengan linangan airmata takwa sehingga bertemu Allah.

Keinsafan

Allah dalam ayat di atas mengingatkan insan tentang sejarah hidupnya yang pernah dikandung ibu, agar dia tidak lupa setelah lama hal itu berlalu. Insan diingat tentang payahnya pengorbanan tersebut. Setelah dia dilahir dalam keadaan yang sukar itu, dia mula melalui perjalanan hidup sehingga ke usia matang. Al-Quran tidak pula menyebut tentang berapakah usia matang tersebut. Para mufassirin berbeza pendapat. Namun, ia barangkali sekitar antara 30an ke 40an. Ada yang lebih awal, dan ada pula yang mungkin terlambat. Apapun, insan apabila sampai usia empat puluh maka itu adalah tarikh yang wajib untuk dia mengingati dan menginsafi hakikat kehidupan yang dilaluinya selama ini.

Perjalanan hidup; pahit manis, suka duka, cubaan dan kurniaan, halangan dan laluan kesemuanya menjadi bekal untuk dia meneliti dan memahami ‘apakah makna sebuah perjalanan hidup dan ke mana jalan yang hendak dituju?’. Dalam suasana keinsafan itu, dia lantas berdoa dengan penuh harap agar Allah memberikannya kurnia perasaan ‘kesyukuran’ atas segala nikmat yang diperolehi selama ini. ‘Syukur’ adalah tanda atas keinsafan terhadap hakikat diri bahawa segala nikmat ini hanyalah dari Allah. Maka, hilanglah bongkak, hilanglah sombong, hilanglah bangga diri dan terasa kerdil atas segala yang dinikmati.

Kesombongan

Kesombongan atau bongkak adalah musuh insan. Kesombonganlah yang menimbulkan pemusuhan antara Iblis dan Adam, kesombonganlah yang menjadikan Iblis dilaknat. Kesombongan juga yang menyebabkan Firaun dan Qarun menolak dakwah. Kesombonganlah yang menyebabkan ada insan yang dihina kerana kekurangan yang ada padanya. Kesyukuran membunuh kesombongan. Usia 40 tahun, usia yang menghalau kesombongan, bukan usia untuk mendabik dada dengan menyatakan ‘aku, aku dan aku..’ tetapi usia yang mengingatkan insan untuk berkata ‘segalanya nikmat Allah’. Hilang bongkak, lalu nikmat ibadah pun menjelang dan insan memohon kurnia agar dia dapat terus beribadah dengan cara yang diredhai Allah. Pada usia ini, teringat pula tentang zuriat yang bakal muncul dalam kehidupan, lantas insan pun berdoa untuk zuriatnya seperti yang Allah ajar dalam ayat di atas.

Selepas itu, menginsafi perjalanan hidup selama empat puluh tahun, insan pun berkata “Sesungguhnya aku bertaubat kepadaMu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang menyerah kepadaMu)”. Bergabunglah keinsafan, taubat dan penyerahan. Maka berdasarkan ayat dalam Surah al-Ahqaf ini, kita diajar untuk bertaubat apabila menjelang usia 40 tahun. Kata al-Imam Ibn Kathir (w. 774H):

“Ayat ini memberikan petunjuk bahawa insan apabila menjelang usia 40 tahun hendaklah memperbaharui taubat dan kembali kepada Allah, serta bersungguh-sungguh mengenainya” (Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim, 7/281. Saudi: Dar al-Tibah).

Ganjarannya..

Apabila itu berlaku menjelang usia 40 tahun, maka Allah memberikan janjiNya dalam ayat selepas itu: (maksudnya)

“mereka (yang bersifat seperti itu) itulah orang-orang yang Kami (Allah) terima dari mereka amalan yang baik yang mereka telah amalkan, dan Kami ampunkan kesalahan-kesalahan mereka; (mereka akan dimasukkan) dalam ahli syurga, sebagai memenuhi janji yang benar, yang telah dijanjikan kepada mereka”. (Surah al-Ahqaf: 16).

Indahnya janji dari Yang Maha Benar. Diterima segala kebaikan, diampun kesalahan dan dimasukkan ke dalam syurga. Alangkah indahnya. Soalnya, mampukah diri memulakan azam baru dan beristiqamah atasnya?! Berikanlah pertolonganMu Ya Allah!

Kematangan

Usia 40 tahun adalah usia yang mengajakkan kita untuk bersungguh dalam hidup. Mengumpulkan pengalaman, menajamkan hikmah dan kebijaksanaan, membuang kedangkalan ketika usia muda yang lepas, lebih santun, lebih berhati-hati, melempar jauh kegopohan lepas, melihat sesuatu dengan hikmah dan penuh penelitian. Usia 40 adalah usia matang yang berbekalkan pengalaman empat dekad. Maka tidak hairan tokoh-tokoh pemimpin muncul secara matang pada usia ini. Bahkan Nabi s.a.w, seperti yang disebut oleh Ibn ‘Abbas:

“Dibangkitkan Rasulullah s.a.w pada usia 40 tahun” (Riwayat al-Bukhari).

Usia 40 usia adalah tanda aras usia insan yang insaf, syukur, merendah diri, ibadah, harapan, taubat dan penyerahan. Usia 40 adalah usia bersungguh-sungguh dalam memikul amanah, membuang kedangkalan, mengambil iktibar dari pengalaman dan bertindak dengan hikmah dan kebijaksanaan. Ya Allah! Selamat kami pada usia ini sehingga kami bertemuMu!

Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

PENGARUH WANITA DALAM KEHIDUPAN LELAKI

Al-Quran tidak pernah meletakkan kesalahan Adam yang melanggar perintah Allah dalam syurga atas bahu isterinya Hawa. Sekalipun Bible dan riwayat-riwayat Israiliyyat dalam sesetengah buku tafsir menyatakan Hawa adalah punca yang menyebabkan Adam memakan buah larangan dalam syurga, namun al-Quran tidak pernah menyatakan demikian.

Menurut al-Quran, kesalahan tersebut ditanggung oleh kedua belah pihak. Sementara Bible (Genesis 3:6-17) menceritakan Hawa (Eve) telah mempengaruhi Adam, dengan itu Tuhan telah menghukum Hawa dengan diberikan kesakitan ketika melahirkan anak. Hal ini juga disebut oleh riwayat-riwayat Israiliyyat yang sering dibaca oleh sesetengah penceramah di masjid dan surau. Namun, para pengkaji hadis mendapati riwayat-riwayat itu tidak boleh dijadikan pegangan dan bercanggahan dengan apa yang disebut dalam a-Quran.

Al-Quran menyebut:

“dan Kami berfirman: “Wahai Adam! Menetaplah engkau dan isterimu dalam syurga, dan makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua suka, dan janganlah kamu berdua hampiri pokok ini; (jika kamu menghampirinya) maka kamu akan termasuk dalam golongan orang-orang yang zalim. Setelah itu maka syaitan menggelincirkan mereka berdua dari syurga itu dan menyebabkan mereka dikeluarkan dari nikmat yang mereka telah berada dalamnya dan Kami berfirman: “Turunlah kamu! sebahagian dari kamu menjadi musuh kepada sebahagian yang lain dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati)”. (Surah al-Baqarah: 35-36).

Dalam Surah Taha pula Allah berfirman:

“dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: “Sujudlah kamu kepada Adam”, lalu mereka pun sujud, kecuali Iblis, dia enggan sujud. Maka, Kami berfirman: “Wahai Adam! Sesungguhnya Iblis ini musuh bagimu dan bagi isterimu; oleh itu, janganlah dia menyebabkan kamu berdua keluar dari syurga, kerana dengan itu nanti kamu akan menderita. Sesungguhnya telah dikurniakan berbagai nikmat bagimu, bahawa kamu tidak akan lapar dalam syurga dan tidak akan bertelanjang. Dan sesungguhnya kamu juga tidak akan dahaga dalamnya, dan tidak akan merasa panas matahari”. Kemudian, syaitan membisikkan (hasutan) kepadanya (Adam), dengan berkata: “Wahai Adam, mahukah, aku tunjukkan kepadamu pohon yang menyebabkan kekal hidup selama-lamanya, dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap?”. Kemudian mereka berdua memakan dari pohon itu, lalu terdedahlah kepada mereka aurat masing-masing, dan mereka mula menutupnya dengan daun-daun dari syurga; dan dengan itu derhakalah Adam kepada Tuhannya, lalu tersalah jalan (dari mencapai hajatnya). (Surah Taha: 116-121).

Ayat-ayat ini jelas bahawa kesalahan Adam yang membuatkan manusia tercampak ke bumi, bukanlah berpunca daripada isterinya Hawa, sebaliknya berpunca dari kelemahan Adam sendiri yang ditipu oleh Iblis, yang akhirnya dia dan isterinya terlibat bersama dalam kesalahan tersebut. Ini berbeza dengan Bible. Berbeza juga dengan cerita-cerita sesetengah penceramah agama yang mengutip kisah Adam dan Hawa dari riwayat Israiliyyat, ataupun Bible atau diwarisi cerita dari satu ustaz ke satu ustaz tanpa dibandingkan dengan apa yang terkandung dalam al-Quran.

Lebih buruk lagi, kononnya Iblis masuk ke syurga melalui perut ular dan pelbagai lagi episod ‘kartun’ yang dimuatkan. Cerita Hawa yang dipergunakan oleh Iblis sehingga mengeluarkan manusia dari syurga adalah unsur luaran yang dimasukkan ke dalam pemikiran umat Islam. Kata Dr Abu Syahbah:

“Semuanya ini dari sumber Bani Israil yang mereka tokok tambah dan mencampurkan antara yang benar dan yang batil”.(Dr. Muhammad Abu Syahbah, al-Israiliyyat wa al-Maudu’at fi Kutub al-Tafasir, 179. Kaherah: Maktabah al-Sunnah).

Maka, umat Islam atau lelaki muslim tidak akan menganggap bahawa punca kejatuhan lelaki kesemuanya bermula dari wanita. Walaupun wanita itu memang mempunyai pengaruh yang kuat ke atas lelaki, seperti mana pengaruh lelaki terhadap wanita, namun kejatuhan lelaki atau wanita dari kelemahan diri sendiri yang kadang-kala dieksploitasi oleh pasangannya.

Muslihat Wanita

Namun masa yang sama, al-Quran juga menyatakan kehebatan ‘usikan’ wanita atau lebih jelas ‘muslimat’ mereka jika mereka bermaksud ingin melakukan ‘perancangan halus’. Wanita jika kena gaya memang boleh menjadikan lelaki ‘mengidaminya’ angau dan terpengaruh atas segala kehendaknya. Perancangan atau ‘plot’ wanita begitu hebat sehingga al-Quran merakamkan ungkapan yang ditujukan kepada isteri Menteri Mesir (riwayat Israiliyyat konon menamakannya Zulaikha) dalam kisah Yusuf:

“Ini adalah perancangan kamu (kaum wanita), dan sesungguhnya perancangan kamu (kaum wanita) itu hebat”. (Surah Yusuf: 28).

Perkataan Arab yang al-Quran gunakan dalam ayat berkenaan ialah Kaid yang bermaksud perancangan yang mempunyai unsur licik dan muslihat. Sebab itu Louay Fatoohi dalam bukunya The Prophet Joseph menterjemahkan perkataan Kaid sebagai scheme yang bermaksud tindakan yang licik dan perancangan sulit yang kadang-kala membabitkan tipu daya. Kata beliau: “..this word, which I have translated as scheme means guile and plotting that could involve lies, as in this case”. (ms 86. Kuala Lumpur: Islamic Book Trust).

Maka, atas kelicikan itu, ramai lelaki yang tewas. Wanita ada kuasa ‘licin’ dan licik. Walaupun Nabi Yusuf tidak tewas, tetapi ramai lelaki selain nabi yang tewas dengan ‘kaid’ atau perancangan halus dan ‘sulit’ wanita. Senjata rahsia wanita pada tubuh, bahasanya dan jelingannya. Walaupun bukan semua mereka ada kelebihan itu, namun bagi yang berkelebihan jika perangkapnya mengena, sukar untuk lelaki terlepas daripadanya, kecuali mereka yang memenangkan takwanya atas godaan atau kaid tersebut.

Nabi s.a.w pernah bersabda:

“Aku tidak tinggal cubaan yang lebih hebat ke atas lelaki lebih dari wanita” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Sabda baginda juga:

“Sesungguhnya dunia itu manis lagi hijau dan Allah menjadikan kalian berketurunan di atasnya. Allah melihat apa yang kalian perbuat. Takutlah kamu kepada (fitnah) dunia dan takutlah kamu kepada (fitnah) wanita, karena sesungguhnya awal fitnah yang menimpa Bani Israil dari wanitanya” (Riwayat Muslim).

Maka, tidak hairan berapa ramai pemimpin yang gagah, tetapi ditewaskan oleh wanita idamannya, atau isteri kesayangannya. Betapa banyak reputasi pemimpin dirosakkan disebabkan isteri mereka, sehingga rakyat membenci seseorang pemimpin kerana gelagat isterinya. Dalam negara tertentu, kerenah wanita yang memakai gelaran ‘first lady’ boleh menghancurkan kerjaya dan masa depan politik seorang pemimpin negara. Demikian kerenah isteri pemimpin di pelbagai peringkat.

Maka, tidak hairanlah jika Elena Ceausescu, isteri bekas diktator Romania Nocolae Ceausescu dihukum mati bersama suaminya oleh rakyat Romania disebabkan peranannya dalam pemborosan harta negara dan kezaliman kuasa. Maka, jika suami tidak berperanan sebagai pembimbing dan pengawal yang soleh terhadap isteri mereka maka pelbagai kemungkinan boleh berlaku atas kemahiran wanita dalam perancangan atau kaid mereka.

Perhiasan Terindah

Namun wanita itu apabila solehah, mereka kadang-kala lebih baik daripada lelaki. Kehidupan yang buruk seseorang lelaki boleh diubah dengan kehalusan budi dan nilai yang ada pada seorang wanita. Nama baik seorang lelaki bertambah indah dengan kebaikan isterinya. Wanita benar-benar hiasan kehidupan lelaki. Lelaki tanpa wanita adalah lelaki yang cacat tabiatnya. Allah menjadikan wanita pasangan lelaki. Mereka tempat lelaki bermanja dan mendambakan perasaan kelakian. Nabi s.a.w bersabda:

“Dunia perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan dunia ialah wanita yang solehah” (Riwayat Muslim).

Ada harta tiada wanita dalam kehidupan tiada ertinya. Ada rupa, tiada wanita tiada maknanya. Namun, wanita bagaimana yang lelaki perlukan dalam hidupnya dalam mengharungi bahtera kehidupan? Ya, wanita solehah yang membahagiakan suami, menjaga nama baik dirinya dan suaminya. Sabda Nabi s.a.w:

“Sebaik-baik wanita dia mengembirakan suami apabila engkau melihat kepadanya, mentaatinya apabila menyuruhnya, tidak menyanggahi suami dalam diri dan hartanya” (Riwayat al-Nasai, Ahmad dan al-Hakim, dinilai hasan oleh al-Albani).

Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Sabda Nabi s.a.w juga:

“Tiga dari kebahagiaan: “Wanita yang apabila engkau melihatnya, ia mengkagumkan engkau, apabila engkau tiada bersamanya dia menjaga dirinya dan harta engkau” (Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak, dinilai hasan oleh al-Albani)

.

Untuk menjadikan wanita itu berfungsi dengan baik, suaminya juga hendaklah baik. Jika tidak, kebaikan wanita akan hilang pada padangan suami yang songsang, seperti mana hilangnya kebaikan Asiah di mata firaun yang zalim. Suami yang baik juga, tidak akan dapat dilihat kemuliaannya di mata isteri yang jahat seperti isteri Nabi Nuh dan isteri Nabi Lut a.s.