Thursday

'Lembu' yang wajib dikorban di Selangor

Hishamuddin Rais | Malaysiakini.com

Saya hanya membaca berita di akhbar tentang kisah lembu-lembu korban yang membawa padah politik kepada Menteri Besar Selangor. Ketika ini kisah lembu-lembu korban ini masih belum mengenap dan pasti tidak akan mengenap untuk sementara waktu.

Tetapi dalam melihat kes lembu-lembu ini, ada satu perkara yang wajib kita sama-sama teliti. Perkara ini ialah pemahaman kita sendiri tentang amalan dan konsep "korban" ketika Hari Raya Haji.

Di sini saya berani berkata bahawa pesta korban di pagi Hari Raya Haji yang sedang meresap dalam budaya Melayu ini tidak ada sangkut-paut dengan ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad.

Saya berani berkata demikian berasaskan penelitian dan pengkajian saya. Pada satu ketika dahulu - lembu, kerbau atau kambing amat jarang dikorbankan di masjid di kampung saya. Mukim dan warga kampung saya bukanlah warga yang mewah.

Jadi jika ada korban lembu di pagi raya, maka kami bersyukur kerana ada si polan yang panen padinya telah melimpah ruah. Atau harga getah telah melonjak naik.

Lembu akan dikorban sesudah selesai sembahyang di pagi raya. Daging korban Raya Haji ini akan diagih-agihkan terutama kepada mereka yang kurang bernasib baik – mereka yang amat jarang merasa nikmat makan daging.

Tetapi ini amat jarang berlaku. Dua tiga tahun sekali mungkin ada yang berkorban. Mungkin dua tiga tahun berikutnya langsung tidak ada. Ada atau tidak lembu yang dikorbankan tidak pula mengganggu sambutan penduduk kampung terhadap hari Raya Haji.

Apa yang kami pentingkan bukan lembu-lembu tetapi untuk sama-sama merayakan hari kebesaran agama. Justeru, tidak pernah ada orang kampung saya menjadi lembu atau mendahulukan lembu-lembu daripada berhari raya.

Sekarang ini lembu-lembu semakin banyak. Kita semakin dikelilingi oleh para lembu. Lembu-lembu ini kelihatan sama banyaknya dengan kemunculan kontraktor kelas F daripada gerombolan United Malays National Organisation.

Sehinggakan, kebelakangan ini terutama di musim Raya Haji amat susah hendak kita membezakan yang mana lembu dan yang mana kontraktor kelas F.

Akhirnya budaya melembu dan membawa lembu-lembu ke masjid ketika hari Raya Haji ini semakin tersebar luas. Saya pernah terbaca dua tahun dahulu – ada sebuah masjid di utara Semenanjung – telah menjadi masjid lembu kerana ada 150 ekor lembu yang berkumpul untuk dikorbankan.

Rasanya bertong-tong darah lembu mencurah-curah di sekitar masjid. Maka semakin ramailah warga yang mendapat rezeki daging lembu.

Kerana lembu-lembu ini telah semakin banyak dan dilihat tidak lagi istimewa, maka ada pula lembu yang ingin menjadi unta!

Binatang ini disabitkan dengan padang pasir. Padang pasir disabitkan dengan Arab Saudi. Arab Saudi pula disabitkan dengan tanah kelahiran Muhammad. Lalu, lembu-lembu ini melihat - jika menjadi unta - adalah lebih afdal daripada menjadi lembu.

Yang pelik tetapi benar, unta ini ialah unta-unta yang bukan penduduk asli dari bumi Ibnu Saud. Unta ini telah didatangkan khusus dari benua Australia, bukan unta Arab. Unta-unta ini diharap akan menambahkan lagi "kesucian" korban di pagi raya.

Unta-unta ini juga akan menjemput borak-borak kosong daripada orang-orang kampung tentang si polan dan si polan yang dulunya "lembu" tetapi telah mendapat projek, maka telah berupaya menjadi unta.

Inilah kisah lembu-lembu Melayu yang ada kereta besar dan sudah pandai menjadi unta!

Di sini saya ingin nyatakan sekali lagi: tiadalah perkara yang paling bodoh untuk dilakukan melainkan meniru dan membuat apa yang telah dibuat oleh musuh kita.

Dalam kisah lembu-lembu di Selangor ini, rasa saya adalah paling tidak bijak jika kerajaan Pakatan Rakyat meneruskan budaya yang telah diteroka dan dikembangkan oleh musuh mereka.

Musuh kerajaan Pakatan dalam konteks kerajaan Selangor ialah Barisan Nasional. Taiko gerombolan Barisan Nasional ialah United Malays National Organisation.

Budaya lembu yang diamalkan oleh United Malays National Organisation ini saya yakin tidak ada bersangkut-paut dengan niat dan cita-cita untuk bersedekah jariah di pagi raya.

Ahli-ahli gerombolan menghadiahkan lembu-lembu ini dengan tujuan memperlihatkan kepada orang Melayu/Islam tentang betapa waraknya dan sucinya kehidupan mereka.

Mereka menjadikan lembu-lembu ini sebagai jurucakap dan warga contoh tentang betapa tebalnya keislaman mereka. Sehinggakan mereka sanggup bersedekah kepada fakir miskin.

Tetapi mereka buat-buat tidak sedar. Punca kemiskinan itu datang daripada lembu-lembu ini juga. Lembu-lembu inilah yang merampok tanah rakyat. Lembu-lembu ini jugalah yang menjadi "subkontrakor" yang membuat sekolah yang akhirnya runtuh-rantah.

Lembu-lembu ini juga yang membuat hospital yang tidak boleh diguna pakai. Lembu-lembu ini juga yang merembat duit rasuah dengan harga mark-up yang tinggi terhadap apa sahaja kontrak daripada kerajaan.

Di pagi hari Raya Haji, lembu-lembu ini menyucikan diri datang ke masjid dengan unta-untanya.

Dalam pentabiran moden, dalam konteks Selangor dan Malaysia hari ini, saya rasa bukan tugas sebuah pentabiran kerajaan untuk memberi sedekah kepada warga.

Kita bukan lagi hidup di zaman Harun Aminul Rashid di Baghdad yang keluar menyamar di waktu malam sambil bertanya-bertanya tentang kesusahan penduduk.

Bersedekah menaburkan duit di jalan-jalan raya pada zaman ini akan dilihat lucah.

Dalam pentabiran daulah moden, seharusnya ada lembaga-lembaga yang diwujudkan untuk memastikan tidak ada warga yang tercicir, daif dan hidup dalam kebejatan.

Mendirikan dan memastikan lembaga-lembaga ini memiliki dana yang cukup untuk menjaga kebajikan orang ramai adalah tugas pemimpin dan pentabiran sesebuah kerajaan.

Malah, inilah yang diajukan oleh Islam dan agama-agama lain agar membuat kebajikan antara kita sesama manusia.

Menyembelih lembu setahun sekali akan dilihat sebagai propaganda kosong. Bukan daging lembu yang seharusnya diberikan oleh sebuah kerajaan moden seperti di Selangor.

Memberi daging lembu untuk warga tidak akan menyelesaikan masalah. Daging lembu ini mungkin hanya cukup untuk dibuat rendang dan kurma untuk dua kali makan.

Kehidupan warga lebih daripada sekadar kari lembu atau rendang lembu.

Memang tepat anak-anak syarikat kerajaan negeri Selangor wajib memiliki tanggungjawab sosial. Pada hemat saya, memberi daging lembu bukan khidmat sosial. Khidmat sosial ialah memberi dana kepada lembaga-lembaga NGO, badan-badan seni budaya, badan- badan amal yang membolehkan khidmat-khidmat sosial ini akan berterusan sepanjang tahun.

Harus para pemimpian kerajaan Selangor menyoal diri mereka sendiri: Jika lembu untuk hari Raya Haji, binatang apa pula untuk Tahun Baru Cina, Deepavali, Krismas, Hari Vesak? Pertanyaan ini perlu kerana warga Selangor terdiri daripada pelbagai agama dan kepercayaan.

Jika ini ada dalam kepala, maka inilah contoh kerajaan adil untuk semua.

Lebih tepat lagi sebuah kerajaan yang adil akan berusaha untuk mendidik warganya tentang cara dan teknik memelihara lembu; menyediakan kawasan-kawasan ragut untuk penternakan lembu. Bukan membuat kerja macam lembu, tetapi melahirkan ladang-ladang lembu yang dapat terus-menerus menyedikan bahan makanan.

Sayugia diingati rakyat tidak hendak menjadi lembu. Rakyat juga tidak hendak pemimpin lembu. Rakyat juga tidak selesa jika menteri besar dikelilingi oleh lembu-lembu. Rakyat tidak hendak agihan daging lembu setahun sekali di pagi hari Raya Haji.

Apa yang wajib diagihkan kepada rakyat ialah keadilan, ketelusan dan kesaksamaan dalam sesebuah pentabiran. Rakyat hendak kerajaan yang berkiblatkan kebajikan bukan kepada lembu.

Jika ada susuk-susuk yang sedang berkeliaran menjadi lembu atau membawa taukeh-taukeh kontrak lembu, maka mereka ini wajib dikorbankan.

Inilah jenis lembu-lembu - jika dikorbankan - rakyat pasti akan bertepuk tangan gembira. Korbankan mereka sekarang sebelum rakyat melembukan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor.