HALATUJU KEPEMIMPINAN POLITIK MELAYU ABAD 21
Tidak dapat dinafikan bahawa politik memainkan peranan sejarah
yang amat signifikan dalam proses kebangkitan sebuah negara-bangsa.
Jatuh-bangun sesebuah negara-bangsa amat bergantung kepada halatuju
kepemimpinan dan politik semasa.
Malangnya,
perkembangan dan pergolakan politik negara secara langsung menunjukkan
kepimpinan Melayu sentiasa berhadapan dengan konflik dalaman yang tidak
kunjung padam.
Politik Melayu Abad 21
Politik Melayu abad
21 tidaklah banyak berbeza daripada abad ke-20, bahkan semakin parah. Dari segi
politik, Melayu kini sekurang-kurangnya terbelah tiga. Kalau dahulu politik
Melayu hanya diwakili oleh UMNO dan PAS, kini muncul PKR sebagai alternatif.
Melayu yang sudah bosan dengan UMNO dan kurang cocok dengan PAS telah memilih
PKR sebagai alternatif.
Tahun 1998 adalah
titik-tolak yang paling tragis dalam sejarah kepemimpinan politik Melayu.
Pemecatan Dato’ Seri Anwar Ibrahim daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri
ketika itu amat mengejutkan. Kalau dahulu kemelut politik melayu hanya berkisar
di sekitar masalah kepemimpinan dalam UMNO, tetapi sejak tahun 1998, corak
politik Melayu berubah dengan begitu drastik.
Walaupun sudah
berlaku perpecahan di kalangan Melayu pada tahun 1987 apabila berlaku
pertandingan jawatan Presiden UMNO di antara Dr. Mahathir dan Tengku Razaleigh
sehingga membawa kepada penubuhan Parti Semangat 46, namun keadaan itu reda
pada tahun 1995 apabila UMNO dan BN menang besar dalam PRU ke-9. Tetapi
perkembangan politik pada tahun 1998 dan PRU 1999 memberi kesan yang besar.
Kemenangan BN dan UMNO yang dilihat telah memadamkan gerakan REFORMASI yang
dipelopori oleh Anwar Ibrahim pada tahun 2004, namun realiti politik 2008 telah
bertukar corak dan mewarnai senario politik Melayu di abad ke-21 ini.
UMNO dan BN
yang telah memerintah negara sejak kemerdekaan 1957 telah gagal mempertahankan
majoriti 2/3 di Dewan Rakyat. Politik baru menuntut ketelusan dan keadilan yang
mementingkan rakyat dan pengundi mendapat tempat.
Akibat kekecohan
yang ketara di saf kepimpinan Melayu dalam pelbagai bidang sama ada kepimpinan
politik, ekonomi, sosial, budaya, korporat dan birokrat serta intelektual,
kepemimpinan bangsa Melayu telah kehilangan tumpuan dalam memperbaiki nasib
bangsa.
Di samping banyak
retorik politik dilaungkan, kita juga menyaksikan tabiat bergimik dalam
kepemimpinan yang tidak menguntungkan bangsa Melayu sendiri. Dengan aksi
menghunus keris dan bertempik untuk mengisytihar perang ke atas bangsa sendiri,
ternyata kepimpinan Melayu mudah dibuai emosi yang tidak terkendali.
Menghulur bantuan
kepada bangsa yang terpinggir bukan dilihat sebagai sebuah amanah tetapi
sekadar propaganda politik dan pembinaan imej untuk diperaga. Menjelajah di
kawasan Melayu terlantar bukan kerana mahu merasai penderitaan dan mencari
jalan mengatasi kenapa derita itu berlaku, akan tetapi kerana mahu dilihat
merakyat dan prihatin kepada rakyat. Anehnya rakyat itu jualah yang sering
dijadi bahan media untuk menunjukkan kononnya keprihatinan pemimpin yang
beraspirasi tinggi bagi memudahkannya mendaki puncak kedudukan yang menawarkan
keselesaan.
Pernyataan-pernyataan
yang nampaknya lebih untuk menonjolkan diri dari benar-benar mengatasi masalah
bangsa menyebabkan mada depan Melayu terus menghadapi ketidaktentuan.
Nampaknya masyarakat
Melayu terbanyak sudah tidak lagi menaruh harapan yang terlalu tinggi kepada
kepemimpinan Melayu yang sedia ada, lantaran yang disaksikan dan dipekikkan
ialah laungan dan retorik besar tanpa komitmen bersungguh-sungguh untuk
mengubah nasib bangsa.
Yang nyata ialah
persoalan bangsa Melayu dalam pelbagai sektor kini sangat rapuh bila berhadapan
dengan persaingan dan rempuhan global, sehingga banyak kepentingan bangsa
terpaksa diperjudikan hanya kerana pemimpin-pemimpin mencanangkan agenda
peribadi dalam perlumbaan di pentas politik.
Pemikiran dangkal
sesetengah pemimpin telah meletakkan bangsa Melayu dalam keadaan yang
merugikan. Bukan kerana bangsa Melayu tidak mahu dan tidak mampu bersaing, akan
tetapi akibat pemimpin yang tidak jujur dan hanya mementingkan kuasa dan
kedudukan daripada soal memperbaiki nasib bangsa Melayu terbanyak, telah
menjadikan bangsa Melayu terus berada di pihak yang tersudut.
Sikap mabuk jawatan
dan gila kuasa sering diperlihatkan dalam kelompok kepimpinan bangsa Melayu.
Bukan asing lagi cerita politik wang, politik cantas-mencatas dan politik
bunuh-membunuh, menjadi watak politik bangsa melayu. Bahasa politik
nampaknya mempunyai kamusnya sendiri yang tidak mempunyai kaitan
samasekali dengan nasib rakyat. Politik dianggap sebuah permainan, berparti
politik dilihat sebagai medan bertarung merebut pengaruh.
Golongan
kepemimpinan elit bangsa Melayu masih mempamerkan watak feudal yang sangat
ketara sehingga yang menjadi keutamaan ialah untuk mendapat tempat di hati
mereka yang berkuasa dan berharap akan membuka peluang untuk melanjutkan
cita-cita naik ke atas. Soal hak dan batil bukan menjadi pantang larang dalam
kepimpinan bangsa. Awlawiyat
siyasi (keutamaan
politik) mereka bukan untuk perubahan tetapi untuk kantong masing-masing, bukan
untuk transformasi bangsa tetapi untuk tengkorok peribadi.
Retorik Murahan?
Kini 2008 berlalu
dengan sejumlah isu bangsa yang masih terus berpanjangan. Dengan kepimpinan
Melayu di peringkat negara yang silih berganti dari peringkat negeri dan pusat,
dari peringkat akar umbi sehingga korporat, yang nyata isu-isu yang mendepani
bangsa Melayu semacam tidak berkesudahan. Apakah kita menghadapi suatu laknat
bangsa yang tidak terawat lagi?
Perhatikan ketika
mana bangsa Melayu melihat kampung halaman serta tanah milik Melayu ditelan
pembangunan tahun demi tahun. Kepimpinan Melayu terus beretorik dengan pelbagai
pengumuman. Malangnya penguncupan tanah milik Melayu terus meruncing.
Kini pembangunan
terus dipacu yang melibatkan pengambilan tanah rakyat terus menerus di beberapa
negeri melalui Akta Pengambilan Tanah 1960. Atas nama pembangunan projek mega,
kawasan pertumbuhan ekonomi yang digelar pembangunan koridor ekonomi dijangka
akan menelan lagi tanah yang umumnya akan melibatkan tanah milik Melayu. Dasar
Tanah Negara masih belum mampu menyelesaikan masalah pembangunan tanah termasuk
soal tanah wakaf Melayu.
Kes penyelewengan
dan salahguna kuasa yang mengakibatkan tanah Melayu tergadai dan pindah
tangan kepada bukan cerita baru. Bertahun-tahun isu tanah Melayu diungkap
dalam pelbagai forum dan persidangan namun ia terus tidak menunjukkan tanda
yang menyakinkan bahawa orang Melayu akhirnya tidak akan merempat di negara sendiri.
Sejauhmanakah peninggalan Tanah Rizab Melayu sehingga ke saat ini dan apakah ia
benar-benar masih wujud seperti yang direkodkan?
Namun dari hari ke
hari kita membaca berita projek-projek yang diumumkan untuk akhirnya mengambil
tanah Melayu. Adakah pemimpin Melayu mengambil tahu dan secara serius menangani
isu ini ? Dari apa yang kita ikuti , perbahasan di DUN dan Parlimen jarang kedengaran
hal ini diungkit.
Demikian juga
persoalan gejala sosial bangsa Melayu yang bertalu-talu berlaku
seolah-olah bangsa ini tidak mampu mengatasi masalah yang sangat jelas boleh di
atasi, hanya jika pemimpin-pemimpin Melayu bertegas.
Siapakah jika tidak
pemimpin-pemimpin birokrat dan politik Melayulah yang mengeluarkan
keizinan KDN kepada majalah-majalah hiburan dan novel murahan, kebenaran
menyiarkan acara hiburan yang tidak sesuai dengan budaya bangsa, keizinan rasmi
untuk terus mengganjurkan konsert yang tidak habis-habis merosakkan adab
pergaulan generasi muda, kelulusan siaran drama, filem dan acara TV yang
meninggalkan kesan negatif kepada nilai dan budaya hidup bangsa adalah sederet
isu yang sebenarnya boleh diatasi dengan ketegasan pemimpin.
Akan tetapi sikap
pemimpin Melayu yang umumnya bermahzab liberal dan berfikah plural inilah telah
menggadai akhlak anak bangsa sehingga Melayu tidak lagi dihormati sebagai
bangsa berbudi dan bersantun tinggi. Akibatnya perpsepsi bangsa lain terhadap
bangsa Melayu pasti buruk dan tidak dihormati. Bercakap sahaja persoalan anak
muda Melayu, bangsa lain akan mencemuh bahawa biarlah bangsa Melayu terus
bergelut dengan isu dadah, mat rempit, lepak, buang anak, penceraian, jenayah,
maksiat, sumbang mahram, hiburan liar, pengangguran dan seribu satu masalah
sosial.
Kelekaan Pemimpin
Ditambah semangkok
lagi pemimpin-pemimpin media Melayu ternyata bukan sahaja berkesan dalam
mendedahkan keruntuhan-keruntuhan sosial bangsa malah turut tidak rasa bersalah
mempromosi gelagat budaya tidak beradab di kalangan golongan budayawan dan
seniman Melayu. Akibat kelekaan dan sikap tidak peduli pemimpin-pemimpin
Melayu dengan barah bangsa ini, kita sudah mencapai peringkat
kronik menunggu maut. Di tangan pemimpin Melayu jugalah lessen judi dan arak
dilulus, konsert artis Barat menggila diizinkan, filem budaya ganas dan
lucah dipermisikan, pusat hiburan dan segala khidmat social escort dibenarkan.
Sementara itu,
bangsa lain termasuk pendatang asing bertungkus lumus menguasai apa
sahaja ruang yang diperolehi untuk bertapak kukuh di tanah air ini.
Statistik terbaru melaporkan 50% dari 200,000 hingga 300,000 pekerjaan baru
yang dikatakan diwujudkan di negara ini dikuasai oleh pendatang asing. Apa
sahaja pekerjaan yang ditolak bangsa Melayu akan dikerumuni bangsa lain,
apa sahaja kemahiran yang tidak diendah bangsa Melayu akan dikuasai bangsa
lain.
Kini peruntukan
kuota Melayu untuk institusi-institusi tertentu sudah mula didesak untuk dibuka
atas nama meritokrasi. Atas alasan orang Melayu sendiri tidak dapat memenuhi
syarat kecemerlangan akademik yang diperlukan semada dalam institusi awam,
professional atau teknologi, malah termasuk perjawatan tinggi dan
khusus dalam bilang keselamatan dan ketenteraan, maka bangsa ini akan melalui
peminggiran-sendiri (self
alienation) dalam tanah air sendiri.
Siapakah yang
menggubal dasar ini, siapa yang merombak peraturan ini, jika tidak pemimpin
politik dan birokrat Melayu itu jugalah!
Maka natijahnya
sangat merunsingkan kita, jika dihitung implikasinya dalam jangka masa
panjang. Sepintas lalu sahaja kita dapat melihat kesannya sehingga ke peringkat
sektor kecil seperti kedai gunting rambut, tukang kasut, kedai
bakeri, bengkel basikal dan motor, pembuat kunci, pembuat bingkai dan
pemotong cermin, memperbaiki tayar kereta, kedai foto dan fotostat, pembaik
jam, pembuat pembalut kerusi kereta, bengkel besi dan lain-lain telah jauh
dikuasai bangsa lain.
Adakah boleh
kita persalahkan bangsa lain ketika pemimpin bangsa Melayu sendiri
tidak serius untuk memastikan generasi mudanya boleh hidup berdikari? Bolehkah
kita menuding jari kepada orang lain jika ibu bapa Melayu sendiri yang
membiarkan anaknya merempit pada malam hari, pemimpin Melayu pula bercakaran
sesama sendiri (dari merebut jawatan ketua bahagian sehingga bercita-cita
menjadi menteri), profesional dan korporat Melayu pula mengkhayalkan hidup
mewah sementara anak-anak bangsa sendiri merempat sana ke mari mencari kerja di
syarikat bangsa lain?
Keputusan Pilihan
Raya Ke-12 baru-baru ini mempunyai seribu erti yang perlu difikirkan dengan
sedalam-dalamnya oleh orang Melayu khususnya. Kita sudah kehilangan Singapura
45 tahun dahulu, dan dalam tempoh itu orang-orang Melayu secara tidak langsung
tertindas tanpa disedari. Tidak ada kuota menteri penuh Melayu, azan tidak
boleh dilaungkan di luar masjid, bahasa Melayu menjadi bahasa
ketiga, orang Melayu tidak dibenarkan memegang jawatan tertinggi dalam tentera
dan polis, mereka menuntut Pulau Batu Putih sebagai milik mereka dan pelbagai
lagi milik bangsa Melayu yang sudah lenyap di tanah Singapura.
Apabila sudah
hilang, tiada harapan lagi untuk kita mendapatkannya semula. Dalam tempoh akan
datang, jika orang-orang Melayu tidak juga sedar bahawa mereka sekarang sudah
hilang kuasa politik. Melayu sudah kehilangan kuasa tawar-menawar (bargaining power) di tanah air sendiri.
Daripada 222 kerusi
Parlimen, hanya 130 sahaja yang dikuasai oleh orang Melayu/islam. Ini bermakna
bakinya sebanyak 92 kerusi lagi dikuasai oleh orang bukan Melayu. Sayugia
diingatkan bahawa UMNO hanya menguasai 85 kerusi, PAS 23 kerusi, PKR 18 kerusi
dan Bebas 4 kerusi Melayu.
Jika ada isu-isu
yang memang melibatkan Melayu seperti hal agama Islam misalnya, sekiranya semua
Ahli Parlimen Melayu bersatupun, jumlah 130 tidak mencukupi untuk menggubal
atau mengubah undang-undang baru kerana Melayu tidak menguasasi 2/3 Parlimen.
Jika dikira blok BN sahaja, jumlah Melayu yang diwakili oleh UMNO tidaklah
sekuat mana. Sebab itulah orang bukan Melayu dikatakan mempunyai bargaining power yang lebih di Parlimen.
Tidakkah kita
belajar pengalaman di Palestin, bahawa pada tahun 1947 Israel hanya menduduki
kurang 10 peratus tanah orang-orang Palestin, tetapi pada tahun 2000, 80
peratus tanah orang Palestin sudahpun dikuasai oleh bangsa Israel. Di keliling
Semenanjung Gaza telah dipasang tembok dan pagar berduri menyebabkan kebebasan
hak asasi umat Islam Palestin terikat. Elektrik dicatu, hendak solat Jumaat
berdepan dengan muncung senjata malah keperluan makanan dan pakaian menjadi
amat sukar.
Sebab itulah
orang-orang Melayu perlu sedar dan bangun dari tidur dengan kesilapan memberi
undi kepada pembangkang terutamanya DAP. Mungkin ada pihak berkata kenyataan
ini berbau perkauman, tetapi kita tidak sedar kain rentang parti DAP menyatakan
“Undi MCA bermakna Undi UMNO/Melayu”, atau dalam akhbar-akhbar berbahasa Cina
mereka menulis “Undilah calon-calon Cina sahaja”.
Kita orang Melayu
terlalu bertolak-ansur dan terlalu berlembut sehingga kempen-kempen seperti di
atas walaupun berbau perkauman tetapi tidak ada tindakan diambil. Apabila orang
Melayu menyatakan perkara yang sama, kita pula dituduh sebagai memainkan api
perkauman dan dianggap racist, sedangkan
semua itu permainan mereka untuk menjatuhkan kita orang Melayu.
Apabila mereka
memainkan isu hak ketuanan bangsa Melayu dan umat Islam, pernahkah mereka
memikirkan perasaan kita umat Islam. Mereka tidak pernah peduli apa itu OSA,
ISA, ataupun Akta Hasutan sebab itu akhbar mereka bebas dan berani.
Fikir-fikirkanlah
betapa ironisnya peribahasa lama yang menceritakan tentang kebebalan dan
kedangkalan mentaliti seorang yang bernama Pak Pandir atau Lebai Malang dalam
kisah persabungan ayam. Ayamnya menang tetapi kampungnya pula yang tergadai.
Begitu juga dengan peribahasa lama yang menceritakan tentang kemarahan seorang
yang bodoh sombong kerana marahkan nyamuk habis semua kelambunya dibakar.
Begitulah putaran
hidup di dunia ini. Sketsa daripada cerita dan peribahasa
lama banyak membawa dan menterjemahkan kisah daripada kehidupan sebenar, Cuma
kita tidak pernah mahu mengambil iktibar daripadanya. Yang lebih tragisnya
ialah Melayu mudah lupa apa yang telah berlaku sepanjang sejarah.
Wahai
saudara-saudaraku umat Islam dan Melayu, bangkitlah kamu semua daripada tidurmu
yang diulit mimpi-mimpi yang lama. Bukalah mata kalian, lihatlah di
sekelilingmu betapa selama 53 tahun ketuanan Melayu telah menjadi teras
pemerintahan tanah warisan Melayu di Malaysia ini. Kini semuanya telah terhakis
sedikit demi sedikit dan lama-kelamaan akan hilang terus ditelan oleh kerakusan
tangan-tangan Islam dan Melayu sendiri. Islam dan Melayu adalah satu golongan
yang menguasai majoriti populasi rakyat di Malaysia ini tetapi kerana perbezaan
wadah perjuangan politik kita menjadi berpecah-belah.
Perpecahan Melayu: Apa Kesudahannya?
Orang Melayu kini
saling bermusuhan dari segi politik dan paling tragis lagi kita sanggup
bersekongkol dengan kaum dan penganut agama lain bagi menjatuhkan saudara
seagama dan sebangsa. Alangkah sedihnya umat Islam dan Melayu berpecah. Apakah
puncanya?
Sekurang-kurangnya
ada tiga punca utama perpecahan Melayu. Pertama, kepemimpinan yang menerajui
parti yang diwakili oleh Melayu gagal mencapai kata sepakat dalam hal-hal
penting. Ada penulis yang menganggap orang Melayu tidak bijak berpolitik.
Bahkan ada penulis blog yang menyatakan “Melayu itu bodoh politik”. Tidak
seperti orang Cina dan India, orang Melayu berpecah sehingga ke peringkat
akar-umbi, termasuk di kampung-kampung.
Peluang perniagaan
juga dimonopoli oleh pihak tertentu. Jika bukan dari parti politik yang sama,
walaupun sesama Melayu, peluang mendapat projek amat tipis. Ini sudah diamalkan
sejak sekian lama. Parti pemerintah dikatakan lebih suka bersekongkol dengan
peniaga bukan Melayu daripada orang Melayu sendiri.
Kedua, perpecahan
Melayu dimulakan oleh para pemimpin Melayu sendiri. Para pemimpin amat
mementingkan kedudukan masing-masing. Terdapat perebutan jawatan hatta di
peringkat pemilihan ketua cawangan sekalipun. Mereka menggunakan apa sahaja,
termasuk politik wang, untuk memenangi sesuatu jawatan. Akibatnya apabila
mereka sudah berada di puncak kuasa, para pemimpin seperti ini akan menggunakan
kuasa yang ada padanya untuk kepentingan diri sendiri.
Rasuah sudah menjadi
barah. Kalau dahulu rasuah hanya berlaku di kalangan orang politik, tetapi hari
ini rasuah sudah diamalkan oleh sesetengah pegawai kerajaan. Paling malang,
rasuah ini bukan sahaja dilakukan oleh pentadbir peringkat tinggi, tetapi sudah
menular di kalangan pegawai dan kakitangan biasa. Untuk mempermudahkan sesuatu
urusan, apalagi untuk mempercepatkan bayaran tertentu, sesetengah pegawai tanpa
segan silu meminta habuan mereka. Bagi mereka wang RM500 atau seribu ringgit
sudah memadai untuk menampung duit minyak atau insuran kereta.
Ketiga, perpecahan
Melayu paling banyak disebabkan oleh ketidakpuasan hati terhadap seseorang
pemimpin atau parti, selain melibatkan faktor ideologi parti. Para pemimpin
parti dianggap mewakili parti masing-masing. Tuduh-menuduh akan berlaku. Di
pihak kerajaan, semua yang dibuat oleh pembangkang adalah salah. Di pihak
pembangkang, semua yang dibuat oleh parti pemerintah tidak betul.
Pertikaian politik
ini merebak ke peringkat akar-umbi. Disebabkan perkara ini, masing-masing
menjadi renggang. Orang parti A tidak berminat dan bbiasanya mengelak untuk
berkawan dengan orang parti B. Begitu juga sebaliknya. Mereka hidup dalam
kelompok dan cara masing-masing. Masing-masing akan mencari alasan tersendiri.
Faktor pegangan agama, ideologi parti, sikap terhadap orang lain dan
kepentingan diri menjadi asas kepada hubungan sesama sendiri.
Perpecahan ini
biasanya sampai ke peringkat keluarga. Ada yang isterinya menyokong parti A dan
suaminya menyokong parti B. Ada juga keluarga A tidak sehaluan dengan keluarga
B. Begitu juga juga dengan jiran tetangga. Perpecahan bangsa Melayu telah
melampaui bidang politik. Ia sudah masuk ke sempadan perniagaan, pentadbiran,
pendidikan dan sosio-budaya.
Apakah senario
politik negara ini dapat diharmonikan semula? Tentulah ia tidak semudah yang
difikirkan. Malang sekali, jika ada satu pihak cuba untuk berbaik-baik dengan
pihak yang lain, ia ditentang habis-habisan. Semua isu telah dipolitikkan.
Hatta isu kemalangan jalanrayapun menjadi isu politik.
Malang sekali Melayu
seakan takut dengan bangsa lain. Pernah satu ketika heboh dikatakan pihak polis
telah mendera seorang tahanan perempuan Cina dengan menyuruhnya melakukan
ketuk-ketampi sambil berbogel. Hal ini mendapat bantahan keras orang Cina.
Apabila dikatakan perempuan Cina itu seorang warganegara China, kerajaan
terpaksa meminta maaf kepada kerajaan China di Beijing. Tiba-tiba seorang
pemimpin kerajaan membuat pengakuan bahawa perempuan itu bukan perempuan Cina,
tetapi seorang perempuan Melayu. Isu ini ditutup oleh media begitu sahaja.
Tiada bantahan dibuat oleh orang Melayu, sedangkan isunya sama.
Sampai bilakah
Melayu akan bersikap apologetik seperti ini? Apakah ini bukan petanda Melayu
akan pupus 50 tahun daripada sekarang?
Akhir kata,
wahai saudara-saudaraku umat Islam dan Melayu, bangunlah dan fikirkan nasib
yang bakal diharungi oleh anak-anak dan cucu-cucu kita di kemudian hari. Jangan
sampai mereka menyumpah di kuburan kita kerana kesilapan yang kita lakukan hari
ini.