Wednesday

Mengundang Rindu Dikejauhan

Pada kejauhan ini ku himpunkan segala rindu kita
Yang ku kutip lalu kutitipkan menjadi bayu malam
Kuhela semilirnya agar berpuput lembut ke telingamu
Membawa bersama rindu serta sayang amat ku padamu
Agar dapat membisikkan cinta suciku yang terus mekar
Moga harum kasturi itu menusuk semerbak ke jiwamu
Kerana rinduku tidak pernah padam sampai bila pun
Rindu yang semakin parah di sini kerana jauhnya kita.

Pada kejauhan ini ku menjadi resah tidak menentu
Tiap kali rinduku jatuh padamu maka hatiku menjadi sayu
Mengenang dirimu jauh di situ yang kian samar kutemu
Saat indah itu masih menjadi kelabu dan terus syahdu
Kerana masanya kian jauh tersisih dimamah waktu itu
Meninggalkan tanda yang tidak bernoktah buat diriku
Sedang hati ini menjadi kian longlai dan semakin lemah
Mempertahan sesuatu yang entah apa sudahnya di maya ini.

Pada kejauhan ini hatiku semakin lemah luluh berderai
Menahan rasa rindu yang semakin menjadi tegar di hati
Rindu padamu rindu pada dirimu sayangku yang jauh di situ
Walau seketika cuma saat itu tetap terus menjadi keliru
Bilakah waktunya kau dan aku kembali bersatu di situ
Bagai hadirmu dalam setiap lenaku yang indah semalaman
Membawa secangkir bahagia seketika walau sedetik cuma
Masihkah ada rindumu pada diriku yang tertinggal di sini
Kerana hari ini begini mungkin esok berubah segalanya

Pada kejauhan ini mungkinkah rindumu juga bagai rinduku
Parah menahan sendu bermain di benak hatimu sayang
Kerana akukah kekasihmu yang terus kekal sampai kapan
Yang mekarnya bagai anggrek desa kembang di subuh hari
Harumnya menerjah kalbuku tika nyenyak diulit mimpimu
Lena yang semakin hari semakin sukar kulalui bersamamu
Kerana lena kita semalaman itu adalah lena seorang perindu
Menanti hadirnya bayanganmu yang telah berlabuh di situ
Menutup jagaku tatkala maya sudahpun menutup harinya.
Menjadi esok yang lain lagi tetapi esok yang serupa buat kita.