Saturday

Bila Pena Kembali Mencoret

Di sini ku masih meniti denai-denai silam yang hilang
Mencari jejak-jejak lampau di balik keresahan semalam
Lalu ku kembali semula berpuisi menulis bicara hatiku
Bagai zaman dulu-dulu yang telah ku tinggalkan di situ
Di penjuru usang di dada alam yang penuh kekeliruan
Akulah insan itu yang masih bagai dulu menjadi pemuisi
Masih dengan pena itu menulis kata hati yang kian luluh
Mengolah bahasa mengembalikan bibit-bibit nostalgia

Ku sisip kembali bahasa silamku yang sukar difahami
Lalu akan ku jalinkan kembali bait-baitnya menjadi puisi
Yang bagai zaman silam dipuncak egoku yang lalu
Kerana di sini aku telah lama berubah dimamah waktu
Yang telah jauh meninggalkan berliku-liku kehidupan
Kulihat anak generasiku kian semakin alpa dan leka
Di mana semangat silamku yang gagah menjulang
Mengatur kata keramat bersatu membina negara tercinta
Dengan laungan minda merdeka melangkah sederap
Mengundur berpantang melawan tetap melawan biar rebah

Minda merdekaku akan tetap utuh di sini menjadi batu
Biarlah mindaku menjadi minda generasiku yang tegar
Tatkala dinihari menjengah aku masih mecoret di sini
Menyusun kata hati dengan pena lama yang kian usang
Menukilkan ayat-ayat lama yang sering ku guna
Pabila aku berpuisi, kerana bahasaku adalah bahasaku
Bahasa jiwa seorang insan yang kerdil di celah alam
Yang semakin tua ditelan zaman walau hati menjadi kelabu
Akulah penyair itu yang masih segar jiwa puisinya
Masih angkuh melontarkan karya di tengah persada
Kerana lahirnya aku bersama akal seorang pemuisi.

Bila penaku kembali mencoret, itulah aku sebenarnya
Mengekang kenangan silam untuk menukil kembali
Bagai dulunya aku di pentas mendeklamasi kataku
Ramai akan menjadi keliru memahami maksudnya
Biarlah… biar menjadi pelbagai tafsiran pada mereka
Sebab itulah yang sebenarnya ku mahu dan ku harap
Kerana adakalanya aku sendiri juga menjadi keliru
Untuk menjelaskan apakah maksud bait-bait puisiku
Biarlah di situ supaya puisiku terus kekal keliru
Sampai masanya nanti akan ada pengganti serupaku.