Thursday

Lanskap Politik Malaysia Hari Ini
[Kertaskerja ini dibetangkan di Seminar “Menjana Kekuatan Parti” anjuran PKR Negeri Selangor dan PKR Wilayah Persekutuan di Continental Suites, Kelang, Selangor, 3 – 4 Mac 2007] Oleh Allahyarham Rustam A Sani - 06 March 2007
1

Politik BN pasca-Mahathir

Hampir tiga dekad pemerintahan Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri negara ini telah meninggalkan kesan yang amat mendalam terhadap lanskap politik kita. Sahsiahnya sebagai seorang yang cenderung ke arah gaya pemerintahan kuku besi telah melahirkan sebuah masyarakat yang tidak begitu menghargai perbezaan pandangan dan wacana politik. Institusi-institusi politik demokrasi yang biasanya melibatkan perbincangan dan perdebatan – seperti Parlimen dan dan majlis-majlis perundangan lainnya – dikatakan telah diturunkan martabadnya untuk menjadi gelanggang monolog Mahathir semata-mata.

Malah parti politik besar yang dipimpinnya, yakni Umno, menjadi amat terhakis sifat-sifat demokrasinya sewaktu di bawah pimpinannya. Sudah beberapa kali, dalam menghadapi pelbagai krisis, parti itu dimanipulasi untuk menangguhkan, malah menggantung, unsur-unsur demokrasinya yang amat asasi seperti pemilihan para pemimpin di Perhimpunan Agung.

Yang menariknya, kesan kekangan pemerintahan Mahathir itu tidak sekadar berlaku dalam Umno sahaja. Kesanya terhadap pemerintahan pada keseluruhannya – dan terhadap dasar-dasar yang dilaksanakan pemerintahan itu – amatlah jelas. Tidak banyak dasar pemerintahan negara yang telah difikirkan semula, apa lagi dibatalkan, semata-mata kerana dasar-dasar tersebut dikritik oleh para cerdik pandai atau profesional – kalaupun masih ada cerdik pandai yang berani mengkritik kerajaan pada zaman itu.

Apa yang dikehendaki Mahathir, maka itulah yang akan terjadi. Pengalaman pahit Anwar Ibrahim merupakan peringatan jelas kepada sesiapa yang berani berbeza pandangan dengan Mahathir – betapapun tingginya kedudukan orang yang berbeza pandangan itu, betapapun berhati-hatinya perbezaan pandangan itu diluahkan.

Mahathir memang merupakan seorang yang lebih mengutamakan “kestabilan” daripada demokrasi atau kebebasan bersuara. Jika kita mengingatkannya tentang cara pemerintahannya yang kuku besi itu, maka saya kira dia akan mengingatkan kita betapa stabilnya suasana politik pada waktu pemerintahannya itu.

Kita mungkin boleh menuduhnya telah menyalahgunakan undang-undang yang zalim, seperti ISA, OSA dan sebagainya. Namun dia pastilah akan mengingatkan kita bahawa kesan “penyalahgunaan” itu amatlah “positif”. Kesan buruk daripada kebangkitan gerakan reformasi – kebangkitan gerakan dan kesedaran anti-kerajaan yang paling besar yang pernah tercetus di negara ini – telah dapat dihindarkan dan dikawal dalam masa yang singkat. Demikianlah juga halnya gerakan “keganasan” berasaskan Islam.

Umno telah menjadi kurang demokratis, malah telah menjadi tidak demokratis samasekali, di bawah pimpinannya. Namun dia akan mendakwa bahawa di bawah pimpinannya perebutan kedudukan kepimpinan dalam parti secara terbuka telah dapat dikawal – malah dihapuskan. Namun demikian, rasuah politik dan beli-membeli undi dalam parti itu tidaklah dapat dihapuskannya – sehingga dia beberapa kali menitiskan airmata di khalayak ramai sehubungan dengan sifat jelek partinya itu.

Penghapusan amalan korupsi, baik dalam Umno maupun dalam kerajaan, ternyata bukanlah sesuatu yang mendapat keutamaan dalam pemerintahan Mahathir. Jika korupsi merupakan satu cara yang efisien untuk melaksanakan sesuatu (“to get things done”), maka pemerintahan itu tampaknya tidak akan bertindak untuk menghapuskannya. Sebab itulah pada zaman pemerintahannya Badan Pencegah Rasuah (BPR) tidaklah lebih daripada sekadar merupakan barang hiasan. Lebih-lebih lagi jika yang melakukan rasuah itu merupakan orang yang digemarinya dan berada di pihak PM dalam percaturan politiknya.

Oleh kerana itu, bila Mahathir mengakhiri zaman pemerintahannya beberapa tahun lalu, segala kebobrokan itu – malah pelbagai kebobrokan yang sudah terlembaga (institutionalised) dalam pemerintahannya itu – dengan tiba-tiba kelihatan seolah-olah sedang mengalami suasana politik dan kekuasaan yang baru. PM baru, Abdullah Badawi, tampaknya memperlihatkan keinginan dan hasrat untuk melakukan sesuatu. Namun keinginannya itu tidak mencapai tahap yang cukup tinggi untuk dapat dianggap sebagai iltizam politik yang mantap.

Kita dapat memahami, malah bersimpati dengan, langkah dan tindakan Abdullah yang amat berhati-hati itu. Dia bukanlah seorang Mahathir yang cukup kuat untuk bertindak sesuka hatinya, khususnya dalam kerangka percaturan politik Umno. Malah ada pihak yang membuat spekulasi bahawa Mahathir masih merupakan tangan tersembunyi yang masih mantap genggamannya, baik dalam Umno maupun dalam kerajaan. Masih wujud kelompok-kelompok “pro-Mahathir” yang agak kuat yang tidak dapat dikuak ke tepi begitu sahaja oleh Abdullah tanpa mendatangkan bahaya politik pada dirinya sendiri.

Soalnya: Apakah perubahan akan terjadi hanya setelah Abdullah sama kuatnya dengan Mahathir kelak? Tetapi, jika Abdullah sudah menjadi sekuat Mahathir, apakah dia masih akan berminat untuk melakukan perubahan-perubahan tersebut? Tidakkah lebih baik dia menjadi penerus Mahathir sahaja pada ketika itu? Dan tanda-tanda perkembangan ke arah itu semakin hari semakin jelas kini.

Dalam kerangka parti-parti politik (khususnya parti-parti politik dalam BN) penghakisan unsur demokrasi pada zaman Mahathir itu sebenarnya tidak terjadi terhadap Umno sahaja – malah terjadi juga pada parti-parti politik utama lainnya. Semua pihak tampaknya mengambil sikap yang sama: memperoleh sokongan (dan perlindungan) Mahathir lebih penting daripada mendapat sokongan para anggota parti sendiri. Tambahan pula sokongan dalam parti sendiri itu dapat dimanipulasi dalam kerangka budaya politik wang dan politik perkauman yang berkembang mekar pada waktu itu.

Oleh itu, setelah Mahathir mengundurkan diri, kelihatan kecenderungan terhadap mengembalikan unsur-unsur demokrasi dalam parti-parti politik tersebut. Setelah lebih dua dekad demokrasi dilumpuhkan oleh pemerintahan dan kepimpinan Mahathir maka kedudukan selesa para pemimpin politik yang dulunya terjamin dan dilindungi, sudah mulai tercabar. Namun setelah lebih dua dekad dilumpuhkan, unsur demokrasi yang cuba ditegakkan kembali itu tentulah masih jauh daripada matang dan mantap.

Amatlah menarik bahawa apabila MCA mengadakan Perhimpunan Agung Tahunan pertamanya setelah era Mahathir berakhir proses pemilihan para pemimpin parti itu menjadi lebih terbuka dan lebih meriah. Bukan sahaja para pemimpin utama parti itu, malah semua pihak yang terlibat (termasuklah golongan pencabar) mengakui bahawa proses pemilihan kepimpinan parti pada waktu itu merupakan proses yang paling demokratis dalam masa lebih dua dekad yang lalu.

Memanglah hasil pemilihan itu menunjukkan bahawa kemenangan masih dapat dipertahankan oleh kelompok-kelompok yang ada hubungannya dengan suatu kelompok pemimpin lama yang telah memperoleh perlindungan daripada pemerintahan lama yang tidak demokratis itu. Ini, bagi saya, membuktikan bahawa proses perubahan dan pendemokrasian tidak akan berlaku dalam masa sehari. Proses itu akan memerlukan jangka waktu pematangan.

Proses pendemokrasian ini juga mulai kelihatan berlaku dalam Gerakan. Presiden parti itu, Dr Lim Keng Yaik, memperlihatkan banyak sifat-sifat Mahathir dalam penentuan kepimpinan parti tersebut. Pada mulanya timbul persoalan apakah Timbalan Presiden parti, Kerk Choo Ting, akan menarik diri untuk memberi laluan kepada Dr Koh Tsu Khoon yang disebut-sebut sebagai calon yang dikatakan merupakan pilihan para anggota parti – dan dengan itu akan menjadi pengganti Lim Keng Yaik nanti.

Jika Kerk menarik diri dan berundur, maka penyelesaian itu pastilah akan merupakan penyelesaian ala zaman Mahathir yang klasik. Namun senarionya tidaklah seperti itu. Malah sebaliknya, Kerk menamakan dirinya sebagai pencabar Lim Keng Yaik sendiri untuk jawatan Presiden. Langkahnya ternyata menggemparkan Lim Keng Yaik, yang terang-terangan menyatakan rasa kecewanya kerana keengganan Kerk menerima tawaran jawatan penasihat parti.

Dalam MIC, kedudukan Presidennya – S. Samy Vellu – bolehlah dikatakan sebagai paling hampir menyerupai kedudukan Mahathir dalam Umno. Apa yang dihasratkan Samy maka itulah yang akan terjadi. Mungkin kerana itulah proses pencabaran kedudukan beliau dalam MIC agak lambat terjadi. Meskipun demikian, kecenderungan ke arak tercabarnya jawatan-jawatan penting yang lainnya dalam MIC sudah mula kedengaran. Hanya masa, saya kira, yang dapat menentukan selama manakah lagi Samy sendiri akan dapat bertahan.

Nyatalah bahawa angin perubahan pasca-Mahathir sudah mulai bertiup. Malah ada pemerhati yang menyatakan bahawa angin perubahan itu sudah mulai berhembus dalam pelbagai sektor masyarakat – seperti bidang kehakiman, media massa, pendidikan tinggi, dan sebagainya – yang selama ini begitu kuat terpasung dalam genggaman Mahathir.

Kita berharap Abdullah Badawi tidak perlu menunggu sampai dia sekuat Mahathir sebelum dia dapat memanfaatkan angin perubahan dan pendemokrasian itu.


2

Apakah salahnya pemerintahan Pak Lah?

Tidak ada siapa yang boleh mempersoalkan kredibiliti Pak Lah untuk menjadi Perdana Menteri negara ini. Dia telah memimpin parti-parti gabungan Barisan Nasional dalam pilihanraya umum yang lalu untuk memperolehi kelebihan undi yang lebih daripada meyakinkan.

Banyak penganalisis yang berpendapat bahawa kelebihan undi yang demikian tidak mungkin diperolehi oleh Dr Mahathir sendiri jika sekiranya beliau terus memimpin parti itu menghadapi pilihanraya tersebut. Malah ada para penganalisis yang menganggap pengunduran Dr Mahathir sebelum pilihanraya tersebut sebagai pertanda tentang kemenangan gerakan reformasi di negara ini.

Gerakan reformasi itu dikatakan telah berhasil mencemar kredibiliti Dr Mahathir sebagai pemimpin yang bersih lagi dapat dipercayai – sehingga beliau sendiri tidak begitu yakin bahawa beliau akan dapat menebus “kekalahan” yang telah dialaminya dalam pilihanraya umum sebelum itu.

Dalam hubungan ini Pak Lah tampaknya telah menerapkan strategi yang betul dalam menghadapi piliharaya pasca-Mahathir itu. Kepada rakyat negara ini dia telah mempersembahkan dirinya sebagai “pengganti” yang sebenarnya – dan bukannya sebagai “penerus” kepimpinan Mahathir.

Dalam hubungan itu dia begitu menekankan citranya sebagai pemimpin yang bersih – menyimpang daripada imej pemimpin sebelumnya yang begitu menonjol sifat-sifat kronisme, nepotisme dan kolusinya. Sifat-sifat tersebutlah yang telah ditekankan oleh gerakan reformasi dengan jayanya.

Bukan sekadar itu sahaja. Pak Lah telah memasuki pilihanraya tersebut dengan semacam janji yang tidak diucapkan kepada rakyat bahawa dia sedang berusaha untuk menghapuskan citra korupsi dan pembaziran keterlaluan (excesses) pemerintahan sebelumnya itu. Beberapa inisiatif untuk mendakwa beberapa tokoh dan para pemain dalam drama korupsi di negara ini telah dimulakan – namun hingga sekarang belum juga kelihatan hujungnya.

Dengan usaha penonjolan citra baru itu, maka tidaklah menghairankan jika rakyat Malaysia yang begitu dahagakan perubahan itu telah memberikan mandat yang begitu besar kepada BN “baru” pimpinan Pak Lah itu.

Pemberian mandat besar itu kemudiannya diikuti pula dengan suatu jeda waktu yang agak lama yang boleh dianggap sebagai jeda waktu “berbulan madu” antara pemerintahan Pak Lah dengan kepercayaan rakyat yang amat mengharapkan perubahan. Dalam jeda waktu tersebut rakyat tampaknya sanggup melupakan ketiadaan perubahan itu kerana mereka yakin bahawa perubahan itu pasti akan tiba juga, meskipun memerlukan sedikit waktu lagi.

Kini jeda waktu “honeymoon” (bulan madu) itu tampaknya sudah berakhir – namun perubahan yang diharap-harapkan itu tampaknya belum juga menjelang. Malah terdapat tanda-tanda bahawa arah tuju pemerintahan baru itu semakin tidak menentu dan tidak menjanjikan sesuatu yang lebih baik daripada keadaannya dalam pemerintahan “lama” yang digantikannya.

Hari ini jika ditinjau pandangan rakyat dari kalangan pelbagai golongan – dari kalangan pekerja biasa hingga ke golongan pemodal – tidak banyak yang memperlihatkan keyakinan tinggi seperti yang telah menghasilkan kemenangan BN dalam pilihanraya umum yang lalu itu.

Keadaan ekonomi kini semakin merosot, meskipun pihak pemerintah terus menerus menafikan kemerosotan itu (ertinya kerajaan dalam keadaan “in denial”). Rakyat biasa dalam kehidupan sehariannya sedang dilanda inflasi, sedangkan kerajaan masih terus sahaja menafikannya – dengan tindakan mungkin mengancam akan bertindak keras terhadap para pedagang yang menaikkan harga barang yang terpaksa dinaikkan kerana meningkatnya harga pelbagai komoditi perlu.

Pihak pemerintah tidak mampu memperlihatkan bahawa terdapat sebarang perancangan yang mantap bagi menghadapi situasi itu. Sedangkan para ahli politik dan para pentadbir terus menerus membuat kenyataan yang terus menerus bercanggah antara satu dengan lain.

Segala pihak yang dalam pilihanraya umum yang lalu telah sanggup memberikan mandat besar kepada pemerintahan “baru” Pak Lah itu demi perubahan, kini mulai kecewa bahawa perubahan itu masih juga tidak kunjung tiba. Malah pemerintah sekarang bukan sekadar menjadi penerus pemerintah yang lama tetapi juga menjadi pemerintah yang amat lemah kerana tidak mampu mengatasi pelbagai masalah yang telah diwariskan kepadanya oleh pemerintah yang lama itu.

Pemimpin pemerintah lama itu – yakni Mahathir – tampaknya masih kuat, masih memegang “tampuk” kuasa dalam pelbagai institusi yang penting dalam pemerintahan. Malah terdapat spekulasi bahawa orang-orang beliau dalam politik parti amat kuat, dan dikatakan berkemampuan menyaingi kedudukan Pak Lah sendiri.

Banyak projek-projek infrastruktur yang besar-besar tidak mampu diteruskan kerana kekurangan dana. Alasan yang lebih tepat mungkin kerana pemerintah yang lalu telah terlalu berlebihan berbelanja dalam bidang itu. Namun pemerintah yang sekarang tampaknya tidak berkemampuan secara rasmi menukar haluan, apatah lagi mengkritik pendekatan kerajaan lama itu.

Mengkritik kelemahan-kelemahan pemerintahan lama itu samalah seperti menjolok sarang tebuan politik dalaman UMNO sendiri – dan Pak Lah tampaknya tidak punya kesanggupan menghadapi sarang tebuan itu.

Itulah salahnya dengan pemerintahan pimpinan Pak Lah ini: Untuk menjadi mantap dan menjadi kredibel dia terpaksa menyimpang daripada haluan pemerintahan lama. Namun dia tidak mampu berbuat demikian, kerana kedudukannya sendiri yang tidak begitu mantap dalam kerangka politik dalaman partinya sendiri – UMNO.

Dia terlalu perlu mengubah haluannya, tetapi dia tidak mampu mengubah haluan itu.

Pada mulanya, pemilihannya sebagai pewaris atau penerus Dr Mahathir sendiri merupakan sesuatu yang sukar diterima akal. Dia bukanlah pemimpin yang terkuat dalam UMNO selepas Dr Mahathir yang hampir-hampir kuku besi sifatnya itu. Kedudukannya sebagai Naib Presiden UMNO merupakan kedudukan yang tercorot, yakni paling rendah undiannya.

Selain itu hubungannya dengan Dr Mahathir bukanlah pula yang tererat. Dia pernah terlibat dengan pihak yang secara terbuka menjadi cabaran dan ancaman terhadap pimpinan Dr Mahathir. Malah kerana kedudukannya itu dia pernah beberapa lama dikeluarkan daripada kabinet!

Maka apakah yang menyebabkan dia dipilih menjadi pengganti maupun penerus itu?

Pemilihannya itu berlaku berikutan tercetusnys pertentangan antara Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim. Oleh kerana persaingan antara Pak Lah dan Anwar dalam kerangka politik UMNO, khusus politik UMNO Pulau Pinang, merupakan sesuatu yang diketahui umum maka tidaklah mustahil bahawa pemilihannya itu sendiri merupakan suatu strategi balas dendam Mahathir terhadap Anwar.

Dalam konteks persekongkolan politik tersebut, seorang penerus dan pengganti diperlukan. Namun pengganti dan penerus itu mestilah seseorang yang tidak mungkin berkompromi dengan Anwar. Selain itu, pengganti itu mestilah tidak cukup kuat untuk menukar haluan pemerintahan yang lama itu – malah mungkin membahayakan kedudukan para tokoh pemerintahan lama itu.

Untuk memastikan bahawa Pak Lah tidak akan menjadi cukup kuat bagi melakukan perkara kedua itu maka kedudukannya sebagai pemimpin kerajaan itu perlulah dikawal dengan manipulasi politik UMNO sendiri dengan menggunakan puak-puak yang senantiasa bersedia mengancam kedudukannya baik dalam konteks UMNO maupun dalam konteks kerajaan.


3

Pemerintahan Abdullah: Lebih spin

daripada pemikiran dan pelaksanaan

Kenaikan kadar tol lebuhraya oleh beberapa syarikat konsesi yang memperoleh hak konsesi lebuhraya di negara sudah pasti akan merupakan antara perkara yang paling berkemungkinan menggugat kepopularan dan kredibiliti kerajaan pada awal tahun baru ini. Oleh kerana itu kerajaan yang pada mulanya berusaha bereaksi secara agak lembut dan tenang terhadap bantahan rakyat terhadap fenomena itu, akhirnya terpaksa kembali kepada reaksi ganasnya terhadap tunjuk-tunjuk perasaan yang diadakan.

Sejak mula kerajaan tampaknya memang sedar tentang kesan buruk kenaikan kadar tol lebuhraya ini terhadap dirinya. Timbalan Perdana Menteri, Najib Razak, dan Menteri Penerangan, Zainuddin Maidin, sejak awal-awal lagi sudah mulai bertindak. Mereka memanggil para ketua editor akhbar-akhbar arus perdana negara ini untuk mengingatkan mereka supaya “jangan membesar-besarkan” isu tersebut.

Selain itu, para pemimpin politik BN lainnya juga mulai mengingatkan pihak akhbar di negara ini supaya lebih berhati-hati dalam menangani isu-isu politik dan sosial di negara ini. Penyalahgunaan kebebasan bersuara boleh membawa kepada keadaan semakin tersekatnya kebebasan itu, kata mereka.

Dengan itu, berakhirlah sudah citra kerajaan Abdullah Badawi yang sejak beberapa lalu kini dianggap lebih “maju” daripada kerajaan Mahathir yang digantikannya dalam hal-hal yang berhubungan dengan kebebasan akhbar dan kebebasan bersuara. Malah sudah ada pihak-pihak yang memerhatikan isu kebebasan akhbar ini – seperti para NGO setempat maupun antarabangsa – yang menganggap bahawa rekod kerajaan Abdullah dalam hal ini mungkin lebih buruk daripada rekod kerajaan Mahathir.

Sekurang-kurangnya Mahathir secara peribadi memang menerima pandangan yang demikian itu. Menurut Mahathir, kritikannya terhadap kerajaan Abdullah tidak dapat disuarakan kerana kerajaan itu melaksanakan dasar “penyaringan akhbar” (press censorship). Oleh yang demikian, segala pandangannya digelapkan dan tidak mungkin disampaikan kepada rakyat umum.

Yang aneh dan lucunya, Mahathir sempat membuat dakwaan bahawa semasa pemerintahannya sendiri akhbar di negara ini menikmati kebebasan – sedangkan kita tahu bahawa semasa pemerintahannya Mahathir selama beberapa tahun dianggap oleh para pemerhati setempat maupun antarabangsa sebagai salah seorang penindas akhbar yang terulung dan terganas di dunia.

Bagi saya, rekod kedua-dua pemerintahan Mahathir dan Abdullah setakat ini berhubung dengan isu kebebasan akhbar ini lebih kurang sama sahaja – kedua-dua menyaring media dengan cara yang agak bersembunyi-sembunyi dan berselindung demi memancarkan citra demokrasi masing-masing.

Namun demikian, kedua-duanya tidak akan segan silu mengorbankan citra demokrasi itu dalam keadaan yang agak terdesak – seperti sewaktu Mahathir hendak menghalalkan tindakan zalimnya terhadap pemimpin popular seperti Anwar Ibrahim dan Abdullah sewaktu menghadapi kritikan Mahathir atau sewaktu mencoba menangani langkah-langkah tidak popular kerajaan seperti kenaikan harga minyak dan kadar tol lebuhraya.

Yang menariknya, kedua-dua pemerintahan itu memang memulakan zaman masing-masing dengan sikap yang agak liberal dan toleran terhadap suasana kebebasan akhbar, khususnya, dan kebebasan bersuara, umumnya. Oleh yang demikian, harapan para pejuang kebebasan media di negara ini akan memuncak pada awal sesuatu zaman pemerintahan baru itu dan mulai merosot kemudiannya -- dan akhirnya akan mulai berasa seperti dipijak-pijak dan lemas ditenggelamkan.

Apakah yang menyebabkan berlakunya perkembangan yang demikian itu? Pada hemat saya, pada tahap awalnya sesuatu pemerintahan itu berasa cukup popular dan dengan yang demikian berasa cukup yakin dan selamat. Namun demikian, bila faksi-faksi mulai terbentuk untuk berebut kuasa dalam parti pemerintah, khususnya Umno, maka pemerintahan baru itu semakin terdesak dan berasa perlu untuk membatasi – malah menghapuskan – kebebasan akhbar tersebut.

Tujuan pembatasan itu bukanlah sekadar untuk memelihara kepopularan kerajaan tetapi juga untuk menggilap citra faksi pihak yang berkuasa dalam rangka menghadapi cabaran faksi-faksi lain dalam parti pemerintah sendiri.

Keberkesanan pengaruh dan penguasaan sesebuah faksi terhadap media dalam rangka percaturan politik di negara ini memang telah lama disedari. Oleh kerana itulah, misalnya, sewaktu Anwar Ibrahim hendak dijatuhkan secara yang amat zalim pada zaman Mahathir dahulu, antara tindakan awal yang dilaksanakan ialah menyingkirkan beberapa wartawan kanan dari pelbagai penerbitan arus utama.

Pada waktu Anwar Ibrahim akan disingkirkan, pengaruh dirinya (atau faksinya) terhadap media di negara ini memang diketahui umum. Dalam masa yang singkat sahaja beberapa orang wartawan kanan yang dianggap sekutunya – seperti Johan Jaaffar di Utusan Melayu dan Nazri Abdullah di Berita Harian – telah disingkirkan daripada kedudukan mereka masing-masing. Dan beberapa pemindahan dilakukan – seperti masuknya Chamil Wariya ke TV3 untuk menguasai bahagian beritanya.

Dalam zaman pemerintahan Abdullah Badawi kini, proses penguasaan badan-badan media negara ini sebenarnya sudah agak lama juga dilakukan. Oleh yang demikian, sudah agak lama dapat dipastikan bahawa badan-badan seperti Utusan Melayu, New Straits Times, ISIS, Bernama dan sebagainya dikuasai oleh tokoh-tokoh baru dan lama yang setia bukan sahaja kepada kerajaan dan Umno tetapi, yang lebih penting lagi, rapat hubungannya dengan Abdullah dan faksi Abdullah dalam Umno.

Sekarang, amatlah menarik untuk dikaji pola jaringan antara beberapa tokoh seperti Jawhar Hassan (Ketua Eksekutif ISIS dan Pengerusi NST), Anwar Zaini (Pengerusi Bernama), Kalimullah Hassan (bekas Ketua Pengarang Kumpulan dan Timbalan Pengerusi NST) – dan dikaji pula corak hubungan mereka ini dengan Abdullah sendiri maupun dengan beberapa anggota “kanan” faksi Abdullah dalam Umno, seperti Khairy Jamaluddin, dalam pelbagai jenis hubungan yang bersifat politik maupun korporat.

Sebuah kerajaan yang mempunyai hubungan yang demikian bentuknya dengan pihak media tentulah tidak akan berasa ragu untuk menggunakan, malah memperalatkan, media itu untuk kepentingan memelihara citra atau imejnya di mata rakyat.

Kerajaan ini bernasib baik kerana sewaktu serangan kritikan yang datang daripada faksi-faksi yang tidak memihak kepadanya mulai tercetus – melalui suara-suara yang dilaungkan oleh bekas PM Mahathir – faksi Abdullah sudah bersedia dengan media terpasung yang memihak kepadanya. Serangan dan kritikan itu bukan sekadar dapat digelapkan, malah serangan balasnya cukup seru dan ganas dapat dilancarkan, memperalatkan segala media di negara ini, baik cetak maupun elektronik.

Syukurlah Mahathir sendiri mulai sedar betapa peritnya dan sakitnya rasa tertindas hidup dengan keinginan bersuara di bawah sebuah sistem pemerintahan yang mengamalkan penyaringan (censorship) media!

Pada hemat saya, penguasaan media ini lebih-lebih lagi penting diamalkan dan dilaksanakan jika sesebuah pemerintahan itu, seperti pemerintahan Abdullah kini, tidak mempunyai kekuatan intelek atau daya cendekia untuk memikirkan dasar-dasar yang konkrit lagi substantif, tetapi sekadar memanipulasi pandangan dan sikap umum terhadap dasar-dasar sama dan lama yang hendak diteruskan.

Dalam analisis politik semasa, pendekatan memutarbelit pandangan umum ini disebut pendekatan spin – yakni berasaskan kegiatan “menganyam” atau memutarbelit. Orang-orang yang merancang “spin” bagi pihak kerajaan biasanya disebut spin doctors. Mereka ini biasanya datang dari kalangan pengamal media, perhubungan awam, pengiklanan maupun badan-badan tangki pemikiran (think tank) seperti ISIS Malaysia.

Pemerintah atau kerajaan yang agak lemah daya cendekianya untuk menggubal atau mencipta dasar tulen yang memanfaatkan rakyat biasanya memerlukan kegiatan spin untuk memperlihatkan dasar lama yang bobrok yang mereka teruskan itu dalam citranya yang kelihatan segar dan baru. Demikianlah, misalnya, yang berlaku kepada pemerintahan Bush di Amerika Syarikat yang terlibat dalam mempromosi dasar “memerangi keganasan” yang amat tidak diyakini di seluruh dunia itu.

Untuk membantunya dalam kerja-kerja spinnya itu, Bush semakin jelas terpaksa menghancurkan dan menodai tradisi dan budaya kebebasan akhbar yang telah sedia wujud di negaranya sendiri. Berbanding Bush, kerja yang terpaksa dilakukan Abdullah untuk memasung media di negara ini jauh lebih mudah. Abdullah hanya perlu meneruskan sahaja tradisi media terpasung yang telah sedia dibina dan dimantapkan Mahathir sebelum ini.

Bagi saya, usaha menganalisis dasar-dasar pemerintahan Abdullah pasca-Mahathir adalah usaha sia-sia, kerana dasar-dasar itu sebenarnya tidak wujud. Yang ada hanyalah penerusan dasar-dasar lama Mahathir – dengan para pelaku yang baru. Yang ada hanyalah kegiatan spin untuk mengelirukan pandangan kita, untuk memaparkan dasar-dasar lama itu di bawah kilauan cahaya baru.


4

Pilihanraya akan menjelang?

Sesiapa yang biasa dengan karya-karya hikayat Melayu lama tentulah sudah biasa dengan suatu formula yang sering digunakan bagi menghuraikan tanda-tanda hari akan siang. Dengan mengulang-ulang huraian tentang tingkah laku pelbagai watak (termasuklah haiwan) karya hikayat dapat meyakinkan para pembacanya tentang fenomena menjelangnya waktu siang.

Para penganalisis politik kini tampaknya menggunakan pendekatan yang sama bagi membuat spekulasi tentang menjelangnya pilihanraya di negara ini. Kenyataan-kenyataan yang diutarakan para pemimpin kerajaan tentang keadaan negara yang “bertambah baik” (khususnya ekonomi) merupakan antara pertanda yang penting tentang pilihanraya yang akan menjelang (samalah seperti pertanda “orang tua beralih tidur” dalam hikayat lama).

Tanda-tanda itu tampaknya dibaca juga oleh para ahli politik pembangkang. Jika kebetulan sesebuah parti pembangkang itu akan mengadakan perhimpunan tahunannya (dan beserta dengan pemilihan pemimpinnya) pada waktu yang sama (seperti Parti Keadilan Rakyat kini), maka spekulasi pilihanraya itu akan mempengaruhi percaturan politik dalaman parti pembangkang itu sendiri.

Dalam keadaan yang demikian, persaingan di kalangan para pemimpin parti pembangkang itu akan menjadi lebih seru berbanding keadaan biasanya. Ada kemungkinan bahawa setiap jawatan akan diperebutkan, dan ditandingi dengan kempen yang luarbiasa pula hebatnya. Agenda peribadi para ahli politik akan menjadi lebih menonjol daripada ideologi dan perjuangan parti.

Percaturan politik luarbiasa yang disebabkan oleh spekulasi tentang tarikh pilihanraya ini sebenarnya merupakan kesan salah satu tradisi jelek sistem demokrasi Westminster yang kita warisi: tarikh pilihanraya ditentukan oleh pihak yang memerintah. Oleh itu, pilihanraya akan diadakan pada bila-bila masa yang sesuai bagi pihak yang berkuasa – dan dengan itu tarikhnya menjadi bahan spekulasi dan ramalan berasaskan tafsiran tingkah laku dan tindak tanduk pihak yang memerintah.

Keadaan ini berbeza misalnya daripada apa yang berlaku dalam sistem AS: semua pilihanraya – baik pilihanraya presiden, gabenor (negeri), senate, dewan perwakilan maupun pilihanraya tempatan – akan diadakan menurut jadual yang telah ditetapkan. Oleh itu tarikh-tarikh pilihanraya di AS tidaklah begitu berkemungkinan dijadikan bahan spekulasi dan manipulasi seperti yang berlaku di sini.

Dalam sistem demokrasi yang “illiberal” seperti yang terdapat di Malaysia (dengan Suruhanjaya Pilihanrayanya yang tidak bebas dan menjadi alat pihak yang memerintah sepenuhnya), bukan sekadar tarikh pilihanraya sahaja yang dimanipulasi demi kepentingan pihak yang memerintah. Malah setiap aspek pilihanraya akan dimanipulasi sedemikian rupa oleh pihak pemerintah – dari senarai pemilih yang tidak boleh dipercayai, kepada penggunaan pengundi hantu, pembelian undi, ugutan terhadap para pengundi, hinggalah kepada penggunaan media dan jentera kerajaan secara yang berat sebelah lagi tidak adil.

Boikot pilihanraya mungkin boleh diadakan, namun bagi para ahli politik (baik kerajaan maupun pembangkang) yang amat cintakan kuasa, apakah alternatif demokratisnya? Maka tidaklah menghairankan jika boikot pilihanraya yang telah dilaksanakan baru-baru ini tidak mendatangkan kesan yang sepenuhnya sebagaimana yang diharapkan.

Sejak beberapa minggu terakhir ini spekulasi tentang tarikh pilihanraya umum yang akan datang telah menjadi agak kencang di negara ini. Meskipun menurut jadualnya pilihanraya umum itu boleh diadakan tahun depan (2008), namun banyak pihak yang meramalkan kemungkinan pilihanraya itu diawalkan ke tahun ini. Malah ada pihak yang ramalannya lebih spesifik lagi – yakni bulan Ogos 2007.

Apakah asas bagi ramalan yang demikian itu? Pada umumnya asas ramalan itu ialah “kejayaan” Abdullah Badawi mententeramkan keadaan volatile percaturan politik dalam parti politiknya sendiri, yakni Umno. Kemungkinan pimpinannya sendiri dicabar telah dapat dihindarkan dengan menggunakan teknik menangguhnya pemilihan kepimpinan parti selama 18 bulan – suatu teknik yang telah dipelajarinya dari bekas PM Mahathir Mohamad.

Keresahan di kalangan para pemimpin biasa Umno telah coba ditenteramkan dengan pelbagai macam janji tentang kontrak dan penyegeraan pelaksanaan projek (termasuk pembayarannya) dari dana RMK9. Jika keresahan para kontraktor Umno itu kelak masih gagal juga ditenangkan, maka akan dipersalahkanlah para pegawai kerajaan yang sering ditegur tatakerjanya oleh PM sejak akhir-akhir ini.

Anwar Ibrahim sendiri, yang begitu banyak pengalamannya dalam merancang dan melaksanakan pilihanraya untuk BN dan Umno, telah membaca tanda-tanda yang ada sebagai isyarat kemungkinan pilihanraya umum akan diadakan lebih awal. Dalam hal ini, pada hemat saya, kita tidak sekadar perlu mempercayai “pengalaman” Anwar Ibrahim tetapi juga mengesan gerak firasatnya. Maklumlah, mempercepat pilihanraya, atau mengadakannya menurut jadual, mempunyai kesan langsung tentang kemungkinan Anwar bertanding sebagai calon – sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Mahkamah yang telah membebaskannya.

Namun demikian, masalah utama yang masih dihadapi oleh pemerintahan Abdulah Badawi ialah isu kredibilitinya sendiri dan isu keyakinan rakyat maupun para pelabur terhadap kemampuannya mentadbir negara. Kritikan keras Mahathir terhadap pemerintahan Abdullah, khususnya julukan yang diberikan Mahathir terhadap kerajaan itu sebagai kerajaan “setengah enam” (half past six) ternyata telah mendatangkan mudarat kredibiliti yang mendalam.

Sementara itu, masalah yang dihadapi rakyat dalam kehidupan sehari-hari tampaknya tidak juga dapat diselesaikan secara tuntas lagi meyakinkan. Kenaikan harga bahan bakar dan peningkatan tol lebuhraya – diikuti dengan kenaikan harga barang-barang keperluan dan inflasi secara umumnya tanpa peningkatan pendapatan yang sewajarnya – mendapat bantahan yang berterusan daripada para peniaga dan rakyat umum, sehingga keganasan polis dan undang-undang yang menindas seperti OSA perlu dimanfaatkan.

Kerajaan ini memang lebih terkenal kerana amalan “spin” daripada pelaksanaan dasar mantap yang sebenarnya (“more spin than deed”). Namun hasil spin itu juga kurang menyakinkan, tambahan pula kerana para pawang spin (spin doctors) itu selalu sahaja dicabar kredibilitinya oleh para pengamal kewartawanan IT jenis baru, seperti para penulis blog – sehingga Mahkamah terpaksa digunakan untuk membatasi suara mereka.

Dalam keadaan kredibiliti kerajaan yang tidak begitu teguh, kemarahan rakyat yang tidak dapat diredakan, putar belit spin yang tidak begitu menjadi, permainan politik perkauman yang malah lebih mengeruhkan suasana, maka apakah lagi yang dapat diharapkan kerajaan bagi menghadapi pilihanraya yang akan datang? Tambahan pula, terdapat kini petanda yang menggerunkan daripada beberapa tinjauan (survey dan poll) bahawa golongan rakyat tertentu – khususnya para pengundi Cina – lebih cenderung kini untuk mengundi pihak pembangkang.

Agak mujur bagi kerajaan kerana sejak beberapa minggu terakhir ini terdapat pelbagai petunjuk ekonomi yang dapat digunakannya untuk membuktikan bahawa negara kini sedang mengalami kebangkitan ekonomi dan perdagangan yang menggalakkan. Namun keyakinan umum terhadap dakwaan itu tampaknya agak dingin, sehingga pada 22 Feruari lalu PM Abdullah Badawi sendiri terpaksa menekankan kepada para wartawan bahawa peningkatan ekonomi itu adalah real dan bukan diada-adakan demi menarik keyakinan pelabur maupun untuk memungkinkan pilihanraya diadakan lebih awal.

Dakwaan tentang meningkatnya nilai Ringgit berbanding Dolar AS sebagai petanda tentang semakin teguhnya ekonomi kita dalam konteks perdagangan antarabangsa tampaknya tidak begitu diyakini banyak pihak. Dakwaan itu malah ditolak oleh pelbagai pihak yang menganggapnya semata-mata sebagai petanda lemahnya Dolar AS – bukan sebagai petanda teguhnya Ringgit.

Pengumuman yang dibuat Rafidah Aziz tentang pencapaian dan peningkatan luarbiasa nilai pelaburan tempatan dan asing ke negara ini tahun lalu telah ditolak oleh pelbagai pihak sebagai kesan masalah teknik merekodkan pelaburan itu. Data kementerian Rafidah dikatakan hanya merekodkan permohonan untuk melabur dan bukannya pelaburan yang sebenarnya telah dibawa masuk dan dilaksanakan.

Ada para penganalisis perdagangan antarabangsa yang menyatakan bahawa pada waktu ini terdapat banyak “wang panas” yang bersumber dari Jepun dan Eropah yang sedang mencari tempat untuk berlabuh. Dan Malaysia menjadi “pilihan” kerana beberapa tempat berlabuh lain yang menarik (seperti Indonesia) sejak akhir ini mengalami pelbagai keadaan yang menjadikannya kurang stabil (misalnya dilanda bencana alam yang kerap).

Masih ingatkah situasi mewah dan ekonomi ajaib yang terjadi kerana beredarnya wang panas yang demikian sebelum ekonomi beberapa negara Asia, termasuk kita, merudum pada tahun 1997?

Dakwaan serta petunjuk tentang peningkatan harga saham di bursa saham kita juga sebenarnya tidaklah begitu meyakinkan banyak pihak. Selain peningkatan harga saham itu terbatas hanya kepada kira-kira 30 kaunter utama sahaja, terdapat pula rekod tentang bursa saham kita yang sudah biasa menjadi mangsa manipulasi pihak kerajaan untuk kepentingan politiknya.

“Kebangkitan” ekonomi dan perdagangan ini sejak akhir-akhir memang terlalu sering diheboh-hebohkan oleh para pemimpin politik kita – termasuklah oleh Ketua Menteri Melaka, Mohd Ali Rustam, dalam ucapan perasmian majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Kebangsaan di Melaka baru-baru ini. Maka tidaklah mustahil situasi ini memang ingin dimanfaatkan kerajaan untuk melahirkan suasana “feel good” untuk memungkinkannya mengumumkan pilihanraya lebih awal.

Namun, pada hemat saya, segalanya akan bergantung kepada sejauh mana petunjuk-petunjuk ekonomi ini dapat diterjemahkan menjadi unsur “real economy” yang benar-benar akan mendatangkan manfaat kepada rakyat dan benar-benar dapat dilihat mengubah pola kehidupan mereka sehari-hari.

Jika ini berlaku, walaupun sekadar pada luarannya sahaja, maka bolehlah kita mengharapkan pilihanraya awal akan terjadi. Jika tidak, semua petunjuk itu akan menjadi bahan mentah yang sekali lagi gagal dipintal dengan baik lagi meyakinkan oleh para pawang spin Abdullah – dan ada kemungkinan bahawa pilihanraya akan berlangsung menurut jadual, dengan segala bahaya yang mungkin akan dihadapi kerajaan Abdullah.