Monday

REJIM YANG ZALIM MESTI DITUKAR!

Dunia Arab bergolak. Dari Tunisia ke Mesir dan biarlah ia menjalar ke seluruh pelusuk daerah yang dikuasai oleh rejim yang zalim; yang menghina agama, menghisap darah rakyat, memundurkan negara, memerintah untuk kepentingan kroni dan keluarga, mengaut kekayaan peribadi sedangkan rakyat dalam kemiskinan. Memang sepatutnya telah lama ia bergolak. Persis seperti kata ‘Ali bin Abi Talib r.a:

“Sesungguhnya binasanya manusia terdahulu kerana mereka menghalang kebenaran sehingga ianya dibeli. Mereka membentangkan kezaliman sehingga ianya ditebus”. (Ibn Muflih, Al-Adab al-Syar‘iyyah, 1/201, Beirut: Muassasah al-Risalah).

Rakus

Dunia Islam adalah dunia yang kaya. Kedudukan negara-negara umat Islam amat strategik. Malangnya, ramai para penguasa yang zalim dan korupsi menguasai politik. Lihatlah Tunisia, walaupun majoriti penduduknya muslim tetapi pemimpinnya di samping zalim dan khianat, mempersendakan agama; memperlekehkan puasa Ramadan, mengharamkan tudung kepala (hijab) ke atas wanita dan pelbagai lagi.

tunisia_first_lady_leila_ben_ali.jpg

First Lady Tunisia - Leila Ben Ali

Isteri Ben Ali bekas Presiden Tunisia yang diusir oleh rakyatnya bernama Leila al-Tarabulusi yang dulu ‘First Lady Tunisia’, dilaporkan oleh media Perancis membawa lari emas Tunisia ke Dubai seberat 1.5 tan. Semasa berkuasa, beliau atas nama suami bermewahan dengan harta negara. Padah perbuatan suami, ditambah dengan sikap ‘berlebihan’ isteri dan keluarga.

Lihatlah Mesir, jika pemimpinnya amanah betapa besar kekayaan yang dapat dikaut dari hasil Suez Canal atau Terusan Suez yang menghubungkan antara Laut Mediterranean dengan Laut Merah. Tax dari terusan tersebut jika diuruskan dengan betul menjadi sumber yang amat besar untuk negara itu. Bahkan dikatakan mampu membiayai setiap warga Mesir.

Mesir ada gas. Mubarak salurkannya kepada negara haram Israel. Israel membeli gas Mesir lebih murah dari rakyat Mesir sendiri. Sungai Nil yang subur tidak diusahakan secara bersungguh oleh Kerajaan Mesir, bahkan mereka masih mengimport makanan dari luar. Rakyat Mesir ramai yang hidup dalam kemiskinan. Dilaporkan lebih 42 peratus dari 81 juta lebih rakyat Mesir berada di bawah paras kemiskinan. Jutaan rakyat hidup tanpa rumah dan makan. Peranan Mubarak hanyalah menjaga kepentingan diri, kroni, Israel dan Amerika!

Itu di Mesir, di sana masih ada lagi Syria, Yaman, Morocco dan lain-lain yang hampir sama keadaannya. Malang sekali, di bawah rejim-rejim yang berkuasa itu media dibisukan, fakta dibohongi dan rakyat diperbodohkan. Nyawa dan darah rakyat begitu murah. Mereka menyeksa dan membunuh pengkritik. Gambar rejim-rejim ini diangkat dan disanjung secara upah ataupun paksa. Rakyat hidup menderita dan kelaparan. Kekayaan dibahagi secara songsang. Harta setiap pemimpin dan keluarga mereka mencecah ratusan billion dolar, sedangkan pendapatan rakyat tidak sampai satu dolar pun sehari. Bahkan ada pendapatan yang tidak sampai seratus ringgit Malaysia sebulan.

Bohong

Para pemimpin yang selekeh dan tidak amanah menguasai kebanyakan Dunia Islam dan Arab. Mereka diagungkan oleh golongan yang berkepentingan dan disokong oleh segelintir rakyat yang diperbodohkan. Barat yang kononnya inginkan demokrasi disebarkan, namun mereka hipokrit dalam masalah Dunia Islam. Mereka membiarkan pemerintah kuku besi terus di tampuk kuasa selagi kepentingan mereka dijaga. Jiwa kapitalis Barat melebihi kehendak demokrasi mereka. Jadi, Dunia Islam bak kata Nabi s.a.w:

“Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh tipu daya. Ketika itu didustakan orang yang benar, dianggap benar orang yang dusta, dianggap khianat orang yang amanah, dianggap amanah orang yang khianat, dan bercakap ketika itu al-Ruwaibidoh. Para sahabat bertanya: “Siapakah al-Ruwaibidoh?” Sabda Nabi s.a.w.: Orang lekeh yang berbicara mengenai urusan awam (orang ramai).” (Diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad, al-Hakim dll. Al-Hakim menyatakan isnadnya sahih dan ini disetujui oleh Al-Zahabi).

Salah Sasaran

Malang sekali, ulama-ulama ‘pro rejim’ seperti Mufti Mesir yang hari ini sibuk menasihati rakyat agar jangan berdemonstrasi dan mengalu-alukan langkah Hosni Mubarak untuk proses pembaharuan, tidak pula selama ini membantah kerakusan kuasa yang berlaku. Pada hari pemerintah mengaut dan menghisap darah rakyat, mereka sibuk membahaskan isu-isu ketaatan rakyat kepada pemimpin dan tidak pula bertegas tentang kewajipan pemimpin menunaikan hak rakyat. Jika Hosni gagal membuat perubahan dalam masa 30 tahun memerintah, apakah mungkin dia boleh melakukannya dalam masa 7 bulan yang dijanjikan?! Jika mampu pun, bererti dia selama ini khianat kerana tidak melakukan pembaharuan itu dalam masa 30 tahun tiba-tiba hari ini dia menyatakan ia boleh dilakukan dalam masa 7 bulan!.

mubarak-image.jpg

Gambar Hiasan

Hari ini golongan agamawan khususnya dari aliran ‘salafi’ sibuk membahaskan tentang demokrasi dan demonstrasi bukan dari ajaran Islam. Bagi saya itu adalah persoalan persepsi bagaimana kita memahami demokrasi dan dalam konteks apa demokrasi itu dilihat. Kita patut bertanya mereka apakah pemerintahan otokrasi atau kukuh besi itu dari ajaran Islam? Apakah membiarkan pemerintah menghisap darah rakyat tanpa membantah itu dibenarkan oleh Islam?

Persoalan falsafah dan konteks demokrasi dan demonstrasi memang patut dibincang dan dihalusi di sudut fekahnya. Namun adalah tidak adil apabila rakyat bercakap soal demokrasi dan demonstrasi lalu fatwa haram atau bid’ah dikeluarkan, sedangkan ketika pemerintah mengamalkan kuku besi, kezaliman, rasuah dan merompak hasil negara, golongan agama ini muncul dalam media untuk hanya mengingatkan rakyat tentang syurga dan neraka, tetapi tidak pula membaca nas-nas agama yang mengingati pemerintah bahawa kezaliman mereka adalah dosa yang amat besar dan neraka yang bakal menanti. Apakah agama hanya candu untuk rakyat bawahan supaya dapat melupakan kerakusan orang atasan?! Nabi s.a.w bersabda:

“Sesungguhnya selepasku ini akan adanya para pemimpin yang melakukan kezaliman dan pembohongan. Sesiapa masuk kepada mereka lalu membenarkan pembohongan mereka dan menolong kezaliman mereka maka dia bukan dariku dan aku bukan darinya dan dia tidak akan mendatangi telaga (di syurga). Sesiapa yang tidak membenar pembohongan mereka dan tidak menolongan kezaliman mereka, maka dia dari kalanganku dan aku dari kalangannya dan dia akan mendatangi telaga (di syurga)” (Riwayat Ahmad, al-Nasai dan Ibn Abi ‘Asim. Dinilai oleh al-Albani. (lihat: Ibn Abi ‘Asim, al-Sunnah, tahqiq: Al-Albani, hlm 337-339).

Mengapakah golongan pro-rejim tidak mengingatkan pemimpin mereka tentang hadis Nabi s.a.w: “Allah tidak lantik seseorang hamba itu menguasai sesuatu rakyat kemudian hamba itu mati dalam keadaan dia menipu rakyatnya, melainkan Allah haramkan untuknya syurga” (Riwayat Muslim).

Demonstrasi Aman

Ya, tiada siapa yang bersetuju dengan demonstrasi ganas. Rakyat diharapkan keluar ke jalan dengan aman sebagai tanda bantahan atas kezaliman rejim-rejim mereka. Ia salah satu dari menzahirkan bantahan terhadap kemungkaran. Dalam hadis seorang lelaki datang mengadu kepada kepada Rasulullah s.a.w, katanya:

“Sesungguhnya jiranku menyakitiku”. Sabda Nabi s.a.w: “Keluarkan baranganmu dan letakkannya di jalan”. Maka lelaki itu mengambil barangannya dan letak di jalan. Lalu, setiap orang yang melintas bertanya: “apa yang berlaku kepadamu?”. Dia menjawab: “Jiranku menyakitiku”. Maka mereka berkata: “Ya Allah laknatilah dia, Ya Allah hinalah dia”. Dengan sebab itu, jirannya berkata: “Kembalilah ke rumahmu, aku tidak akan sakitimu lagi”. (Riwayat al-Bazzar dan al-Hakim dalam al-Mustadrak. Ahmad Syakir menilainya sebagai sahih).

Demikian, Nabi mengajar bahawa kadang-kala cara menyelesaikan kezaliman dengan mendapat sokongan ramai di jalan. Bantahan orang ramai boleh menakutkan orang yang zalim. Jika sekadar kezaliman jiran kita boleh bertindak sedemikian, apatahlagi kezaliman rejim yang jauh lebih besar dan sukar disingkirkan. Pasti sokongan yang lebih besar dan bantahan di jalan yang lebih hebat diperlukan. Apa yang penting, penunjuk perasaan tidak boleh menumpahkan darah sesama umat Islam dan rakyat, juga tidak merosakkan harta awam dan mereka yang tidak bersalah.

Dunia Arab dan Islam mesti berubah. Eropah telah lama menyingkirkan pemimpin mereka yang korupsi dan kuku besi. Kadang-kala hak binatang yang dinikmati oleh Barat lebih baik dari hak manusia yang hidup di bawah rejim-rejim yang berkuasa di Dunia Arab dan Islam. Jatuh! Jatuh! Jatuhlah segala rejim!.

Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin


Dr Asri: Tidak mustahil kuasa rakyat berlaku di M'sia

Malaysiakini 13 Februari 2011

Bekas Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainol Abidin berkata tidak mustahil kuasa rakyat yang menumbangkan Presiden Hosni Mubarak di Mesir berlaku di Malaysia jika penduduk negara ini tidak tahan dengan kekangan dan penindasan.

asri jais record statment colum upacara telan air ludah ustaz 100410 pcTV Selangor memetik beliau berkata walaupun Malaysia jauh makmur berbanding Mesir, namun, rasa tidak puas hati rakyat boleh dicetuskan oleh aspek lain seperti kebebasan bersuara yang terhakis.

"Dari segi kemiskinan kita tak sama, Mesir ada 42 peratus rakyat di bawah taraf kemiskinan. Dari segi faktor yang menyumbang ruang seperti Internet, mungkin Malaysia lebih.

“Tapi ketidakpuasan hati rakyat itu berbeza mengikut negara. Negara miskin mungkin tak puas hati kerana tak ada makanan. Negara yang lebih 'educated' mungkin tak puas hati kerana tiada kebebasan menyuarakan pendapat," katanya.

egypt the day after mubarak overthrow celebration 1Justeru Asri berkata, mana-mana kerajaan termasuk di Malaysia terdedah kepada menghadapi kuasa rakyat di jalanan jika terlampau mengekang dan menindas penduduk khususnya bersabit hak asasi mereka.

Kuku besi

Asri berkata Mesir menjadi contoh bagaimana sebuah kerajaan kuku besi dijatuhkan semata-mata menerusi penduduk yang tidak menggunakan kekerasan, mereka hanya berbekal tekad dan iltizam untuk mengubah nasib mereka.

egypt the day after mubarak overthrow women celebrating 1"Kalau ada faktor-faktor tidak puas hati itu merebak ke dalam rakyat, saya rasa tak mustahil perkara yang sama boleh berlaku. Kerana kejadian perubahan di Mesir beri pengajaran kepada semua pemerintah bahawa perubahan boleh berlaku bukan dengan cara dulu tapi dengan cara baru, kuasa rakyat turun di jalan tanpa senjata, tanpa peluru dan hanya menzahirkan pendapat mereka," katanya.

azlanAsri menegaskan pengaruh Internet dan keluhan generasi muda tidak boleh diambil ringan dalam era globalisasi sebagaimana yang terbukti dalam kes Mesir.

"Bermula dari mereka dididik untuk meluahkan perasaan di facebook, di blog mereka, mereka luahkan di jalan raya. Tak perlu nak rosakkan harta awam, tetapi mereka turun demi kepentingan rakyat beramai-ramai. Tentera dilatih hadapi orang bersenjata tapi dilatih hadapi rakyat tak bersenjata. Jadi mereka terpinga-pinga di hadapan kuasa rakyat yang tak bersenjata," kata Asri.

egypt the day after mubarak overthrow crowd in square 1Lewat malam Jumaat lalu, kerajaan Mubarak tumbang apabila melancarkan tunjuk perasaan dan demonstrasi jalanan berterusan kerana hilang kepercayaan ke atas pentadbiran presiden itu yang didakwa dicemari rasuah dan salah guna wang rakyat .

Dengan menggunakan rangkaian media seperti Facebook dan Twitter, sentimen anti kerajaan menular dengan luas ke seluruh negara ibarat api yang merebak. Tindakan selama 18 hari itu berjaya menyaksikan Mubarak akhirnya tunduk dan meletakkan jawatan.