Wednesday

Mengimbau Memori

Kian ku amati coretan ini
Terasa semakin sayu hatiku
Mengimbau detik berlalu penuh sendu
Mencari pengertian sebuah kehidupan
Yang kini tinggal cuma nafas pendek
Kerana masa semakin suntuk di sini
Di ruang kehidupan fana yang makin tua

Makin ku fikir makin aku rasa tersingkir
Diusir demi sedikit dari celahan alam
Yang menjadi terasing dan terbelenggu
Oleh akal yang kian buntu dan kelabu
Kerana usia ku semakin luntur luluh
Kesan desiran angin songsang di ufuk maya
Yang menongkah nyawa membadai jiwa

Makin ku fikir makin aku rasa terusir
Di lorong kelam yang kujejak duluan
Yang begitu lama ku tinggalkan jejaknya
Dikala ku bertatih dulu semasa bayiku
Denai itulah titian berliku laluan ku ke sini
Dalam mencari arah, untuk membina diriku
Agar sejuk hati menyusupi dada ibu ayahku
Kerana zuriatnya sampai ke situ
Menjadi apa yang mereka mahu jadi padaku

Makin ku amati coretan ini
Makin ku sedar yang diri begitu jauh berlalu
Meninggalkan jauh jejak ku ke penjuru alam
Jejak yang kian sukar ku cari jalan kembali
Kerana aku di sini adalah aku yang dulu
Aku yang anak ibu, anak bapaku yang bagai dulu
Anak yang tetap baik dan tetap mulia hati
Kerana itulah asuhan ayah ibu ku
Walau ke laut ke hutan dan ke langit manapun
Aku tetap aku, anak yang terdidik iman terasuh akhlak

Makin ku amati coretan ini
Ku tersedar kembali betapa mulia ibuku mulia ayahku
Membentuk diri anaknya menjadi aku yang begini
Aku yang tidak lupa usulku tidak lupa Maha Esa
Pada usia sedikit ini ku bersyukur amat
Kerana lahirku dari zuriat ayah ibuku
Melangkah dan berlari sekejap di dada bumi
Bukan sebagai manusia lupa serta alpa

Makin ku amati coretan ini
Aku jadi begitu sayu dan sendu meratap memori
Kerana tiada lagi senyum ayahku terukir di situ
Ketika ku sampai ke muka pintu menjengah waktu
Menatap dan mencium tangan ayah ibuku
Pada setiap kali hadirku menemui syurga hatiku
Kini doaku menyusuri dinihari ke pusara ayahku
Semoga Allah menempatkan rohnya di sisi auliya
Semoga Allah memberi ibuku bahagia ke hujung hayat.

Makin ku amati coretan ini
Aku sebenarnya insan kerdil yang berdiri di tengah alam
Melangkah ke kiri dan ke kanan mencari ke taqwaan
Buat bekalan untuk ku bawa ke sana mengadap Ilahi
Andainya usiaku semakin sedikit di sini, biarlah…….
Itulah takdir ku setakat di situ
Semoga segalanya bermula dan berakhir di sini
Kerana aku tetap aku yang dulu
Masih seorang anak yang jiwanya tetap begitu
Meletakkan Maha Esa di atas segalanya
Membina Taqwa membentuk keikhlasan.