Thursday

Pandangan Islam Terhadap Perbuatan Mendedahkan Aib Orang Lain

Islam memandang berat perbuatan mendedahkan keaiban orang lain dan ini termasuk di dalam perkara mazmumah (keji) dan sangat dipandang berat. Islam juga melarang umatnya mencari keaiban orang lain dan mendedahkannya sesuka hati.

Allah berfirman yang bermaksud:

"Sesungguhnya orang yang suka menghebahkan tuduhan buruk di kalangan orang beriman, mereka akan beroleh azab seksaan yang tidak terperi sakitnya di dunia dan akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian)." (Surah al-Nur, ayat 19)

Sifat dan dasar Islam ini haruslah difahami. Oleh itu adalah dikehendaki setiap orang menyimpan rahsia atau menutup keaiban saudaranya. Lebih-lebih lagi jika rahsia atau aib hanya semata-mata prasangka atau tuduhan buruk yang tidak berasas. Hal ini dikhuatiri akan menimbulkan fitnah dan perselisihan yang mengakibatkan oleh orang yang terfitnah mengalami kesengsaraan perasaan dan jiwa serta masyarakat pula memandang serong.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang menutup keaiban seseorang Muslim, nescaya Allah akan menutup keaibannya di dunia dan akhirat kelak." (Hadis riwayat Muslim)

Untuk menerangkan isu dan perkara ini, lebih-lebih lagi dalam politik semasa mengenai pendedahan maklumat pendapat Ibn Hajar dalam Kitab Fath al-Mubin membahagikan manusia kepada dua golongan boleh dirujuk sebagai panduan terrutama kepada penulis-penulis internet dan blogger.

Pertama ialah orang yang tidak pernah disebut melakukan kejahatan atau kemungkaran; jika terdengar atau diketahui bahawa mereka melakukan sesuatu kemungkaran, maka tidaklah harus didedahkan atau diperkatakan.

Jika tetap diperkatakan atau didedahkan juga kemungkaran yang didengari itu, maka ia menjadi umpat yang hukumnya haram dan amat berat dosanya.

Kedua, orang yang sudah terkenal dengan kejahatan atau kemungkarannya secara terang-terangan, malahan tidak mempedulikan sebarang nasihat diberikan dan tidak malu melakukan kejahatan secara terbuka; harus didedahkan keaibannya. Mendedah dan bercakap mengenai kejahatan mereka dalam situasi ini tidak lagi dianggap mengumpat.

Malah ada kalanya wajib didedahkan kejahatannya kepada orang ramai, supaya mereka sentiasa berwaspada dengan tingkah lakunya kerana jika didiamkan tentulah ia bermaharajalela dan kejahatannya semakin hari akan bertambah sehingga membahayakan masyarakat.

Menurut sesetengah ulama pula, adalah sunat merahsiakan keaiban manusia dalam empat perkara iaitu keaiban berkaitan hak Allah, keaiban lampau yang tidak diketahui orang, keaiban orang yang berkedudukan dalam masyarakat dan keaiban dilakukan untuk melindungi kepentingan anak yatim.

Abu al-Haisam pegawai kepada Uqbah bin Amir (salah seorang sahabat Nabi SAW) berkata: "Saya pernah berkata kepada Uqbah bahawa saya mempunyai jiran yang suka minum arak, dan saya akan melaporkannya kepada pihak berkuasa supaya mereka datang menangkapnya. Lantas Uqbah berkata: Jangan! Tetapi nasihatilah mereka itu. Abu al-Haisam menjawab: Saya sudah melarang tetapi mereka masih berbuat demikian. Justeru, saya tetap akan melaporkannya kepada pihak berkuasa. Uqabah berkata lagi: Jangan! Sebab saya pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang menutupi suatu keaiban, maka ia seolah-olah menghidupkan anak yang ditanam hidup-hidup dalam kuburnya." (Hadis riwayat Abu Daud, Nasa'i dan Ibn Hibban)

Semua orang tetap ada keaibannya tertentu, sama ada kecil atau besar keaibannya tentu ia tidak suka diketahui orang. Apatah lagi jika ada orang yang sengaja mencari keaiban dan seterusnya menyebarkannya ke sana-sini, tentulah ia akan marah. Lebih buruk lagi jika ia membawa kepada perselisihan dan pergaduhan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya jika kamu mencari-cari keaiban orang lain, bererti kamu telah merosakkan mereka atau setidak-tidaknya hampir merosakkan mereka itu." (Hadis riwayat Abu Daud dan Ibn Hibban)

Sebenarnya hal ini bertentangan dengan dasar Islam yang menganjurkan umatnya supaya saling berkasih sayang, hormat-menghormati, bantu-membantu dan tidak benci-membenci antara satu sama lain.

Bagi orang yang suka menyebarkan keaiban orang lain, seharusnya berfikir sejenak bahawa dirinya juga tidak sepi daripada aib dan cacat. Jika ia tidak suka keaibannya dicari dan didedahkan, maka mengapa pula ia sanggup mencari dan mendedahkan keaiban orang lain. Tidakkah ia bimbang suatu hari nanti orang lain pula akan mencari dan mendedahkan keaibannya.

Rasulullah SAW menilai bahawa mencari keaiban orang lain itu termasuk dalam perbuatan orang munafik yang menyatakan beriman dengan lidah tetapi hatinya membenci. Kelak mereka akan dibebani dosa yang berat di hadapan Allah.

Diriwayatkan daripada Ibn Umar bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Wahai orang yang sudah menyatakan beriman dengan lidahnya, tetapi iman itu belum sampai ke dalam hatinya! Janganlah kamu menyakiti orang Islam dan janganlah pula mencari keaiban mereka. Sebab sesiapa yang mencari keaiban saudaranya, nescaya Allah akan mencari pula keaibannya. Sesiapa yang dicari keaibannya oleh Allah, maka Dia akan mendedahkannya, meskipun ia berada dalam perjalanan yang jauh." (Hadis riwayat al-Tirmizi dan Ibn Majah)

No comments:

Post a Comment