Saturday

Ulama Umno bakar kapal

Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Saya bukan orang politik. Bukan aktivis mana-mana parti. Saya seorang rakyat yang memerhati perkembangan pemikiran Islam dalam negara ini.

Artikel ini akan menyebut istilah ulama Umno atau ulama pro-Umno. Walaupun istilah ini umum, namun saya mengecualikan mereka yang ikhlas dan tidak bersikap seperti yang disebutkan nanti.

Saya tidak faham mengapakah Umno kebelakangan ini suka berkeras mengambil pandangan-pandangan agama yang bersifat perkauman dan amat konservatif.

Dulu mereka lebelkan PAS demikian. Namun hari ini apabila PAS mula membuka ufuknya, melihat Islam dalam kerangka yang lebih luas, Umno pula yang cuba kembali ke zaman ortodoks tersebut.

Ya, memang masih ada dalam PAS sendiri kelompok yang 'ala ulama Umno' hari ini, yang juga mengurung diri dengan pandangan-pandangan yang agak konservatif dan menolak keluasan ijtihad.

Namun suara pembaharuan dan keterbukaan jelas kedengaran dalam PAS. Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat tidak lagi bersendirian dengan pandangan-pandangan pembaharuannya.

Pelik, sebagai pemerintah mengapa Umno menerima pandangan-pandangan yang sempit itu. Padahal pandangan-pandangan itu hanyalah tafsiran 'kurang luas' golongan konservatif agama, atau satu ijtihad yang boleh untuk dilihat atau dibandingkan dengan ijtihad yang lain.

Apakah kerana Umno merasakan bahawa mereka hanya mampu bernafas dalam iklim yang kurang 'oksigen keluasan ijtihad' atau hanya gas perkauman dan fahaman 'sempit' agama sahaja yang mampu menghidupkan Umno.

Keserasian wajah 1Malaysia

Atau, apakah ulama-ulama pro-Umno hanya mampu bernafas selagi parti itu dikurangkan oksigen keluasan berfikir? Atau, apakah Umno melihat rupa paras Islam dalamnya hanya mampu dilihat jika ia bersifat keras dan sokongan Melayu pun akan datang kepadanya dengan membakar isu-isu tersebut?

Di
manakah keserasian wajah 1 Malaysia Perdana Menteri dengan pendekatan Islam Umno hari ini?

Sebagai pemerintah bagi sebuah negara yang berbilang bangsa dan agama, oksigen keluasan ijtihad diperlukan oleh Umno. Mengapakah Umno menerima pendapat-pendapat yang menajamkan salah faham terhadap Islam di negara ini.

Dulu Umno menolak pihak yang membangkitkan tuduhan 300 ribu orang Melayu murtad serta menuduh individu dan institusi itu dan ini sebagai pusat Kristian.

Hari ini pendapat pihak seperti tersebut diterima pakai. Bahkan beliau dijadikan perlambangan ulama pro-Umno. Atau memang Umno kini berminat dengan perdekatan yang sifatkan media antarabangsa sebagai 'ala-ala Taliban'?

Segala tudingan Umno dahulu kepada PAS sebagai pembawa Islam sempit dan jumud, hari ini PAS hampir dapat membebaskan diri dan imejnya seumpama itu sedangkan sebaliknya Umno pula yang memakai seragam kejumudan dan kesempitan tersebut.

Peguam bukan Islam

Lihat, isu peguam bukan Islam di Mahkamah Syariah. Media-media Umno membesar-besarkan isu ini seakan ia akan memusnah orang Islam.

Diambil pendapat pihak yang menyatakan bahawa itu akan mengelirukan umat Islam dan mengancam Islam. Saya ditanya oleh Utusan Malaysia, namun apabila saya beri pendapat yang berbeza, ia tidak disiarkan.

Isu itu boleh memberikan gambaran salah kepada bukan Islam, dan juga generasi baru Muslim mengenai Islam.

Bagaimanakah mungkin, universiti rasmi kerajaan UIAM memberikan sijil yang sah dalam bidang tersebut kepada peguam berkenaan, tetapi kerajaan yang sama menyatakan ia tidak boleh digunapakai?

Apakah ini secocok dengan keadilan Islam?

Kedua, bayangkan dalam sebuah negara Islam sepenuhnya yang hanya bertunjangkan Mahkamah Ssyariah, tiba-tiba kita beritahu bukan Islam tidak boleh menjadi peguam!

Apakah dalam negara yang berbilang agama ini, mereka akan pandang tinggi tentang konsep keadilan di mahkamah yang bersifat Islam seperti itu?

Peguam ialah pembela. Sesiapa sahaja boleh membela tertuduh di mahkamah Islam. Yahudi pernah menang kes menentang Saidina 'Ali dalam pertikaian baju besi.

Pada zaman Nabi SAW dan al-Khulafa al-Rasyidin, tiada sistem guaman secara rasmi. Seseorang boleh menuntut keadilan dengan hujah-hujahnya di hadapan hakim. Untuk membela atau berhujah, sesiapa pun boleh berhujah.

Penentunya, sistem kehakiman itu sendiri, bukan peguam. Di zaman kini lebih jelas. Undang-undang telah dienakmenkan. Ia bertulis dan setiap pihak terikat dengan undang-undang bertulis itu.

Sesiapa sahaja yang berhujah, sama ada Islam atau bukan Islam, mereka terikat dengan hal tersebut. Hakim akan menentukannya secara adil. Keadilan sebenar dapat diperolehi jika hakim adil.

Setiap pihak berhak membela diri, dan berhak meminta sesiapa sahaja yang mampu membelanya. Keadilan itu buta warna kulit dan jenis agama.

Islam yang seperti itulah patut digambarkan jika kita ingin menuju kepada Islamisasi negara yang sebenar. Jika ada beberapa peruntukan undang-undang yang kurang sesuai dalam masyarakat yang rencam ini maka ia perlu diubah.

Cara Umno mengendalikan isu tersebut, mengelirukan bukan Islam!

Jika tidak mahu benarkan, mengapa dia diizinkan melalui pengajian dan menghabiskan masa untuk itu, kemudian dimaklumkan 'sijil awak tidak laku'.

Ulama pro-Umno bising. Menariknya, apabila ada orang yang ditahan tanpa diberikan hak perbicaraan, mereka diam! Tidakkah ini mengelirukan Islam dan bukan Islam?

Jika ini tidak diubah, Islam di negara ini terus menjadi defensive, takut pada bayang-bayang sendiri dan gagal memahamkan bukan Islam tentang keindahan Islam.

Lebih 50 tahun Umno memerintah, generasi baru bukan Islam bertambah prejudis dengan Islam yang dibawa oleh Umno. Golongan muda Islam juga demikian.

Agama dijadikan senjata permusuhan, bukan lagi rahmat yang menimbulkan kedamaian dan keyakinan rakyat kepada keindahan Islam.

Jika tanpa pendakwah-pendakwah dan tokoh-tokoh yang ikhlas menjelaskan tentang hakikat Islam sebenar, tentu bukan Islam bertambah prejudis kepada Islam.

Generasi Islam yang terpelajar juga akan mula mempersoalkan Islam seperti ini.

Isu kalimah Allah

Isu kalimah Allah juga demikian. Ulama pro-Umno, termasuk 'ala Umno' yang berada dalam PAS membakar rakyat awam dengan isu ini.

Sehingga ada ulama pro-Umno yang cuba mengkafirkan orang lain dalam isu nama Allah tersebut. Tidak cukup dengan 300 ribu yang dimurtadkan dulu, ditambah pula ahli politik yang cuba dijadikan murtad baru.

Semuanya kerana tafsiran yang sempit. Padahal, isu itu boleh diselesaikan dengan adil dan saksama. Diraikan hak agama lain dan dibuat beberapa peraturan untuk ketenteraman awam. Saya sendiri telah menggaris panduan dalam media. Bukan Islam ramai yang setuju.

Namun, ada yang cuba bermain sentimen rakyat yang kurang faham.

Media Umno pula hanya menerang pendapat sebelah pihak. Namun sekarang apabila melihat kekalahan di Sibu yang membabitkan penduduk Kristian, Umno mula gelisah. Apakah Umno akan meminta fatwa baru dari 'mufti' yang setia berkhidmat itu?

Isu masuk masjid

Isu bukan Islam tidak boleh masuk ke dalam masjid juga dipopularkan oleh media Umno. Padahal larangan bukan Islam masuk masjid hanya salah satu pendapat dalam kalangan ulama.

Ulama hadis ramai berpendapat sebaliknya. Ini disebabkan hadis-hadis menunjukkan bukan Islam pada zaman Nabi SAW masuk ke dalam masjid dan mempelajari Islam.

Jsuteru, di zaman kini yang banyak salahfaham terhadap Islam, mereka lebih patut dibenarkan masuk.

Cumanya, letakkan beberapa peraturan atas asas siyasah syar'iyyah (islamic administration). Namun, jika apabila dikemukakan pendapat bahawa bukan Islam boleh masuk ke masjid, bangkitlah ulama-ulama pro-Umno dengan fatwa-fatwa ketat dan seakan hendak berjihad mempertahankannya.

Malang sekali, apabila timbul isu judi bolasepak, tidak pula mereka berani lantang dan tegas. Tidakkah ini mengelirukan? Apa tidaknya, apabila bukan Islam hendak masuk masjid dihalang, tapi apabila diberikan keizinan berjudi didiamkan!

Isu Sebat

Isu sebat tiba-tiba muncul. Dulu Umno sensitif dengan hudud. Dalam persekitaran yang ada, saya juga fikir PAS tidak perlu menegaskan isu hudud. PAS sejak dulu patut angkat isu keadilan seperti mereka lakukan sekarang.

Keadilan itulah objektif. Hudud adalah mekanisma yang boleh diselaraskan apabila keadaan wajar.

Hukum yang baik untuk tempat yang sesuai. Sama seperti wanita yang baik untuk lelaki yang baik. Jika wanita yang baik dikahwinkan dengan lelaki yang jahat, kepincangan akan berlaku.

Demikianlah hudud. Saya telah beri pandangan dalam masalah ini.

Tapi kini, tidak semena-mena tanpa mukadimah yang jelas agar rakyat faham, Umno mencanangkan isu sebat Kartika dan tiga wanita di Wilayah Persekutuan.

Menurut laporan media, mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria kata sesiapa hina hukum sebat murtad kerana ia hukum Allah. Namun, apabila Sultan Pahang batalkan hukuman, beliau berkata itu hak Sultan.

Saya telah beri pandangan dalam kes ini, boleh rujuk laman web saya. Keajaiban ulama dalam media Umno!

Perarakan Maulid

Apabila Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat kata perarakan maulid bukan galakan agama, media Umno dan ulama pro-Umno membuat ulasan.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng diserang. Walaupun saya ketika itu menulis dalam Mingguan Malaysia, saya memberikan pandangan yang berbeza.

Artikel saya 'Melayu dan Mamak Penang' boleh dirujuk. Media Umno jadikan seakan isu itu benteng Melayu-Islam di Malaysia.

Di Kelantan, lebai entah dari mana datangnya, pun menulis di Mingguan Malaysia kononnya Nik Aziz - Wahabi disebabkan isu-isu seperti ini.

Bisinglah mereka. Malangnya, media dan ulama pro-Umno tidak pula bising keruntuhan moral muda-muda Melayu-Islam saban tahun disebabkan perhimpunan pesta sambutan tahun baru yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin politik!

Inilah ulama yang pro-Umno sekarang. Apakah mereka ini dapat menarik perhatian generasi baharu Islam dan bukan Islam kepada Islam?

Barah

Banyak lagi isu lain jika hendak disebutkan yang membabitkan ulama dalam Umno.

Saya bukan anti-Umno tetapi inilah realitinya. Saya ramai sahabat dalam Umno. Kepimpinan Umno bermula dari Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sehingga ke lapisan bawah, ramai yang baik dengan saya. Tapi ini realiti. Kritikan saya untuk semua. Kali ini khas untuk Umno.

1 Malaysia yang dicanangkan oleh Najib akan tenggelam dibakar oleh pemikiran sempit dan berkepentingan oleh sesetengah ulama Umno ini.

Malang sekali, di kala rakyat Malaysia mula bersikap terbuka, memahami Islam dari kerangkanya yang luas, menelaah ijtihad yang berbagai dan bersedia untuk berhujah secara matang, Umno memilih fatwa atau pandangan yang kian sempit dan berkepentingan.

Dunia sudah terbuka disebabkan media baru, Umno cuba kembali ke zaman selepas kemerdekaan.

PAS yang dahulunya dilihat kolot, mula dipenuhi dengan tokoh-tokoh politik Islam yang kian matang dan mampu mengadaptasi Islam dalam lakarannya yang luas. Pada masa yang sama Umno sedang kerumuni oleh sesetengah mereka yang 'narrow-minded' dan melihat Islam dalam kerangka perkauman.

Bolehkah 1 Malaysia tajaan Perdana Menteri berjaya jika ini terus berlaku. Generasi muda Islam dan bukan Islam telah jauh ke hadapan meninggalkan kesempitan ini. Islam dalam kerangkanya yang lebih universal akan mengambil tempat.

Ulama Umno sebenarnya sedang membakar kapal sendiri dan menenggelamkannya. Perdana Menteri, patut menilai semula agenda 1 Malaysia!

Penulis adalah pensyarah Bahagian Pengajian Islam, Universiti Sains Malaysia sebelum dilantik menjadi mufti Perlis bermula 1 Nov 2006 – 30 Nov 2008. Beliau mendapat ijazah Ph.D dalam Islamic Revealed Knowledge And Haritage (Al-Quran And Sunnah Studies), UIA (2003) dan lulusan Ijazah Hadith dengan mendapat 5 ijazah sanad menerusi jalur ulama India (2001).

Beliau telah menghasilkan tidak kurang 20 buku, khususnya berkaitana dengan keagamaan dan membentangkan lebih 40 kertas kerja di peringkat tempatan mahupun luar negara

Sunday

Kaifiat Solat Yang Sempurna – Bhg 3


Surah-Surah Yang Dibaca Oleh Rasulullah s.a.w. Dalam Solat


Terdapat banyak hadis yang menerangkan surah-surah yang pernah dibaca oleh Rasulullah s.a.w. dalam solat. Antaranya ialah seperti berikut:-

I- Solat Subuh

عَنْ أَبِيْ بَرْزَةَ الأَسْلَمِيِّ رضي الله عنه:...وَيُصَلِّي الصُّبْحَ فَيَنْصَرِفُ الرَّجُلُ فَيَعْرَفُ جَلِيْسَهُ، وَكَانَ يَقْرَأُ فِيْ الرَّكْعَتَيْنِ أَوْ إِحْدَاهُمَا مَا بَيْنَ السِّتِّيْنَ إِلَى الْمِئَةِ. رواه البخاري.

Abu Barzah al-Aslami (ketika menceritakan tentang waktu-waktu sembahyang Nabi menyatakan bahawa) “Dan baginda bersembahyang subuh, dan bila selesai (sembahyang), seseorang itu akan kenal orang yang bersebelahan dengannya. Dan baginda membaca dalam dua rakaat (sembahyang subuh) atau dalam satu rakaat antara enam puluh sehingga seratus ayat. Riwayat Bukhari.

عَنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ السَّائِبِ رضي الله عنه قَالَ: صَلَّى لَنَا النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم الصُّبْحَ بِمَكَّةَ، فَاسْتَفْتَحَ سُوْرَةَ الْمُؤْمِنِيْنَ، حَتَّى جَاءَ ذِكْرُ مُوْسَى وَهَارُونَ أَوْ ذِكْرُ عِيْسَى، أَخَذَتِ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم سَعْلَةٌ فَرَكَعَ. رواه مسلم.

Abdullah bin as-Sa’ib r.a. menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersembahyang subuh bersama kami di Mekah, dan baginda membaca surah al-Mukminun (118 ayat), dan setelah sampai kepada ayat yang menyebut tentang Nabi Musa dan Harun (mungkin ayat ke 45), atau tentang Nabi Isa (mungkin ayat ke 50, perawi was-was) baginda batuk, lalu baginda rukuk. Riwayat Muslim.

وَعَنْ رَجُلٍ مِنْ جُهَيْنَةَ، أَنَّهُ سَمِعَ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم يَقْرَأُ فِيْ الصُّبْحِ: إِذَا زُلْزِلَتِ الْأَرْضُ ، فِيْ الرَّكْعَتَيْنِ كِلْتَيْهِمَا، قَالَ: فَلاَ أَدْرِيْ أَنَسِيَ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم أَمْ قَرَأَ عَمْداً. رواه أبو داود وحسنه الدكتور نصير فريد (مفتي الديار المصرية) في تحقيقه لنيل الأوطار، ج 2، ص 227.

Seorang sahabat daripada kabilah Juhainah menceritakan bahawa beliau mendengar Rasulullah s.a.w. membaca dalam sembahyang subuh, dikedua-dua rakaat, surah az-Zalzalah. Beliau berkata: aku tidak pasti adakah baginda terlupa atau baginda sengaja membaca demikian. Hadis hasan riwayat Abu Daud.

Al-Albani menyebut: "Baginda membacakan surah "Tiwalul Mufassal". Kadang baginda membaca surah al-Waqiah (96 ayat) dalam dua rakaat. Baginda pernah membaca surah at-Thur (49 ayat, iaitu semasa hajjatul wada'). Kadang-kadang baginda membaca surah Qaf (45 ayat) dan seumpamanya dalam rakaat pertama. Kadang-kadang baginda membaca "Qisarul Mufassal" seperti surah at-Takwir (29 ayat). Pernah satu kali baginda membaca surah az-Zalzalah (8 ayat) dalam rakaat pertama dan kedua. Dan pernah satu kali semasa musafir, baginda membaca surah al-Falaq (5 ayat) dan an-Nas (6 ayat). Baginda pernah membaca surah ar-Rum (60 ayat, melebihi 6 muka surat) dan Yasin (83 ayat). Saidina Umar penah membaca surah al-Kahfi (110 ayat, melebihi 11muka surat) pada rakaat pertama dan surah Yusuf (111 ayat, melebihi 13 muka surat) atau surah Yunus (109 ayat, melebihi 13 muka surat) pada rakaat kedua.

Berkata al-Hafiz Ibnul Qayyim: “Baginda membaca pada subuh hari jumaat dengan tamat kedua-dua surah as-Sajdah dan surah al-Insan.. dan apa yang diamalkan oleh sebahagian manusia pada hari ini dengan membaca sebahagian surah sahaja pada kedua-dua rakaat, atau menamatkan surah as-Sajdah pada dua rakaat adalah menyalahi dengan sunnah. Dan anggapan bahawa subuh hari jumaat dilebihkan daripada sembahyang-sembahyang yang lain dengan adanya sujud sajdah merupakan satu kejahilan yang besar. Kerana inilah sebahagian ulamak memakruhkan membaca surah as-Sajdah, kerana ingin membuang angapan salah ini”. Beliau berpendapat bahawa Nabi membaca surah-surah tersebut kerana kandungan surah tersebut bersesuaian dengan apa yang berlaku pada hari jumaat. Lihat Zadul Maad, juz 1, m/s 203.

Al-Hafiz Ibnul Qayyim juga menceritakan bahawa Saidina Abu Bakar pernah membaca surah al-Baqarah (286 ayat, 48 muka surat) dalam sembahyang subuh. Dan beliau memberi salam hampir naik matahari. Lalu para makmum berkata: Wahai Khalifah Rasulullah, hampir-hampir matahari naik. Beliau menjawab: Kalau matahari naik sekalipun, ia tidak akan dapati kita dalam keadaan lalai.

II- Solat Zohor

عَنْ أَبِيْ قَتَادَةَ رضي الله عنه قَالَ: أَنَّ النبيَّ صلى الله عليه وسلم كَانَ يُطَوِّلُ فِيْ الرَّكْعَةِ الأُوْلَى مِنْ صَلاَةِ الظُّهْرِ، وَيُقَصِّرُ فِي الثَّانِيَةِ، وَيَفْعَلُ ذَلِكَ فِيْ صَلاَةِ الصُّبْحِ. رواه البخاري ومسلم.

Abu Qatadah r.a. menceritakan bahawa Nabi s.a.w. (bila bersembahyang), baginda akan memanjangkan rakaat pertama dan memendekkan rakaat kedua. Begitu juga pada sembahyang subuh. Riwayat Bukhari dan Muslim.

عَنْ أَبِيْ سَعِيْدٍ الْخُدْرِيِّ رضي الله عنه، قَالَ: لَقَدْ كَانَتْ صَلاَةُ الظُّهْرِ تُقَامُ، فَيَذْهَبُ الذَّاهِبُ إِلَى الْبَقِيْعِ، فَيَقْضِيْ حَاجَتَهُ ثُمَّ يَتَوَضَّأُ، ثَمَّ يَأْتِيْ وَرَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم فِيْ الرَّكْعَةِ الأُوْلَى مِمَّا يُطَوِّلُهَا. رواه مسلم.

Abu Said al-Khudri r.a. berkata: Pernah bila diiqamahkan sembahyang zuhur, seorang sahabat pergi ke Baqi untuk qadha hajat, kemudian (balik ke rumahnya untuk) berwudhuk, kemudian barulah dia datang untuk berjemaah, dan dia dapati Rasulullah s.a.w. masih lagi dalam rakaat pertama, kerana baginda memanjangkannya. Riwayat Muslim.

Berkata Syeikh al-Albani: Kadang-kadang baginda membaca surah at-Toriq, surah al-Buruj, surah al-Lail dan seumpamanya.

III- Solat Asar

عَنْ أَبِيْ سَعِيْدٍ الْخُدْرِيِّ رضي الله عنه، قَالَ: كُنَّا نَحْزُِرُ قِيَامَ رَسُولِ اللهِ صلى الله عليه وسلم فِيْ الظُّهْرِ وَالْعَصْرِ، فَحَزَرْنَا قِيَامَهُ فِي الرَّكْعَتَيْنِ الأُوْلَيَيْنِ مِنَ الظُّهْرِ قَدْرَ قِرَاءَةِ ألم تنـْزيل –السَّجْدَةِ، وَحَزَرْنَا قِيَامَهُ فِيْ الرَّكْعَتَيْنِ الأُخْرَيَيْنِ قَدْرَ النِّصْفِ مِنْ ذَلِكَ، وَحَزَرْنَا قِيَامَهُ فِيْ الرَّكْعَتَيْنِ الأُوْلَيَيْنِ مِنَ الْعَصْرِ عَلَى قَدْرِ قِيَامِهِ فِيْ الأُخْرَيَيْنِ مِنَ الظُّهْرِ، وَفِيْ الأُخْرَيَيْنِ مِنَ الْعَصْرِ عَلَى النِّصْفِ مِنْ ذَلِكَ. رواه مسلم.

Abu Said al-Khudri r.a. berkata: kami menganggar qiam Rasulullah s.a.w. dalam sembahyang zuhur dan asar. Kami anggarkan qiam baginda dalam dua rakat pertama sembahyang zuhur sekadar bacaan surah as-Sajdah (30 ayat, 3 muka surat). Dan pada dua rakaat kedua terakhir sekadar separuh daripada tadi. Dan kami juga menganggar qiam baginda pada dua rakaat pertama sembahyang asar sekadar qiam baginda dalam dua rakaat terakhir sembahyang zuhur. Dan pada dua rakaat terakhir sembahyang asar, sekadar separuh daripada itu. Riwayat Muslim.

Al-Albani menyebut bahawa baginda juga memanjangkan rakaat pertama berbanding rakaat kedua.

IV- Solat Maghrib

Syeikh al-Albani berkata: “Kadang-kadang baginda membaca "Qisarul Mufassal". Ada juga baginda membaga "Tiwalul Mufassal" dan "Ausatul Mufassal". Baginda pernah membaca surah Muhammad. Baginda pernah membaca surah at-Thur dan juga surah al-Mursalat. Dan pernah baginda membaca surah al-A'raf dalam dua rakaat, dan begitu juga surah al-Anfal”.

عَنْ سُلَيْمَانَ بْنِ يَسَارٍ، عَنْ أبي هريرة رضي الله عنه أَنَّهُ قَالَ: مَا رَأَيْتُ أَحَدًا أَشْبَهَ صَلاَةٍ بِرَسُولِ اللهِ صلى الله عليه وسلم مِنْ فُلاَنٍ، قَالَ سُلَيْمَانُ: فَكَانَ يَقْرَأُ فِيْ الصُّبْحِ بِطِوَالِ الْمُفَصَّلِ، وَفِيْ الْمَغْرِبِ بِقِصَارِ الْمُفَصَّلِ. قال الحافظ ابن حجر في فتح الباري: أخرجه النسائي وصححه ابن خزيمة وغيره.

Sulaiman bin Yasar menyatakan bahawa Abu Hurairah r.a. berkata: “Aku tidak pernah melihat seseorang yang lebih hampir (cara) sembahyangnya dengan sembahyang Rasulullah s.a.w. berbanding si pulan (seorang imam di Madinah). Sulaiman berkata: (Aku pernah bersembahyang di belakang si pulan tersebut) dan beliau membaca pada sembahyang subuh dengan “Tiwalul Mufassal” dan pada sembahyang maghrib dengan “Qisarul Mufassal”. Hadis riwayat Nasaie.

Mengekalkan hanya membaca surah-surah yang pendek, dalam sembahyang maghrib bukanlah sunnah, sekalipun itulah anggapan kebanyakan kita. Kerana inillah Zaid bin Thabit, seorang sahabat Nabi s.a.w. menegur perbuatan Marwan bin al-Hakam, dalam masalah ini.

عَنْ مَرْوَانِ بْنِ الْحَكَمِ قَالَ: قَالَ لِيْ زَيْدُ بْنِ ثَابِتٍ: مَا لَكَ تَقْرَأُ فِيْ الْمَغْرِبِ بِقِصَارٍ؟ وَقَدْ سَمِعْتُ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم يَقْرَأُ بِطُوْلَى الطُّوْلَيَيْنِ. رواه البخاري.

Marwan bin al-Hakam berkata: Zaid bin Thabit bertanyaku: Kenapakah kamu (sentiasa) membaca dalam solat maghrib dengan surah-surah pendek? Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah s.a.w. membaca dalam solat maghrib dengan surah yang paling panjang antara dua surah panjang, (maksud beliau ialah surah al-A’raf). Riwayat Bukhari.

عَنْ عَائِشَةَ رضي الله عنها أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم قَرَأَ فِيْ الْمَغْرِبِ بِسُوْرَةِ الأَعْرَافِ، فَرَّقَهَا فِيْ الرَّكْعَتَيْنِ. رواه النسائي، وإسناده صحيح كما قال الشيخ شعيب وعبد القادر الأرناؤوط.

Aisyah r.a. menyatakan bahawa Nabi s.a.w. pernah membaca surah al-A’raf dalam sembahyang maghrib dan baginda menceraikannya pada dua rakaat. Hadis sohih riwayat Nasaie. (Surah al-A’raf, 206 ayat, 26 muka surat)

Dan antara hadis yang menunjukkan bahawa Nabi s.a.w. membaca surah yang juga panjang ialah:

عَنْ جُبَيْرِ بْنِ مُطْعِمٍ رضي الله عنه، قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ صلى الله عليه وسلم قَرَأَ بِالْمَغْرِبِ بِالطُّوْرِ. رواه البخاري ومسلم.

Jubair bin Mut’im berkata: aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w. membaca surah at-Thur dalam sembahyang maghrib. Riwayat Bukhari dan Muslim. (Surah at-Thur adalah 49 ayat dan melebihi dua muka surat).

Dan hadis-hadis ini tidaklah menunjukan bahawa Nabi s.a.w. sentiasa memanjangkan bacaan dalam solat maghrib, tetapi menunjukkan bahawa bukanlah ditentukan surah yang pendek sahaja dalam sembahyang maghrib. Dan ada riwayat daripada Imam Syafie yang mengatakan bahawa beliau suka dibacakan surah-surah yang panjang dalam sembahyang maghrib.

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ رضي الله عنهما قَالَ: إِنَّ أُمَّ الْفَضْلِ سَمِعَتْهُ وَهُوَ يَقْرَأُ ﴿ وَالْمُرْسَلَاتِ عُرْفًا ﴾، فَقَاْلَتْ: يَا بُنَيَّ، وَاللهِ، لَقَدْ ذَكَّرْتَنِيْ بِقِرَائَتِكَ هَذِهِ السُّوْرَةِ، إِنَّهَا لآخِرُ مَا سَمِعْتُ مِنْ رَسُولِ اللهِ صلى الله عليه وسلم يَقْرَأُ بِهَا فِيْ الْمَغْرِبِ. رواه البخاري ومسلم.

Ibnu Abbas menceritakan bahawa tatkala beliau membaca surah al-Mursalat, Ummul Fadhli berkata: Wahai anakku, demi Allah, sesungguhnya bacaanmu dengan surah ini mengingatkan daku kepada surah terakhir yang aku dengar Rasulullah s.a.w. membacanya dalam solat maghrib. Riwayat Bukhari. (Surah al-Mursalat 50 ayat, dan hampir dua muka surat).

Berkata al-Hafiz Ibn Hajar: Hadis ini menunjukkan bahawa semasa baginda sihat, baginda membaca dengan surah yang lebih panjang (dalam sembahyang maghrib). Ini kerana baginda dalam keadaan sakit, yang mana biasanya diringkaskan sebahyang.

V- Solat Isya'

عَنْ أَبِيْ رَافِعٍ قَالَ: صَلَّيْتُ مَعَ أَبِيْ هُرَيْرَةَ الْعَتَمَةَ، فَقَرَأَ: ﴿ إِذَا السَّمَاء انشَقَّتْ ﴾، فَسَجَدَ، فَقُلْتُ لَهُ: مَا هَذِهِ؟ قَالَ: سَجَدْتُ بِهَا خَلْفَ أَبِيْ الْقَاسِمِ صلى الله عليه وسلم، فَلاَ أَزَالُ أَسْجُدُ بِهَا حَتَّى أَلْقَاهُ. رواه البخاري.

Abu Rafi’ menceritakan bahawa beliau bersembahyang isyak bersama Abu Hurairah r.a. dan beliau membaca surah al-Insyiqaq dan beliau sujud (tilawah). Lalu aku bertanya: sujud apakah ini? Beliau menjawab: aku pernah bersujud (kerana surah ini) di belakang Abul Qasim (Nabi s.a.w.), dan aku akan bersujud kerana membacanya sehingga aku bertemuNya (mati). Riwayat Bukhari.

عَنِ الْبَرَاءِ بْنِ عَازِبٍ رضي الله عنه قَالَ: سَمِعْتُ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم يَقْرَأُ : ﴿ وَالتِّينِ وَالزَّيْتُونِ ﴾، فِيْ الْعِشَاءِ، وَمَا سَمِعْتُ أَحَدًا أَحْسَنَ صَوْتًا مِنْهُ. رواه البخاري ومسلم.

Al-Bara’ bin Azib menceitakan bahawa beliau pernah mendengar Nabi s.a.w. (semasa musafir) membaca surah at-Tin dalam sembahyang isyak. Dan beliau berkata: Dan aku tidak pernah mendengar seseorang pun yang lebih merdu daripada suara baginda. Riwayat Bukhari dan Muslim.

Dan dalam cerita Muaz bin Jabal r.a. mengimami sembahyang isayk dengan surah al-Baqarah, baginda menegurnya dan bersabda:

أَتُرِيْدُ أَنْ تَكُوْنَ فَتَّانًا يَا مُعَاذُ؟ إِذَا أَمَمْتَ النَّاسَ فَاقْرَأْ بِالشَّمْسِ وَضُحَاهَا، وَسَبِّحِ اسْمَ رَبِّكَ الأَعْلى، وَاقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ، وَاللَّيْلِ إِذَا يَغْشى. رواه مسلم.

Adakah kamu ingin menjadi punca fitnah wahai Muaz? Kalaulah kamu menjadi imam, bacalah surah as-Syams, surah al-A’la, surah al-Alaq dan surah al-Lail. Riwayat Muslim.

Berkata Imam Nawawi: “Disunatkan membaca dalam sembahyang subuh dan zuhur dengan “Thiwaalul Mufassal” (surah-surah Mufassal yang panjang), tetapi dalam sembahyang subuh lebih panjang. Dan disunatkan membaca dalam sembahyang isyak dan asar dengan “Auwsaatul Mufassal”, (surah-surah Mufassal yang pertengahan), dan disunatkan dalam sembahyang maghrib dengan “qisarul Mufassal” (surah-surah Mufassal yang pendek). Syarah Sohih Muslim, Kitab 4, Bab 34.

Dan khilaf ulamak tentang permulaan surah-surah tersebut. Ada pendapat yang mengatakan bahawa surah Mufassal yang panjang bermula daripada Surah al-Hujurat sehingga surah an-Naba’. Surah Mufassal yang pertengahan pula bermula daripada surah an-Naba’ sehingga surah ad-Dhuha, dan surah Mufassal yang pendek pula bermula daripada surah ad-Dhuha hingga akhir Qur’an. Sabilal Muhtadin, j 1, m/s 209.

Antara Hadis Berkaitan Dengan Bacaan Surah

عَنِ ابْنِ عُمَرَ رضي الله عَنْهُمَا قَالَ: كَانَ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم يَأْمُرُنَا بِالتَّخْفِيْفِ، وَيَؤُمُّنَا بِالصَّافَّاتِ. رواه النسائي، وإسناده صحيح كما قال الشيخ شعيب وعبد القادر الأرناؤوط.

Ibnu Umar r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. menyuruh kita meringkaskan sembahyang (bila menjadi imam), dan baginda mengimami kami dengan surah as-Soffat. Riwayat Nasaie. Surah as-Soffat adalah 182 ayat, 7 muka surat). Perkataan beliau ini adalah untuk menyedarkan kita tentang erti meringkaskan sembahyang.

Berkata al-Hafiz Ibnul Qayyim dalam memberikan kefahaman tentang erti imam hendaklah “meringkaskan sembahyang”: “Meringkaskan sembahyang itu adalah satu perkara yang nisbi (tidak tetap. Boleh jadi ringkas pada pandangan orang yang suka mendengar al-Qur’an, tetapi tidak kepada yang lain). Kerana ini rujukan untuk maknanya ialah dengan apa yang biasa dilakukan oleh Nabi s.a.w., dan bukannya kembali kepada nafsu para makmum. Ini kerana baginda tidaklah menyuruh sesuatu tetapi baginda sendiri yang menyalahinya. Sedangkan baginda juga tahu bahawa di belakang baginda itu ada yang tua, lemah dan yang berhajat. Apa yang baginda lakukan itulah maksud “meringkas” yang bagnida suruh. Zadul Maad, juz 1, m/s 207.

Disediakan oleh Us Tuan Mohd Sapuan Tuan Ismail, Taman al-Barakah, Kg. Tasek Pauh, 16810, Selising, Pasir Puteh, Kelantan

Kaifiat Solat Yang Sempurna – Bhg 2


Duduk Antara Dua Sujud


21- Dan setelah selesai sujud, maka hendaklah bangun untuk duduk di antara dua sujud. Dan disunatkan bertakbir untuk bangun dan melanjutkan takbir sehingga dia duduk. Dan disyaratkan dalam duduk antara dua sujud ini tiga syarat, iaitu: tidak qasad dengan duduknya kecuali ibadah, thuma’ninah dan tidak terlalu panjang melebihi qadar sekurang-kurang tahiyyat.

22- Dan disunatkan semasa duduk antara dua sujud dengan cara duduk iftirasy. Caranya ialah dengan duduk di atas buku lali kakinya yang kiri, dan mendirikan kakinya yang kanan. Dan kedua tapak tangannya pula dirapatkan dan dihalakan ke arah kiblat serta diletakkan di atas kedua pahanya dan didekatkan dengan kedua lututnya, sekira-kira hujung jari jemari tangannya sama dengan kedua lututnya.

23- Dan disunatkan membaca zikir-zikir antara dua sujud. Antaranya ialah:

· رَبِّ اغْفِرْ لِي، رَبِّ اغْفِرْ لِي

· رَبِّ اغْفِرْ لِي، وَارْحَمْنِي، وَاجْبُرْنِي، وَارْزُقْنِي، وَارْفَعْنِي

24- Kemudian sujud sekali lagi. Dan disunatkan bertakbir untuk turun sujud.

25- Setelah selesai sujud kedua, maka selesailah rakaat yang pertama.

Setelah Selesai Sujud Kedua

26- Setelah bangkit daripada sujud, sebelum bangun untuk qiam rakaat kedua, maka disunatkan duduk istirahah. Dan cara duduknya ialah iftirasy. Dan perkara ini adalah sunat dalam mazhab Syafie, berdalilkan hadis Malik bin al-Huwairis riwayat Bukhari dan lain-laiin. Dan ia tidak disunatkan pada pandangan jumhur ulamak.

26- Dan untuk bangun ke rakaat kedua, disunatkan bergantung atas kedua tapak tangan ke bumi. Begitu juga ketika bangun daripada sujud. Dan tidak disunatkan mengangkat tangan ketika bangkit untuk rakaat kedua.

27- Setelah bangun pada rakaat kedua, dilakukanlah sebagaimana rakaat pertama tadi. Cumanya tidak disunatkan lagi membaca doa iftitah. Namun disunatkan istiazah sebelum membaca surah al-Fatihah.

Tasyahhud Awal Dan Kaifiatnya

28- Setelah selesai sujud kedua dalam rakaat kedua, maka hendaklah duduk untuk membaca tasyahhud awal. Dan disunatkan duduk dengan cara iftirasy. Dan tangan kanannya diletakkan di tepi lutut sekira-kira sama hujung jari dengan hujung lutut, serta menggenggamkan anak-anak jari kecuali telunjuk, maka ia hendaklah diluruskan. Tangan kiri pula diletakkan di tepi lutut kiri, dirapatkan dan diluruskan ke arah kiblat.

29- Dan disunatkan mengangkatkan telunjuk ketika menyebut huruf hamzah “ إلا الله ”. Dan disunatkan mengekalkan mengangkat jari telunjuk itu dan melihat kepadanya sehingga berdiri kepada rakaat ketiga, dan jika tasyahhud akhir sehingga memberi salam.

30- Dan cara menggenggamkan telunjuk ialah dengan menggenggamkan jari kelingking, jari manis dan jari hantu (tengah). Manakala jari telunjuk diluruskan ke arah kiblat dan ibu jari pula dihimpitkan dengan tepi jari telunjuk dan diletakkan di bawah jari telunjuk. Dan jika jari tengah disatukan dengan ibu jari untuk membentuk satu bulatan, atau digenggamkan ibu jari di atas jari tengah, maka itu juga telah melakukan sunat.

31- Dan tidak disunatkan menggerak-gerakkan jari semasa bertasyahhud. Namun tidak diengkari orang yang melakukan demikian, kerana itu adalah pendapat mazhab Maliki dan lain-lain.

31- Lafaz tasyahhud awal beserta selawat ialah:

التَّحِيَّاتُ الْمُبَارَكَاتُ الصَّلَوَاتُ الطَّيِّبَاتُ لِلَّهِ، السَّلَامُ عَلَيْكَ أَيُّهَا النَّبِيُّ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ، السَّلَامُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِ اللَّهِ الصَّالِحِينَ، أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ، اللهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ.

32- Sesudah selesai, maka bangunlah dengan bertongkat dengan kedua tapak tangnnya untuk rakaat yang ketiga. dan disunatkan mengangkat tangan ketika bangkit untuk rakaat ketiga. Dan pada rakaat yang ketiga dan keempat dilakukan pergerakan sama seperti rakaat-rakaat yang tadi.

Tasyahhud Akhir Dan Kaifiatnya

33- Setelah selesai rakaat keempat, maka hendaklah duduk untuk membaca tasyahhud yang akhir. Dan disunatkan untuk duduk bagi tasyahhud akhir dengan cara “tawarruk”. Caranya ialah dengan duduk di atas pahanya yang kiri, dan diangkatkan kakinya yang kanan, serta dikeluarkan kakinya yang kiri dari bawahnya (bawah kaki kanan yang diangkatkan itu). Dan hujung jari-jari kaki kanannya dilipat supaya menghadap kiblat.

34-Dan dalam mazhab Syafie, sunat bagi yang makmum yang masbuq (yang imamnya bertasyahhud akhir) atau orang yang disunatkan sujud sahwi untuk membaca tasyahhud dalam keadaan duduk iftirasy.

Lafaz Selawat Pada Tasyahhud Akhir

35- Lafaz tasyahhud akhir sama sahaja dengan tasyahhud awal. Dan dibacakan selepasnya selawat ke atas Nabi dan juga para keluarga baginda. Lafaznya ialah:

اَللهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَدٍ ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيْمَ ، وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيْمِ، إِنَّكَ حَمِيْدٌ مَجِيْدٌ ، اَللَّهُمَّ بَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَدٍ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيْمَ ، وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيْمِ ، إِنَّكَ حَمِيْدٌ مَجِيْدٌ.

Doa-Doa Sebelum Salam Sesudah Tasyahhud Dan Selawat

36- Dan sesudah selawat, maka disunatkan membaca doa-doa yang warid daripada Rasulullah s.a.w. sebelum member salam. Antaranya ialah:

· اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي مَا قَدَّمْتُ وَمَا أَخَّرْتُ وَمَا أَسْرَرْتُ وَمَا أَعْلَنْتُ وَمَا أَسْرَفْتُ وَمَا أَنْتَ أَعْلَمُ بِهِ مِنِّي، أَنْتَ الْمُقَدِّمُ وَأَنْتَ الْمُؤَخِّرُ َلا إِلَهَ إَِلا أَنْتَ

· اللَّهُمَّ حَاسِبْنِي حِسَابًا يَسِيرًا

· اللَّهُمَّ إِنِّي ظَلَمْتُ نَفْسِي ظُلْمًا كَثِيرًا، وََلا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إَِلا أَنْتَ، فَاغْفِرْ لِي مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ، وَارْحَمْنِي إِنَّك أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

· اللَّهُمَّ! إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ، وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

· اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْمَأْثَمِ وَالْمَغْرَمِ

· اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْجَنَّةَ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ النَّارِ

· اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ يَا أَللَّهُ اْلأحَدُ الصَّمَدُ، الَّذِي لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ، وَلَمْ يَكُنْ لَهُ كُفُوًا أَحَدٌ، أَنْ تَغْفِرَ لِي ذُنُوبِي، إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

· اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي مَا قَدَّمْتُ وَمَا أَخَّرْتُ وَمَا أَسْرَرْتُ وَمَا أَعْلَنْتُ وَمَا أَسْرَفْتُ وَمَا أَنْتَ أَعْلَمُ بِهِ مِنِّي، أَنْتَ الْمُقَدِّمُ وَأَنْتَ الْمُؤَخِّرُ َلا إِلَهَ إَِلا أَنْتَ

Salam Dan Kaifiatnya

36- Setelah selesai tasyahhud dan juga berdoa, maka kita akan memberi salam. Lafaz salam ialah:

السَّلَاْمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ

37- Dan disunatkan dua kali salam, dan berpaling semasa memberi salam, samada ke kana atau kiri, sehingga kelihatan pipi (bagi orang yang berada di belakang, dan bukan kedua-dua belah pipi). Dan disunatkan bagi imam menyaringkan salam. Manakala makmum janganlah member salam, melainkan setelah selesai kedua-dua salam imam.

38- Setelah selesai member salam kedua, maka selesailah solat. Dan tidak disunatkan meraup muka setelah selesai memberi salam.

Disediakan oleh Us Tuan Mohd Sapuan Tuan Ismail, Taman al-Barakah, Kg. Tasek Pauh, 16810, Selising, Pasir Puteh, Kelantan

Thursday

Kaifiat Solat Yang Sempurna – Bhg 1

Qiam Dengan Menghadap Kiblat

1- Berdiri (qiam) dalam keadaan menghadap kiblat. Disyaratkan pada qiam meluruskan tulang belakang. Dan disunatkan menghadap kepada sutrah, iaitu sesuatu yang boleh menghalang orang melintasi di hadapannya. Contoh sutrah ialah tiang dan sebagainya. Disarankan supaya menundukkan kepala untuk melihat kepada tempat sujud.

Niat

2- Setelah ingin bersolat, maka hendaklah dia niatkan solat yang ingin didirikannya. Dan disyaratkan menghadirkan dalam hati perkara-perkara niat, iaitu: jika

1- Solat fardhu: Qasad, taarud dan ta’yin.

2- Solat sunat berwaktu dan bersebab: Qasad dan ta’yin.

3- Solat mutlak (semata-mata solat) : Qasad sahaja.

Contoh niat ialah: Aku ingin bersembahyang fardhu zuhur, kerana Allah SWT. Dan tidak disunatkan melafazkan niat, kecuali jika dilafazkan, ia membantu memudahkan niat. Dan tidak disunatkan membaca apa-apa bacaan sebelum bertakbir, kerana permulaan solat ialah takbir.

Takbiratul Ihram

3- Setelah berniat, maka hendaklah bertakbir. Dan di dalam takbir itu, maka hadirkanlah keagungan dan kebesaran Allah SWT. Dan janganlah dinyaringkan takbir, kecuali bagi imam. Dan tidak boleh bagi makmum bertakbir mendahului imam atau bersama imam. Dan disunatkan baginya terus bertakbir setelah imam selesai bertakbir, dan jangan melengah-lengahkannya. Lafaz takbir ialah:

اللهُ أَكْبَرُ

Masalah Muqaranah Niat

Berkata Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari, dalam kitabnya Sabilal Muhtadin, juz 1, m/s 195: “Tetapi memilih Imam Nawawi di dalam “Majmuk” akan yang telah dipilih akan dia oleh Imamul Haramain dan Imam Ghazali bahawasanya memadai pada niat itu muqaranah urfiyyah, pada orang yang awam…Dan kata setengah mereka itu, bermula murad (maksud) dengan dia bahawa dipadakan (memadai) menghadirkan niat dahulu sedikit daripada takbir dan jika lalai ia daripadanya di dalam takbir sekalipun. Dan muwafaah (sama) akan dia atas taswir (gambaran) ini segala imam yang tiga, iaitu Imam Abu Hanifah, dan Imam Malik dan Imam Ahmad bin Hanbal r.a”

4- Semasa bertakbir, disunatkan mengangkat kedua tangan, dan tapak tangan itu dibuka dan dihadapkan ke arah kiblat. Kedua tapak tangan disunatkan menyamai bahu, dengan dua ibu jarinya menyamai dua cuping telinganya.

Keadaan Semasa Qiam Dalam Rakaat-Rakaat Solat

5- Setelah itu, tangan hendaklah diletakkan di kawasan atas dari pusat dan di bawah dada. Dan digenggamkan kedua tapak tangan kanan di atas dua tapak tangan kiri. Boleh juga diletakkan tanpa digenggam.

6- Setelah bertakbir dan meletakkan tangan, disunatkan diam sebentar. Setelah itu disunatkan membaca doa iftitah.

Contoh-contoh Doa Iftitah

· اللَّهُ أَكْبَرُ كَبِيرًا، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيرًا، وَسُبْحَانَ اللَّهِ بُكْرَةً وَأَصِيلاً.

· وَجَّهْتُ وَجْهِيَ لِلَّذِي فَطَرَ السَّمَاوَاتِ وَاْلأرْضَ حَنِيفًا مُسْلِماً وَمَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِينَ، إِنَّ صََلاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ، َلا شَرِيكَ لَهُ، وَبِذَلِكَ أُمِرْتُ وَأَنَا مِنَ الْمُسْلِمِينَ.

· الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيرًا طَيِّبًا مُبَارَكًا فِيهِ

· سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ، وَتَبَارَكَ اسْمُكَ، وَتَعَالَى جَدُّكَ، وََلا إِلَهَ غَيْرَكَ

· اللَّهُمَّ بَاعِدْ بَيْنِي وَبَيْنَ خَطَايَايَ كَمَا بَاعَدْتَ بَيْنَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ. اللَّهُمَّ نَقِّنِي مِنْ خَطَايَايَ كَمَا يُنَقَّى الثَّوْبُ اْلأبْيَضُ مِنَ الدَّنَسِ. اللَّهُمَّ اغْسِلْنِي مِنْ خَطَايَايَ بِالثَّلْجِ وَالْمَاءِ وَالْبَرَدِ

6- Setelah selesai membaca doa iftitah, maka hendaklah diam sebentar. Kemudian disunatkan membaca istiazah atau taawwuz, iaitu:

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيْمِ.

Bacaan Surah al-Fatihah

7- Setelah bertaawwuz, maka disunatkan diam sebentar sebelum membaca surah al-Fatihah.

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِِ {1} الْحَمْدُ للّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ {2} الرَّحْمـنِ الرَّحِيمِ {3} مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ {4} إِيَّاكَ نَعْبُدُ وإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ {5} اهدِنَــــا الصِّرَاطَ المُستَقِيمَ {6} صِرَاطَ الَّذِينَ أَنعَمتَ عَلَيهِمْ غَيرِ المَغضُوبِ عَلَيهِمْ وَلاَ الضَّالِّينَ {7}

8- Setelah selesai membaca surah al-Fatihah, maka disunatkan diam sebentar. Setelah itu disunatkan mengucapkan “Amin”.

9- Setelah selesai mengucapkan “Amin”, disunatkan diam sebentar sebelum membaca surah. Bahkan disunatkan bagi imam diam sekadar bacaan surah al-Fatihah. Setelah itu disunatkan membaca surah. Dan panjang pendek bacaan surah itu bergantung kepada solat dan juga keadaan seperti musafir, sakit dan sebagainya. Dan disunatkan memanjangkan bacaan rakaat yang pertama berbanding rakaat yang kedua.

10- Setelah selesai membaca surah, maka disunatkan diam sebentar sebelum rukuk. Kemudian disunatkan mengangkat kedua tangan (semasa qiam) serta bertakbir untuk rukuk.

Rukuk Dan Kaifiatnya

11- Disyaratkan pada rukuk 3 syarat, iaitu membengkokkan belakang ke bawah, (sekurang-kurangnya sekira-kira sampai tangan ke lutut), thoma’ninah dan tidak qasad selain dari rukuk. Dan yang sempurna ialah dengan tunduk sehingga sama dahinya dengan tempat sujud, serta menyamakan kepala, belakang dan punggung seumpama sekeping papan. Tapak tangan pula memegang kedua lutut dan menjarangkan anak-anak jari kedua-dua tangan secara pertengahan, serta menghadapkannya ke arah kiblat.

12- Setelah rukuk, disunatkan membaca zikir-zikir rukuk. Antaranya:

· سُبْحَانَ رَبِّيَ الْعَظِيمِ،(atau) سُبْحَانَ رَبِّيَ الْعَظِيمِ وَبِحَمْدِهِ (sekurang-kurangnya, 3 kali )

· اللَّهُمَّ لَكَ رَكَعْتُ، وَبِكَ آمَنْتُ، وَلَكَ أَسْلَمْتُ، خَشَعَ لَكَ سَمْعِي وَبَصَرِي وَمُخِّي وَعَظْمِي وَعَصَبِي

Iktidal Dan Kaifiatnya

13- Setelah sempurna rukuk, maka kita hendaklah beriktidal, iaitu bangkit daripada rukuk. Dan disunatkan mengangkatkan kedua tapak tangan berbetulan bahu beserta dengan permulaan mengangkatkan kepala, dan membaca zikir perpindahan untuk iktidal. Zikirnya ialah:

سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ

14- Apabila berdiri tegak, maka lepaskanlah tangan yang diangkat tadi. Dan disyaratkan pada iktidal tiga syarat, iaitu: menegakkan semula tulang belakang seperti semasa qiam dengan dengan qasad iktidal, thoma’ninah dan tidak terlalu memanjangkan iktidal (melebihi qadar bacaan fatihah) kerana ia adalah rukun pendek.

15- Dan disunatkan semasa iktidal membaca zikirnya. Antaranya:

· رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ، (atau) رَبَّنَا وَلَكَ الْحَمْدُ

· رَبَّنَا وَلَكَ الْحَمْدُ، حَمْدًا كَثِيْرًا طَيِّبًا مُبَارَكًا فِيْهِ

· اللَّهُمَّ رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ، مِلْءَ السَّمَاوَاتِ، وَمِلْءَ اْلأرْضِ، وَمِلْءَ مَا بَيْنَهُمَا، وَمِلْءَ مَا شِئْتَ مِنْ شَيْءٍ بَعْدُ.

· رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ. مِلْءُ السَّمَاوَاتِ وَاْلأرْضِ، وَمِلْءُ مَا شِئْتَ مِنْ شَيْءٍ بَعْدُ، أَهْلَ الثَّنَاءِ وَالْمَجْدِ، أَحَقُّ مَا قَالَ الْعَبْدُ، وَكُلُّنَا لَكَ عَبْدٌ، اللَّهُمَّ َلا مَانِعَ لِمَا أَعْطَيْتَ، وََلا مُعْطِيَ لِمَا مَنَعْتَ، وََلا يَنْفَعُ ذَا الْجَدِّ مِنْكَ الْجَدُّ.

16- Setelah selesai iktidal, maka hendaklah turun sujud. Dan disunatkan bertakbir untuk turun sujud tanpa mengangkatkan tangan.

Sujud Dan Kaifiatnya

17- Dan disyaratkan pada sujud Disyaratkan padanya 8 syarat:

1- Sujud dengan pilihan sendiri iaitu dengan niat untuk sujud.

2- Sujud di atas tujuh anggota, iaitu dahi, dua tangan, dua lutut dan hujung jari kaki. Dan tidak sah bersujud tanpa cukup tujuh anggota ini.

3- Dahi terbuka mencecah tempat sujud.

4- Menekan dahi pada tempat sujud.

5- Tidak turun untuk tujuan selain dari sujud.

6- Jangan sujud di atas pakaian yang dipakainya.

7-Hendaklah ditinggikan punggung dari kepalanya.

8- Sujud serta thoma’ninah.

18- Dan disunatkan turun dengan mendahulukan lutut, kemudian kedua tapak tangan, kemudian dahi dan hidung. Dan disunatkan meletakkan kedua tapak tangan itu sama dengan kedudukan bahu, dan membukakan kedua tangan dan tidak menghamparkan lengannya ke bumi. Jari-jari tangannya pula dirapatkan dan dihadapkan ke arah kiblat. Dan disunatkan merenggangkan kedudukan antara kedua lututnya sekadar sejengkal, dan begitu juga kedudukan kedua kakinya. Dan kakinya hendaklah didirikan dan hujung jari-jari kaki pula disunatkan dihadapkan ke arah kiblat. Dan disunatkan menjauhkan perutnya dari pahanya, dan bukan merapatkan antara kedua-duanya. Namun disunatkan bagi perempuan merapatkan kedua-duanya dan juga tidak membukakan lengannya, bahkan merapatkannya kepada lambungnya.

Wai’l bin Hujr r.a. menyatakan bahawa beliau melihat Nabi s.a.w. bila bersujud, baginda akan mendahulukan kedua lututnya sebelum kedua tangannya. Hadis sohih, riwayat ahlus sunan. Menurunkan lutut dulu sebelum tangan adalah pendapat jumhur ulamak. Namun mazhab Maliki menyunatkan menurunkan tangan sebelum lutut.

19- Setelah bersujud, disunatkan membaca zikir-zikir sujud. Antaranya:

· سُبْحَانَ رَبِّيَ اْلأعْلَى (atau) سُبْحَانَ رَبِّيَ اْلأعْلَى وَبِحَمْدِهِ ( sekurang-kurangnya, 3 kali )

· سُبُّوحٌ قُدُّوسٌ، رَبُّ الْمََلائِكَةِ وَالرُّوحِ

· اللَّهُمَّ لَكَ سَجَدْتُ، وَبِكَ آمَنْتُ، وَلَكَ أَسْلَمْتُ. وَأَنْتَ رَبِّي، سَجَدَ وَجْهِي لِلَّذِي خَلَقَهُ وَصَوَّرَهُ، وَشَقَّ سَمْعَهُ وَبَصَرَهُ. تَبَارَكَ اللَّهُ أَحْسَنُ الْخَالِقِينَ

20- Dan disunatkan memperbanyakkan berdoa dalam sujud, kerana ia adalah keadaan yang paling hampir antara seorang hamba dengan Tuhan Penciptanya. Dan antara doa yang pernah dibaca oleh Nabi s.a.w. dalam sujud ialah:

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي ذَنْبِي كُلَّهُ، دِقَّهُ وَجِلَّهُ، وَأَوَّلَهُ وَآخِرَهُ، وَعََلانِيَتَهُ وَسِرَّهُ.

Ertinya: “Wahai tuhanku, ampunilah dosaku keseluruhannya, samada yang kecilnya, besarnya, awalnya, akhirnya, secara terangnya atau sembunyinya”. Riwayat Muslim.

Disediakan oleh Us Tuan Mohd Sapuan Tuan Ismail, Taman al-Barakah, Kg. Tasek Pauh, 16810, Selising, Pasir Puteh, Kelantan

Wednesday

Mengundang Rindu Dikejauhan

Pada kejauhan ini ku himpunkan segala rindu kita
Yang ku kutip lalu kutitipkan menjadi bayu malam
Kuhela semilirnya agar berpuput lembut ke telingamu
Membawa bersama rindu serta sayang amat ku padamu
Agar dapat membisikkan cinta suciku yang terus mekar
Moga harum kasturi itu menusuk semerbak ke jiwamu
Kerana rinduku tidak pernah padam sampai bila pun
Rindu yang semakin parah di sini kerana jauhnya kita.

Pada kejauhan ini ku menjadi resah tidak menentu
Tiap kali rinduku jatuh padamu maka hatiku menjadi sayu
Mengenang dirimu jauh di situ yang kian samar kutemu
Saat indah itu masih menjadi kelabu dan terus syahdu
Kerana masanya kian jauh tersisih dimamah waktu itu
Meninggalkan tanda yang tidak bernoktah buat diriku
Sedang hati ini menjadi kian longlai dan semakin lemah
Mempertahan sesuatu yang entah apa sudahnya di maya ini.

Pada kejauhan ini hatiku semakin lemah luluh berderai
Menahan rasa rindu yang semakin menjadi tegar di hati
Rindu padamu rindu pada dirimu sayangku yang jauh di situ
Walau seketika cuma saat itu tetap terus menjadi keliru
Bilakah waktunya kau dan aku kembali bersatu di situ
Bagai hadirmu dalam setiap lenaku yang indah semalaman
Membawa secangkir bahagia seketika walau sedetik cuma
Masihkah ada rindumu pada diriku yang tertinggal di sini
Kerana hari ini begini mungkin esok berubah segalanya

Pada kejauhan ini mungkinkah rindumu juga bagai rinduku
Parah menahan sendu bermain di benak hatimu sayang
Kerana akukah kekasihmu yang terus kekal sampai kapan
Yang mekarnya bagai anggrek desa kembang di subuh hari
Harumnya menerjah kalbuku tika nyenyak diulit mimpimu
Lena yang semakin hari semakin sukar kulalui bersamamu
Kerana lena kita semalaman itu adalah lena seorang perindu
Menanti hadirnya bayanganmu yang telah berlabuh di situ
Menutup jagaku tatkala maya sudahpun menutup harinya.
Menjadi esok yang lain lagi tetapi esok yang serupa buat kita.

Mengimbau Memori

Kian ku amati coretan ini
Terasa semakin sayu hatiku
Mengimbau detik berlalu penuh sendu
Mencari pengertian sebuah kehidupan
Yang kini tinggal cuma nafas pendek
Kerana masa semakin suntuk di sini
Di ruang kehidupan fana yang makin tua

Makin ku fikir makin aku rasa tersingkir
Diusir demi sedikit dari celahan alam
Yang menjadi terasing dan terbelenggu
Oleh akal yang kian buntu dan kelabu
Kerana usia ku semakin luntur luluh
Kesan desiran angin songsang di ufuk maya
Yang menongkah nyawa membadai jiwa

Makin ku fikir makin aku rasa terusir
Di lorong kelam yang kujejak duluan
Yang begitu lama ku tinggalkan jejaknya
Dikala ku bertatih dulu semasa bayiku
Denai itulah titian berliku laluan ku ke sini
Dalam mencari arah, untuk membina diriku
Agar sejuk hati menyusupi dada ibu ayahku
Kerana zuriatnya sampai ke situ
Menjadi apa yang mereka mahu jadi padaku

Makin ku amati coretan ini
Makin ku sedar yang diri begitu jauh berlalu
Meninggalkan jauh jejak ku ke penjuru alam
Jejak yang kian sukar ku cari jalan kembali
Kerana aku di sini adalah aku yang dulu
Aku yang anak ibu, anak bapaku yang bagai dulu
Anak yang tetap baik dan tetap mulia hati
Kerana itulah asuhan ayah ibu ku
Walau ke laut ke hutan dan ke langit manapun
Aku tetap aku, anak yang terdidik iman terasuh akhlak

Makin ku amati coretan ini
Ku tersedar kembali betapa mulia ibuku mulia ayahku
Membentuk diri anaknya menjadi aku yang begini
Aku yang tidak lupa usulku tidak lupa Maha Esa
Pada usia sedikit ini ku bersyukur amat
Kerana lahirku dari zuriat ayah ibuku
Melangkah dan berlari sekejap di dada bumi
Bukan sebagai manusia lupa serta alpa

Makin ku amati coretan ini
Aku jadi begitu sayu dan sendu meratap memori
Kerana tiada lagi senyum ayahku terukir di situ
Ketika ku sampai ke muka pintu menjengah waktu
Menatap dan mencium tangan ayah ibuku
Pada setiap kali hadirku menemui syurga hatiku
Kini doaku menyusuri dinihari ke pusara ayahku
Semoga Allah menempatkan rohnya di sisi auliya
Semoga Allah memberi ibuku bahagia ke hujung hayat.

Makin ku amati coretan ini
Aku sebenarnya insan kerdil yang berdiri di tengah alam
Melangkah ke kiri dan ke kanan mencari ke taqwaan
Buat bekalan untuk ku bawa ke sana mengadap Ilahi
Andainya usiaku semakin sedikit di sini, biarlah…….
Itulah takdir ku setakat di situ
Semoga segalanya bermula dan berakhir di sini
Kerana aku tetap aku yang dulu
Masih seorang anak yang jiwanya tetap begitu
Meletakkan Maha Esa di atas segalanya
Membina Taqwa membentuk keikhlasan.