Saturday

Bila Pena Kembali Mencoret

Di sini ku masih meniti denai-denai silam yang hilang
Mencari jejak-jejak lampau di balik keresahan semalam
Lalu ku kembali semula berpuisi menulis bicara hatiku
Bagai zaman dulu-dulu yang telah ku tinggalkan di situ
Di penjuru usang di dada alam yang penuh kekeliruan
Akulah insan itu yang masih bagai dulu menjadi pemuisi
Masih dengan pena itu menulis kata hati yang kian luluh
Mengolah bahasa mengembalikan bibit-bibit nostalgia

Ku sisip kembali bahasa silamku yang sukar difahami
Lalu akan ku jalinkan kembali bait-baitnya menjadi puisi
Yang bagai zaman silam dipuncak egoku yang lalu
Kerana di sini aku telah lama berubah dimamah waktu
Yang telah jauh meninggalkan berliku-liku kehidupan
Kulihat anak generasiku kian semakin alpa dan leka
Di mana semangat silamku yang gagah menjulang
Mengatur kata keramat bersatu membina negara tercinta
Dengan laungan minda merdeka melangkah sederap
Mengundur berpantang melawan tetap melawan biar rebah

Minda merdekaku akan tetap utuh di sini menjadi batu
Biarlah mindaku menjadi minda generasiku yang tegar
Tatkala dinihari menjengah aku masih mecoret di sini
Menyusun kata hati dengan pena lama yang kian usang
Menukilkan ayat-ayat lama yang sering ku guna
Pabila aku berpuisi, kerana bahasaku adalah bahasaku
Bahasa jiwa seorang insan yang kerdil di celah alam
Yang semakin tua ditelan zaman walau hati menjadi kelabu
Akulah penyair itu yang masih segar jiwa puisinya
Masih angkuh melontarkan karya di tengah persada
Kerana lahirnya aku bersama akal seorang pemuisi.

Bila penaku kembali mencoret, itulah aku sebenarnya
Mengekang kenangan silam untuk menukil kembali
Bagai dulunya aku di pentas mendeklamasi kataku
Ramai akan menjadi keliru memahami maksudnya
Biarlah… biar menjadi pelbagai tafsiran pada mereka
Sebab itulah yang sebenarnya ku mahu dan ku harap
Kerana adakalanya aku sendiri juga menjadi keliru
Untuk menjelaskan apakah maksud bait-bait puisiku
Biarlah di situ supaya puisiku terus kekal keliru
Sampai masanya nanti akan ada pengganti serupaku.

Monday

Bicara Rindu

Sayang…..
Tika dinihari menjengah kamarmu
Meruntun kedinginan malam menyelimuti rinduku
Sedarlah bahawa kau sentiasa datang menemani mimpiku
Menguliti lena kita bersama ke subuh nan indah.

Sayang….
Sedarlah bahawa hadirnya dirimu
Mengundang bahagia buat diriku dan diri kita
Walau sedetik waktu berlalu rinduku tetap untukmu
Tidak pernah ada waktu aku lupa padamu
Hanya saat mengadap Maha Esa memisahkan seketika.

Sayang….
Biarlah siapapun dirimu dan diriku
Kaulah puteri hatiku
Penyejuk rinduku pendamai jiwaku
Suara manjamu sering ku tunggu sering kurindu
Di balik tirai malam sering kusingkap jendela rinduku
Mencari cari kalau tika itu ada sahutanmu
Menjengah pada skrin memoriku
Sedarlah sayang bahawa saat itu ku amat rindu padamu
Ingin sekali kuutuskan rinduku di angin malam
Biar sampai ke telinga mu
Bisikan cintaku
Biar kau tahu sayang
Bahawa aku sayang amat padamu.

Sayang….
Pada bingkisan ini kuharap kau tahu
Bahawa kita dipertemukan di maya ini
Untuk membina satu pertalian yang entah apa
Tatkala usia menongkah waktu
Tatkala kita telah menjadi milik lain
Tika itu takdir kita dipertemu
Doaku sentiasa mengiringi rinduku padamu
Agar hidupmu dilindungi dibentengi dipagari
Segala durjana.

Sayang…..
Ketika dinihari menjengah malamku
Aku jadi semakin resah gelisah
Tatkala itu pastinya tidurmu nenyak amat
Sedang aku masih di situ
Mencari-cari kelibat dirimu di balik tirai kenangan
Kau dan aku
Ketika itulah sayang….. baru ku tahu
Aku hanyalah seorang perindu pada dirimu
Rindu yang mungkin tiada darimu padaku
Rinduku yang kian parah dan tak menentu
Cumalah potret usangmu yang menjadi penawar
Pada setiap waktu rindu menerpa padamu.

Sayang…..
Tatkala ku menghitung waktu ini
Baru ku sedar yang aku terlalu cinta padamu
Cinta yang entah takkan kesampaian
Cinta yang terbang di bawa arus waktu
Biarlah sayang….
Andainya dikehidupan ini kita gagal bersama
Ku akan menantimu dikehidupan yang abadi
Andainya di sini kita tak mampu bersama
Doaku …. Kau kan kumiliki jua di sana nanti.

Sayang….
Marilah kita bertahmid bermunajat mengukuhkan taqwa
Mendekatkan diri mengadap Maha Esa
Pohonlah sayang … agar jodoh itu ada untuk kita
Walau di alam manapun sayang.
Banyakkanlah ibadah sunat
Cukupkanlah Ibadah wajib
Bermunajat di setiap waktu
Allah pasti bersama kita
Memelihara melindungi dan mengkabulkan
Segala doa…..

Sedarlah sayang…..
Di sini di kejauhan ini ada insan yang rindu padamu
Bila mataku tertutup diulit mimpi mu
Tika itulah kurasa benar amat kau bersamaku
Tatkala subuh mengejutkan lenaku
Baru ku tahu ……
Aku masih begitu
Mendapatmu hanyalah sekedar dalam lenaku
Sedarlah aku … aku sebenarnya seorang perindu
Rindu pada mu
Rindu yang mungkin tak adapun rindumu padaku
Sesekali tersedar …..
Aku jadi terharu sayang…. air mata ku menderu
Diriku sebenarnya mengganggu hidupmu
Ku datang sebagai insan yang tak diperlu
Yang tak ubah bagai hidung tak mancung pipi tersorong
Benarkah aku begitu sayang…….
Hati kecilku sering membisikkan itu.

Sayang….
Maaflah…kerana mengambil masamu
Membaca bait-bait puisi ini yang tak puitis
Kerana bahasaku adalah bahasa hatiku
Luahan jiwa penyair hina
Yang meluahkan rindu pada sang puteri di puncak mahligai
Mengolah bicara tanpa suara
Menutur kata tanpa bicara
Mencurah rindu mengungkap cinta
Yang mungkin telah kian pudar ditelan masamu
Tahulah sayang
Rinduku…kasihku…sayangku padamu
Tetap mekar di lubuk sanubariku
Biar sampai bilapun
Walau ke hujung nyawaku.