Thursday

'Lembu' yang wajib dikorban di Selangor

Hishamuddin Rais | Malaysiakini.com

Saya hanya membaca berita di akhbar tentang kisah lembu-lembu korban yang membawa padah politik kepada Menteri Besar Selangor. Ketika ini kisah lembu-lembu korban ini masih belum mengenap dan pasti tidak akan mengenap untuk sementara waktu.

Tetapi dalam melihat kes lembu-lembu ini, ada satu perkara yang wajib kita sama-sama teliti. Perkara ini ialah pemahaman kita sendiri tentang amalan dan konsep "korban" ketika Hari Raya Haji.

Di sini saya berani berkata bahawa pesta korban di pagi Hari Raya Haji yang sedang meresap dalam budaya Melayu ini tidak ada sangkut-paut dengan ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad.

Saya berani berkata demikian berasaskan penelitian dan pengkajian saya. Pada satu ketika dahulu - lembu, kerbau atau kambing amat jarang dikorbankan di masjid di kampung saya. Mukim dan warga kampung saya bukanlah warga yang mewah.

Jadi jika ada korban lembu di pagi raya, maka kami bersyukur kerana ada si polan yang panen padinya telah melimpah ruah. Atau harga getah telah melonjak naik.

Lembu akan dikorban sesudah selesai sembahyang di pagi raya. Daging korban Raya Haji ini akan diagih-agihkan terutama kepada mereka yang kurang bernasib baik – mereka yang amat jarang merasa nikmat makan daging.

Tetapi ini amat jarang berlaku. Dua tiga tahun sekali mungkin ada yang berkorban. Mungkin dua tiga tahun berikutnya langsung tidak ada. Ada atau tidak lembu yang dikorbankan tidak pula mengganggu sambutan penduduk kampung terhadap hari Raya Haji.

Apa yang kami pentingkan bukan lembu-lembu tetapi untuk sama-sama merayakan hari kebesaran agama. Justeru, tidak pernah ada orang kampung saya menjadi lembu atau mendahulukan lembu-lembu daripada berhari raya.

Sekarang ini lembu-lembu semakin banyak. Kita semakin dikelilingi oleh para lembu. Lembu-lembu ini kelihatan sama banyaknya dengan kemunculan kontraktor kelas F daripada gerombolan United Malays National Organisation.

Sehinggakan, kebelakangan ini terutama di musim Raya Haji amat susah hendak kita membezakan yang mana lembu dan yang mana kontraktor kelas F.

Akhirnya budaya melembu dan membawa lembu-lembu ke masjid ketika hari Raya Haji ini semakin tersebar luas. Saya pernah terbaca dua tahun dahulu – ada sebuah masjid di utara Semenanjung – telah menjadi masjid lembu kerana ada 150 ekor lembu yang berkumpul untuk dikorbankan.

Rasanya bertong-tong darah lembu mencurah-curah di sekitar masjid. Maka semakin ramailah warga yang mendapat rezeki daging lembu.

Kerana lembu-lembu ini telah semakin banyak dan dilihat tidak lagi istimewa, maka ada pula lembu yang ingin menjadi unta!

Binatang ini disabitkan dengan padang pasir. Padang pasir disabitkan dengan Arab Saudi. Arab Saudi pula disabitkan dengan tanah kelahiran Muhammad. Lalu, lembu-lembu ini melihat - jika menjadi unta - adalah lebih afdal daripada menjadi lembu.

Yang pelik tetapi benar, unta ini ialah unta-unta yang bukan penduduk asli dari bumi Ibnu Saud. Unta ini telah didatangkan khusus dari benua Australia, bukan unta Arab. Unta-unta ini diharap akan menambahkan lagi "kesucian" korban di pagi raya.

Unta-unta ini juga akan menjemput borak-borak kosong daripada orang-orang kampung tentang si polan dan si polan yang dulunya "lembu" tetapi telah mendapat projek, maka telah berupaya menjadi unta.

Inilah kisah lembu-lembu Melayu yang ada kereta besar dan sudah pandai menjadi unta!

Di sini saya ingin nyatakan sekali lagi: tiadalah perkara yang paling bodoh untuk dilakukan melainkan meniru dan membuat apa yang telah dibuat oleh musuh kita.

Dalam kisah lembu-lembu di Selangor ini, rasa saya adalah paling tidak bijak jika kerajaan Pakatan Rakyat meneruskan budaya yang telah diteroka dan dikembangkan oleh musuh mereka.

Musuh kerajaan Pakatan dalam konteks kerajaan Selangor ialah Barisan Nasional. Taiko gerombolan Barisan Nasional ialah United Malays National Organisation.

Budaya lembu yang diamalkan oleh United Malays National Organisation ini saya yakin tidak ada bersangkut-paut dengan niat dan cita-cita untuk bersedekah jariah di pagi raya.

Ahli-ahli gerombolan menghadiahkan lembu-lembu ini dengan tujuan memperlihatkan kepada orang Melayu/Islam tentang betapa waraknya dan sucinya kehidupan mereka.

Mereka menjadikan lembu-lembu ini sebagai jurucakap dan warga contoh tentang betapa tebalnya keislaman mereka. Sehinggakan mereka sanggup bersedekah kepada fakir miskin.

Tetapi mereka buat-buat tidak sedar. Punca kemiskinan itu datang daripada lembu-lembu ini juga. Lembu-lembu inilah yang merampok tanah rakyat. Lembu-lembu ini jugalah yang menjadi "subkontrakor" yang membuat sekolah yang akhirnya runtuh-rantah.

Lembu-lembu ini juga yang membuat hospital yang tidak boleh diguna pakai. Lembu-lembu ini juga yang merembat duit rasuah dengan harga mark-up yang tinggi terhadap apa sahaja kontrak daripada kerajaan.

Di pagi hari Raya Haji, lembu-lembu ini menyucikan diri datang ke masjid dengan unta-untanya.

Dalam pentabiran moden, dalam konteks Selangor dan Malaysia hari ini, saya rasa bukan tugas sebuah pentabiran kerajaan untuk memberi sedekah kepada warga.

Kita bukan lagi hidup di zaman Harun Aminul Rashid di Baghdad yang keluar menyamar di waktu malam sambil bertanya-bertanya tentang kesusahan penduduk.

Bersedekah menaburkan duit di jalan-jalan raya pada zaman ini akan dilihat lucah.

Dalam pentabiran daulah moden, seharusnya ada lembaga-lembaga yang diwujudkan untuk memastikan tidak ada warga yang tercicir, daif dan hidup dalam kebejatan.

Mendirikan dan memastikan lembaga-lembaga ini memiliki dana yang cukup untuk menjaga kebajikan orang ramai adalah tugas pemimpin dan pentabiran sesebuah kerajaan.

Malah, inilah yang diajukan oleh Islam dan agama-agama lain agar membuat kebajikan antara kita sesama manusia.

Menyembelih lembu setahun sekali akan dilihat sebagai propaganda kosong. Bukan daging lembu yang seharusnya diberikan oleh sebuah kerajaan moden seperti di Selangor.

Memberi daging lembu untuk warga tidak akan menyelesaikan masalah. Daging lembu ini mungkin hanya cukup untuk dibuat rendang dan kurma untuk dua kali makan.

Kehidupan warga lebih daripada sekadar kari lembu atau rendang lembu.

Memang tepat anak-anak syarikat kerajaan negeri Selangor wajib memiliki tanggungjawab sosial. Pada hemat saya, memberi daging lembu bukan khidmat sosial. Khidmat sosial ialah memberi dana kepada lembaga-lembaga NGO, badan-badan seni budaya, badan- badan amal yang membolehkan khidmat-khidmat sosial ini akan berterusan sepanjang tahun.

Harus para pemimpian kerajaan Selangor menyoal diri mereka sendiri: Jika lembu untuk hari Raya Haji, binatang apa pula untuk Tahun Baru Cina, Deepavali, Krismas, Hari Vesak? Pertanyaan ini perlu kerana warga Selangor terdiri daripada pelbagai agama dan kepercayaan.

Jika ini ada dalam kepala, maka inilah contoh kerajaan adil untuk semua.

Lebih tepat lagi sebuah kerajaan yang adil akan berusaha untuk mendidik warganya tentang cara dan teknik memelihara lembu; menyediakan kawasan-kawasan ragut untuk penternakan lembu. Bukan membuat kerja macam lembu, tetapi melahirkan ladang-ladang lembu yang dapat terus-menerus menyedikan bahan makanan.

Sayugia diingati rakyat tidak hendak menjadi lembu. Rakyat juga tidak hendak pemimpin lembu. Rakyat juga tidak selesa jika menteri besar dikelilingi oleh lembu-lembu. Rakyat tidak hendak agihan daging lembu setahun sekali di pagi hari Raya Haji.

Apa yang wajib diagihkan kepada rakyat ialah keadilan, ketelusan dan kesaksamaan dalam sesebuah pentabiran. Rakyat hendak kerajaan yang berkiblatkan kebajikan bukan kepada lembu.

Jika ada susuk-susuk yang sedang berkeliaran menjadi lembu atau membawa taukeh-taukeh kontrak lembu, maka mereka ini wajib dikorbankan.

Inilah jenis lembu-lembu - jika dikorbankan - rakyat pasti akan bertepuk tangan gembira. Korbankan mereka sekarang sebelum rakyat melembukan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor.

Monday

Kemelut Umat Islam: Antara TAJDID dan TAFSID

Pengenalan Tentang Tajdid

Tajdid ialah suatu proses pembaharuan dalam umat Islam, yang mengeluarkan umat Islam dari kepincangan kepada kondisi yang lebih cemerlang, gemilang dan terbilang. Konsep tajdid ini merupakan senjata kekuatan umat Islam sejak zaman berzaman, di mana, setiap kali umat Islam mengalami kemunduran, maka Allah s.w.t. akan melahirkan individu atau golongan dalam umat Islam, yang sanggup menggadaikan hidup mereka demi membaikpulih umat Islam dan menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh umat Islam.

Sabda Baginda s.a.w. yang bermaksud : ‘‘Allah s.w.t. akan mengutuskan bagi umat ini (umat Islam), setiap seratus tahun orang yang akan memperbahrui (tajdid) agamanya (agama umat Islam’’ (Hadis riwayat Abu Daud, Al-Hakim, Al-Baihaqi, Al-Hasan bin Sufian, Al-Bazzar, At-Tabrani, Abu Nu’aim dan sebagainya).


Realiti Umat Islam: Keperluan kepada Golongan Mujaddid


Suatu fenomena yang amat menggembirakan, apabila timbul ramai golongan yang cuba merealisasikan konsep tajdid ini, khususnya pada zaman ini, di mana umat Islam dirundung seribu satu macam kepincangan, di segenap aspek kehidupan mereka.

Dari sudut kerohanian, ramai umat Islam yang tidak menjalinkan hubungan yang baik dengan Allah s.w.t., samada dengan mentaati perintah-Nya mahupun dengan meninggalkan larangan-Nya. Apa yang disuruh, itulah yang ditinggalkan dan apa yang dilarang, maka itulah yang dilakukan (na'uzubillah).

Benih-benih keimanan sudah hilang dari dada mereka. Akar-akar ketaqwaan sudah kian rapuh dimamah seribu satu maksiat dan dosa. Mereka hilang hala tuju, tidak pasti ke mana mahu dituju. Apa yang pasti, bagi mereka, hidup hanya sekali, sekurang-kurangnya itulah peluang untuk berhibur.

Keimanan tentang alam selepas kematian, baik alam kubur mahupun alam darain (dua rumah, iaitu syurga dan neraka) telah pudar. Hijab antara mereka dan Tuhan mereka semakin menebal.

Adaupun dari sudut kebendaan, umat Islam turut tersenarai di kalangan negara-negara mundur ataupun membangun. Bahkan, umat Islam seolah-olah perlu menjadikan tamadun Barat sebagai guru dalam kemodenan. Kayu pengukur sesebuah tamadun juga ialah tamadun Barat, sedangkan masyarakat Islam yang sepatutnya menjadi umat manusia yang terbaik, seolah-olah sudah hilang identitinya.

Dari sudut kemasyarakatan pula, umat Islam menghadapi kepincangan yang amat dahsyat. Segala penyakit kemasyarakatan dapat disaksikan dalam umat Islam secara umumnya. Institusi kekeluargaan masyarakat Islam juga kian rapuh, di mana seorang isteri sudah lagi tidak menghormati suaminya dan seorang anak sudah tidak lagi mempedulikan ibu bapanya.

Dari sudut ekonomi, ketenteraan dan ilmu pengetahuan pula, umat Islam tidak ketinggalan dalam menjadi umat yang ketinggalan, jauh di belakang negara-negara Barat. Bertolak dari itu juga, umat Islam semakin ditindas saban hari dalam segenap aspek. Pelbagai serangan dilancarkan ke atas umat Islam, samada serangan berbentuk ketenteraan, serangan ekonomi mahupun serangan pemikiran.

Realiti ini mengetuk pintu-pintu hati mereka yang perihatin tentang Islam dan umatnya. Ada di kalangan umat Islam yang turut terpanggil untuk melakukan perubahan dalam mengembalikan kedaulatan Islam dan umatnya. Ramai di kalangan mereka yang menyeru kepada proses reformasi umat Islam dalam konteks tajdid.

Bertolak dari itu, timbullah pelbagai gerakan-gerakan tajdid dalam masyarakat Islam, yang membawa wadah pembaharuan dalam umat Islam. Gerakan-gerakan tersebut mula menyusun langkah dalam agenda pengstrukturan semula umat Islam. Pelbagai pendekatan dilakukan dalam mendaulatkan Islam semula, dalam masyarakat Islam, kerana kunci kebangkitan umat Islam ialah pada Al-Qur'an dan As-Sunnah. Umat Islam tidak akan mampu untuk menjadi umat yang terbaik, sehinggalah mereka berpegang dengan Al-Qur'an dan As-Sunnah dan mengamalkannya dalam segenap aspek kehidupan mereka.

Apa yang kita lihat melalui fenomena munculnya pelbagai gerakan Islam ini, seolah-olah ianya merupakan suatu perkembangan yang positif dalam mengembalikan semula kedaulatan Islam. Namun, dari sudut yang berbeza, kita dapati juga, ada segelintir golongan yang turut menyertai gelombang tajdid umat Islam tersebut, namun tidak memahami terlebih dahulu prinsip-prinsip tajdid itu sendiri.

Di Sebalik Nama Tajdid

Kita terlebih dahulu amat menyokong gelombang tajdid dan reformasi dalam masyarakat ini, dan semoga Allah menjadikan kita termasuk dalam golongan yang membawa panji-panji Islam dan terlibat dalam gelombang tajdid dan islah tersebut.

Namun, nasihat itu memberi manfaat kepada umat Islam (insya Allah). Apa yang ingin diperkatakan di sini ialah, tentang sikap dan tindakan segelintir golongan yang mengaku sebagai pendokong tajdid, namun bertindak dalam bentuk yang berlawanan dengan apa yang didokongi tersebut.

Fokus penulis ialah tentang segelintir manusia yang gagal mengenalpasti punca kelemahan umat Islam, lantaran itu, secara tidak langsung membuka pintu-pintu baru dalam menambah kerosakan umat Islam.

Atas nama tajdid, golongan tersebut membawa isu-isu remeh seperti perkara-perkara khilafiyah, ke tengah-tengah masyarakat awam Islam, seterusnya membawa kepada gejala perpecahan dan saling menyalahkan antara satu sama lain.

Golongan ini cuba membela pendapat-pendapat ulama' dan ketua mereka, lantas menyerang dan menjatuhkan mazhab-mazhab para ulama' yang bercanggah dengan mereka. Fenomena ini merupakan suatu realiti yang berlaku dalam masyarakat Islam.

Golongan tersebut wujud dalam pelbagai nama yang berbeza, tetapi manhaj mereka tetap sama, walaupun ada di kalangan mereka cuba menafikan perkaitan mereka dengan yang lain.

Kemunculan Wahhabi

Secara umumnya, golongan tersebut dikenali sebagai golongan Wahhabi. Mereka merupakan golongan yang terpengaruh dengan gerakan dakwah dan pemikiran seorang penda'i Islam, Muhammad bin Abdul Wahab. Slogan perjuangan mereka ialah untuk menyucikan Tauhid umat Islam yang sudah tercemar dengan pelbagai pencemaran, termasuklah daripada ajaran-ajaran tarikat dan kesufian.

Pelbagai tuduhan dilemparkan terhadap golongan sufi secara umumnya, walaupun kita tidak menafikan bahawa, ada sebahagian dari mereka (golongan sufi) yang sesat. Tetapi, "pukul sama rata" dalam menuduh golongan sufi secara keseluruhannya adalah sesat merupakan suatu jenayah ilmiah dan suatu fitnah yang besar.

Golongan ini tidak terhenti setakat itu sahaja, bahkan mereka juga menyerang dan menyalahkan pendapat-pendapat dan mazhab-mazhab fiqh yang tidak bersesuaian dan tidak menepati mazhab dan pendapat mereka dalam masalah fiqhiyah. Bukan setakat itu sahaja, bahkan ada di kalangan mereka juga yang turut membid'ahkan golongan-golongan yang tidak sehaluan dengan mereka, samada dalam masalah fiqh, aqidah mahupun akhlak.

Dalam perkembangan yang sama, ada di kalangan mereka yang tidak bersetuju dengan gelaran Wahhabi, lantas menukarkan nama gerakan dan mazhab mereka sebagai Salafi, yang bermaksud, golongan yang mengajak kepada manhaj Salaf yang hidup dalam 3 kurun yang pertama dalam sejarah Islam.

Baik Salaf mahupun Wahhabi, manhaj dan kaedah dakwah mereka sama. Mereka bermati-matian menyerang golongan sufi secara keseluruhan dan menyerang pendapat-pendapat dan ijtihad para ulama' yang bercanggah dengan ijtihad guru dan ketua mereka, seperti Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab dan Sheikh ib Taimiyah.

Ta'asub mazhab mereka terlalu menebal, walaupun mereka mengaku tidak bermazhab dan menolak tradisi bermazhab dalam umat Islam. Bagi golongan ini, kebenaran adalah bersama mereka dan selain dari mereka adalah sesat dan bid'ah. Bahkan, lebih kritikal daripada itu, mereka terlalu mudah mengkafirkan umat Islam yang tidak sehaluan dengan mereka khususnya golongan sufi.

Wujudkah Wahhabi di Malaysia?

Setelah kita fahami sedikit sebanyak tentang golongan tersebut, dapatlah kita fahami bahawa, mereka sebenarnya membawa kepada gelaja perpecahan dan kemelut umat Islam yang lebih besar, atas nama tajdid.

Hendaklah kita fahami bahawa, golongan tersebut cuba menebarkan pengaruh mereka ke serata dunia. Kalau di Mesir ini, mereka bergelar sebagai Ansor Sunnah. Golongan tersebut telah membawa pelbagai kemelut dan perpecahan dalam umat Islam di Mesir sehingga memaksa para ulama' Al-Azhar menjawab segala pertuduhan mereka terhadap umat Islam secara umumnya, dan golongan sufi khususnya.

Kita tidak mahu aliran Wahhabi ini menyelinap masuk ke dalam negara Malaysia yang dicintai, agar kesatuan masyarakat Islam di Malaysia dapat dipertahankan. Walaupun tidak ada golongan atau individu di Malaysia yang mengaku sebagai Wahhabi, tetapi ingatlah bahawa, Wahhabi itu bukan pada nama, tetapi pada fikrah dan kaedah golongan tersebut.

Kalau kita perhatikan di Malaysia, tiada golongan yang jelas Wahhabinya, namun ada individu atau segelintir golongan yang mendokong fikrah dan wadah perjuangan mereka (golongan Wahhabi).

Ada yang berselindung di dalam universiti-universiti awam, ada yang berselindung dalam medan penulisan, ada yang berselindung dalam dunia internet, ada yang berselindung di sebalik nama PROTAZ, bahkan ada juga yang berselindung di dalam jamaah-jamaah haraki di Malaysia. Apa yang pasti, fikrah mereka sama dengan fikrah dan agenda para Wahhabi.

Untuk mengenalpasti golongan "Neo-Wahhabi" di Malaysia, ada beberapa ciri antaranya:

Mereka sering mengarang tulisan-tulisan dan buku-buku dalam usaha menyebarkan pendapat-pendapat baru dalam fiqh Islam, seterusnya menghimpunkan dalil-dalil untuk menolak dan mengingkari pendapat-pendapat fiqhiyah yang diamalkan oleh para mufti masyarakat awam dan di Malaysia, sejak dahulu lagi (mazhab Syafi'e), seperti menolak bacaan Qunut setelah solat Subuh dan sebagainya.

Ada juga yang cenderung untuk menyerang golongan-golongan sufi, dan menyesatkan keseluruhan golongan sufi tanpa membezakan antara golongan sufi yang sesat ataupun yang benar. Bahkan, ada juga yang sampai menolak istilah tasauf itu sendiri.

Ada juga di kalangan mereka yang menimbulkan kecelaruan di tengah-tengah masyarakat awam Malaysia dengan mengetengahkan persoalan-persoalan khilafiyah (diperselisihkan ulama' mengenainya), seperti masalah tawassul dan sebagainya.

Kita tidak nafikan juga, ada di kalangan mereka yang sering mengadakan pelbagai seminar tentang manhaj dakwah Salafi samada dalam masyarakat awam mahupun dalam masyarakat intelektual, bagi bertujuan untuk menerapkan fikrah-fikrah yang memecahbelahkan umat Islam.

Dari ciri-ciri tersebut, kita bukanlah ingin membuat kesimpulan bahawa, setiap yang melakukan perkara-perkara tersebut adalah termasuk dalam golongan Wahhabi, tetapi kita ingin menyatakkan bahawa, kemungkinan, mereka yang melakukan perkara tersebut, sekurang-kurangnya, sudah terpengaruh dengan gagasan pemikiran Wahhabi (dan boleh jadi juga tidak).


Mengapa Wahhabi atau Neo-Wahhabi Perlu Ditolak?


Kita dapati bahawa, fikrah Wahhabi boleh memecahbelahkan masyarakat kerana mereka menutup ruang perbezaan pendapat di kalangan umat Islam. Mereka terlalu mengagung-agungkan pendapat mereka sehingga berani menyalahkan atau membid'ahkan pendapat dan ijtihad yang bercanggah dengan pegangan mereka. Ini boleh membawa kepada sebuah masyarakat yang saling salah-menyalahkan dan akhirnya membawa kepada perpecahan di kalangan umat Islam.

Golongan ini juga cuba menerapkan perbincangan-perbincangan yang bercanggah dan pertentangan dengan praktis dana amalan masyarakat Islam awam khususnya di Malaysia, yang mana, muftilah yang menjadi tempat rujukan agama bagi masyarakat awam. Budaya mengetengahkan kelainan pendapat dalam agama dalam masyarakat Islam, serta menolak pendapat, ijtihad, mazhab dan amalan masyarakat awam di Malaysia yang diambil daripada para mufti mereka, merupakan suatu usaha yang bakal membawa kepada perpecahan dan kekeliruan.

Bahkan, fikrah Wahhabi juga bukanlah suatu fikrah yang menyeru kepada tajdid, tetapi ianya menyeru kepada tajmid (menjumudkan), kerana ia menolak sebarang pembaharuan yang diada-adakan walaupun ianya demi kemaslahatan umat Islam dan tidak bercanggah dengan nash-nash dari Al-Qur'an dan As-Sunnah, hasil dari salah faham mereka terhadap hadis Rasulullah s.a.w. tentang bid'ah.

Mereka juga menolak konsep pembahagian bid'ah kepada bid'ah hasanah dan bid'ah dholalah, yang menjadi pegangan kebanyakkan para ulama' Islam. Lantaran itu, mereka bersikap keras dalam masalah yang diperselisihkan para ulama' mengenainya, seolah-olah mereka sahaja yang memahami nash-nash Islam, sedangkan yang bertentangan dengan mereka tidak memahaminya, walaupun pada hakikatnya, golongan yang bercanggah dengan mereka (Wahhabi) lebih kuat hujahnya berbanding mereka.

Kita tidak menolak Wahhabi kerana dendam kesumat, bak kata Dr. Asri, tetapi kita menolak Wahhabi kerana ianya membawa kepada perpecahan dan i'jabul mar'i bi ra'yihi (taasub seseorang dengan pendapat sendiri).

Kita tidak menolak Wahhabi kerana gurunya ialah Muhammad bin Abdul Wahab. Kita akui, ada di kalangan ulama' yang memujinya, walaupun ramai juga di kalangan ulama' yang menolaknya. Kita tidak menolak Wahhabi kerana mereka cuba membersihkan masyarakat Islam dari kepincangan. Masalahnya, perjuangan Wahhabi itu sendiri, hasil dari salah faham mereka terhadap prinsip-prinsip Islam dan realiti umat Islam.

Wahhabi menyeru umat Islam supaya kembali kepada Al-Qur'an dan As-Sunnah, sedangkan Al-Qur'an dan As-Sunnah itu sendiri terdapa banyak kefahaman mengenai isi-isinya. Sedangkan dalam bidang Al-Qur'an sendiri, kitab-kitab tafsir yang menafsirkan ayat-ayatnya amat banyak. Begitu juga kitab-kitab hadis, di mana Sahih Al-Bukhari dan Sahih Muslim juga disyarah oleh para ulama'. Ini menunjukkan bahawa, nash-nash Al-Qur'an dan As-Sunnah juga ditafsirkan dan disyarah dalam pelbagai pendapat dan tafsiran. Ini menunjukkan juga bahawa, para ulama' turut berselisihan dalam memahami nash-nash Al-Qur'an dan As-Sunnah.

Namun, apa yang diseru oleh Wahhabi ialah, kembali kepada Al-Qur'an dan As-Sunnah, tetapi menurut kefahaman siapa? Kebanyakkan umat Islam sebelum kewujudan para Wahhabi juga telah berpegang dengan Al-Qur'an dan As-Sunnah dalam bidang fiqh, aqidah mahupun tasauf. Buktinya, para ulama' sebelum kehadiran Wahhabi juga menjadikan seluruh hidup mereka untuk berkhidmat kepada Al-Qur'an dan As-Sunnah samada melalui kitab-kitab mereka mahupun dalam majlis ilmu mereka. Mereka saban hari menyeru umat Islam di zaman mereka berpegang kepada Al-Qur'an dan As-Sunnah di samping menjelaskan kefahaman-kefahaman Al-Qur'an dan As-Sunnah kepada masyarakat.

Kemunculan Wahhabi yang mengajak kepada "berpegang kepada Al-Qur'an dan As-Sunnah" merupakan suatu ajakan yang kosong kerana umat Islam sebelum kedatangan Wahhabi juga telah berpegang kepada Al-Qur'an dan As-Sunnah, walaupun ada yang terpesong (tetapi majoritnya masih lagi menggunakan Al-Qur'an dan As-Sunnah sebagai rujukan).

Jika begitu, umat Islam yang setelah sekian lama berpandukan Al-Qur'an dan As-Sunnah sebagai panduan mereka dalam hukum dan sebagainya, sebelum kedatangan Wahhabi, mengapakah para Wahhabi tiba-tiba muncul menyeru kepada perkara yang sudah dilakukan oleh majoriti umat Islam (iaitu berpegang dengan Al-Qur'an dan As-Sunnah)?

Kita boleh menyimpulkan beberapa andaian dari kemunculan Wahhabi yang menyeru supaya kembali kepada Al-Qur'an dan As-Sunnah sedangkan umat Islam sudahpun menggunakan Al-Qur'an dan As-Sunnah sebagai sumber hukum, adalah seperti berikut:

Pertama: Kemunculan gerakan Wahhabi yang menyeru kepada "berpegang dengan Al-Qur'an dan As-Sunnah, kerana mereka memerhatikan segelintir daripada umat Islam tidak berpegang dengan Al-Qur'an dan As-Sunnah.

Hal ini menyebabkan mereka membawa gerakan-gerakan secara besar-besaran dalam menyeru umat Islam seluruhnya kembali kepada Al-Qur'an dan As-Sunnah. Apa yang kita lihat, seruan Wahhabi ini sepatutnya bersifat juz'i (cabang) kerana bukan semua umat Islam tidak berpegang dengan Al-Qur'an dan As-Sunnah. Hanya segelintir daripada mereka sahaja yang tidak berpegang dengan Al-Qur'an dan As-Sunnah seperti golongan fasiq, golongan sufi yang sesat, golongan falsafah yang menyeleweng dan sebagainya.

Tetapi, mengapa mereka yang sepatutnya melakukan gerakan yang bersifat juz'i (cabang), tiba-tiba membesarkan skop gerakan mereka sehingga memperjuangkan mazhab-mazhab imam mereka, lantas menolak mazhab-mazhab yang bercanggah dengan mazhab imam mereka?

Apa yang jelas bagi mereka takkala mereka melakukan sedemikian ialah, mereka menganggap hanya mazhab mereka sahaja yang sesuai dengan Al-Qur'an dan As-Sunnah dan menepati kehendak dan kefahaman nash-nash yang ada, sedangkan mazhab-mazhab yang lain tidak benar. Ini membawa kepada usaha menyerang ijtihad-ijtihad yang tidak sehaluan dengan mereka, dalam usaha memertabatkan mazhab mereka.

Ini merupakan satu jenayah yang amat besar dalam umat Islam. Mereka cuba menutup pintu khilafiyah dan membawa kepada perpecahan umat Islam, kerana mereka lantaran itu, menyalahkan dan membid'ahkan mereka yang tidak sesuai dengan pendapat mereka (Wahhabi).

Kedua: Kemungkinan juga, Wahhabi mucul dengan slogan "kembali kepada Al-Qur'an dan As-Sunnah", kerana tidak faham dengan apa itu Al-Qur'an dan As-Sunnah dan fahaman sempit mereka tentang Al-Qur'an dan As-Sunnah itu sendiri.

Hakikatnya, mereka bukanlah menyeru kepada Al-Qur'an dan As-Sunnah, tetapi mereka menyeru kepada kefahaman mereka terhadap Al-Qur'an dan As-Sunnah. Mereka mahu seluruh umat Islam memahami nash-nash sesuai dengan kefahaman mereka! Ini merupakan suatu agenda yang amat bahaya dan merosakkan institusi ijtihad umat Islam. Ini kerana, kebanyakkan daripada nash-nash dari Al-Qur'an dan As-Sunnah bersifat Dzonniyah Ad-Dhilalah (tidak jelas petunjuknya). Maka, dari situlah Allah s.w.t. membuka ruang berijtihad kepada para ulama' untuk menggali hukum sekadar kefahaman mereka, sesuai dengan ilmu dan akal yang mereka miliki.

Hal ini membawa kepada perbezaan pendapat di kalangan para ulama' dalam memahami sesuatu dalil tersebut. Berdasarkan pada perbezaan fahaman inilah, timbulnnya perbezaan hukum tentang suatu masalah, sesuai dengan ijtihad para ulama'.

Apa yang (nampaknya) menjadi agenda golongan Wahhabi bukanlah mengajak umat Islam kepada Al-Qur'an dan As-Sunnah (yang begitu luas pemahamannya), tetapi mereka menyeru umat Islam supaya berpegang dengan kefahaman mereka ataupun kefahaman imam mereka dari Al-Qur'an dan As-Sunnah, dan meninggalkan pendapat-pendapat, kefahaman-kefahaman dan mazhab-mazhab yang bertentangan dengan mazhab dan kefahaman mereka.

Buktinya, kita dapat lihat sendiri tentang pelbagai isu yang cuba ditimbulkan, contohnya seperti isu tawassul, dan sebagainya, yang merupakan isu khilafiyah yang diperselisihkan ulama' mengenainya. Mereka (dalam bab tawassul) menghentam dan menyalahkan golongan yang bertawassul dengan orang yang telah mati, sehingga ada yang menuduh golongan yang bertawassul adalah golongan yang syirik, sedangkan golongan yang membenarkannya mempunyai dalil dari Al-Qur'an dan As-Sunnah juga (bahkan lebih kuat dari dalil Wahhabi yang menolaknya).

Pelbagai lagi contoh yang dapat kita lihat dalam karangan-karangan mereka, di mana mereka menghentam golongan yang bercanggah dengan pegangan mereka, bahkan para ulama' sekalipun tidak terlepas dari hentaman mereka.

Kalaulah mereka menyeru kepada Al-Qur'an dan As-Sunnah, sepatutnya mereka mengajak golongan tidak berpegang dengan Al-Qur'an dan As-Sunnah kepada kembali kepada Al-Qur'an dan As-Sunnah, bukan mengajak orang kepada kesempitan dalam menggali hukum dari Al-Qur'an dan As-Sunnah.

Mereka yang hanya berpegang kepada pendapat mereka dan menghentam pendapat golongan lain dalam masalah khilafiyah sehingga ada yang sanggup mengkafirkan dan membid'ahkan mereka (golongan yang tidak sehaluan dengan pendapat Wahhabi), tidaklah melainkan menyeru umat Islam kepada taasub kepada sesuatu mazhab.

Kalaulah benar mereka ingin menyeru umat Islam kepada Al-Qur'an dan As-Sunnah, maka fahamilah dahulu bahawa terdapat banyak nash-nash dari Al-Qur'an dan As-Sunnah bersifat dhonniyah ad-dilalah yang menjadi tempat perselisihan para ulama' dalam memahaminya dan menggali hukum daripadanya. Kalaulah seruan mereka kepda Al-Qur'an dan As-Sunnah, mereka tidak sepatutnya memperbesarkan persoalan-persoalan khilafiyah dan tidak perlu menghentam pendapat-pendapat yang tidak selari dengan mereka, selagimana pendapat-pendapat yang lain juga ada sandarannya dari Al-Qur'an, As-Sunnah, Ijmak dan Qiyas.

Sikap menyerang dan saling menyalahkan antara satu sama lain merupakan sikap yang boleh membawa kepada perpecahan dalam umat Islam. Ia bukanlah konsep tajdid tetapi tidak lain melainkan ianya merupakan suatu usaha tafsid memusnahkan umat Islam.

Adakah ini Islam yang Rasulullah s.a.w. bawa? Adakah ini yang dikatakan rahmat buat sekalian alam?

Golongan Wahhabi sudah tersasar jauh dari prinsip-prinsip kelapangan Islam di mana mereka bukanlah suatu golongan yang memperbaiki umat Islam atau mengajak umat Islam kepada Al-Qur'an dan As-Sunnah, tetapi mereka memecahbelahkan umat Islam dengan sikap kejumudan mereka dalam masalah khilafiyah dan mengajak umat Islam kepada "kefahaman mereka" terhadap Al-Qur'an dan As-Sunnah.

Jadi, demikianlah sedikit sebanyak penjelasan, tentang persoalan "mengapa kita perlu menolak Wahhabi"?

Kita amat meraikan gerakan tajdid dalam umat Islam, tetapi kita perlulah bezakan yang mana itu tajdid dan yang mana yang dikatakan sebagai tafsid? Ini kerana, ada golongan (seperti Wahhabi) yang berselindung di sebalik nama tajdid padahal agenda mereka hanyalah ingin memecahbelahkan umat Islam, samada secara sengaja atau tidak.

Garis perbezaan antara gerakan tajdid dan gerakan tafsid ialah, sejauhmana mereka merealisasikan tajdid dengan prinsip-prinsip dan kaedah-kaedah yang betul. Gerakan tajdid yang sejati adalah mereka yang meraikan keterbukaan dan perselisihan dalam lapangan ijtihad fiqhiyah di samping memahami konsep kesatuan Islam dari perselisihan tersebut iaitu: "Kita bersikap tegas terhadap perkara yang disepakati oleh para ulama' dan kita bersikap terbuka dan memaafkan (berlapang dada) dalam perkara yang diperselisihkan oleh para ulama' mengenainya".

Imam Hasan Al-Banna (yang dahulunya seorang sufi Tarikat As-Syazuliah Al-Husofiyah) suatu ketika dahulu berjaya memahami konsep tersebut lantaran itu berjaya menbentuk jamaah yang berkesan dalam usaha tajdid ini. Namun, golongan Wahhabi yang gagal memahami konsep ini, membawa kepada perpecahan dalam masyarakat hasil dari sikap saling salah-menyalahkan dalam masalah cabang dan khilafiyah.

Semoga Allah s.w.t. membantu kita dalam memperjuangkan Islam dan membersihkan umat Islam dari kepincangan yang berlaku.


Wallahu a'lam...

Al-Faqir ila Rabbihi Al-Ghani Al-Kabir
Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin
Al-Azhar, Mesir

Sensitiviti politik global kalangan umat Islam masih rapuh

KELUHAN mengenai ketidakprihatinan rakyat Malaysia dalam kempen memboikot produk Amerika Syarikat (AS) dan Israel memberi satu tamparan hebat betapa rapuhnya sensitiviti umat Islam dalam senario politik antarabangsa.

Hakikatnya, sensitiviti kita mengenai nasib umat Islam di Palestin masih boleh diragui jika diukur melalui usaha untuk memboikot barangan Israel dan AS. Setiausaha Gabungan Badan NGO Malaysia, Mohd Jurit Ramli menyatakan kekecewaan situasi ini (Utusan Malaysia, 19 Januari 2009).

Bagi rakyat Malaysia, mahupun di kalangan umat Islam khasnya, sambutan dingin untuk menyertai kempen tersebut sememangnya mempunyai seribu satu alasan yang akhirnya menunjukkan kita sebenarnya tidak merasai betapa azabnya peperangan.

Mungkin juga kita begitu dangkal mengenai hal ehwal antarabangsa apatah lagi perkara-perkara yang menyentuh kepentingan ummah seperti fakta-fakta ekonomi dan kedudukan umat Islam berbanding penganut agama lain.

Meskipun kutipan derma atau sumbangan kewangan terus menjadi petunjuk keprihatinan kita namun usaha itu perlu digembleng bersama-sama dengan perancangan yang berbentuk jangka masa panjang. Umpamanya kutipan dana untuk Palestin semakin meningkat tetapi ia belum dapat membuktikan pakatan sesama umat Islam dalam memerangi Israel yang sepadu sifatnya.

Bukan menafikan sumbangan ikhlas rakyat Malaysia, tetapi masih ada ruang-ruang yang kelihatan masih perlu diisi dengan pakatan umat Islam agar memberi pengajaran kepada sesiapa sahaja yang cuba menindas umat Islam dengan sewenang-wenangnya.

Tun Dr. Mahathir Mohamad mencadangkan agar kita memboikot barangan Israel, jangan membeli senjata AS dan menyeru agar negara-negara Islam bersatu untuk tidak lagi menggunakan mata wang dolar AS dalam transaksi perdagangan. Ini sejajar dengan usaha beliau untuk mengembalikan kegemilangan mata wang dinar emas dan dirham perak sewajarnya menjadi peringatan.

Tujuan sebenar adalah untuk mengukuhkan perdagangan dan sistem ekonomi umat Islam dengan langkah yang lebih efektif dan memberi pengajaran kepada Israel.

Seruan tersebut ada asasnya kerana 57 negara Islam yang menganggotai Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) yang terdiri daripada 57 buah negara wajar membentuk blok ekonomi melalui satu pakatan yang erat di kalangan negara anggota.

Apatah lagi kita mempunyai sumber ekonomi negara yang utama menyumbang keuntungan kepada AS dalam pelbagai produk yang dieksport ke sana.

Bagi menggerakkan kepesatan ekonomi di kalangan negara Islam ia perlu dilakukan dengan lebih agresif agar kesannya dapat dinikmati oleh umat Islam di seluruh dunia, tanpa mengenal sempadan geografi dan ideologi politik.

Hala tuju pakatan umat Islam dalam bidang ekonomi juga seiring dengan titah Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah ketika Majlis Penutupan Kongres Ekonomi Islam Ke-3 anjuran Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) baru-baru ini.

Baginda mengumpamakan ketirisan ekonomi dan kegelinciran di peringkat pelaksanaan hanya merugikan ummah, ibarat memagar kelapa condong; pohonnya tumbuh di kebun, buahnya jatuh ke kebun orang lain. Itulah yang berlaku kepada umat Islam apabila sumber pendapatan kita dibelanjakan untuk memberi kekayaan kepada Israel tanpa kita sedar bahawa kitalah penyumbang kepada pembunuhan rakyat Palestin.

Sudah tentu ketika ini pakatan strategik dalam bidang ekonomi merupakan jalan terbaik untuk mengekang kekejaman Israel dan sekutunya AS meneruskan agenda untuk menguasai dunia melalui holocaust.

Di sebalik putar belit AS-Israel yang sarat dengan aksi perang, inilah hakikat akibat kerapuhan sensitiviti umat Islam yang sering kali tewas di kalangan pendokong sistem kapitalis meskipun ternyata ia lebih memihak kepada paksi kekuatan dan kerakusan golongan kaya semata-mata.

Si miskin yang sewajarnya dibantu hanya mampu menadah tangan memohon belas ihsan untuk hidup seperti manusia yang lain. Kita tunduk mengalah akibat kerapuhan ekonomi umat Islam yang sering dilabelkan miskin, papa kedana dan hidup merempat.

Pada waktu yang sama realiti bahawa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga sudah rapuh kerana keangkuhan Israel sewajarnya menjadi peringatan bahawa umat Islam tidak perlu lagi mengharapkan bantuan luar untuk memperbaiki kehidupan kita pada masa akan datang.

Justeru, bagi mempertahankan diri daripada serangan Israel maka seluruh umat Islam perlu mempertingkatkan sensitivitinya sendiri dengan pakatan ekonomi yang lebih agresif dan berkesan.
_____________________________________________________________________________________
Saya tidak hanya menerima begitu sahaja apa yang dilihat, anda tidak boleh percaya sepenuhnya apa yang anda lihat atau dengar. Jangan terburu-buru membuat kesimpulan tanpa berfikir...TUN M

RAHISAM RAMLI
Pensyarah Fakulti Pengajian Islam, Kolej Teknologi Islam Antarabangsa Melaka (KTIM)

Betul ke Nabi buta huruf?

Adakah benar Nabi Muhammad SAW telah belajar membaca dan menulis sebelum wafat? Dan adakah benar baginda menulis doa pelindung kepada orang sakit?

Berkata Syeikh Dr. Yusuf Al-Qardhawi:
Tidak syak lagi bahawa Nabi Muhammad SAW merupakan orang yang buta huruf sejak dilahirkan sehinggalah pada akhir peringkat di Mekah. Memang benar baginda buta huruf sehinggalah baginda wafat, baginda hidup dan mati dalam keadaan buta huruf. Buta huruf merupakan mukjizat bagi baginda, tetapi ianya suatu sifat kekurangan bagi kita.

Dalil-dalilnya kita dapati dari Al-Quran, hadis dan sejarah, antaranya:

1) Allah berkata: “Iaitu orang-orang yang mengikut Rasulullah (Muhammad s.a.w) Nabi yang Ummi, yang mereka dapati tertulis (namanya dan sifat-sifatnya) di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka. Ia menyuruh mereka dengan perkara-perkara yang baik, dan melarang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang keji; dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk; dan ia juga menghapuskan dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada pada mereka. Maka orang-orang yang beriman kepadanya, dan memuliakannya, juga menolongnya, serta mengikut nur (cahaya) yang diturunkan kepadanya (Al-Quran), mereka itulah orang-orang yang berjaya”. (Surah Al-A’raf: 157)

2) Allah berkata: “Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya aku adalah Pesuruh Allah kepada kamu semuanya, (di utus oleh Allah) yang menguasai langit dan bumi, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang menghidupkan dan mematikan. Oleh itu, berimanlah kamu kepada Allah dan RasulNya, Nabi yang Ummi yang beriman kepada Allah dan Kalimah-kalimahNya (Kitab-kitabNya); dan ikutilah dia, supaya kamu beroleh hidayah petunjuk”. (Surah Al-A’raf: 158)

3) Allah berkata: “Dia lah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a.w) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata”. (Surah Al-Jumuah: 2)

Perkataan ummi dari ayat-ayat di atas memberi dua makna:
1- Orang yang tidak tahu membaca dan menulis.
2- Orang yang tidak ada kitab agama seperti Taurat dan Injil.

Makna yang kedua itu juga mungkin boleh diterima, tetapi makna yang pertama itu lebih tepat berdasarkan beberapa ayat dan hadis lain:

1) Allah berkata: “Dan engkau (wahai Muhammad) tidak pernah tahu membaca sesebuah kitab pun sebelum turunnya Al-Quran ini, dan tidak pula tahu menulisnya dengan tangan kananmu; (kalaulah engkau dahulu pandai membaca dan menulis) tentulah ada alasan bagi orang-orang kafir yang menentangmu akan merasa ragu-ragu (tentang kebenaranmu)”. (Al-Ankabuut: 48)

Maksud ‘Dan engkau (wahai Muhammad) tidak pernah tahu membaca’ merujuk pada penafian membaca, manakala maksud ‘dan tidak pula tahu menulisnya dengan tangan kananmu’ merujuk pada penafian menulis.

Maksud ‘tentulah ada alasan bagi orang-orang kafir yang menentangmu akan merasa ragu-ragu’ menjelaskan tentang sebab Allah menjadikan baginda seorang yang ummi iaitu tidak tahu membaca dan menulis supaya orang kafir tidak merasa syak dan ragu tentang kebenaran risalah baginda.

Mereka (orang kafir) mengatakan: “Dia ni (Muhammad) hanya membaca semula buku-buku kaum yang terdahulu dan membawa semula apa yang sudah ditulis!”

Oleh itu, sifat buta huruf ini dapat menghilangkan rasa syak dan ragu itu tadi.

2) Nabi SAW berkata: “Kami adalah umat yang buta huruf, tidak tahu membaca dan mengira”.

Hadis ini disepakati oleh Imam Bukhari dan Muslim dan dilaporkan oleh Ibnu Umar RA.

Baginda telah menjelaskan maksud buta huruf iaitu tidak tahu membaca dan mengira. Takrif ini juga diterima oleh kebanyakan ahli pendidikan hari ini untuk orang buta huruf iaitu orang yang tidak tahu membaca dan mengira, iaitu tidak tahu ilmu matematik.

Sifat buta huruf ini –seperti yang kami katakan- adalah mukjizat untuk Nabi SAW. Bagaimana orang seperti baginda ini boleh menyampaikan kepada kita pelbagai ilmu yang bermanfaat, kata-kata yang tersusun indah, hukum-hukum syarak yang adil, adab-adab yang mulia dan nasihat-nasihat yang bijaksana?

Sebahagian ulama pula berpendapat bahawa Nabi SAW pada akhir hidupnya telah tahu menulis. Antara dalil mereka ialah:

1) Bahawa baginda SAW telah memadamkan namanya ‘Rasulullah’ dari kertas perjanjian Hudaibiyah ketika Ali RA menolak untuk memadamnya.

Memanglah tidak dinafikan bahawa baginda boleh tahu bentuk namanya dan sifatnya ‘Muhammad Rasulullah’ dan memadamkan perkataan selepas namanya (Rasulullah), atau maksud ‘memadam’ itu ialah baginda menyuruh orang lain padamkan, sepertimana dikatakan: “Sultan telah menulis untuk fulan dengan ini”, iaitu menyuruh fulan, atau “Abu Jaafar Al-Mansur telah membina bandar Baghdad” iaitu memerintahkan untuk dibina.

2) Hadis yang direkodkan oleh Bukhari dan Muslim tentang Perjanjian Hudaibiyah iaitu: “Maka Rasulullah telah mengambil kertas itu, yang mana baginda tidak pandai menulis, baginda telah tuliskan: “Bahawa inilah yang telah diputuskan oleh Muhammad bin Abdullah..”.

Hadis ini telah memberitahu kita dengan jelas bahawa baginda tidak pandai menulis. Adapun tulisan baginda “Bahawa inilah yang telah diputuskan oleh Muhammad bin Abdullah..” menggantikan apa yang ditulis oleh Ali iaitu “Muhammad Rasulullah” tidak menunjukkan bahawa baginda tidak tahu menulis melainkan beberapa perkataan sahaja seperti “Muhammad bin Abdullah”. Akan tetapi, pengetahuan yang sangat sedikit ini tidak dapat menukar sifat seseorang dari buta huruf kepada seorang yang tahu menulis.

Sebenarnya telah banyak diceritakan kepada kita kisah sejarah hidup baginda secara terperinci, tetapi tidak pernah diberitahu bahawa baginda menulis kepada raja itu dan ini atau sesiapa sahaja, bahkan baginda tidak menulis Al-Quran yang diturunkan kepada baginda sekalipun.

3) Hadis yang diredkodkan oleh Ibnu Majah: “Semasa malam aku diisrakkan, aku telah nampak di syurga satu tulisan iaitu “Memberi sedekah diberikan sepuluh kali ganda pahala, manakala memberi pinjam diberikan lapan belas kali ganda pahala”.

Maka di sini kemahiran membaca juga adalah sebahagian dari kemahiran menulis. Walau bagaimanapun, matan hadis ini bercanggah dengan akal iaitu bagaimanakah pahala pinjaman yang perlu dibayar semula lebih banyak dari pahala sedekah yang tidak perlu dibayar? Walau bagaimanapun, hadis ini masih boleh ditakwilkan.

4) Adapun yang dikatakan bahawa baginda SAW telah menulis doa pelindung dengan tangannya, maka ini tidak pernah diketahui asalnya daripada baginda SAW. Baginda hanya memohon perlindungan kepada Allah SWT dan memang terdapat banyak doa yang baginda ajarkan.

Saya tidak tahu dari mana sumber yang mengatakan baginda menulis doa pelindung dengan tangannya. Seolah-olah orang ini mahu menghalalkan perbuatan mereka yang telah tersebar di kalangan masyarakat. Padahal baginda SAW telah memerangi golongan bomoh, dukun, tukang tilik dan jampi syirik ini, sepertimana yang telah disebutkan dalam banyak hadis yang sahih.

Salahkah Orang Kafir Baca Quran?

PARA pemuka Islam kini kalut membuat laporan polis terhadap Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming (foto) kerana Kong Ming membaca sepotong ayat Quran dalam ceramahnya. Cara Kor Ming membaca ayat Quran itu dikatakan telah menghina dan mempersendakan kitab suci Islam itu.

Mufti Perak, Harunssani Zakaria juga turut sama bangkit mengecam dengan bertanya apa hak Kor Ming membaca ayat Quran kerana dia (Kong Ming) tidak beriman kepada Islam?


Kenyataan dan pertanyaan Harussani itu mengejutkan! Apakah orang kafir tidak boleh membaca ayat Quran? Begitu sekali kerasnya Islam sampai melarang orang bukan Islam daripa membaca kitab suci itu.

Dalam hal ini saya merasa anih dengan tingkah laku umat Islam negara ini yang begitu sensitive bila menyentuh soal agama. Sensitif yang berlaku itu pula tidak kena pada tempatnya. Macam mana orang bukan Islam hendak mengetahui keistimewaan Quran dan mujizat Nabi Muhammad s.a.w. itu kalau mereka tidak boleh membaca ayat al-Quran?

Tidak ada pula didalam Quran ayat-ayat menjelaskan Quran tidak boleh dibaca oleh bukan Islam. Yang ada ialah ayat-ayat Quran yang mencela mereka yang tidak beriman dengan al-Quran. Tidak ada juga ayat yang melarang orang kafir daripada menyentuh al-Quran?

Dalam hal ini siapakah yang tidak beriman dengan al-Quran? Saya rasa bukan saja Kor Ming tetapi orang Islam (Melayu) juga tidak beriman dan yakin dengan Auran dan sunnah.

Tidak beriman dan yakin dengan Quran ialah tidak mengambil ayat-ayat Quran sebagai panduan dalam memerintah negara. Demikian juga mereka yang menghina janggut nabi juga manusia yang mempersendakan Rasulullah.

Dalam kes Kor Ming ini saya tidak nampak yang Setiausaha DAP Perak itu mencela dan menghina al-Quran. Seharusnya umat Islam dan para pemuka Islam memuji langkah Kor Ming itu dan merasa bangga sebab Kor Ming merujuk kepada Quran. Beliau tidak merujuk kepada Bible, Taurat atau pun Zabur untuk menguatkan hujahnya. Tetapi dia rujuk kepada Quran. Itu merupakan satu keistimewaan kepada Islam.

Umat Islam negara ini khasnya mereka yang mempertikaikan tindakan Kor Ming itu saya rasa tidak luas pengetahuannya dalam ilmu agamanya. Mereka tidak sampai mencecah ilmu syariat, tariqat, hakikat dan marifat. Mereka lebih terkongkong dengan ideologi politik partisan.

Di Kelantan orang Cina membaca ayat Quran dalam cermah politiknya sesuatu yang tidak pelik dan asing. Tahun-tahun 70-an Pengerusi MCA Kelantan, Foo Chow Yong sering kali membaca ayat Quran dalam ceramah-ceramahnya dan juga ucapan rasmi sebagai Exco Kerajaan Kelantan.
Saya masih ingat ayat yang menjadi kesukaanaya ialah ayat dalam surah Aali-Imran: 103 yang bermaksud; Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai dan ingatlah nikmat Allah kepadamu."

Chow Yong membaca ayat itu menyeru orang supaya bersatu padu dan tidak berpecah belah. Seruan supaya berpadu adalah ajaran Islam. Maksud dan tujuannya samalah dengan ayat yang dibaca oleh Kor Ming itu yang bermaksud hendaklah kamu (pemerintah) berlaku adil sesama insane (manusia).

Kalaulah Kor Ming tersalah koute, kenapa perlu membuat laporan polis. Sepatutnya kesalahana itu ditegur dengan baik dan penuh hikmah. Shabul Samaah Mufti Perak, Harussani sepatutnya memanggil dan mengajar Kor Ming dengan bacaan yang betul dan benar. Beliau bukanya melenting dan menunjukkan sikap perang dengan bukan Islam.

Di Kelantan bila Chow Yong baca ayat Quran umat Islam tidak melatah. Tidak ada ustaz, atau pun tok iman dan NGO Islam yang membuat laporan polis mendakwa dia mempersendakan Islam. Ini menunjukkan rakyat Kelantan faham mengenai hal itu dan tidak mudah memandang serong kepada orang bukan Islam yang membaca ayat-ayat Quran.

Sepatutnya uamt Islam di Perak dan juga mereka yang mempertikaikan tindakan Kor Ming itu belajar dan mengambil iktibar apa yang dilakukan oleh rakyat Kelantan.


Sikap dan ketinggian kefahaman mengenai Islam itu nampaknya masih diteruskan oleh Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat (foto). Nik Aziz bila ditanya mengenai Kor Ming itu tidak melenting dan melihatnya penuh bijaskana. Katanya, “sepatutnya Kor Ming lama dah membaca al-Quran dan tindakan beliau itu hasil dakwah Pas.”

Mutfi Kelantan juga ketika itu Allahyarham, Datuk Haji Mohamad Noor, tidak pun menegur tindakan Foo Chow Yong itu. Apakah dalam soal ini, Murfi Perak Harussani merujuk kitab berlainan dengan kitab yang rujuk oleh Mufti Datuk Haji Mohammad Noor, Mutfi Kelantan dalam melihat kes Foo Chow Yong itu?

Cara pemuka Islam yang membuat laporan polis dan Mufti Perak menengur Kor Ming itu ia menyebabkan orang bukan Islam jadi semakin takut dan gerun untuk mendekati Islam. Bagi saya tindakan dilakukan oleh umat Islam yang bertujuan menyokong UBN itu tidak bersifat fatah dan berfahaman sempit.

http://msomelayu.blogspot.com/

Saturday

Terapi Solat: Khazanah Amalan Rasulullah SAW

Prof Dr Wan Abu Bakar (kanan) bersama Dr Fatimah dan Ng Siew Chok bersama buku mengenai rahsia solat dari segi sains.

HASIL kajian Jabatan Kejuruteraan Biomedikal Universiti Malaya mendapati setiap gerakan solat mempunyai manfaat tersendiri yang mampu meningkatkan tahap kesihatan secara menyeluruh.

Terapi Otot dan Kecergasan Fizikal Tubuh Badan

Profesor Dr Wan Abu Bakar Wan Abas yang mengkaji aktiviti otot memberitahu manusia perlu sentiasa melakukan regangan dan senaman kerana otot menjadi lebih kuat apabila selalu digunakan. Katanya, hasil kajian mendapati solat yang membabitkan gerakan tubuh seperti berdiri, tunduk dan bongkok menyamai senaman ringan.

“Kebanyakan otot serta sendi bergerak ketika solat. Umat Islam beruntung kerana solat yang wajib dilakukan setiap hari menyamai aktiviti senaman dan regangan yang memperkuatkan sistem otot dan fizikal tubuh,” katanya.

Malah, katanya solat sama seperti terapi fizikal yang jika dilakukan secara berterusan dan betul menghasilkan kesan positif terhadap tubuh. Beliau berkata, kajian lebih teliti sedang dilakukan untuk mengenap pasti otot yang aktif ketika solat.
Terapi Anti-Stres dan Kawalan Minda yang lebih Tenang & Fokus

Ng Siew Chok yang bertindak mengkaji isyarat otak semasa solat berkata, perubahan kimia berlaku apabila otak aktif. Proses kimia yang menyebabkan pergerakan ion atau atom membawa cas elektrik boleh diukur menggunakan elektrod yang diletakkan pada kulit kepala. Sejenis alat, iaitu EEG (Electroencephalography) digunakan untuk mengukur isyarat otak daripada aktiviti elektrik.

“Gelombang otak mempunyai beberapa frekuensi irama yang dipengaruhi oleh keadaan fizikal dan emosi. Jenis gelombang otak Alfa (8-13 Hz) menunjukkan keadaan tenang,” katanya.

Walaupun bukan Islam, Siew Chok kagum terhadap hasil kajian yang dilakukannya apabila mendapati keadaan dan pemikiran orang selepas bersolat tenang dan menyamai keadaan selepas bangun tidur.

“Ada fenomena menarik dalam solat, iaitu keadaan berdiri seketika sebelum sujud sebagai peringkat paling tenang ketika bersolat. Saya bukan Islam dan diberitahu bahawa keadaan itu adalah tamakninah,” katanya.

Ketika itu, katanya isyarat alfa meningkat secara mendadak yang menunjukkan seseorang itu berada dalam keadaan tenang.

Siew Chok berkata, solat juga meningkatkan penumpuan terhadap sesuatu perkara dan memperkuatkan kuasa otak.

Sehubungan itu, katanya solat membolehkan seseorang itu menyediakan otak untuk lebih bersedia terhadap sesuatu cabaran yang perlu dihadapinya dalam aktiviti harian.

Terapi Imbangan Komposisi Tubuh yang lebih Stabil

Dr Fatimah Ibrahim yang mengkaji komposisi tubuh semasa solat berkata, komposisi tubuh mengandungi empat komponen utama, iaitu tisu aktif, tisu tulang, komponen air dan lemak.

Beliau berkata, ada beberapa kaedah untuk mengukur komposisi tubuh, tetapi kajian itu menggunakan Analisis Penyepadanan Bio yang menghasilkan keputusan tepat, pantas dan selamat, berbanding pengambilan darah.

“Teknik ini tidak digunakan secara meluas di hospital negara ini, tetapi di Amerika Syarikat, teknik ini digunakan untuk menilai status penyakit seperti Aids, diabetes, demam denggi dan pelbagai penyakit kritikal lain,” katanya.

Dalam kajian ini, katanya model untuk mendapatkan komposisi tubuh terbaik adalah dengan melakukan lima perkara, iaitu solat lima kali sehari, memahami maksud bacaan dalam solat, solat berjemaah, rukuk dengan betul (90 darjah) dan melentikkan jari kaki ketika duduk antara sujud dan tahyat akhir.

Dr Fatimah berkata, orang yang tidak melakukan lima perkara ini mempunyai komposisi tubuh yang kurang baik.

Terapi Mengekalkan Kesihatan dan Memulihkan Tenaga yang Hilang

Katanya, kajian mendapati secara keseluruhan orang yang solat berjemaah mempunyai kesihatan lebih baik berbanding yang bersolat secara bersendirian.

“Kita mendapati apabila berjemaah, orang yang melakukan solat bersentuh bahu ke bahu. Tubuh manusia seperti bateri. Ketika bersolat, cas tubuh manusia mengalir seperti dalam litar dan akhirnya meneutralkan cas tubuh.

"Sebelum solat, ada orang yang penat dan ada yang tidak penat. Ketika solat, orang yang tidak penat dan mempunyai cas positif akan mengalirkan cas positif kepada orang yang letih dan mempunyai cas negatif,” katanya.

Katanya, ini yang menyebabkan orang yang bersolat jemaah mempunyai badan bertenaga dan lebih tenang.

Dr Fatimah berkata, solat tarawih dan berpuasa juga memberi kebaikan dan ini terbukti berdasarkan kajian yang dilakukan.

Sebelum Ramadan bermula, katanya komposisi badan diukur dan selepas 21 hari berpuasa, komposisi tubuh yang diukur semula mendapati keadaan tubuh sihat seperti kolesterol rendah akibat kadar pembakaran lemak yang meningkat serta paras glukos rendah.

Terapi Sakit Bahagian Pinggang

Selain itu, katanya posisi tubuh (posture) dalam solat dapat mengubat sakit pinggang. Malah jika berjumpa doktor, pesakit disuruh melakukan senaman seperti berdiri dan membongkokkan tubuh yang menyamai gerakan solat.

Beliau berkata, keputusan positif itu adalah berdasarkan ukuran saintifik dengan meletakkan beberapa sensor (pengesan) di tulang belakang pesakit untuk melihat isyarat otot.

Katanya, hasil kajian mendapati pesakit yang mengikuti terapi solat selama sebulan, iaitu dengan membuat rukuk 90 darjah, sakit pinggangnya berkurangan.

“Ini membuktikan terapi solat boleh digunakan untuk merawat sakit pinggang. Kita akan menerbitkan buku kedua terapi solat yang bukan saja sesuai untuk wanita normal, tetapi untuk wanita mengandung. Bukan Islam juga boleh mengikuti terapi ini dengan melakukan senaman sama seperti gerakan solat,” katanya.

Terapi Mati Pucuk

Jangan terkejut kerana solat boleh merawat Erektil Disfungsi (ED) atau lebih dikenali sebagai mati pucuk, masalah kesihatan yang lelaki amat takut.

Untuk lelaki normal, keupayaan seksual adalah tiga kali penegangan ketika tidur dan volum ketika ketegangan mesti lebih 200 peratus.

“Kajian dilakukan dengan mengukur zakar (pesakit diajar melakukan ukuran). Pada bulan pertama, tiada ketegangan langsung, tetapi selepas melakukan terapi selama dua bulan iaitu dengan melakukan solat tambahan, sudah ada ketegangan dan volum mencapai tahap normal,” katanya.

Beliau berkata, terapi adalah dengan cara melakukan solat sunat sebanyak tiga kali seminggu dengan setiap terapi sebanyak 12 rakaat atau kira-kira 30 minit.

Terapi Pesakit Jantung

Selain itu, katanya antara hasil kajian yang menarik perhatian pakar sakit jantung ialah mengenai kadar denyutan jantung kerana selama ini, kajian saintifik lain menyatakan bahawa kadar denyutan jantung paling rendah adalah ketika berbaring.

“Kajian mendapati ketika solat, keadaan sujud mencatatkan kadar denyutan paling rendah dan lebih baik berbanding ketika baring. Ini menunjukkan posisi tubuh ketika solat adalah bagus,” katanya.

Sehubungan itu, katanya kajian akan dilakukan dengan lebih meluas untuk melihat sama ada posisi tubuh ketika solat boleh merawat sakit jantung.

Katanya, pakar jantung gembira dengan hasil kajian itu kerana boleh memperkenalkan terapi solat kepada pesakit jantung untuk melakukan senaman. Ketika ini, setiap pesakit jantung perlu melakukan senaman selama 30 minit setiap hari. Allahu 'alam