Tuesday

Perak Memerlukan Perlembagaan Tubuh Yang Baru

http://msomelayu.blogspot.com

MEREKA yang tidak memilih politik sebagai kerjaya tetapi menganggap politik sebagai satu mekanisme terbaik untuk memilih pemimpin bagi mentadbir negara merasa mual dengan apa yang berlaku di Perak khasnya, dan apa yang berlaku dalam arena politik negara muasir ini.

Lebih-lebih lagi pergolakan politik di Perak itu menjadikan semua tekak mereka jenis itu merasa loya dan ada yang sudah termuntah. Mereka menjadi letih dan malas membicarakan soal politik yang dianggap sebagai tidak ada kesudahan dan moral lagi.

Satu masalah besar apabila rakyat sudah melihat politik itu seperti jambatan tahi ia bakal menimbulkan masalah kepada negara.

Seharusnya sebelum rakyat mengambil sikap membenci politik, kualiti politik negara ini perlu ditingkatkan. Orang politik sepatutnya berusaha dan bertanggungjawab bagi meningkat kualiti dan keyakinan umum kepada siasah serta menjaga wibawa mereka sebagai pemain politik negara ini.

Betapa hari ini rakyat diheret untuk berkencah dalam situasi itu yang tidak memberi keuntungan kepada mereka. Semuanya merugikan masa depan rakyat manakala pemain politik pula lebih untuk menjaga kedudukan dan kuasa mereka. Peripolitik orang politik sudah tandus dan kering.

Implikasi yang timbul dari keadaan itu, rakyat berada dalam keadaan tegang, hubungan Melayu sama Melayu yang bertentangan juga makin tegang dan kritis. Perkara-perkara yang menjadi rahsia bersama sebelum ini terpaksa diburaikan kerana untuk mempertahankan diri dan kerana ego masing-masing.

Pertalian saudara dan kepentingan bersama sudah mengecil dan di ketepikan kerana untuk menegak idealogi politik kebendaan dan kuasa masing-masing.

Orang politik tidak lagi berfikir untuk menjadikan politik sebagai alat untuk membawa kebaikan kepada rakyat. Politik bukan lagi wadah ataupun medan untuk memberi kesejahteraan rakyat dan mengurus negara dengan baik; memberi kesejahteraan dan keselamatan kepada rakyat.

Sebaliknya politik digunakan sebagai senjata untuk membendung kausa dan kekayaan sendiri. Sikap mementingkan diri dan kronis menjadi satu isme yang didewa-dewakan dalam politik.

Kalau mereka ada pelita fikir demikian, pergolakan politik seperti di Perak itu tidak akan berlaku. Apa lagi dalam keadaan ekonomi negara tidak menentu semuanya membebankan fikiran dan jiwa rakyat, mereka akan mencari masa lain untuk membuka langkah silap dan gelanggang gaduh. Bukannya waktu ini…waktu gawat.

Hari ini macam-macam kita dengar berlaku di Perak. Semuanya bermula daripada tindakan BN merampas kuasa yang dinaungi istana dan raja yang meragukan awal Februari lalu itu. Hari ini semua perkara ‘bercadas’ dan ‘berkadas’ antara satu sama lain. Seolah-olah negeri Perak kini tidak ada kitab tatacara hidup (perlembagaan) yang jelas dan sahih lagi.

Segala macam peraturan dan perkara dalam perlembagaan tubuh kerajaan negeri Perak seperti tidak sahih dan palsu atau boleh dipermainkan begitu saja. Sesiapa pun bebas bercakap dan mentafsir sendiri kemudian mempertahankan pandangan mereka sebagai benar walaupun ia jelas salah! Perlembagaan sudah tidak dihormati dan dipatuhi lagi, seolah-olah orang politik di Perak seperti buta huruf.

Betapa tidak di Perak hari ini ada dua orang menteri besar; seorang menteri besar istana dan seorang menteri besar rakyat. Keduanya mengaku adalah menteri besar yang sah. Ada dua barisan exco satu, exco lama satu exco baru. Begitu juga dengan kedudukan Speaker ada mengatakan kuasanya tidak sah dan tidak laku dan ada yang beranggapan Speaker masih sah dan berkuasa dan berhak melaksanakan tugas-tugasan mereka.

Kedudukan raja dan istana yang menjadi tempat rujuk dan naungan rakyat jelata juga sudah tidak dihormati lagi. Ada sebilangan rakyat yang menghormati raja secara membuta tuli dan ada yang sudah mula hilang kepercayaan dan kemuliaan institusi itu. Kata-kata raja juga bukan kata-kata pemutus lagi, apabila ada rakyat yang berani membantah dan pandangan raja hanya berlalu begitu saja.

Kebijaksanaan raja dan budi bicara raja juga tidak dihomartinya lagi. Keadaan hari ini payah untuk diputuskan siapa yang sebenarnya benar dan haq.

Lantaran kecamukan tidak berkesudahan itu maka berlakulah soal dakwa mendakwi. Menteri besar rakyat, Mohamad Nizar Jamlauddin memfaikan di mahkamah tinggi meminta mahkamah menentukan kedudukan Menteri Besar baru, Zambry Abdul Kadir sah atau tidak.

Pihak Zambry pula membuat laporan kepada SPRM dan minta mahkamah menentukan apakah keputusan Jawatankuasa Terpilih Dewan yang menggantungkannya selama 12 bulan dan ahli Exco lain selama 18 bulan sah atau tidak.

Terbaru, kerajaan pimpinan Zambry dikatakan akan meminta Jawatankuasa Hak dan Kebebasan yang dipengerusikan oleh Spaeker, V Sivakumar agar mengambil tindakan ke atas dirinya sendiri. Bukankah ini semua menunjukkan apa yang berlaku di Perak itu sudah mabuk dan menjadi seperti keluarga 69. Tempoyak sudah liat kerana ditenyeh dengan ulama petai dan jengkol.

Siapa salah? Yang jelasnya kalau Sultan Perak tahu menggunakan budi-bicara dan sungguh bijaksana kekecamukan ini tidak akan berlaku atau berpanjangan. Tetapi apabila ia berlaku dan kata raja tidak menjadi kata pemutus maka satu kebijaksanaan pihak istana yang diagungkan selama ini sudah tidak ada lagi.

Melihat suasana di Perak yang tidak ada kesudahan ini maka sukacita saya mencadangkan kalau pelembagaan Perak yang ada kini hendaklah dimansuhkan dan ganti dengan perlembagaan baru. Perak hendaklah gubal perlembagana baru yang meliputi semua aspek, baik kedudukan dan peranaan raja, kausa Dewan Undangan Negeri (DUN) dan perkara-perkara lain.

Perlembagana baru itu bolehlah membuat kesimpulan yang jelas mengenai sesuatu perkara misalnya mengenai bidang kuasa raja berpelembagaan, kuasa Menteri Besar sebagai eksekutif selepas dilantik memegang jawatan itu.

Pentafsiran-pentafsiran mengenai undang-undang juga hendaklah jelas dan tidak mengandungi makna dan maksud berlapis-lapis yang boleh menimbulkan masalah bila dipakai kelak.

Saya percaya hanya dengan adanya perlembagaan baru yang menjelaskan mengenai beberapa perkara penting seperti yang berlaku kini ia boleh menjernihkan keadaan dan insiden yang merugikan rakyat di Perak itu tidak akan berlaku lagi.

Yang nyatanya perlembagaan yang ada sekarang ini yang digunakan oleh kedua pihak dalam menegakkan pendirian masing-masing sudah tidak boleh dipakai lagi. Kerana kelonggaran pentafsiran perlembagaan itulah menyebabkan politik Perak kini berada dalam keadaan sembelit

AKAL MENGUKUR MAKLUMAT

Masalah paling besar dalam kalangan sesetengah yang memakai gelaran ‘agamawan’ atau tokoh agama adalah apabila mereka tidak memiliki manhaj atau method yang betul dalam memahami sesuatu fakta yang dikaitkan dengan Islam ini.

Lalu, atas kurang teliti, atau ‘kurang fikir’ atau ‘memang tak fikir’ mereka menelan semua perkara yang dikaitkan dengan agama samada hasil percakapan orang atau bahan bacaan. Dari situlah lahirnya khurafat, karut marut, tokok tambah, kekartunan pemikiran yang diberikan lebel agama.

Jika hal itu berterusan, maka kekeliruan terhadap agama akan berkembang lantas agama akan dipersenda dan didustai.

Inilah yang terjadi kepada agama Kristian di Barat pada hari ini sehingga penghormatan para penganutnya terhadap perlambangan utama agama tersebut; termasuk Tuhan dan Jesus menjadi bahan sendaan dan mainan. Ini kerana ajaran agama di Barat gagal menghadapi perkembangan akal kritis yang ada dalam kalangan mereka.

Ini berbeza dengan negara-negara yang rakyatnya berjiwa feudal, atau rakyatnya diharamkan berfikir lalu mereka menelan segala perkara, samada benar ataupun salah tanpa mampu, atau mahu berfikir. Inilah yang terjadi kepada penganut berhala totok yang menyembah apa sahaja yang terlintas atau difikirkan ajaib. Sesiapa yang pergi ke India akan dapat melihat kemandulan akal dalam beragama.

Sesuatu riwayat atau kisah atau matan yang hendak dianggap benar untuk dikaitkan dengan Islam dinilai secara kritis sejauh manakah kesahihan maklumat tersebut. Ini mesti dilihat kepada sumber maklumat; samada ia berasal daripada al-Quran dan al-Sunnah atau tidak?

Sementara jika riwayat itu bersumberkan hadis atau athar; hendaklah dipastikan ia riwayat yang diterima di sisi ilmu periwayatan. Bukan riwayat yang para perawi atau periwayatnya ditolak.

Setelah proses ini dilepasi, dinilai pula sejauh manakah kemunasabahan sesuatu teks atau riwayat itu. Adakah ia bertentangan dengan al-Quran, atau realiti yang nyata, atau sejarah yang tidak dipertikaikan, atau akal yang disepakati? Jika ini berlaku dan tiada jalan keluar untuk menserasikannya, maka riwayat itu ditolak.

Contohnya cerita bahawa Bahtera Nabi Nuh a.s. tawaf ka’bah dan bersolat di makam Ibrahim dua raka`at. Ini semua adalah dusta. Tidak masuk akal. Nabi Nuh a.s. wujud sebelum Ibrahim a.s. Sementara Kaabah dibina oleh Nabi Ibrahim dan Makam Ibrahim mengambil sempena nama Nabi Ibrahim a.s.

Di mana Kaabah dan makamnya ketika itu untuk Bahtera Nuh bertawaf? Dengan itu para ulama hadis hadis menolak cerita ini. Termasuk yang menempelak riwayat tersebut al-Imam al-Syafi’I (al-Jurjani, al-Kamil fi Du’afa al-Rijal, 4/270, Beirut: Dar al-Fikr). Malang sekali, masih ada penceramah agama yang mendendangkan kisah karut ini.

Beberapa email saya terima mengadu mengenai sebuah tulisan dalam akhbar ini yang menyatakan tentang sunat membuat bubur pada sepuluh Muharram kerana mengenangkan peristiwa pembunuhan Saidina Husain bin ‘Ali r.huma. Ada yang bimbang masuknya unsur syiah ke dalam masyarakat yang tidak diajar menilai sesuatu dengan kritis.

Saya kata; kita tidak bimbang asal-usul sesuatu unsur pemikiran atau kefahaman dari mana datangnya. Selagi ia benar atau bertepatan dengan fakta, datanglah dari mana sahaja, sekalipun dari Yahudi. Kebenaran tidak memilih bulu. Apa yang dibimbangi adalah unsur tersebut terpinggir jauh dari kebenaran.

Soal kelebihan amalan atau fadilat adalah ditentukan oleh Allah dan RasulNya. Dalam riwayat sahih yang manakah yang menyebut kelebihan membuat bubur hitam atau merah atau apa warna sahaja pada Hari ‘Asyura? Yang pasti ia tidak pernah ada. Apatahlagi peristiwa pembunuhan Husain bin ‘Ali berlaku pada tahun 61H, di zaman pemerintahan Yazid bin Mu’awiyah. (lihat: Ibn Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, 6/258, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).

Terlajak membicarakan tentang pembunuhan cucunda Nabi s.a.w ini, al-Husain bin ‘Ali yang amat kita cintai, ingin saya jelaskan bahawa ahli-ahli sejarah ramai yang berpendapat bukan Yazid yang membunuhnya seperti yang didakwa. Saya ingin memetik apa yang diulas oleh sejarahwan besar, al-Imam Ibn Kathir (meninggal 774H):

“Orang ramai mempunyai berbagai pendapat tentang Yazid bin Mu’awiyah. Ada yang mencintai dan mengangkatnya iaitu segolongan penduduk Syam yang beraliran Nasibiyyah. Adapun golongan Syiah Rafidah, mereka mengejinya dan mengada-adakan berbagai pembohongan yang Yazid tidak lakukan. Ramai mereka menuduhnya zindiq (kafir yang berpura muslim). Dia tidak sampai begitu. Sementara pihak yang lain, tidak menyukainya dan tidak pula mencercanya. Ini kerana mereka tahu dia bukan zindik seperti yang dituduh oleh golongan Syiah Rafidah, namun pada zaman pemerintahannya berlaku berbagai peristiwa yang jelek dan perkara-perkara yang dibantah, hodoh dan keji. Paling teruk adalah pembunuhan Husain bin ‘Ali di Karbala. Namun dia tidak tahu (mengarahkannya) dan barangkali dia tidak meredhainya” (al-Bidayah wa al-Nihayah, 6/256).

Kata tokoh pengkaji hadis al-Imam Ibn al-Salah (meninggal 643H):

“Tidak sahih di sisi kami bahawa Yazid memerintahkan agar dibunuh al-Husain r.a. Riwayat mereka yang dipercayai bahawa perintah agar dibunuh al-Husain dari orang yang mengepalai dalam pembunuhannya iaitu `Ubaid Allah bin Ziyad, gabenor Iraq ketika itu” (Ibn Tulun, Qaid al-Syarid min Akhbar Yazid m.s. 57, Kaherah: Dar al-Sahwah, Kaherah).

Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah (meninggal 728H) mempunyai ulasan yang menarik, katanya:

“Apabila kaum keluarga Husain datang kepada Yazid, dia memuliakan mereka dan mengiringi mereka ke Madinah. Diriwayatkan dia melaknat Ibn Ziyad atas pembunuhan al-Husain. Katanya: “Aku meredhai ketaatan penduduk Iraq tanpa membunuh al-Husain”. Namun begitu beliau tidak menampakkan bantahannya, membela kematiannya dan mengambil tindakan membunuh balas sedangkan itu adalah kewajipannya. Maka dengan itu, pendokong kebenaran mengutuknya disebabkan dia meninggalkan kewajipan di samping perkara-perkara lain. Adapun musuh-musuhnya mereka menokok tambah pendustaan ke atasnya berbagai-bagai lagi” (Ibn, Taimiyyah, Majmu’ al-Fatwa, 2/253, Riyadh: Maktab al-‘Abikan).

Unsur syiah bukan baru dalam masyarakat kita, walaupun ia belum lagi keterlaluan. Ini dapat dilihat bagaimana orang melayu menamakan akar-akar kayu dengan nama ‘Ali dan Fatimah; seperti tongkat Ali dan Kacip Fatimah. Tidak dinamakan tongkat Abu Bakr atau ‘Umar, tidak juga Kacip ‘Aishah, atau Habsah.

Dalam jampi juga ada menyebut: “fu kiri, fu kanan, berkat doa baginda ‘Ali”. Jika sekadar nama ‘Ali atau Fatimah tiada salahnya. Mereka ialah kaum keluarga Nabi s.a.w yang amat kita kasihi. Sebaliknya yang ditakuti apabila perkara yang tidak agama dianggap agama dalam Islam. Itu yang menakutkan.

Sehingga di Pakistan, Iraq, Iran dan kawasan-kawasan yang kuat pegangan Syiahnya, pada hari ‘Asyura mereka mencederakan diri masing-masing dengan alatan tajam kerana mengenangkan Saidina Husain dan kekejaman Yazid. Ribuan bahkan ratus ribu kaum Syiah berkumpul pada sepuluh Muharram saban tahun melukai tubuh dengan darah dan membasahi pipi dengan airmata mendendami Yazid dan mengenang al-Husain bin ‘Ali.

Lalu peristiwa hitam semalam, terus menjadi dendam hingga ke hari ini. Siapakah sasarannya? Apapun jawapannya, ia adalah antara sebab terpisahnya sunni dan syi’ah. Satu ajaran yang hidup dalam nostagia luka yang sebahagiannya mungkin benar, sebahagiannya mungkin palsu.

Apapun, saya tidak dapat bayang jika seseorang yang ingin menganut Islam hadir menyaksikan upacara yang dikaitkan dengan Islam yang dipenuhi manusia yang mencedera dan melukai diri sendiri, apakah dia akan terus menganggap agama yang membangunkan akal dan jiwa, mudah dan lurus mencapai Tuhan?

Atau mungkin dia tidak dapat membezakan antara ajaran Kristian yang mendakwa darah Jesus terpaksa ditumpah untuk menebus dosa manusia, atau mungkin dia akan keliru dengan agama sesat yang menyuruh penganutnya berjalan atas api dan melukai diri untuk menunaikan nazar atau menebus dosa? Saya tidak pasti. Apa yang pasti itu bukan sifat Islam seperti yang terkandung indah dalam al-Quran dan al-Sunnah.

Mohd Asri Zainul Abidin

Sunday

AKAR PERMASALAHAN POLITIK SEMASA

Frans De Walls, dalam bukunya Chimpanzee Politics (1982) ada mengungkapkan tentang ‘kelicikan Machiavellian’ ataupun ‘Machiavellian Intelligence’. Maksud yang ingin beliau huraikan ialah bagaimana kapasiti seseorang boleh memanipulasi keadaan sehingga menguntungkan nafsu peribadi. Tidak timbul soal prinsip atau tidak, asalkan matlamat menghalalkan cara. Biar siapa yang terkorban, sama ada keluarga, sahabat baik, prinsip agama, asalkan nafsu serakah ‘politik’ tercapai. ‘Machiavellian Intelligence’ boleh diterjemahkan melalui sikap berjanji, tetapi boleh bila- bila masa memungkiri janji. Boleh membohong, tetapi kadang- kadang sahaja bercakap benar. Boleh nampak baik dan ‘beriman’ di tempat awam, tetapi, boleh berwatakan ‘iblis’ jika di belakang orang. Boleh memuji depan orang, tetapi boleh mengumpat dan mengeji di sebaliknya. Semua ini tidak mustahil hari ini, kerana politik adalah segala- galanya.

Maka tidak menghairankan jika saling- sengketa perbalahan politik ada kaitannya dengan penganut faham politik ala Machiavellian. Apa bezanya dengan kriteria orang munafiq? Bukankah ciri orang Munafiq seperti yang terkandung dalam Hadith Sallahu’alahi Wasalam, iaitu bila berjanji suka mungkiri, bila bercakap suka berbohong dan bila diberi amanah suka khianati.

Apabila politik dilihat segalanya, makanya obsesi atau keghairahan terhadap politik melampaui batas. Apatah lagi apabila politik sebenarnya tidak mengenal prinsip. Tidak pernah dalam sejarah politik moden kejujuran dan kebaikan diletakkan di tempat paling atas sebagai prinsip paling utama. Prinsip yang mendominasi politik moden hari ini ialah semuanya berteraskan faham Machiavellian.

Benjamin Wiker dalam bukunya 10 Books That Screwed Up the World; And 5 Others Didnt Help menulis pengaruh Machiavellianisme yang telah mendominasi peta pemikiran politik semasa. Beliau mengesahkan bahawa sifat ‘iblis’ atau kejahatan ini akan sentiasa mendominasi karakter manusia, apabila melihatkan kebaikan sentiasa tunduk kepada ‘kelicikan’ iblis. Ini terbukti, bagaimana seorang hamba Allah yang mulia, pertama kali dilahirkan sebagai khalifah bernama Adam, tetapi ‘tumpas’ kepada bisikan Iblis.

Berapa ramai orang ‘alim atau ahli ibadat, yang kononnya rajin beribadat, tetapi rupanya diperdaya oleh Iblis kerana ujub dan takbur dengan sifat ‘alimnya. Ibn Qayyim Al Jauzi ada berpesan dalam bukunya ‘Talbis Iblis’ iaitu ‘Perangkap Iblis’ supaya orang beriman berhati- hati dengan permainan dan tipu helah iblis. Malah berapa ramai orang dermawan dan ilmuwan yang dihantar ke neraka kerana luarannya rajin menderma dan berbakti pada ilmu, namun rupanya ada niat keduniaan iaitu digelar sebagai dermawan dan ilmuwan. Kisah mereka ini ada dirakamkan dalam Hadith Sallahu’alahi wasalam.
Kebenaran Sering Tewas
Rupanya tipu helah iblis lebih berjaya dan ‘menang’ ke atas kebaikan. Hipotesis Benjamin Wiker mengesahkan kebenarannya. Makanya, dalam dunia politik moden apabila peta pemikiran didominasi oleh faham Machiavellian, tipu helah iblis sebenarnya yang melingkari ‘sarang’ politik itu. Sebab itu juga, biasanya sukar untuk kebaikan dan kebenaran menuju puncak di persada politik, kecuali di zaman- zaman tertentu, seperti Umar Al Aziz, Salahuddin Al Ayubi, Muhammad Al Fateh dan Khulafa Rashidin. Hatta zaman mereka pun ada saki baki watak ‘iblis’ seperti kaum munafiq, zindik dan kafir harbi, tetapi lingkarannya tidak sekuat lingkaran kebaikan.

Adakah kerana lingkaran ‘keiblisan’ dalam peta pemikiran politik semasa, makanya kita perlu merombak keseluruhan sistem politik moden, seperti membubarkan parti politik, tidak menjadi wakil rakyat, menghukum ‘kafir’ sesiapa yang berpilihanraya atau sebagainya? Barangkali persoalan ini perlu dijawab dengan jawapan yang berakar, iaitu worldview tentang politik semasa dan posisi kita dalam mengenal dan mengiktiraf kebenaran.

Gagasan demokrasi moden, seperti parlimen, parti politik, pilihanraya dan sebagainya dipersetujui oleh sebahagian besar ulama kontemporari seperti Sheikh Qaradawi, Dr Azzam Tamimi, Rashid Ghanushi dan ramai lagi. Persetujuan mereka tentang demokrasi moden bukan suatu yang ‘permanent’, tetapi sementara sahaja. Ini kerana dalam demokrasi moden, ada nilai yang selari dengan Islam seperti kebebasan hak asasi, bersuara, berkumpul, melantik pemimpin dan sebagainya. Ada nilai- nilai ideal dalam Islam yang boleh diselarikan dalam agenda demokrasi moden.

Namun, hipotesis Benjamin lebih ke hadapan. Berapa banyak parti berteraskan Islam atau yang ingin membawa ‘kebenaran’ berjaya di puncak kuasa, seperti di Algeria, Mesir, Turki dan Sudan? Kerajaan Hamas menang walaupun dengan sistem demokrasi moden tetap dinafikan kemenangannya! Asasnya ialah demokrasi moden yang ada hari ini bukan gelanggang berpihak kepada Islam. Semua undang- undang, falsafah, permainan dan pemainnya telah diatur oleh orang lain.

Apabila demokrasi moden ini dipaksa kepada ummat Islam, sebenarnya kita kekok dan janggal, kerana bukan gelanggang kita. Apakah pula kita berpindah kepada faham Misi Khalifah anutan Hizbut Tahrir? Mungkin terlalu ideal dan sekadar ‘bermimpi’ jika sekadar slogan kita mampu selesaikan masalah ummat Islam hari ini.

Dekonstruksi Autoriti dan Pengaruh Sekularisme
Banyak agenda asas terkorban apabila gelanggang demokrasi moden menjadi pertembungan politik faham Machiavellian. Ada dua perkara yang menjadi korban, iaitu kecenderungan mendekonstruksi autoriti dan seterusnya membuka ruang yang luas untuk faham sekularisme.

Apabila seorang mufti dihina kerana sekadar mengungkap firman Allah Ta’ala, “Taatlah kamu kepada Allah dan Rasul, dan pemimpin di kalangan kamu”, dalam situasi politik bergelora, makanya mufti itu dicerca, dihina dengan tuduhan keji seperti anjing kerajaan, makan rasuah, kaki bodek dan sebagai tuduhan hina. Sikap terlalu obses dengan politik menyebabkan sukar untuk melihat kebenaran dan mengakui kesilapan. Adakah pernah sebuah parti politik Melayu hari ini, tidak kira di pihak kerajaan atau pembangkang saling sokong menyokong antara satu sama lain dalam agenda bangsa Melayu dan Islam? Kerana terlalu ‘party- centric’, maka yang baik dikatakan buruk, yang buruk terus dihentam.

Agak pelik sebenarnya kerana seorang mufti yang terbukti kewibawaannya, apabila bercakap ‘seakan cenderung’ kepada keputusan pemerintah terus dihina dan dicerca oleh orang Islam sendiri yang obses dengan politik. Ini menaikkan lagi ‘keghairahan’ orang yang tidak seagama, kerana autoriti dalan agama Islam sedang beransur- ansur dimakan ‘anai- anai’ oleh umat Islam sendiri. Jika pihak mufti atau agamawan bercakap benar, walau tidak memihak kepada pihak parti, maka terus di’hantar’ ke lembah ketidakpercayaan. Makanya selepas ini siapa lagi yang boleh dipercayai sekiranya ada golongan agamawan atau ilmuwan bercakap benar, hanya kerana tidak memihak kepada sokongan parti politik?

Apabila autoriti dalam agama diserang, ia telah membuka ruang untuk faham sekularisme menyerbu masuk. Fenomena obses melampau kepada politik dalam demokrasi moden ini biasanya menguntungkan agenda ‘keiblisan’. Bukankah politik moden tidak kenal dengan ‘kebaikan dan kebenaran’? Apabila keiblisan diangkat tinggi, soal agama dan akhlak sekadar tempelan sahaja. Autoriti yang telah diruntuhkan menyebabkan faham kebenaran terpulang kepada keuntungan parti politik. Epistemologi kebenaran dilihat kepada sokongan parti politik, bukan lagi kepada akar kebenaran. Siapa yang bercakap benar dalam politik, walau berpandukan wahyu, akan dilihat sekadar pandangan peribadi, bukan pandangan hakiki. Makanya pihak lawan tidak akan menerima kebenaran itu.

Walhal dalam sejarah ketamadunan Islam yang lalu, tidak timbul entiti pemerintah dan pembangkang, yang ada hanya ra’ie (pemimpin) dan rakyat. Yang menjadi masalahnya dalam pemerintah dan pembangkang hari ini, majoritinya seagama dan sebangsa! Banyak kudrat dan masa dibazirkan akibat terlalu banyak sengketanya.

Peranan ulama dan ilmuwan dahulu pula bertugas menasihati pemerintah, dan tidak pula berada di posisi membangkang. Jika ada kemungkaran dan kezaliman, nasihat menjadi senjata para ulama dan ilmuwan. Imam Syafiee, Hanafi, Hanbali, Ghazali, Said Nursi dan ramai lagi, pernah dipenjara, dipukul dan dihina, tetapi tidak pula mereka mengumpul anak murid dan menentang pemerintah. Said Nursi Badi’uzzaman, ditakdirkan bertemu dengan Mustafa Kamal Attartuk, manusia moden paling kejam dan sekular. Pernah dipenjara beberapa kali, diancam bunuh, tetapi tidak pernah ada catatan beliau mengumpul pengikutnya menentang Attarturk. Yang ada ialah beliau mendidik dan mencetak generasi yang sedar dengan Islam. Apa yang terkelumit dalam hati ulama dan ilmuwan silam ialah rasa tidak reda dengan kezaliman yang dilakukan.

Wacana sekularisme dalam politik moden telah mendominasi, malah berakar dalam politik Barat.. Sebab itu pemisahan agama dan kuasa direkod awal- awal dalam perlembagaan negara mereka, seperti di Amerika Syarikat, negara pertama dikitiraf sebagai berjaya meletakkan pemisahan agama dan kuasa dalam perlembagaan mereka pada tahun 1791. Apabila wacana sekularisme terus mengisi ruang politik negara yang beransur- ansur meruntuhkan autoriti, maka akan timbul kekeliruan di kalangan rakyat dan ummat. Agenda agama Islam, kedudukan bangsa Melayu dan bahasa Melayu dipandang sepi. Agenda teras ini tidak lagi diangkat, kerana setiap orang mempunyai persepsi tersendiri yang relatif. Apatah lagi tiada lagi autoriti yang berwibawa dikitiraf untuk dijadikan rujukan dalam soal tersebut. Hatta agenda umum seperti kemiskinan, perpaduan dan ekonomi negara akan tergugat kerana epistemologi kebenaran tidak lagi berpandukan kepada agama, tetapi nafsu manusiawi. Tidak mustahil, faham Keynes, Hayyek, Locke, Hobes dan ramai failasuf Barat dijadikan pakar rujuk.

Kebenaran Jalan Selamat
Untuk mengatasi akar permasalahan politik semasa, apakah cadangannya? Jika bercakap semua ahli politik semasa persis ‘keiblisan’ pasti mengundang kemarahan mereka. Apatah lagi mereka yang terpalit rasuah, rakus dengan kuasa sehingga sanggup melompat parti demi habuan duniawi.

Apa yang ada pada kita ialah membetulkan worldview kita tentang keperluan dan sikap politik semasa. Apa yang akhirnya kita mahukan daripada sistem politik semasa ini? Adakah kekuasaan yang benar, tetapi hanya sementara sahaja? Ataupun potensi manusia yang ada peradaban yang tinggi, yang boleh meletakkan kebenaran di tempatnya? Kebenaran hakiki tidak boleh kompromi dengan ‘kebatilan’, ibarat minyak dan air yang tidak boleh bercampur.

Sudah tiba masanya kita meletakkan batu asas untuk menjadikan manusia yang lebih beradab, yang tahu hakikat kebenaran dan hakikat kebatilan, berpandukan epistemologi yang betul. Jika kebenaran hakiki diutamakan, silang sengketa politik semasa sekadar titik bengit yang ketinggalan jauh.

Mohd Hilmi Ramli

MELIHAT PPSMI SECARA JUJUR

Ketika akhbar-akhbar berbahasa Inggeris bertambah rancak dan gencar dijadikan medan untuk menyokong serta melancarkan desakan untuk mengekalkan Pelaksanaan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI), akhbar-akhbar berbahasa Melayu semakin lesu untuk menyiarkan pandangan bagi menukarkan PPSMI kembali kepada penggunaan bahasa Melayu.

Secara jelas hal ini menunjukkan betapa rendahnya tahap daya juang orang-orang Melayu dalam mempertahankan bahasa mereka. Begitu juga dengan peranan akhbar berbahasa Melayu walaupun menyedari bahawa dengan pengekalan PPSMI bermakna akhbar-akhbar berbahasa Melayu akan hilang daya saing dan seterusnya menghadapi pengecilan pasaran yang cukup kritikal dalam masa 40 tahun akan datang, namun kesedaran untuk berjuang mempertahankan survival mereka tidak muncul dalam benak akhbar-akhbar berbahasa Melayu ini.


PPSMI bukanlah satu persoalan yang melibatkan kotak perkauman sebenarnya, tetapi ia lebih memperlihatkan pertembungan antara pemikiran golongan vernacular cosmopolitan dan golongan nasionalis-awam. Dalam kata lain ia bukan pertembungan antara orang Melayu dengan orang bukan Melayu atau yang disebut sebagai antagonisme etnik, tetapi ia lebih merupakan pertembungan pemikiran liberal-kapitalis dengan pemikiran nasionalis-awam.

Pernyataan awal tadi bukan menjurus kepada arah perkauman (Melayu) tetapi melihat kepada keberadaan bahasa Melayu dalam Perlembagaan Malaysia, akta 152 dan 153 yang menyangkuti keprihatinan untuk menjaga survival orang-orang Melayu dalam memelihara kestabilan negara. Perbincangan tentang perkara ini akan diperkatakan kemudian.

Golongan vernacular cosmopolitan ini dianggotai oleh golongan menengah atas dan atasan yang meletakkan diri mereka sebagai komuniti global. Mereka keseluruhannya tidak lagi mempunyai keperibadian budaya oleh sifat kosmopolitannya serta ciri-ciri vernakular yang ada pada diri mereka; ditandai oleh sikap berkelompok (fragmented) dengan ciri elitis yang membentuk peribadi bercampur baur (hibrid).

Mereka hidup dalam persekitaran budaya global dan melihat kepentingan ekonomi pasaran bebas yang ditandai oleh persaingan dan pengejaran keuntungan daripadanya sebagai prinsip asas kehidupan. Teras kepada kehidupan sosial mereka adalah amalan neo-liberal dan sekularistik.

Menurut Homi K. Babbha, golongan ini, “configures the planet as a concentric world of national societies extending to global villages… moving in-between cultural traditions and revealing hybrid forms of life and art that do not have a prior existence within the discrete world of any single culture or language.” Mereka juga, “celebrates a world of plural cultures and peoples located at periphery, so long as they produce healthy profit margins within metropolitan societies”.

Akhir sekali citarasa golongan ini, “high culture colluded in emulating the canons of elite “English’ taste and conforming to its customs and comforts”. Sengaja diterakan dalam tulisan asal (bahasa Inggeris) untuk melihat pemikiran asal dan asli Babbha terhadap golongan vernacular cosmopolitan ini.

Kepercayaan mereka kepada, “right to different in equality” lebih difahami daripada persepsi neo-liberal-sekular-kapitalis, iaitu kepentingan materialistik dan ekonomikalistik adalah budaya masyarakat.

Dalam mempertahankan bahasa Inggeris yang dicintai mereka lebih daripada bahasa kebangsaan (yang menghalang ciri kosmopolitan mereka); mereka secara rambang dan myopic melahirkan kononnya keprihatian terhadap nasib masyarakat luar bandar yang dinafikan untuk menguasai bahasa Inggeris yang mereka anggap sebagai gerbang kepada kemajuan material dan vokasional tersebut. Pandangan yang salah (fallacy) ini dibuat oleh persepsi mereka yang salah – yang dilihat dari kacamata vernacular cosmopolitan mereka.

Kajiselidik yang dijalankan oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris di bawah Prof Dato’ Dr. Isahak Haron menunjukkan majoriti pelajar di sekolah rendah masih sukar untuk mengikuti pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, lantaran penguasaan bahasa Inggeris pelajar-pelajar terutamanya di luar bandar amat rendah.

Markah lulus bagi kedua-dua subjek tersebut ialah 40-45 peratus (bergantung kepada sekolah) iaitu gred C. Namun data tidak rasmi menunjukkan bahawa hanya 20-30 peratus yang lulus melepasi tahap gred C ini. 70 peratus pelajar yang terdiri daripada pelajar luar bandar adalah majoriti yang gagal dalam kedua-dua subjek tersebut.

Sementara itu, kajian yang dibuat oleh Centre of Malaysian Chinese Studies dalam satu kajian secara rawak menunjukkan bahawa 90 peratus guru tidak menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam mengajar kedua-dua subjek tersebut, tetapi menggunakan bahasa Melayu ataupun bahasa Mandarin. 87 peratus guru menghadapi masalah menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran dua subjek tersebut oleh kerana para pelajar tidak dapat memahaminya.

Sementara 67 peratus guru menyatakan mereka menghabiskan banyak masa untuk menterjemahkan arahan dan teks dalam kedua-dua subjek tersebut kepada bahasa ibunda para pelajar. 70 peratus daripada guru ini mendapati pelajar-pelajar mereka menghadapi masalah untuk menjawab soalan peperiksaan yang lemah penguasaan bahasa Inggeris mereka.

50 peratus menyatakan murid-murid mereka menjadi pasif apabila kedua-dua subjek ini diajar dalam bahasa Inggeris. Sementara 40 peratus daripada guru ini tidak dapat memberikan penjelasan yang jelas dalam bahasa Inggeris terhadap kedua-dua subjek ini.

Pada tahun ini seramai 518, 616 orang murid akan menduduki peperiksaan UPSR, dengan kertas peperiksaan masih lagi diadakan dalam dwi bahasa. Murid-murid ini adalah murid daripada peringkat pertama yang terlibat dalam PPSMI sejak tahun satu.

Daripada kajian-kajian yang dilakukan, apa yang paling pasti ialah PPSMI dilaksanakan tanpa menyediakan infrastruktur yang lengkap dalam membentuk kapasiti pelajar terhadap penguasaan bahasa Inggeris. Sepatutnya para pelajar terlebih dahulu dipastikan mempunyai keupayaan penguasaan bahasa Inggeris yang kuat untuk menerima PPSMI, sebelum dasar tersebut dilaksanakan.
Ternyata sistem pendidikan dan nasib setengah juta pelajar ini dikorbankan oleh keputusan politik yang gopoh dan terburu-buru, tanpa melihat secara objektif terhadap kesan serta implikasinya.

Suara golongan vernacular cosmopolitan yang mahu mengekalkan PPSMI kononnya membela nasib golongan luar bandar dalam menghadapi cabaran global adalah pandangan dan pemikiran yang tidak berasas. Ini adalah kerana PPSMI, ternyata daripada kajian-kajian ini akan memburukkan lagi pencapaian pendidikan pelajar-pelajar luar bandar, dan membuatkan mereka keciciran.

Pihak yang mendapat manfaat besar daripada PPSMI ini ialah 30 peratus golongan pelajar di bandar, khususnya minoriti vernacular cosmopolitan yang mungkin pula hanya merupakan 10 peratus sahaja daripada keseluruhan pelajar bandar yang mampu (ramai pelajar di bandar yang terdiri daripada golongan bawahan juga gagal dalam PPSMI).

Suara golongan vernacular cosmopolitan yang mahukan PPSMI dikekalkan sebenarnya adalah suara kelompok kecil yang berpengaruh dan berkuasa. Golongan ini secara umumnya mempunyai hegemoni intelektual terhadap dasar-dasar kerajaan.

Jika pihak kerajaan menerima suara golongan ini, bermakna kerajaan lebih melihat kepada kepentingan kelompok elit yang kecil dan meminggirkan kepentingan untuk lebih daripada 70 peratus penduduk Malaysia, yang kabur dan tidak tahu bahawa sesebuah dasar yang dilaksanakan itu membawa manfaat atau tidak kepada mereka pada jangka masa panjang.


Petikan 1

“Kajiselidik yang dijalankan oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris di bawah Prof Dato’ Dr. Isahak Haron menunjukkan majoriti pelajar di sekolah rendah masih sukar untuk mengikuti pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, lantaran penguasaan bahasa Inggeris pelajar-pelajar terutamanya di luar bandar amat rendah”

Oleh S.M. Zakir