Thursday

Puisi Buat Sahabat

Sejenak di Alam Rumahtangga

Kata pujangga perempuan bagaikan angin

Lembutnya melenakan ributnya menggusarkan.

Adakalanya mereka seperti ibu menyaji kasih, menghidang sayang

Adakalanya mereka seperti anak ingin dibelai, minta dimanjakan

Adakalanya mereka seperti nenek berleter seadanya, merungut semahuannya.

Namun, teman kembara dalam kehidupan yang sementara ini.

Bahagia dan derita kita sangat berkait dengan mereka.

Psst....

Tiba-tiba isteri merajuk, pandai-pandailah memujuk

Buka telinga, tajamkan pendengaran,amati suaranya

Teliti dengan hati yang terseni, rasional atau emosi ?

Andainya emosi, belailah emosi itu

Jangan cuba dihadapkan secara rasional

Kerana sidia tak akan terdaya

Mengunyah hujah,berilah walau seribu sebab lengkap dengan perangkaan statistik

Atau dokumen saintifik berserta dengan beberapa affidavit

Dia tetap melulu kerana fikiran sudah berjerebu.

Dalam situasi ini fikiran telah ditawan perasaan

Sebaiknya, perhaluskan kata, perindahkan bahasa

Jinakkan perasaan, hadiahkan senyuman.

Masih gagal ?

cuba gunakan sentuhan, semarakkan belaian.

Masih gagal juga ?

Tunggu saja rajuknya reda

Emosi isteri bagai riak-riak air dalam cawan

Jangan digoncang...... buat selamba

Lambat laun, gelombang akan tenang

Air dicawan akan kita minum jua.

Tapi awas.....

Kalau ternyata, rajuknya berfakta

Masamnya berdata, geramnya berilmiah

Marahnya ada prima facie

Ini rajuk taraf tinggi namanya

Perlu ditangani berhati-hati

Kalau ternyata benar,apa salahnya kita terima

Mengaku lalu berjanji serta berikrar

" Sayang abang tak ulang lagi "

katakan " Sayang....abang alpa "

bisikkan " Darling.. I lupa.."

Hulurkan tangan, pinta kemaafan

Pendekatan kasanova, tapi hati suci

Rajuk isteri seperti mangga muda

perisanya masam tetapi...

Kalau kena cicahnya, enaknya akan terasa.

Ingat, api yang panas, padam oleh salji yang dingin.

Arghh...

tiba-tiba isteri merungut

Malah kadangkala agak mengugut

Minta aksesori serta perabut

Minta Villa yang tersergam indah

Atau mahligai di lereng bukit

Sedangkan kita bukan Shah Jehan yang mampu membina Taj Mahal buat isterinya

Tetapi isteri pula, persis Nur Jehan yang meminta petanda keagungan cintanya

Katanya " Seabadi permata....

segermelapan intan " ...

Sedangkan ditangan kita cuma cincin tembaga.

Aduh...

Peritnya mengukur cinta

Dalam ukuran mayam atau menimbang setia

Menerusi Bursa Saham papan utama

Kasih isteri, turun naik

Mengikut kadar tukaran wang asing.

Tiada guna menyesali diri

diakan dulu pilihan kita ?

Semasa mekarnya dia dihargai, dipuja-puji

Dia kini sudah menjadi ibu pada anak-anak kita

Sudah takdir...

Permata yang dipilih perlu digilap semula.

Namun putus asa jangan sekali

Terimalah dia, dengan redha.

Justeru isteri pada hakikatnya adalah bayang-bayang suami

Wanita adalah tulang rusuk yang bengkok

Luruskan dengan berhati-hati bertegas tapi jangan berkeras

Lembut tapi jangan reput.

Katakan ringgit bukan segala-galanya

Lalu pada saat yang kudus setelah bersolat bersama bisikkanlah " Duhai isteriku...

Marilah kita bina perkahwinan ini dengan cinta yang sejati

Marilah kita kutip rezeki dengan keringat tersuci

Kita cari harta, tetapi itu bukan segala-galanya

Padamu isteri,istanamu, di hati ini

Padamu sayang kalung cintamu, di jiwa ini."

Puuuh...

Akan tiba masanya bila 'isteri' di hati tapi kurang di mata

Usia meningkat kecantikan tergugat

Dulu yang kita lihat mulus kini beransur pupus

Betis, tidak lagi bunting padi

Pipi, bukan lagi pauh dilayang

Apakah dengan itu akan berkurang cinta kita?

Jika berkurang, nyatalah cinta kita selama ini cinta di mata bertapak di body

Tapi jika cinta tetap kekal malah semakin bertambah ertinya cinta kita di hati, berpasak di budi.

Itulah cinta sejati.

Namun tidak salah di samping menyanjung budi,

Kita merampingkan 'body'

Kalau ada kesempatan ajaklah dia bersenam, amalkan puasa sunat

Tapi ingat niat kerana Tuhan bukan kerana ingin kuruskan badan

Tapi Tuhan Maha Penyayang

Dia pasti membantu isteri yang memburu keredhaan suami

Tak salah kalau mohon kesihatan, kecantikan dan kecergasan

Sama-samalah merampingkan badan yang terlebih dikurangkan

Jangan sesekali mencemuh apalagi menjauh

Apa gunanya membandingkan isteri dengan perawan.

Bukan masanya lagi merenung dara tapi kini saat menghitung dosa

Lalu ajaklah isteri sama-sama menambah bakti

Moga-moga cinta kita kekal ke hujung usia di dunia ini dan di akhirat nanti

Itulah yang dikatakan hidup berdua, 'selepas' mati pun bersama.

Uhhh....

Kekadang isteri mengamuk dengan ombak prasangka dan taufan cemburu

Apa bukti setiamu suami ?

Apakah tandanya hanya aku di hatimu ?

Kekadang disergahnya kita ketika keringat masih membasah, baru menjengah pintu rumah.

Ketika itu nilailah diri

Mungkin kita berdosa dengan Tuhan atau bersalah dengan insan

Mungkin banyak kezaliman dan penganiayaan yang telah kita lakukan

Lalu datang teguran, amaran dan peringatan

Salam Sahabat Sebagai Ingatan
Dalam Islam, Sahabat Rasulullah S.A.W. (Arab الصحابه;) bermaksud mereka yang hidup semasa zaman baginda lalu mengenali dan menjadi rakan seperjuangan Nabi Muhammad s.a.w. semasa mengembangkan Islam.

Sahabat Nabi yang terkenal

1. Abbad ibn Bishr
2. Abdullah ibn Abbas
3. Abdullah ibn Amru
4. Abdullah ibn Hudhafah As-Sahmi
5. Abdullah ibn Jahsy
6. Abdullah ibn Mas'ud
7. Abdullah ibn Rawahah
8. Abdullah ibn Salam
9. Abdullah ibn Umar
10. Abdullah ibn Umm Maktum
11. Abdullah ibn Zubair
12. Abdur Rahman ibn Auf
13. Abu Ayyub al-Ansari
14. Abu Dzar al-Ghifari
15. Abu Musa Al-Asya'ari
16. Abu Hurairah
17. Abu Said Al-Khudri
18. Abu Sufyan ibn Al-Harith
19. Abu Ubaidah Al-Jarrah
20. Abu Darda'
21. Abul As ibn ar-Rabiah
22. Adi ibn Hatim
23. Ammar ibn Yasir
24. Amru Al-Ash
25. Amr ibn Jamuh
26. Anas ibn Malik al-Ansari
27. An-Nuayman bin Amr
28. At-Tufail ibn Amr ad-Dawsi
29. Aqil ibn Abi Thalib
30. Asma binti Abu Bakar
31. Barakah
32. Bara' ibn Malik al-Ansari
33. Bilal bin Rabah
34. Fairuz Ad-Dailami
35. Habib ibn Zaid al-Ansari
36. Hajar ibn Adi
37. Hakim ibn Hazm
38. Hamzah bin Abdul Muttalib
39. Huzaifah Al-Yamani
40. Ikrimah ibn Abu Jahal
41. Ja'afar ibn Abi Thalib
42. Julaibib
43. Khabbab ibn al-Aratt
44. Khalid bin al-Walid
45. Miqdad Al-Aswad
46. Muaz ibn Jabal
47. Muawiyah ibn Abu Sufyan
48. Muhammad ibn Maslamah
49. Mus'ab ibn Umair
50. Nu'man ibn Muqarrin
51. Nu'man ibn Basyir
52. Nuaim ibn Mas'ud
53. Rabiah bin Ka'ab
54. Ramlah binti Abu Sufyan
55. Rumaysa binti Milhan
56. Sa'ad ibn Abi Waqqas
57. Said ibn Amir al-Jumahi
58. Said ibn Zayd
59. Salim Maula Abi Huzaifah
60. Salman Al-Farisi
61. Suhaib Ar-Rumi
62. Suhail ibn Amr
63. Talhah ibn Ubaidillah
64. Thabit ibn Qais
65. Thumamah ibn Uthal
66. Ubay ibn Ka'ab
67. Umair ibn Sa'ad al-Ansari
68. Umair ibn Wahab
69. Ummu Salamah
70. Uqbah ibn Amir
71. Usamah ibn Zaid
72. Utbah ibn Ghazwan
73. Uwais Al-Qarni
74. Zaid ibn Harithah
75. Zaid ibn Thabit
76. Zubair ibn Awwam

Hari Raya Aidilfitri

Hari Raya Aidilfitri, Hari Raya Puasa, Bahasa Arab: عيد الفطر 'Ayd al-Fiṭr
Juga dinamakan Feast of the Breaking of the Fast, Eid, Idul Fitri, Lebaran (Indonesia), Shemai Eid (Bangladesh), Ramazan Bayramı (Turki)
Diraikan oleh Umat Islam seluruh dunia, juga bukan muslim di negara Muslim
Jenis Perayaan Agama
Hari Raya Aidilfitri (b.Arab: عيد الفطر 'Ayd al-Fiṭr "perayaan fitrah") disambut pada 1 Syawal tahun Hijrah. Perayaan tersebut juga dikenali sebagai Hari Raya Puasa, Hari Raya Fitrah, dan Hari Lebaran. Hari Raya Aidilfitri merupakan perayaan yang dirayakan oleh umat Islam di seluruh dunia bagi menandakan berakhirnya bulan Ramadhan yang mana umat Islam telah menjalani ibadat puasa dengan tekun. Ia merupakan antara dua perayaan terbesar bagi umat Islam, selain Hari Raya Korban.

Hari Raya Puasa bermula melalui dua cara; iaitu melalui rukyah (melihat anak bulan) ataupun secara hisab(kiraan). Sekiranya melalui rukyah, apabila anak bulan kelihatan, ini menandakan bermulanya bulan Syawal, iaitu bulan ke-10 dalam Takwim Hijrah Islam. Di Malaysia, anak bulan akan diperhatikan oleh pegawai bertugas pada sebelah petang hingga waktu maghrib di beberapa tempat strategik.

Zakat fitrah dan takbir

Perayaan Hari Raya Puasa merupakan berakhirnya tempoh untuk membayar zakat fitrah iaitu zakat yang dikenakan kepada mereka yang masih hidup sehingga masa itu. Zakat fitrah tidak perlu dibayar bagi mereka yang telah meninggal dunia. Kebiasaannya orang Islam juga akan mula membayar zakat fitrah semenjak bulan puasa bermula dan zakat fitrah ini akan berhenti dikutip apabila solat sunat Aidilfitri dimulakan.

Apabila tarikh Hari Raya telah ditentukan, umat Islam akan bertakbir dan bertahmid sambil memuji kebesaran Allah. Tempoh bertakbir bagi Hari Raya Aidilfitri adalah antara terbenamnya matahari(hari terakhir bulan Ramadan) sehingga solat sunat Hari Raya Aidilfitri bermula pada pagi 1 Syawal tahun Hijrah. Hari raya disambut pada pagi hingga malam.

Simbol terkenal bagi perayaan Hari Raya di Malaysia ialah ketupat. Ketupat adalah juadah istimewa yang masih dihidangkan pada hari ini. Ketupat adalah nasi yang dikukus di dalam anyaman daun kelapa atau daun palas dan selalunya dihidangkan bersama dengan rendang. Juadah-juadah yang lain termasuklah lemang, lontong, dodol, dan kuih raya.

Namun begitu, simbol lain yang berteraskan Islam seperti kalimah Allah dan Nabi Muhammad, bunga-bungaan, tumbuh-tumbuhan, geometri, dan lain-lain yang tiada unsur haram juga adalah digalakkan untuk digunakan sebagai simbol perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Persiapan

Di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri disambut dengan meriah. Berminggu-minggu sebelum perayaan tersebut menjelma, suasana persiapan menjelang Aidilfitri telah dirasai. Pusat-pusat membeli-belah akan mengadakan jualan murah dan dihiasi dengan perhiasan secara besar-besaran. Lagu-lagu raya juga akan diputarkan di radio dan di televisyen. Rancangan-rancangan yang berkisarkan Aidilfitri akan ditayangkan. Bank, sekolah, dan premis-premis perniagaan akan ditutup selama beberapa hari sehingga seminggu sempena Aidilfitri.

Di jalan raya utama dan lebuh raya di seluruh negara, kesesakan akan berlaku akibat kebanjiran warga bandar yang pulang ke kampung halaman untuk menyambut Aidilfitri bersama-sama sanak saudara dan kaum keluarga. Fenomena ini juga dikenali sebagai Balik Kampung.

Amalan lazim

Antara amalan yang dilakukan pada Hari Raya Aidilfitri ialah amalan berziarah. Amalan ini adalah bertepatan dengan suruhan agama Islam itu sendiri. Pada pagi Hari Raya Aidilfitri(selalunya sebelum dan sejurus sesudah menunaikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri), umat Islam yang telah kehilangan saudara-mara akan mengunjungi pusara mereka dan menghadiahkan Surah Al-Fatihah atau bacaan surah Yaasin. Kemudian mereka akan berkunjung ke rumah sanak saudara dan rakan taulan. Mereka akan bermaaf-maafan dan melupakan kesilapan yang lampau. Pada asasnya, Hari Raya adalah hari untuk bergembira, bermaaf-maafan, dan hari untuk mengeratkan tali persaudaraan di kalangan umat Islam di samping meraikan kejayaan beribadah kepada Allah.

Amalan memberi wang kepada kanak-kanak juga amat popular pada Hari Raya. Duit raya selalunya diberikan oleh orang dewasa kepada kanak-kanak melalui sampul duit yang selalunya berwarna hijau dan kuning. Sampul duit raya diadaptasi daripada amalan orang Cina yang memberi sampul merah berisi wang ataupun "Ang Pau". Pada Hari Raya, sampul selalunya berwarna selain daripada warna merah, iaitu hijau atau kuning. Terdapat pelbagai saiz sampul yang dikeluarkan oleh bank-bank dan syarikat-syarikat perniagaan, antaranya saiz yang bersesuaian dengan saiz wang kertas polimer RM 5. Kadangkala amalan pemberian Duit Raya diganti dengan pemberian hadiah-hadiah.

Pada malam Tujuh Likur(malam 27 Ramadan), pelita atau lampu minyak tanah akan dinyalakan terutamanya di kampung-kampung. Kadangkala pelita akan digantikan dengan penggunaan lampu elektrik kerana ia lebih bersih dan praktikal, namun keaslian sambutan Hari Raya selalunya akan berkurang dengan penggunaan ini.

Rumah-rumah terbuka akan diadakan pada Hari Raya itu sendiri ataupun sepanjang bulan Syawal. Kemeriahan Hari Raya Aidilfitri selalunya akan berpanjangan sehingga sebulan, dan kemeriahan itu akan hilang dengan sendirinya apabila semua orang pulang ke bandar setelah cuti tamat.

Pakaian

Baju Melayu adalah pakaian tradisi kaum Melayu yang dipakai oleh kaum lelaki di Malaysia pada Hari Raya. Pakaian ini dilengkapi dengan songkok dan lilitan songket di bahagian pinggang. Pakaian yang menjadi kebiasaan kaum wanita pula ialah Baju kurung dan Baju kebaya. Setiap tahun pelbagai fesyen diperkenalkan bagi mempelbagaikan rekaan baju-baju tradisi ini. Pada tahun 2005, pemakaian batik, songket, dan baju kebaya nyonya semakin meningkat hasil promosi dan komersialisasi oleh Allahyarhamah Datin Seri Endon Mahmood, isteri kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Aidilfitri dalam Kalendar Masihi

Tarikh Hari Raya Aidilfitri adalah sentiasa tetap dan sama mengikut kalendar Hijrah. Namun begitu tarikhnya sentiasa berubah mengikut kalendar Masihi kerana kalendar Hijrah adalah mengikut peredaran bulan manakala kalendar Masihi pula mengikut peredaran Bumi mengelilingi Matahari. Oleh itu, tarikh Hari Raya adalah berbeza daripada tahun ke tahun, dengan beza lebih kurang antara sepuluh hingga 15 hari.

Hari Raya pada tahun-tahun yang akan datang diramalkan akan jatuh pada tarikh-tarikh berikut. Tarikh-tarikh tersebut adalah tertakluk kepada perubahan.

* 2008: 1 Oktober
* 2009: 21 September
* 2010: 10 September
* 2011: 31 Ogos
* 2012: 19 Ogos
* 2013: 8 Ogos
* 2014: 29 Julai
* 2015: 19 Julai

Hari Raya bermula pada malam sebelum tarikh-tarikh tersebut, bermula terbenamnya matahari.

Festival lain

Di Malaysia, terdapat populasi Cina dan India. Masing-masing menyambut perayaan Deepavali dan Tahun Baru Cina. Kadangkala, salah satu perayaan tersebut iaitu Deepavali dan Tahun Baru Cina sering bertembung dengan perayaan Hari Raya Aidilfitri mengikut kalendar Masihi. Oleh sebab itu, terdapat segelintir pihak yang mengadakan sebuah 'rumah terbuka' untuk dua perayaan sekaligus. Disebabkan situasi itu, wujudlah fenomena "DeepaRaya" dan "KongsiRaya".

Walau bagaimanapun, mufti negeri Perak menyatakan perayaan umat Islam yang dikongsi dengan perayaan orang kafir yang lain seperti "DeepaRaya" dan "KongsiRaya" serta lain-lain dianggap menjurus ke arah perbuatan syirik dan ditegah sama sekali oleh Islam.