Tuesday

SEJARAH DAN MASA DEPAN PERJUANGAN POLITIK ISLAM DI MALAYSIA

Oleh: Ahmad Fadhli bin Shaari

“Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: “Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!” – [1]

Muqaddimah

Adalah menjadi satu pekara yang tidak mungkin dapat disangkal akan kewajipan setiap muslim untuk menafkahkan dirinya dalam perjuangan Islam. Setiap yang ingin dirinya digelar sebagai pejuang sewajarnya menyoal dirinya sendiri setiap saat dan waktu “Apakah yang telah aku lakukan untuk Islam?”. Lalu adalah menjadi satu keperluan kepada setiap individu muslim terutama sekali pelajar-pelajar agama yang merupakan generasi tunas dalam gerakan Islam membuka minda dan meluangkan masa untuk sama-sama berfikir bagaimana untuk menjadikan agenda perjuangan Islam sebagai satu realiti.

Dari konteks Malaysia, untuk meihat masa depan perjuangan Islam maka sudah tentulah tidak dapat tidak harus disorot dari segi sejarah. Ini kerana sejarah sudah tentu menjadi cermin kepada masa yang akan mendatang. Dalam memperkatakan mengenai sejarah perjuangan Islam di Malaysia, saya akan lebih menumpukan perbincangan kepada perjuangan Islam melalui politik khususnya PAS. Bukan saya bermaksud untuk menafikan harakah atau jemaah Islam yang tidak melibatkan diri dengan politik, namun kaitan politik secara tidak langsung dengan aktiviti gerakan Islam khususnya di Malaysia sama sekali tidak boleh dinafikan. Tambahan pula, poltik adalah tumpuan utama setiap rakyat terbanyak pada masa lalu, kini dan akan datang. Bagi memudahkan perbahasan, saya membahagikan kronologi perjuangan politik Islam di Malaysia kepada 4 peringkat :

1. Sebelum 1955

2. 1955 – 1983

3. 1983 – 1997

4. 1998 – hari ini

Perjuangan Islam di Tanah Melayu Sebelum 1955

Fakta : Perjuangan Islam di Tanah Melayu bermula semenjak kedatangan Islam di Tanah Melayu yang masih merupakan polemik di kalangan ahli-ahli sejarah. Namun seara khususnya kebangkitan para ulama’ di beberapa buah negeri di Tanah Melayu untuk menentang penjajah adalah merupakan titik tolak kepada kemaraan golongan agama dalam arena politik. Dari sudut yang lain, kebangkitan perjuangan Islam adalah selari kalaupun tidak lebih awal dari kebangkitan nasionalisme. Sebelum gerakan kemerdekaan berlaku secara menyeluruh, Tanah Melayu sudah digegarkan dengan kebangkitan Abdul Rahman Limbong di Terengganu, Tok Janggut di Kelantan dan beberapa lagi penentangan yang dipelopori oleh golongan ulama’. Walaupun kebangkitan ini berlaku di merata-rata tempat, namun kesedaran menyeluruh untuk membebaskan diri dari penjajah masih belum berlaku.

Namun, penjajahan Jepun merubah senario ini. Pada tahun 1945, Dr. Burhanuddin Helmi memperkenalkan pemikiran politik Islam melalui penubuhan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM). Seterusnya ekoran dari gagasan Malayan Union pada tahun 1946, orang-orang Melayu mula bersatu melalui seruan “Hidup Melayu” di bawah kepimpinan seorang tokoh nasionalisme, Dato’ Onn bin Jaafar. Pada awalnya, tokoh-tokoh ulama berada di bawah payung UMNO bersama dengan Dato’ Onn untuk memperjuangkan kemerdekaan lebih-lebih lagi apabila Hizbul Muslimin diharamkan oleh British pada tahun 1948. Penyertaan golonagn ulama pada masa itu bukanlah menunjukkan persetujuan mereka dengan dasar nasionalis tetapi kerana mereka melihat adalah lebih penting untuk mewujudkan penyatuan terlebih dahulu.[2] Namun, akibat beberapa pertembungan pendapat dengan pimpinan UMNO yang secara rasminya beraliran nasionalis sekular, tokoh-tokoh ulama beramai-ramai keluar dari UMNO untuk menubuhkan Persatuan Ulama yang terpisah dari UMNO pada tahun 1951. Beberapa bulan kemudian, ia bertukar nama menjadi Persatuan Islam Se-Tanah Melayu (PAS) di mana Tuan Haji Ahmad Fuad menjadi Yang diPertuanya yang pertama. PAS seterusnya menyertai pilihanraya pada tahun 1955 namun gagal untuk membentuk kerajaan persekutuan.

Ulasan : Perjuangan Islam pada masa Tanah Melayu masih bergegar dengan tuntutan kemerdekaan tidak dapat meyakinkan rakyat bahawa perjuangan mereka adalah yang terbaik. Tambahan pula pada masa tersebut, rakyat masih dihantui dengan kekejaman Bintang Tiga dan masih terngiang-ngiang dengan penindasan oleh tentera Jepun. Oleh yang demikian, mereka memilih untuk mengambil jalan selamat iaitu dengan mengundi pihak yang boleh memerikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu. Pihak terdekat yang dimaksudkan ialah UMNO. Ini sama sekali tepat dengan kehendak penjajah British yang seboleh-bolehnya mahukan pihak yang akan memerintah bekas tanah jajahan mereka akan terus menjalankan dasar-dasar pro-penjajah. Kerana itulah, Hizbul-Muslimin telah diharamkan oleh pihak penjajah pada tahun 1948. Namun, dalam masa yang sama kegagalan pihak ulama’ untuk merebut peluang tampil ke hadapan juga merupakan satu faktor perjuangan Islam ditolak oleh kebanyakan rakyat pada masa itu. Tambahan pula, perjuangan yang dipelopori oelh golongan ini masih bercampur-gaul dengan ideologi kebangsaan. Seandainya pihak ulama’ mampu membentuk satu barisan alternatif bersama dengan barisan kepimpinan bangsa-bangsa yang lain, besar kemungkinan perjalanan sejarah politik di Malaysia akan berubah.

1955 - 1983

Fakta : Apabila Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, Tunku Abdul Rahman selaku pemimpin tertinggi UMNO yang kedua secara automatik memimpin kerajaan Perikatan bersama dengan barisan kepimpinan bangsa-bangsa yang lain. Selaku kerajaan yang baru sahaja dibentuk, maka sudah tentulah mereka menghadapi pelbagai masalah yang menggugat kerajaan mereka. Pelbagai pihak di dalam negara masih sukar untuk dikongkong agar menjadi penyokong kerajaan. Akhbar-akhbar masih berperanan dengan bebas mengkritik pelbagai dasar yang berakhir dengan proses ‘penelanjangan’ kebebasan akhbar pada tahun 1962.[3] Pada peringkat ini jugalah berlakunya proses peralihan perjuangan PAS sebagai sebuah parti politik nasionalis yang mempunyai nilai Islam kepada sebuah parti politik yang mempunyai konsep jemaah dan benar-benar menjadikan Islam sebagai dasar perjuangan. Ini berlaku seriingan dengan pelbagai peristiwa-peristiwa yang berlaku di Malaysia. Kronologinya secara umum bolehlah dirumuskan seperti berikut :

1963 : Pembentukan Malaysia menyatukan Singapura, Sabah dan Sarawak. PAS yang masih merupakan parti politik nasionalis bercorak Islam mengambil sikap menentang yang sederhana.

1963 : Ideologi perjuangan Ikhwanul Muslimin mula meresap masuk ke dalam PAS. Di bawah pimpinan Prof Zulkifli Muhammad, PAS menghantar Haji Yusuf Rawa, AJK PAS Pusat ke Timur Tengah untuk memperkenalkan PAS sebagai sebuah gerakan Islam. Dialog demi dialog diadakan khususnya dengan pimpinan Ikhwan.

1964 : PAS di bawah Prof Zulkifli menghantar sepuluh orang pelajar-pelajar Malaysia yang pertama untuk melanjutkan pelajaran ke Iraq. Secara sulitnya, ia adalah persediaan awal untuk melahirkan satu generasi perjuangan yang berlainan dengan generasi yang sedia ada.

1964 : Prof Zulkifli Muhammad meninggal dunia dalam satu kemalangan. Tidak lama selepas itu, PAS kehilangan pula Dr. Burhanuddin. Seterusnya, PAS dipimpin oleh Dato’ Asri. Kepimpinan beliau dikatakan semakin mengukuhkan lagi semangat ideologi kebangsaan Melayu dari dasar rasmi PAS iaitu Islam. Oleh yang demikian, PAS seterusnya benar-benar tidak dikenali sebagai gerakan Islam.

1968 : Al-Arqam ditubuhkan oleh Ashaari Muhammad. Dalam satu jangka masa yang panjang, ia mewujudkan satu senario yang benar-benar tidak disangka. Walau bagaimanapun, saya merasakan perbahasan mengenai Al-Arqam tidak wajar disentuh di peringkat ini.[4]

1969 : Perlantikan beberapa orang ustaz-ustaz muda ke jawatan penting khususnya Ustaz Hassan Shukri yang baru saja pulang dari Iraq. Beiau terus dilantik sebagai Ketua Pemuda PAS Pusat. Beliau dan rakan-rakannya mula memerkenalkan konsep tarbiyyah ala Ikhwan. Pada masa tersebut, bermulalah secara rasmi apa yang dinamakan ‘pertembungan dalaman’ antara pimpinan yang sedia ada dengan ahli peringkat bawahan yang mehukan pembaharuan dalam halatuju perjuangan PAS.

1969 : Rusuhan kaum di Kuala Lumpur ekoran rasa tidak puas hati akibat jurang perbezaan ekonomi antara kaum. PAS khususnya tidak melihat ini sebagai peluang untuk menyerang habis-habisan pihak kerajaan ekoran kegagalan mereka membina perpaduan kaum. Adalah tidak dinafikan, pergolakan dalaman PAS merupakan penyebab kepada kegagalan mereka untuk berfungsi dengan sebaik mungkin.

1971 : Penubuhan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Ia sebenarnya ialah alternatif kepada golongan muda yang benar-benar mahu merealisasikan tuntutan perjuangan Islam ala Ikhwan. Pemikiran Sayyid Qiutb yang sebelum ini berkisar di kalangan ahli-ahli PAS mula diambil alih oleh ABIM. Penubuhan ABIM sebenarnya banyak dipelopori oleh bekas tokoh-tokoh pelajar yang radikal seperti Anwar Ibrahim, Kamaruddin Mohd Noor, Razali Nawawi, Sidiq Fadhil dan lain-lain. Ia juga turut menarik golongan ‘ustaz muda’ seperti Haji Abdul Hadi, Abdul Ghani Shamsuddin dan Fadhil Nor. Secara tidak langsung, ABIM sebenarnya dilihat sebagai wadah terbaik bagai meneruskan kesinambungan perjuangan Islam di Malaysia pada masa itu. Ini disebabkan oleh imej UMNO sebagai ultra-sekular dan imej PAS yang masih dilihat sebagai nasionalis sukar untuk diterima oleh golongan muda.

1973 : Penyertaan PAS ke dalam Barisan Nasional ekoran pelawaan yang dibuat oleh Presiden UMNO ketika itu, Tun Abdul Razak di atas nama perpaduan Melayu. Polemik yang dicetuskan oleh ‘langkah merbahaya’ PAS ini telah memperhebatkan lagi pergolakan dalaman yang telah sedia wujud sebelum ini. Walaupun PAS masih mengekalkan dasar rasminya iaitu Islam, namun ia tidak lebih sebagai retorik ekoran pengiktirafan PAS terhadap pendekatan UMNO/BN pada masa itu. Penyertaan PAS ke dalam BN juga secara tidak langsung juga menyebabkan ramai tenaga muda menjadikan ABIM sebagai pilihan utama.

1974 : Anwar Ibrahim memimpin demonstrasi besar-besaran pelajar di Baling bagi memperjuangkan isu kemiskinan. Beliau seterusnya mula muncul di persada politik Malaysia dengan imej Islamik dan radikal[5].

1977 : Majlis Syura Tertinggi ABIM memutuskan penyertaan tiga orang ahli mereka ke dalam PAS khusus bagi satu ‘misi khas’ iaitu memulakan kembali usaha-usaha tarbiyyah atau dalam erti kata lain ‘menyelamatkan’ PAS dari terus hanyut dalam lautan perjuangan kebangsaan. Tiga orang ahli tersebut ialah Haji Fadhil Noor selaku Timbalan Presiden Abim, Haji Nakhaie Ahmad dan Syed Ibrahim Syed Abdul Rahman yang kedua-duanya merupakan Exco ABIM Pusat.

1978 : Berlaku krisis dalaman yang hebat di dalam PAS antara Dato’ Asri selaku YDP PAS dengan Mohamad Nasir selaku MB Kelantan. PAS Kelantan khususnya benar-benar berpecah. Akibat kekacauan yang timbul, darurat akhirnya distiharkan di Kelantan dan PAS ditendang keluar dari BN. Dengan ‘tangan yang terikat’, PAS dipaksa untuk bertarung dalam pilihanraya di Kelantan yang akhirnya menyaksikan Kelantan jatuh ke tangan BN untuk kali pertama selepas kemerdekaan. Krisis dalaman PAS ini juga membawa kepada terbentuknya parti Berjasa sebagai parti serpihan PAS.

1979: Revolusi Syiah di Iran[6] berjaya meruntuhkan diktator Shah melalui kuasa rakyat. Ia mencetuskan kembali kebangkitan gerakan Islam di seluruh dunia. Dalam hal ini, Malaysia tidak terkecuali. Walaupun sebenarnya, pembaharuan di dalam PAS bermula lama sebelum itu, namun Revolusi di Iran mempercepatkan lagi langkah ke arah pembersihan PAS dari sebarang ideologi yang bercanggah dengan kehendak perjuangan Islam.

1981 : Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri Malaysia yang keempat. Hubungan peribadi yang rapat antara bekas Presiden Abim, Anwar Ibrahim dengan Dr. Mahathir sebelum ini secara tidak langsung menjadikan ABIM bersikap lebih lembut terhadap kerajaan yang sebelum ini telah dicop dengan pelbagai tuduhan.

1982 : Anwar Ibrahim mengumumkan penyertaannya ke dalam UMNO dengan misi untuk merubah UMNO daripada dalam. Secara rasminya, ABIM yang sebelum ini dianggap sebagai anti-kerajaan bertukar kepada pertubuhan Islam yang pro-kerajaan. Ini ditambah lagi dengan kerajaan Malaysia di bawah pimpinan baru Dr. Mahathir yang dianggap ultra-nasionalis sebelum ini menjalankan dasar Islamisasi di dalam kerajaan.

1983 : Ekoran desakan yang begitu kuat dari ahli-ahli PAS khususnya Dewan Pemuda PAS Pusat yang benar-benar mahu mengalihkan hala tujua perjuangan PAS sebagai sebuah gerakan Islam, Dato’ Asri akhirnya melepaskan jawatannya sebagai Yang Dipertua PAS untuk memberikan laluan kepada kepimpinan ulama’. Bermula dari situlah, PAS akhirnya didominasi oleh kepimpinan ulama’ sehinggalah hari ini.

Ulasan : Walaupun sebelum ini, PAS sebenarnya sudah meletakkan Islam sebagai dasar perjuangan, namun sebenarnya PAS sebagai sebuah gerakan Islam hanya benar-benar lahir pada tahun 1983 iaitu selepas ideologi pemikiran Sayyid Qutb benar-benar mendasari perjuangan PAS. Sebelum daripada itu di bawah kepimpinan non-ulama’, PAS tidak lebih dari sebuah parti politik yang hanya mempunyai nama Islam tetapi tidak berbeza dengan UMNO dari segi pembawaan dan pelaksanaan dasar. Dan sejarah menyaksikan, proses pembersihan itu mengambil masa yang begitu panjang.

Pada peringkat inilah juga, lahirnya ABIM selaku penyebar pemikiran hakimiyyah ala-ikhwan. Peranannya dalam membantu kelahiran semula PAS sama sekali tidak boleh diperkecilkan. Namun, ‘ijtihad’ bekas pemimpinnya untuk menyertai UMNO telah merubah segala-galanya. Perlu disebut bahawa tidak seikit yang menitiskan air mata akibat tindakan Anwar Ibrahim[7]. Ekoran daripada itu, selepas tahun 1983, ABIM yang sebelum ini menjadi pendokong kuat pemikiran Sayyid Qutb mula bersikap lembut dengan kerajaan manakala PAS yang sebelum ini merupakan parti politik nasionalis Islamik berubah wajah menjadi gerakan Islam yang mendokong kuat cita-cita untuk menegakkan sebuah negara Islam yang sebenarnya. Saya mengira, di sinilah bermulanya pertarungan sebenar antara PAS sebagai sebuah gerakan atau jemaah Islam dengan pihak pemerintah.

Laluan PAS seterusnya di Malaysia pada masa ini sememangnya terlalu sukar ekoran kemasukan Anwar Ibrahim ke dalam kerajaan. Akibatnya, masyarakat menerima proses Islamisasi sederhana dan beransur-ansur yang dibawa bersama penyertaannya ke dalam kerajaan. Kerana itulah, PAS sebenarnya menghadapi laluan yang benar-benar getir dan mencabar.

1983- 1997

PAS pasca kepimpinan ulama’ lebih banyak berusaha untuk memantapkan kepimpinan ulama seterusnya memperkenalkannnya kepada masyarakat umum. Usaha-usaha PAS lebih kepada untuk menyaingi proses Islamisasi yang dibawa oleh Anwar Ibrahim ke dalam UMNO. Ternyata, dalam banyak perkara, PAS lebih banyak ketinggalan. Faktor UMNO sebagai sebuah kerajaan yang mempunyai segala-gala kemudahan adalah merupakan faktor yang terbesar. Oleh yang demikian, PAS khususnya hanya terpaksa menanti dan mengharap agar UMNO menghadapi krisis dalaman untuk diambil kesempatan daripada berusaha memberikan penerangan kepada rakyat tentang perjuangan PAS. Dan pembangkang khususnya PAS selalunya bernasib baik dalam penantian ini. Secara umumnya kronologi di peringkat ini adalah seperti berikut :

1985 : Peristiwa berdarah Memali di Kedah yang mengorbankan sejumlah penyokong PAS dan seorang anggota polis. PAS seterunya dilabel sebagai parti yang mahu menggulingkan kerajaan dengan kekerasan. Bagi saya, peristiwa Memali hanyalah sebagai satu langkah awal untuk melihat setakat manakah PAS boleh ditangani melalui kekerasan. Ia adalah cubaan yang benar-benar menguji tahap kematangan pimpinan PAS pada masa itu.

1986 : Pilihanraya Umum menyaksikan PAS kalah teruk dengan hanya memenangi satu kerusi parlimen. Namun, pada pilihanraya ini buat pertama kali gagasan pakatan antara pembangkang dilaksanakan walaupun ternyata ia maish lagi kabur dan tidak mempunyai kesepaduan yang jelas.

1987 : Ekoran pertandingan jawatan tertinggi di dalam UMNO, mereka berpecah kepada dua pasukan (team A dan team B). Tengku Razaleigh yang hanya kalah sebanyak 43 undi kepada Dr. Mahathir untuk jawatan Presiden UMNO membawa pengkutnya yang tidak sedikit keluar daripada UMNO dan memberntuk Semangat 46. Krisis ini berakhir dengan pengharaman UMNO dan kelahiran semula UMNO Baru di bawah pimpinan Dr. Mahathir. Manakala Semangat 46 pula muncul sebagai pembangkang yang hebat dan mampu menggugat kerajaan Dr. Mahathir pada masa itu.

1989 : PAS sebagai sebuah gerakan Islam membentuk kerjasama politik dengan Semangat 46 untuk menghadapi UMNO/BN di dalam pilihanraya. Kerjasama yang dinamakan Angkatan Perpaduan Ummah ini adalah merupakan gagasan pakatan pembangkang yang terbesar di dalam sejarah pilihanraya tanahair. Namun, kerjasama yang dibentuk oleh PAS ini ditentang oleh sebahagian ahli peringkat bawahan. Ini membawa peristiwa keluarnya sebahagian daripada ahli-ahli PAS membentuk parti Islah.

1990 : Pilihanraya Umum diadakan. UMNO/BN masih berjaya menubuhkan kerajaan persekutuan. Pakatan APU pula berjaya menawan Kelantan dengan tidak memberikan sebarang kerusi kepada UMNO/BN. Ekoran daripada kejayaan inilah, Kelantan kembali dikuasai oleh pembangkang dengan PAS sebagai peneraju utamanya. Kejayaan menawan Kelantan juga adalah merupakan kejayaan pertama PAS di bawah kepimpinan ulama’. Seterusnya, PAS dilihat berjaya membina dan mengukuhkan kepercayaan rakyat kepada kepimpinan ulama’.

1993 : Di dalam UMNO, Anwar Ibrahim dikatakan mencapai kemuncak kejayaannya apabila memenangi jawatan Timbalan Presiden UMNO dalam pemilihan Majlis Tertinggi UMNO. Seterusnya Anwar Ibrahim dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Hampir keseluruhan ramalan politik pada masa itu mengatakan Anwar Ibrahim adalah bakal Perdana Menteri Malaysia yang kelima.

1994 : Al-Arqam diharamkan oleh kerajaan. Para pemimpinnya dikenakan tahana ISA. Segala kegiatan ekonomi dan pendidikan Al-Arqam yang bergiat cergas sebelum ini dipantau dan ditamatkan dengan pukulan ‘maut’ oleh kerajaan yang diketuai oleh Pusat Islam. Dalam hal ini, PAS lebih kepada bersikap tunggu dan lihat. Manakala tuduhan sesat yang dilemparkan kepada Al-Arqam turut diperakui oleh pimpinan PAS.

1995 : Pilihanraya Umum sekali lagi menyaksikan UMNO/BN mengekalkan majoriti 2/3 untuk membentuk kerajaan. Manakala pakatan pembangkang pula tidak menunjukkan sebarang kemajuan selain daripada mengekalkan penguasaan di Pantai Timur khususnya di Kelantan. Masa depan pakatan pembangkang dan kemampuannya pada masa itu mula dicurigai oleh para pemerhati politik.

1996 : Tengku Razaleigh Hamzah akhirnya mengambil keputusan untuk membubarkan Semangat 46 dan membawa ahli-ahlinya kembali semula kepada UMNO. Sekali lagi PAS dilihat sebagai tergugat. Ini kerana dengan kemasukan Adun-adun dari Semangat 6 ke dalam UMNO, maka PAS gagal untuk membetuk majoriti 2/3 di dalam Dewan Undangan Negeri Kelantan. Walaupun demikian, kemenangan tipis PAS dalam pilihanraya kecil di Pulai Chondong sejurus selepas pembubaran Semangat 46 memberikan sedikit bukti bahawa rakyat Kelantan tetap bersama dengan kepimpinan ulama’.

Ulasan : Sebelum daripada kemenangan PAS di Kelantan, PAS dilihat gagal untuk meyakinkan rakyat bahawa kepimpinan ulama’ adalah yang terbaik untuk mereka. Malah untuk meyakinkan ahli-ahlinya sendiri juga merupakan satu cabaran yang besar bagi PAS. PAS juga dilihat masih tercari-cari arah yang sesuai untuk berhadapan dengan UMNO yang memperhebatkan proses Islamisasi. Selain daripada seruan Islam, maka tidak ada isu yang boleh digunakan untuk menyerang kekuatan UMNO/BN. Saya lebih suka untuk mengatakan, seandainya UMNO/BN tidak dilanda dengan perpecahan, maka adalah sukar sama sekali bagi PAS untuk meraih undi rakyat.

Namun, selepas percakaran sesama pemimpin UMNO, mereka dilanda perpecahan yang begitu hebat. Dalam peringkat ini, PAS sekali lagi bertindak bijak untuk mengambil kesempatan daripada keadaaan dengan menjalinkan kerjasama dengan Semangat 46. Walaupun berlaku kekeliruan di kalangan ahli-ahli PAS, namun ia tidak lebih dari kocakan air di kolam yang tenang. Sejarah seterusnya membuktikan bahawa langkah PAS adalah tepat. Faktor Semangat 46 dan Istana Kelantan adalah merupakan faktor penting yang membantu kemenangan PAS di Kelantan. Manakala di Pantai Barat, Gagasan Rakyat iaitu pakatan Semangat 46-DAP gagal untuk meraih kejayaan. Seandainya Gagasan Rakyat juga berjaya di Pantai Barat, maka sudah tentulah perjalanan politik tanahair akan berubah sama sekali. Dengan andaian bahawa dengan kemenangan Gagasan Rakyat, kerajaan UMNO/BN akan mengalami kejatuhan, Tengku Razaleigh Hamzah pasti akan dilantik mengetuai kerajaan baru. Dalam masa yang sama, PAS masih belum berjaya menyebarkan fikrahnya secara menyeluruh. Dalam masa itulah, pasti berlakunya pertembungan ideologi antara PAS dan DAP dalam kerajaan. Kedua-duanya terlalu kuat berpegang dengan ideologi masing-masing. Umpama minyak dan air, adalah menjadi kemustahilan untuk kedua-duanya melakukan kompromi. Adalah menjadi satu kemungkinan yang hampir pasti bahawa perpecahan akan berlaku seandainya barisan pembangkang berjaya membentuk kerajaan persekutuan pada tahun 1990. Namun, ketentuan Allah adalah sebaik-baik ketentuan. Allah hanya menghadiahkan Kelantan kepada PAS sebagai satu persediaan untuk satu kemenangan yang pasti akan diberikan satu hari nanti, Insya-Allah.

Walapun perkahwinan politik antara PAS dan Semangat 46 tidak dapat bertahan lama, namun sekurang-kurangnya pakatan itu memberikan hadiah berupa negeri Kelantan kepada PAS. Hadiah itulah yang menjadi pengkalan kepada PAS untuk melebarkan pengaruhnya ke seluruh tanahair. Walaupun demikian, kerajaan PAS dilihat masih gagal menjadi contoh kepada rakyat Malaysia ekoran kegagalannya untuk meningkatkan prestasi dalam pilihanraya 1995. Kerana itulah, sebenarnya PAS hanya menunggu agar UMNO dilanda krisis dalaman untuk meraih kemenangan. Tanpa krisis dalaman UMNO, sukar sekali untuk PAS memperolehi kejayaan. Antara faktor yang menyumbang ke arah berlakunya senario sebegini ialah kegagalan PAS untuk menyebarkanluaskan fikrah dan ideologinya kepada masyarakat umum. PAS masih disaluti imej kolot, kekampungan dan fanatik.

1997 – sekarang

Sebagaimana yang sudah dijelaskan, perkembangan dan perjuangan PAS dalam arena politk tanah air bersifat statik dan stereotaip semata-mata. Namun, untuk melihat perpecahan berlaku di dalam PAS khususnya dalam masa kepimpinan ulama’ ini adalah amat sukar tidak sebagaiman UMNO yang sering bergolak dengan politik terajangnya.

Kedudukan UMNO selepas kemasukan kembali Tengku Razaleigh bolehlah dikategorikan sebagai agak mantap. Malah tidak keterlaluan untuk menyatakan, kerajaan PAS di Kelantan mempunyai kemungkinan untuk dijatuhkan seandainya senario selepas kemasukan Tengku Razaleigh ke dalam UMNO berterusan sehingga pilihanraya yang berikutnya. Namun, tiada siapa dapat menghalang ketentuan dari Allah SWT. Kronologi seterusnya terus meletakkan PAS sebagai pihak yang sentiasa bernasib baik.

1997: Pada bulan Julai, Malaysia dan negara-negara sekitar mengalami kejatuhan nilai mata wang yang teruk. Pada masa itulah, timbulnya desas-desus akan mengenai percakaran yang berlaku di dalam UMNO khususnya antara Anwar Ibrahim (Timbalan Presiden) dengan Dr. Mahathir Mohamad (Presiden).

1998 : Anwar Ibrahim dipecat daripada UMNO dan Kerajaan di atas beberapa tuduhan yang sama sekali tidak dapat dibuktikan dengan jelas. Sekali lagi senario politik di Malaysia menjadi panas. Demonstrasi jalanan menjadi popular dengan tiba-tiba. UMNO berada pada tahap yang paling teruk selepas kemerdekaan. Pemecatan Anwar bertepatan dengan era teknologi maklumat menjadikan UMNO tidak sempat untuk menangkis pelbagai tuduhan yang dilemparkan dari pelbagai sudut.

Ekoran dari pemecatan Anwar, secara imej Islamik yang selama ini membayangi UMNO walaupun tidak banyak hilang secara tiba-tiba. Ahli-ahli akademik dan tokoh-tokoh masyarakat yang selama ini merupaka penyokong UMNO keluar beramai-ramai ke barisan pembangkang. UMNO kembali kepada imej ultra sekular nasionalisnya seperti era 70-an.

Hasil daripada pemecatan Anwar, PAS tidak gagal untuk memanipulasi keadaan sebaik mungkin. Dengan diketuai oleh PAS, barisan pembangkang digabungkan sebaik mungkin untuk menjatuhkan UMNO/BN dalam pilihanraya. Apa yang menarik, kali pertama dalam sejarah politik tanah air, PAS berjaya menjalinkan kerjasama rasmi dengan DAP di samping penyokong-penyokong Anwar berada di dalam parti Keadilan Nasional. Kerana itulah, gabungan pembangkang kali ini boleh disifatkan sebagai yang terbaik di dalam sejarah politik tanahahir. Namun tidak dapat dinafikan bahawa ia masih mempunyai banyak kelemahan. Halatuju yang ingin dibawa masih kabur dan tidak jelas.

1999 : PAS berjaya menawan Terengganu dalam pilihanraya umum. Manakala sokongan orang-orang Melayu kepada UMNO/BN merosot dengan begitu teruk. Di beberapa buah negeri, majoriti kekalahan PAS hanyalah tipis. Para pemerhati politik ramai yang berpendapat bahawa seandainya hak lebih 600,000 orang pengundi baru tidak dinafikan dalm pilihanraya kali ini, maka sudah pasti kerajaan UMNO/BN sudah ditalkinkan. Namun, perancangan Allah adalah sebaik-baik perancangan.

2000 : Pilihanraya kecil di Lunas pada akhir tahun 2000 menyaksikan kemenangan calon Keadilan, Saifuddin Nasution dengam majoriti yang agak selesa. Oleh kerana pengundi Lunas kebanyakannya bukan terdiri dari orang Melayu, maka senario ini harus dilihat sebagai sokongan orang bukan Melayu kepada pembangkang. Oleh yang demikian, seharusnya PAS melihat ini sebagai peluang terbaik untuk menjatuhkan kerajaan UMNO/BN pada pilihanraya yang akan datang.

Ulasan :Tiada siapa yang dapat menafikan bahawa pemecatan Anwar Ibrahim adalah merupakan pencetus kepada kebangkitan rakyat di Malaysia. Walapun pemecatan itu bukanlah satu-satunya faktor, tetapi ia tetap merupakan faktor utama. Rakyat kembali memperkatakan soal keadilan, ketelusan dan kejujuran pemimpin. Isu rasuah, kronisme dan lain-lain diperkatakan dengan hebatnya oleh pembangkang termasuklah PAS.

Melihat dari konteks PAS, jika sebelum ini, isu yang diutarakan ialah soal perjuangan dan negara Islam, maka pada hari ini, PAS lebih banyak memperkatakan isu-isu nasional dan cuba untuk tidak memperlihatkan perbezaan ideologi dengan rakan-rakan pembangkang yang lain. Ini tidak sukar bagi PAS kerana sedikit demi sedikit PAS sudah mula dikenali sebagai parti intelektual ekoran penyertaan beramai-ramai ahli akademik ke dalam PAS. Imej kampung, kolot dan konservatif sebelum ini boleh dikatakan telah tiada dalam PAS.

Namun, adakah dalam masa yang sama, PAS sudah mula melupakan aliran pemikiran Sayyid Qutb yang dijunjungnya dengan begitu kuat sebelum ini? Tentu sekali tidak Melihat kepada corak kepimpinan dan organisasi PAS, maka sama sekali tidak boleh dikatakan bahawa PAS sudah mula meninggalkan ideologinya sebagai sebuah jemaah Islam. Namun, usia setengah abad telah mematangkan PAS agar sentiasa berhati-hati.

Sesungguhnya hari ini, PAS berada dalam kedudukannya yang paling selesa untuk membentuk kerajaan selepas ini. Namun, satu persoalan yag harus dijawab. Adakah sokongan rakyat kepada pembangkang khususnya PAS ialah kerana rakyat menerima konsep perjuangan Islam atau hanya sekadar sebagai satu alternatif kepada UMNO/BN? Bagi saya, PAS sebenarnya masih gagal untuk menyajikan ideologi perjuangan Islamnya dengan baik. Oleh yang demikian, sokongan rakyat yang meningkat pada hari ini bukanlah satu bukti bahawa ideologi PAS mula diterima. Ia sebenarnya tidak lebih dari manifestasi kebencian rakyat kepada UMNO/BN. Kebencian rakyat ini diterjemahkan dalam bentuk sokongan kepada pembangkang khususnya PAS. Dalam erti kata lain, jika hanya kerana ideologi Islam yang ada pada PAS, sebenarnya PAS masih tidak berjaya sekalipun tidak gagal seratus peratus.

Ya, kedudukan UMNO/BN sudah tidak selamat, namun adakah itu secara automatik merupakan janji selesa kepada perjuangan Islam? Bersediakah sebenarnya PAS khususnya menangani kemenangan dengan sebaik mungkin?

Peranan seterusnya generasi tunas bagi memastikan kemenangan sebenar Islam

Sesungguhnya perjuangan Islam pasti akan memperolehi kemenangan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

Hari Kiamat tidak akan berlaku sehinggalah para muslimin memerangi orang Yahudi. Para muslimin memerangi mereka menyebabkan orang Yahudi bersembunyi di belakang batu dan pokok. Maka batu atau pokok berkata: Wahai para muslimin! Wahai hamba Allah! Ada Yahudi di belakangku. Datanglah ke sini dan bunuhlah dia melainkan pokok yang berduri, kerana pokok itu adalah di atara pokok kaum Yahudi . (Hadis riwayat Bukhari, Muslim & Ahmad)

Namun, adakah kemenangan Islam itu akan diberikan seperti mana turunnya hujan? Adakah Allah SWT akan memberikan kemenangan kepada perjuangan Islam secara percuma? Tentu sekali tidak.[8] Allah SWT berfirman yang bermaksud :

Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) di antara kamu, dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar (tabah dan cekal hati dalam perjuangan)?[9]

Dalam konteks Malaysia, generasi tunas khususnya mereka yang mempunyai kesedaran agama yang tinggi seharusnya memainkan peranan yang penting bagi memastikan kemenangan kepada Islam bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia. Ini kerana seandainya kita menerima tanggapan bahawa kemenangan Islam sudah semakin hampir di Malaysia, maka tidak dapat tidak yang akan menangani dan mengisi kemenangan tersebut ialah generasi muda yang ada pada hari ini. Adalah menjadi satu kepincangan yang maha hebat seandainya kemenangan yang dianugerahkan oleh Allah hanya menyebabkan pejuang-pejuang Islam lalai untuk terus berjuang. Sesungguhnya kita tidak mahu saat-saat kemenangan yang paling berharga dicemari dengan ‘tragedi Uhud yang kedua’. Akhirnya, kemenangan yang diberikan tidak lebih hanyalah merupakan penghinaan daripada Allah SWT.

Hari ini, generasi pemuda harus bersedia dengan seribu kemungkinan. Cabaran di hadapan terlalu hebat untuk dihadapi. Dunia tanpa pesempadanan menguji sejauh mana kekentalan semangat generasi tunas megharungi dugaan hidup untuk muncul sebagai tentera Allah. Generasi tunas hari ini seharusnya :

? Mempersiapkan diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang[10].

? Mengasuh dan mendidik jiwa agar boleh beristiqomah dengan perjuangan Islam. Sesungguhnya sudah ramai bersemangat untuk berjuang sebelum ini akhirnya gagal di tengah jalan apabila bertemu dengan dugaan dan cabaran yang berupa penderitaan. Seandainya generasi tunas hanya mampu bersemangat untuk waktu yang sementara dan layu di tengah jalan, maka kita akan melihat perjuangan Islam akan terus berada dalam perjalanan yang sukar. Memetik kata Said Zahari (tahanan poltik tanpa bicara selama 17 tahun) dalam bukunya, Meniti Lautan Gelora : “Saya tidak pernah menangis dan tidak akan menangis hanya kerana saya ditahan”.[11]

? Mempelajari teknik-teknik dakwah yang terbaik. Segala macam bentuk dakwah Islam perlu didalami sebaik mungkin. Konsep tarhib wa targhib dan dakwah bilhikmah perlulah sentiasa dijadikan panduan kepada para pejuang khususnya generasi tunas. Ini penting bagi memastikan masyarakat memahami konsep penjuangan Islam yang sebenar. Seterusnya, masyarakat akan memilih Islam kerana merasakan bahawa Islam adalah merupakan plihan yang terbaik bukan didorong oleh kebencian terhadap sistem yang ada paad hari ini.

? Generasi tunas haruslah sentiasa menyedari bahawa hidup dan mati mereka hanyalah untuk Islam. Setiap langkah yang dibuat haruslah disertakan bersama keikhlasan kepada Allah. Ini kerana merupakan aib yang terlalu besar seandainya mereka yang mengaku sebagai pejuang Islam namun perjuangan yang didokong masih terpalit dengan niat duniawi.

Penutup

Sesungguhnya perjuangan Islam di Malaysia khususnya melalui politik telah melalui ranjau-ranjaunya yang tidak sedikit. Walaupun sering mengalami kekalahan, namun kekentalan para pendokong menjadikan PAS semakin matang menghadapi pelbagai cabaran. Oleh kerana kita melihat bahawa tahun-tahun kebelakangan ini, sokongan rakyat begitu mendadak meningkat, maka seharusnya langkah-langkah bagaimana untuk menangani kemenangan dibincangkan sejak daripada awal lagi. Perlu diingatkan, kemenangan kadang kala merupakan satu anugerah namun kebanyakannya lebih kepada ujian.

Manakala generasi tunas pua harus sentiasa bersiap sedia untuk tampil ke hadapan mendepani cabaran-cabaran yang akan mendatang. Islam pasti akan bangkit semula sebelum berlakunya kiamat dan sudah pasti generasi tunas pada hari ini perlu bersiap sedia ke arah itu

Thursday

Lanskap Politik Malaysia Hari Ini
[Kertaskerja ini dibetangkan di Seminar “Menjana Kekuatan Parti” anjuran PKR Negeri Selangor dan PKR Wilayah Persekutuan di Continental Suites, Kelang, Selangor, 3 – 4 Mac 2007] Oleh Allahyarham Rustam A Sani - 06 March 2007
1

Politik BN pasca-Mahathir

Hampir tiga dekad pemerintahan Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri negara ini telah meninggalkan kesan yang amat mendalam terhadap lanskap politik kita. Sahsiahnya sebagai seorang yang cenderung ke arah gaya pemerintahan kuku besi telah melahirkan sebuah masyarakat yang tidak begitu menghargai perbezaan pandangan dan wacana politik. Institusi-institusi politik demokrasi yang biasanya melibatkan perbincangan dan perdebatan – seperti Parlimen dan dan majlis-majlis perundangan lainnya – dikatakan telah diturunkan martabadnya untuk menjadi gelanggang monolog Mahathir semata-mata.

Malah parti politik besar yang dipimpinnya, yakni Umno, menjadi amat terhakis sifat-sifat demokrasinya sewaktu di bawah pimpinannya. Sudah beberapa kali, dalam menghadapi pelbagai krisis, parti itu dimanipulasi untuk menangguhkan, malah menggantung, unsur-unsur demokrasinya yang amat asasi seperti pemilihan para pemimpin di Perhimpunan Agung.

Yang menariknya, kesan kekangan pemerintahan Mahathir itu tidak sekadar berlaku dalam Umno sahaja. Kesanya terhadap pemerintahan pada keseluruhannya – dan terhadap dasar-dasar yang dilaksanakan pemerintahan itu – amatlah jelas. Tidak banyak dasar pemerintahan negara yang telah difikirkan semula, apa lagi dibatalkan, semata-mata kerana dasar-dasar tersebut dikritik oleh para cerdik pandai atau profesional – kalaupun masih ada cerdik pandai yang berani mengkritik kerajaan pada zaman itu.

Apa yang dikehendaki Mahathir, maka itulah yang akan terjadi. Pengalaman pahit Anwar Ibrahim merupakan peringatan jelas kepada sesiapa yang berani berbeza pandangan dengan Mahathir – betapapun tingginya kedudukan orang yang berbeza pandangan itu, betapapun berhati-hatinya perbezaan pandangan itu diluahkan.

Mahathir memang merupakan seorang yang lebih mengutamakan “kestabilan” daripada demokrasi atau kebebasan bersuara. Jika kita mengingatkannya tentang cara pemerintahannya yang kuku besi itu, maka saya kira dia akan mengingatkan kita betapa stabilnya suasana politik pada waktu pemerintahannya itu.

Kita mungkin boleh menuduhnya telah menyalahgunakan undang-undang yang zalim, seperti ISA, OSA dan sebagainya. Namun dia pastilah akan mengingatkan kita bahawa kesan “penyalahgunaan” itu amatlah “positif”. Kesan buruk daripada kebangkitan gerakan reformasi – kebangkitan gerakan dan kesedaran anti-kerajaan yang paling besar yang pernah tercetus di negara ini – telah dapat dihindarkan dan dikawal dalam masa yang singkat. Demikianlah juga halnya gerakan “keganasan” berasaskan Islam.

Umno telah menjadi kurang demokratis, malah telah menjadi tidak demokratis samasekali, di bawah pimpinannya. Namun dia akan mendakwa bahawa di bawah pimpinannya perebutan kedudukan kepimpinan dalam parti secara terbuka telah dapat dikawal – malah dihapuskan. Namun demikian, rasuah politik dan beli-membeli undi dalam parti itu tidaklah dapat dihapuskannya – sehingga dia beberapa kali menitiskan airmata di khalayak ramai sehubungan dengan sifat jelek partinya itu.

Penghapusan amalan korupsi, baik dalam Umno maupun dalam kerajaan, ternyata bukanlah sesuatu yang mendapat keutamaan dalam pemerintahan Mahathir. Jika korupsi merupakan satu cara yang efisien untuk melaksanakan sesuatu (“to get things done”), maka pemerintahan itu tampaknya tidak akan bertindak untuk menghapuskannya. Sebab itulah pada zaman pemerintahannya Badan Pencegah Rasuah (BPR) tidaklah lebih daripada sekadar merupakan barang hiasan. Lebih-lebih lagi jika yang melakukan rasuah itu merupakan orang yang digemarinya dan berada di pihak PM dalam percaturan politiknya.

Oleh kerana itu, bila Mahathir mengakhiri zaman pemerintahannya beberapa tahun lalu, segala kebobrokan itu – malah pelbagai kebobrokan yang sudah terlembaga (institutionalised) dalam pemerintahannya itu – dengan tiba-tiba kelihatan seolah-olah sedang mengalami suasana politik dan kekuasaan yang baru. PM baru, Abdullah Badawi, tampaknya memperlihatkan keinginan dan hasrat untuk melakukan sesuatu. Namun keinginannya itu tidak mencapai tahap yang cukup tinggi untuk dapat dianggap sebagai iltizam politik yang mantap.

Kita dapat memahami, malah bersimpati dengan, langkah dan tindakan Abdullah yang amat berhati-hati itu. Dia bukanlah seorang Mahathir yang cukup kuat untuk bertindak sesuka hatinya, khususnya dalam kerangka percaturan politik Umno. Malah ada pihak yang membuat spekulasi bahawa Mahathir masih merupakan tangan tersembunyi yang masih mantap genggamannya, baik dalam Umno maupun dalam kerajaan. Masih wujud kelompok-kelompok “pro-Mahathir” yang agak kuat yang tidak dapat dikuak ke tepi begitu sahaja oleh Abdullah tanpa mendatangkan bahaya politik pada dirinya sendiri.

Soalnya: Apakah perubahan akan terjadi hanya setelah Abdullah sama kuatnya dengan Mahathir kelak? Tetapi, jika Abdullah sudah menjadi sekuat Mahathir, apakah dia masih akan berminat untuk melakukan perubahan-perubahan tersebut? Tidakkah lebih baik dia menjadi penerus Mahathir sahaja pada ketika itu? Dan tanda-tanda perkembangan ke arah itu semakin hari semakin jelas kini.

Dalam kerangka parti-parti politik (khususnya parti-parti politik dalam BN) penghakisan unsur demokrasi pada zaman Mahathir itu sebenarnya tidak terjadi terhadap Umno sahaja – malah terjadi juga pada parti-parti politik utama lainnya. Semua pihak tampaknya mengambil sikap yang sama: memperoleh sokongan (dan perlindungan) Mahathir lebih penting daripada mendapat sokongan para anggota parti sendiri. Tambahan pula sokongan dalam parti sendiri itu dapat dimanipulasi dalam kerangka budaya politik wang dan politik perkauman yang berkembang mekar pada waktu itu.

Oleh itu, setelah Mahathir mengundurkan diri, kelihatan kecenderungan terhadap mengembalikan unsur-unsur demokrasi dalam parti-parti politik tersebut. Setelah lebih dua dekad demokrasi dilumpuhkan oleh pemerintahan dan kepimpinan Mahathir maka kedudukan selesa para pemimpin politik yang dulunya terjamin dan dilindungi, sudah mulai tercabar. Namun setelah lebih dua dekad dilumpuhkan, unsur demokrasi yang cuba ditegakkan kembali itu tentulah masih jauh daripada matang dan mantap.

Amatlah menarik bahawa apabila MCA mengadakan Perhimpunan Agung Tahunan pertamanya setelah era Mahathir berakhir proses pemilihan para pemimpin parti itu menjadi lebih terbuka dan lebih meriah. Bukan sahaja para pemimpin utama parti itu, malah semua pihak yang terlibat (termasuklah golongan pencabar) mengakui bahawa proses pemilihan kepimpinan parti pada waktu itu merupakan proses yang paling demokratis dalam masa lebih dua dekad yang lalu.

Memanglah hasil pemilihan itu menunjukkan bahawa kemenangan masih dapat dipertahankan oleh kelompok-kelompok yang ada hubungannya dengan suatu kelompok pemimpin lama yang telah memperoleh perlindungan daripada pemerintahan lama yang tidak demokratis itu. Ini, bagi saya, membuktikan bahawa proses perubahan dan pendemokrasian tidak akan berlaku dalam masa sehari. Proses itu akan memerlukan jangka waktu pematangan.

Proses pendemokrasian ini juga mulai kelihatan berlaku dalam Gerakan. Presiden parti itu, Dr Lim Keng Yaik, memperlihatkan banyak sifat-sifat Mahathir dalam penentuan kepimpinan parti tersebut. Pada mulanya timbul persoalan apakah Timbalan Presiden parti, Kerk Choo Ting, akan menarik diri untuk memberi laluan kepada Dr Koh Tsu Khoon yang disebut-sebut sebagai calon yang dikatakan merupakan pilihan para anggota parti – dan dengan itu akan menjadi pengganti Lim Keng Yaik nanti.

Jika Kerk menarik diri dan berundur, maka penyelesaian itu pastilah akan merupakan penyelesaian ala zaman Mahathir yang klasik. Namun senarionya tidaklah seperti itu. Malah sebaliknya, Kerk menamakan dirinya sebagai pencabar Lim Keng Yaik sendiri untuk jawatan Presiden. Langkahnya ternyata menggemparkan Lim Keng Yaik, yang terang-terangan menyatakan rasa kecewanya kerana keengganan Kerk menerima tawaran jawatan penasihat parti.

Dalam MIC, kedudukan Presidennya – S. Samy Vellu – bolehlah dikatakan sebagai paling hampir menyerupai kedudukan Mahathir dalam Umno. Apa yang dihasratkan Samy maka itulah yang akan terjadi. Mungkin kerana itulah proses pencabaran kedudukan beliau dalam MIC agak lambat terjadi. Meskipun demikian, kecenderungan ke arak tercabarnya jawatan-jawatan penting yang lainnya dalam MIC sudah mula kedengaran. Hanya masa, saya kira, yang dapat menentukan selama manakah lagi Samy sendiri akan dapat bertahan.

Nyatalah bahawa angin perubahan pasca-Mahathir sudah mulai bertiup. Malah ada pemerhati yang menyatakan bahawa angin perubahan itu sudah mulai berhembus dalam pelbagai sektor masyarakat – seperti bidang kehakiman, media massa, pendidikan tinggi, dan sebagainya – yang selama ini begitu kuat terpasung dalam genggaman Mahathir.

Kita berharap Abdullah Badawi tidak perlu menunggu sampai dia sekuat Mahathir sebelum dia dapat memanfaatkan angin perubahan dan pendemokrasian itu.


2

Apakah salahnya pemerintahan Pak Lah?

Tidak ada siapa yang boleh mempersoalkan kredibiliti Pak Lah untuk menjadi Perdana Menteri negara ini. Dia telah memimpin parti-parti gabungan Barisan Nasional dalam pilihanraya umum yang lalu untuk memperolehi kelebihan undi yang lebih daripada meyakinkan.

Banyak penganalisis yang berpendapat bahawa kelebihan undi yang demikian tidak mungkin diperolehi oleh Dr Mahathir sendiri jika sekiranya beliau terus memimpin parti itu menghadapi pilihanraya tersebut. Malah ada para penganalisis yang menganggap pengunduran Dr Mahathir sebelum pilihanraya tersebut sebagai pertanda tentang kemenangan gerakan reformasi di negara ini.

Gerakan reformasi itu dikatakan telah berhasil mencemar kredibiliti Dr Mahathir sebagai pemimpin yang bersih lagi dapat dipercayai – sehingga beliau sendiri tidak begitu yakin bahawa beliau akan dapat menebus “kekalahan” yang telah dialaminya dalam pilihanraya umum sebelum itu.

Dalam hubungan ini Pak Lah tampaknya telah menerapkan strategi yang betul dalam menghadapi piliharaya pasca-Mahathir itu. Kepada rakyat negara ini dia telah mempersembahkan dirinya sebagai “pengganti” yang sebenarnya – dan bukannya sebagai “penerus” kepimpinan Mahathir.

Dalam hubungan itu dia begitu menekankan citranya sebagai pemimpin yang bersih – menyimpang daripada imej pemimpin sebelumnya yang begitu menonjol sifat-sifat kronisme, nepotisme dan kolusinya. Sifat-sifat tersebutlah yang telah ditekankan oleh gerakan reformasi dengan jayanya.

Bukan sekadar itu sahaja. Pak Lah telah memasuki pilihanraya tersebut dengan semacam janji yang tidak diucapkan kepada rakyat bahawa dia sedang berusaha untuk menghapuskan citra korupsi dan pembaziran keterlaluan (excesses) pemerintahan sebelumnya itu. Beberapa inisiatif untuk mendakwa beberapa tokoh dan para pemain dalam drama korupsi di negara ini telah dimulakan – namun hingga sekarang belum juga kelihatan hujungnya.

Dengan usaha penonjolan citra baru itu, maka tidaklah menghairankan jika rakyat Malaysia yang begitu dahagakan perubahan itu telah memberikan mandat yang begitu besar kepada BN “baru” pimpinan Pak Lah itu.

Pemberian mandat besar itu kemudiannya diikuti pula dengan suatu jeda waktu yang agak lama yang boleh dianggap sebagai jeda waktu “berbulan madu” antara pemerintahan Pak Lah dengan kepercayaan rakyat yang amat mengharapkan perubahan. Dalam jeda waktu tersebut rakyat tampaknya sanggup melupakan ketiadaan perubahan itu kerana mereka yakin bahawa perubahan itu pasti akan tiba juga, meskipun memerlukan sedikit waktu lagi.

Kini jeda waktu “honeymoon” (bulan madu) itu tampaknya sudah berakhir – namun perubahan yang diharap-harapkan itu tampaknya belum juga menjelang. Malah terdapat tanda-tanda bahawa arah tuju pemerintahan baru itu semakin tidak menentu dan tidak menjanjikan sesuatu yang lebih baik daripada keadaannya dalam pemerintahan “lama” yang digantikannya.

Hari ini jika ditinjau pandangan rakyat dari kalangan pelbagai golongan – dari kalangan pekerja biasa hingga ke golongan pemodal – tidak banyak yang memperlihatkan keyakinan tinggi seperti yang telah menghasilkan kemenangan BN dalam pilihanraya umum yang lalu itu.

Keadaan ekonomi kini semakin merosot, meskipun pihak pemerintah terus menerus menafikan kemerosotan itu (ertinya kerajaan dalam keadaan “in denial”). Rakyat biasa dalam kehidupan sehariannya sedang dilanda inflasi, sedangkan kerajaan masih terus sahaja menafikannya – dengan tindakan mungkin mengancam akan bertindak keras terhadap para pedagang yang menaikkan harga barang yang terpaksa dinaikkan kerana meningkatnya harga pelbagai komoditi perlu.

Pihak pemerintah tidak mampu memperlihatkan bahawa terdapat sebarang perancangan yang mantap bagi menghadapi situasi itu. Sedangkan para ahli politik dan para pentadbir terus menerus membuat kenyataan yang terus menerus bercanggah antara satu dengan lain.

Segala pihak yang dalam pilihanraya umum yang lalu telah sanggup memberikan mandat besar kepada pemerintahan “baru” Pak Lah itu demi perubahan, kini mulai kecewa bahawa perubahan itu masih juga tidak kunjung tiba. Malah pemerintah sekarang bukan sekadar menjadi penerus pemerintah yang lama tetapi juga menjadi pemerintah yang amat lemah kerana tidak mampu mengatasi pelbagai masalah yang telah diwariskan kepadanya oleh pemerintah yang lama itu.

Pemimpin pemerintah lama itu – yakni Mahathir – tampaknya masih kuat, masih memegang “tampuk” kuasa dalam pelbagai institusi yang penting dalam pemerintahan. Malah terdapat spekulasi bahawa orang-orang beliau dalam politik parti amat kuat, dan dikatakan berkemampuan menyaingi kedudukan Pak Lah sendiri.

Banyak projek-projek infrastruktur yang besar-besar tidak mampu diteruskan kerana kekurangan dana. Alasan yang lebih tepat mungkin kerana pemerintah yang lalu telah terlalu berlebihan berbelanja dalam bidang itu. Namun pemerintah yang sekarang tampaknya tidak berkemampuan secara rasmi menukar haluan, apatah lagi mengkritik pendekatan kerajaan lama itu.

Mengkritik kelemahan-kelemahan pemerintahan lama itu samalah seperti menjolok sarang tebuan politik dalaman UMNO sendiri – dan Pak Lah tampaknya tidak punya kesanggupan menghadapi sarang tebuan itu.

Itulah salahnya dengan pemerintahan pimpinan Pak Lah ini: Untuk menjadi mantap dan menjadi kredibel dia terpaksa menyimpang daripada haluan pemerintahan lama. Namun dia tidak mampu berbuat demikian, kerana kedudukannya sendiri yang tidak begitu mantap dalam kerangka politik dalaman partinya sendiri – UMNO.

Dia terlalu perlu mengubah haluannya, tetapi dia tidak mampu mengubah haluan itu.

Pada mulanya, pemilihannya sebagai pewaris atau penerus Dr Mahathir sendiri merupakan sesuatu yang sukar diterima akal. Dia bukanlah pemimpin yang terkuat dalam UMNO selepas Dr Mahathir yang hampir-hampir kuku besi sifatnya itu. Kedudukannya sebagai Naib Presiden UMNO merupakan kedudukan yang tercorot, yakni paling rendah undiannya.

Selain itu hubungannya dengan Dr Mahathir bukanlah pula yang tererat. Dia pernah terlibat dengan pihak yang secara terbuka menjadi cabaran dan ancaman terhadap pimpinan Dr Mahathir. Malah kerana kedudukannya itu dia pernah beberapa lama dikeluarkan daripada kabinet!

Maka apakah yang menyebabkan dia dipilih menjadi pengganti maupun penerus itu?

Pemilihannya itu berlaku berikutan tercetusnys pertentangan antara Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim. Oleh kerana persaingan antara Pak Lah dan Anwar dalam kerangka politik UMNO, khusus politik UMNO Pulau Pinang, merupakan sesuatu yang diketahui umum maka tidaklah mustahil bahawa pemilihannya itu sendiri merupakan suatu strategi balas dendam Mahathir terhadap Anwar.

Dalam konteks persekongkolan politik tersebut, seorang penerus dan pengganti diperlukan. Namun pengganti dan penerus itu mestilah seseorang yang tidak mungkin berkompromi dengan Anwar. Selain itu, pengganti itu mestilah tidak cukup kuat untuk menukar haluan pemerintahan yang lama itu – malah mungkin membahayakan kedudukan para tokoh pemerintahan lama itu.

Untuk memastikan bahawa Pak Lah tidak akan menjadi cukup kuat bagi melakukan perkara kedua itu maka kedudukannya sebagai pemimpin kerajaan itu perlulah dikawal dengan manipulasi politik UMNO sendiri dengan menggunakan puak-puak yang senantiasa bersedia mengancam kedudukannya baik dalam konteks UMNO maupun dalam konteks kerajaan.


3

Pemerintahan Abdullah: Lebih spin

daripada pemikiran dan pelaksanaan

Kenaikan kadar tol lebuhraya oleh beberapa syarikat konsesi yang memperoleh hak konsesi lebuhraya di negara sudah pasti akan merupakan antara perkara yang paling berkemungkinan menggugat kepopularan dan kredibiliti kerajaan pada awal tahun baru ini. Oleh kerana itu kerajaan yang pada mulanya berusaha bereaksi secara agak lembut dan tenang terhadap bantahan rakyat terhadap fenomena itu, akhirnya terpaksa kembali kepada reaksi ganasnya terhadap tunjuk-tunjuk perasaan yang diadakan.

Sejak mula kerajaan tampaknya memang sedar tentang kesan buruk kenaikan kadar tol lebuhraya ini terhadap dirinya. Timbalan Perdana Menteri, Najib Razak, dan Menteri Penerangan, Zainuddin Maidin, sejak awal-awal lagi sudah mulai bertindak. Mereka memanggil para ketua editor akhbar-akhbar arus perdana negara ini untuk mengingatkan mereka supaya “jangan membesar-besarkan” isu tersebut.

Selain itu, para pemimpin politik BN lainnya juga mulai mengingatkan pihak akhbar di negara ini supaya lebih berhati-hati dalam menangani isu-isu politik dan sosial di negara ini. Penyalahgunaan kebebasan bersuara boleh membawa kepada keadaan semakin tersekatnya kebebasan itu, kata mereka.

Dengan itu, berakhirlah sudah citra kerajaan Abdullah Badawi yang sejak beberapa lalu kini dianggap lebih “maju” daripada kerajaan Mahathir yang digantikannya dalam hal-hal yang berhubungan dengan kebebasan akhbar dan kebebasan bersuara. Malah sudah ada pihak-pihak yang memerhatikan isu kebebasan akhbar ini – seperti para NGO setempat maupun antarabangsa – yang menganggap bahawa rekod kerajaan Abdullah dalam hal ini mungkin lebih buruk daripada rekod kerajaan Mahathir.

Sekurang-kurangnya Mahathir secara peribadi memang menerima pandangan yang demikian itu. Menurut Mahathir, kritikannya terhadap kerajaan Abdullah tidak dapat disuarakan kerana kerajaan itu melaksanakan dasar “penyaringan akhbar” (press censorship). Oleh yang demikian, segala pandangannya digelapkan dan tidak mungkin disampaikan kepada rakyat umum.

Yang aneh dan lucunya, Mahathir sempat membuat dakwaan bahawa semasa pemerintahannya sendiri akhbar di negara ini menikmati kebebasan – sedangkan kita tahu bahawa semasa pemerintahannya Mahathir selama beberapa tahun dianggap oleh para pemerhati setempat maupun antarabangsa sebagai salah seorang penindas akhbar yang terulung dan terganas di dunia.

Bagi saya, rekod kedua-dua pemerintahan Mahathir dan Abdullah setakat ini berhubung dengan isu kebebasan akhbar ini lebih kurang sama sahaja – kedua-dua menyaring media dengan cara yang agak bersembunyi-sembunyi dan berselindung demi memancarkan citra demokrasi masing-masing.

Namun demikian, kedua-duanya tidak akan segan silu mengorbankan citra demokrasi itu dalam keadaan yang agak terdesak – seperti sewaktu Mahathir hendak menghalalkan tindakan zalimnya terhadap pemimpin popular seperti Anwar Ibrahim dan Abdullah sewaktu menghadapi kritikan Mahathir atau sewaktu mencoba menangani langkah-langkah tidak popular kerajaan seperti kenaikan harga minyak dan kadar tol lebuhraya.

Yang menariknya, kedua-dua pemerintahan itu memang memulakan zaman masing-masing dengan sikap yang agak liberal dan toleran terhadap suasana kebebasan akhbar, khususnya, dan kebebasan bersuara, umumnya. Oleh yang demikian, harapan para pejuang kebebasan media di negara ini akan memuncak pada awal sesuatu zaman pemerintahan baru itu dan mulai merosot kemudiannya -- dan akhirnya akan mulai berasa seperti dipijak-pijak dan lemas ditenggelamkan.

Apakah yang menyebabkan berlakunya perkembangan yang demikian itu? Pada hemat saya, pada tahap awalnya sesuatu pemerintahan itu berasa cukup popular dan dengan yang demikian berasa cukup yakin dan selamat. Namun demikian, bila faksi-faksi mulai terbentuk untuk berebut kuasa dalam parti pemerintah, khususnya Umno, maka pemerintahan baru itu semakin terdesak dan berasa perlu untuk membatasi – malah menghapuskan – kebebasan akhbar tersebut.

Tujuan pembatasan itu bukanlah sekadar untuk memelihara kepopularan kerajaan tetapi juga untuk menggilap citra faksi pihak yang berkuasa dalam rangka menghadapi cabaran faksi-faksi lain dalam parti pemerintah sendiri.

Keberkesanan pengaruh dan penguasaan sesebuah faksi terhadap media dalam rangka percaturan politik di negara ini memang telah lama disedari. Oleh kerana itulah, misalnya, sewaktu Anwar Ibrahim hendak dijatuhkan secara yang amat zalim pada zaman Mahathir dahulu, antara tindakan awal yang dilaksanakan ialah menyingkirkan beberapa wartawan kanan dari pelbagai penerbitan arus utama.

Pada waktu Anwar Ibrahim akan disingkirkan, pengaruh dirinya (atau faksinya) terhadap media di negara ini memang diketahui umum. Dalam masa yang singkat sahaja beberapa orang wartawan kanan yang dianggap sekutunya – seperti Johan Jaaffar di Utusan Melayu dan Nazri Abdullah di Berita Harian – telah disingkirkan daripada kedudukan mereka masing-masing. Dan beberapa pemindahan dilakukan – seperti masuknya Chamil Wariya ke TV3 untuk menguasai bahagian beritanya.

Dalam zaman pemerintahan Abdullah Badawi kini, proses penguasaan badan-badan media negara ini sebenarnya sudah agak lama juga dilakukan. Oleh yang demikian, sudah agak lama dapat dipastikan bahawa badan-badan seperti Utusan Melayu, New Straits Times, ISIS, Bernama dan sebagainya dikuasai oleh tokoh-tokoh baru dan lama yang setia bukan sahaja kepada kerajaan dan Umno tetapi, yang lebih penting lagi, rapat hubungannya dengan Abdullah dan faksi Abdullah dalam Umno.

Sekarang, amatlah menarik untuk dikaji pola jaringan antara beberapa tokoh seperti Jawhar Hassan (Ketua Eksekutif ISIS dan Pengerusi NST), Anwar Zaini (Pengerusi Bernama), Kalimullah Hassan (bekas Ketua Pengarang Kumpulan dan Timbalan Pengerusi NST) – dan dikaji pula corak hubungan mereka ini dengan Abdullah sendiri maupun dengan beberapa anggota “kanan” faksi Abdullah dalam Umno, seperti Khairy Jamaluddin, dalam pelbagai jenis hubungan yang bersifat politik maupun korporat.

Sebuah kerajaan yang mempunyai hubungan yang demikian bentuknya dengan pihak media tentulah tidak akan berasa ragu untuk menggunakan, malah memperalatkan, media itu untuk kepentingan memelihara citra atau imejnya di mata rakyat.

Kerajaan ini bernasib baik kerana sewaktu serangan kritikan yang datang daripada faksi-faksi yang tidak memihak kepadanya mulai tercetus – melalui suara-suara yang dilaungkan oleh bekas PM Mahathir – faksi Abdullah sudah bersedia dengan media terpasung yang memihak kepadanya. Serangan dan kritikan itu bukan sekadar dapat digelapkan, malah serangan balasnya cukup seru dan ganas dapat dilancarkan, memperalatkan segala media di negara ini, baik cetak maupun elektronik.

Syukurlah Mahathir sendiri mulai sedar betapa peritnya dan sakitnya rasa tertindas hidup dengan keinginan bersuara di bawah sebuah sistem pemerintahan yang mengamalkan penyaringan (censorship) media!

Pada hemat saya, penguasaan media ini lebih-lebih lagi penting diamalkan dan dilaksanakan jika sesebuah pemerintahan itu, seperti pemerintahan Abdullah kini, tidak mempunyai kekuatan intelek atau daya cendekia untuk memikirkan dasar-dasar yang konkrit lagi substantif, tetapi sekadar memanipulasi pandangan dan sikap umum terhadap dasar-dasar sama dan lama yang hendak diteruskan.

Dalam analisis politik semasa, pendekatan memutarbelit pandangan umum ini disebut pendekatan spin – yakni berasaskan kegiatan “menganyam” atau memutarbelit. Orang-orang yang merancang “spin” bagi pihak kerajaan biasanya disebut spin doctors. Mereka ini biasanya datang dari kalangan pengamal media, perhubungan awam, pengiklanan maupun badan-badan tangki pemikiran (think tank) seperti ISIS Malaysia.

Pemerintah atau kerajaan yang agak lemah daya cendekianya untuk menggubal atau mencipta dasar tulen yang memanfaatkan rakyat biasanya memerlukan kegiatan spin untuk memperlihatkan dasar lama yang bobrok yang mereka teruskan itu dalam citranya yang kelihatan segar dan baru. Demikianlah, misalnya, yang berlaku kepada pemerintahan Bush di Amerika Syarikat yang terlibat dalam mempromosi dasar “memerangi keganasan” yang amat tidak diyakini di seluruh dunia itu.

Untuk membantunya dalam kerja-kerja spinnya itu, Bush semakin jelas terpaksa menghancurkan dan menodai tradisi dan budaya kebebasan akhbar yang telah sedia wujud di negaranya sendiri. Berbanding Bush, kerja yang terpaksa dilakukan Abdullah untuk memasung media di negara ini jauh lebih mudah. Abdullah hanya perlu meneruskan sahaja tradisi media terpasung yang telah sedia dibina dan dimantapkan Mahathir sebelum ini.

Bagi saya, usaha menganalisis dasar-dasar pemerintahan Abdullah pasca-Mahathir adalah usaha sia-sia, kerana dasar-dasar itu sebenarnya tidak wujud. Yang ada hanyalah penerusan dasar-dasar lama Mahathir – dengan para pelaku yang baru. Yang ada hanyalah kegiatan spin untuk mengelirukan pandangan kita, untuk memaparkan dasar-dasar lama itu di bawah kilauan cahaya baru.


4

Pilihanraya akan menjelang?

Sesiapa yang biasa dengan karya-karya hikayat Melayu lama tentulah sudah biasa dengan suatu formula yang sering digunakan bagi menghuraikan tanda-tanda hari akan siang. Dengan mengulang-ulang huraian tentang tingkah laku pelbagai watak (termasuklah haiwan) karya hikayat dapat meyakinkan para pembacanya tentang fenomena menjelangnya waktu siang.

Para penganalisis politik kini tampaknya menggunakan pendekatan yang sama bagi membuat spekulasi tentang menjelangnya pilihanraya di negara ini. Kenyataan-kenyataan yang diutarakan para pemimpin kerajaan tentang keadaan negara yang “bertambah baik” (khususnya ekonomi) merupakan antara pertanda yang penting tentang pilihanraya yang akan menjelang (samalah seperti pertanda “orang tua beralih tidur” dalam hikayat lama).

Tanda-tanda itu tampaknya dibaca juga oleh para ahli politik pembangkang. Jika kebetulan sesebuah parti pembangkang itu akan mengadakan perhimpunan tahunannya (dan beserta dengan pemilihan pemimpinnya) pada waktu yang sama (seperti Parti Keadilan Rakyat kini), maka spekulasi pilihanraya itu akan mempengaruhi percaturan politik dalaman parti pembangkang itu sendiri.

Dalam keadaan yang demikian, persaingan di kalangan para pemimpin parti pembangkang itu akan menjadi lebih seru berbanding keadaan biasanya. Ada kemungkinan bahawa setiap jawatan akan diperebutkan, dan ditandingi dengan kempen yang luarbiasa pula hebatnya. Agenda peribadi para ahli politik akan menjadi lebih menonjol daripada ideologi dan perjuangan parti.

Percaturan politik luarbiasa yang disebabkan oleh spekulasi tentang tarikh pilihanraya ini sebenarnya merupakan kesan salah satu tradisi jelek sistem demokrasi Westminster yang kita warisi: tarikh pilihanraya ditentukan oleh pihak yang memerintah. Oleh itu, pilihanraya akan diadakan pada bila-bila masa yang sesuai bagi pihak yang berkuasa – dan dengan itu tarikhnya menjadi bahan spekulasi dan ramalan berasaskan tafsiran tingkah laku dan tindak tanduk pihak yang memerintah.

Keadaan ini berbeza misalnya daripada apa yang berlaku dalam sistem AS: semua pilihanraya – baik pilihanraya presiden, gabenor (negeri), senate, dewan perwakilan maupun pilihanraya tempatan – akan diadakan menurut jadual yang telah ditetapkan. Oleh itu tarikh-tarikh pilihanraya di AS tidaklah begitu berkemungkinan dijadikan bahan spekulasi dan manipulasi seperti yang berlaku di sini.

Dalam sistem demokrasi yang “illiberal” seperti yang terdapat di Malaysia (dengan Suruhanjaya Pilihanrayanya yang tidak bebas dan menjadi alat pihak yang memerintah sepenuhnya), bukan sekadar tarikh pilihanraya sahaja yang dimanipulasi demi kepentingan pihak yang memerintah. Malah setiap aspek pilihanraya akan dimanipulasi sedemikian rupa oleh pihak pemerintah – dari senarai pemilih yang tidak boleh dipercayai, kepada penggunaan pengundi hantu, pembelian undi, ugutan terhadap para pengundi, hinggalah kepada penggunaan media dan jentera kerajaan secara yang berat sebelah lagi tidak adil.

Boikot pilihanraya mungkin boleh diadakan, namun bagi para ahli politik (baik kerajaan maupun pembangkang) yang amat cintakan kuasa, apakah alternatif demokratisnya? Maka tidaklah menghairankan jika boikot pilihanraya yang telah dilaksanakan baru-baru ini tidak mendatangkan kesan yang sepenuhnya sebagaimana yang diharapkan.

Sejak beberapa minggu terakhir ini spekulasi tentang tarikh pilihanraya umum yang akan datang telah menjadi agak kencang di negara ini. Meskipun menurut jadualnya pilihanraya umum itu boleh diadakan tahun depan (2008), namun banyak pihak yang meramalkan kemungkinan pilihanraya itu diawalkan ke tahun ini. Malah ada pihak yang ramalannya lebih spesifik lagi – yakni bulan Ogos 2007.

Apakah asas bagi ramalan yang demikian itu? Pada umumnya asas ramalan itu ialah “kejayaan” Abdullah Badawi mententeramkan keadaan volatile percaturan politik dalam parti politiknya sendiri, yakni Umno. Kemungkinan pimpinannya sendiri dicabar telah dapat dihindarkan dengan menggunakan teknik menangguhnya pemilihan kepimpinan parti selama 18 bulan – suatu teknik yang telah dipelajarinya dari bekas PM Mahathir Mohamad.

Keresahan di kalangan para pemimpin biasa Umno telah coba ditenteramkan dengan pelbagai macam janji tentang kontrak dan penyegeraan pelaksanaan projek (termasuk pembayarannya) dari dana RMK9. Jika keresahan para kontraktor Umno itu kelak masih gagal juga ditenangkan, maka akan dipersalahkanlah para pegawai kerajaan yang sering ditegur tatakerjanya oleh PM sejak akhir-akhir ini.

Anwar Ibrahim sendiri, yang begitu banyak pengalamannya dalam merancang dan melaksanakan pilihanraya untuk BN dan Umno, telah membaca tanda-tanda yang ada sebagai isyarat kemungkinan pilihanraya umum akan diadakan lebih awal. Dalam hal ini, pada hemat saya, kita tidak sekadar perlu mempercayai “pengalaman” Anwar Ibrahim tetapi juga mengesan gerak firasatnya. Maklumlah, mempercepat pilihanraya, atau mengadakannya menurut jadual, mempunyai kesan langsung tentang kemungkinan Anwar bertanding sebagai calon – sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Mahkamah yang telah membebaskannya.

Namun demikian, masalah utama yang masih dihadapi oleh pemerintahan Abdulah Badawi ialah isu kredibilitinya sendiri dan isu keyakinan rakyat maupun para pelabur terhadap kemampuannya mentadbir negara. Kritikan keras Mahathir terhadap pemerintahan Abdullah, khususnya julukan yang diberikan Mahathir terhadap kerajaan itu sebagai kerajaan “setengah enam” (half past six) ternyata telah mendatangkan mudarat kredibiliti yang mendalam.

Sementara itu, masalah yang dihadapi rakyat dalam kehidupan sehari-hari tampaknya tidak juga dapat diselesaikan secara tuntas lagi meyakinkan. Kenaikan harga bahan bakar dan peningkatan tol lebuhraya – diikuti dengan kenaikan harga barang-barang keperluan dan inflasi secara umumnya tanpa peningkatan pendapatan yang sewajarnya – mendapat bantahan yang berterusan daripada para peniaga dan rakyat umum, sehingga keganasan polis dan undang-undang yang menindas seperti OSA perlu dimanfaatkan.

Kerajaan ini memang lebih terkenal kerana amalan “spin” daripada pelaksanaan dasar mantap yang sebenarnya (“more spin than deed”). Namun hasil spin itu juga kurang menyakinkan, tambahan pula kerana para pawang spin (spin doctors) itu selalu sahaja dicabar kredibilitinya oleh para pengamal kewartawanan IT jenis baru, seperti para penulis blog – sehingga Mahkamah terpaksa digunakan untuk membatasi suara mereka.

Dalam keadaan kredibiliti kerajaan yang tidak begitu teguh, kemarahan rakyat yang tidak dapat diredakan, putar belit spin yang tidak begitu menjadi, permainan politik perkauman yang malah lebih mengeruhkan suasana, maka apakah lagi yang dapat diharapkan kerajaan bagi menghadapi pilihanraya yang akan datang? Tambahan pula, terdapat kini petanda yang menggerunkan daripada beberapa tinjauan (survey dan poll) bahawa golongan rakyat tertentu – khususnya para pengundi Cina – lebih cenderung kini untuk mengundi pihak pembangkang.

Agak mujur bagi kerajaan kerana sejak beberapa minggu terakhir ini terdapat pelbagai petunjuk ekonomi yang dapat digunakannya untuk membuktikan bahawa negara kini sedang mengalami kebangkitan ekonomi dan perdagangan yang menggalakkan. Namun keyakinan umum terhadap dakwaan itu tampaknya agak dingin, sehingga pada 22 Feruari lalu PM Abdullah Badawi sendiri terpaksa menekankan kepada para wartawan bahawa peningkatan ekonomi itu adalah real dan bukan diada-adakan demi menarik keyakinan pelabur maupun untuk memungkinkan pilihanraya diadakan lebih awal.

Dakwaan tentang meningkatnya nilai Ringgit berbanding Dolar AS sebagai petanda tentang semakin teguhnya ekonomi kita dalam konteks perdagangan antarabangsa tampaknya tidak begitu diyakini banyak pihak. Dakwaan itu malah ditolak oleh pelbagai pihak yang menganggapnya semata-mata sebagai petanda lemahnya Dolar AS – bukan sebagai petanda teguhnya Ringgit.

Pengumuman yang dibuat Rafidah Aziz tentang pencapaian dan peningkatan luarbiasa nilai pelaburan tempatan dan asing ke negara ini tahun lalu telah ditolak oleh pelbagai pihak sebagai kesan masalah teknik merekodkan pelaburan itu. Data kementerian Rafidah dikatakan hanya merekodkan permohonan untuk melabur dan bukannya pelaburan yang sebenarnya telah dibawa masuk dan dilaksanakan.

Ada para penganalisis perdagangan antarabangsa yang menyatakan bahawa pada waktu ini terdapat banyak “wang panas” yang bersumber dari Jepun dan Eropah yang sedang mencari tempat untuk berlabuh. Dan Malaysia menjadi “pilihan” kerana beberapa tempat berlabuh lain yang menarik (seperti Indonesia) sejak akhir ini mengalami pelbagai keadaan yang menjadikannya kurang stabil (misalnya dilanda bencana alam yang kerap).

Masih ingatkah situasi mewah dan ekonomi ajaib yang terjadi kerana beredarnya wang panas yang demikian sebelum ekonomi beberapa negara Asia, termasuk kita, merudum pada tahun 1997?

Dakwaan serta petunjuk tentang peningkatan harga saham di bursa saham kita juga sebenarnya tidaklah begitu meyakinkan banyak pihak. Selain peningkatan harga saham itu terbatas hanya kepada kira-kira 30 kaunter utama sahaja, terdapat pula rekod tentang bursa saham kita yang sudah biasa menjadi mangsa manipulasi pihak kerajaan untuk kepentingan politiknya.

“Kebangkitan” ekonomi dan perdagangan ini sejak akhir-akhir memang terlalu sering diheboh-hebohkan oleh para pemimpin politik kita – termasuklah oleh Ketua Menteri Melaka, Mohd Ali Rustam, dalam ucapan perasmian majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Kebangsaan di Melaka baru-baru ini. Maka tidaklah mustahil situasi ini memang ingin dimanfaatkan kerajaan untuk melahirkan suasana “feel good” untuk memungkinkannya mengumumkan pilihanraya lebih awal.

Namun, pada hemat saya, segalanya akan bergantung kepada sejauh mana petunjuk-petunjuk ekonomi ini dapat diterjemahkan menjadi unsur “real economy” yang benar-benar akan mendatangkan manfaat kepada rakyat dan benar-benar dapat dilihat mengubah pola kehidupan mereka sehari-hari.

Jika ini berlaku, walaupun sekadar pada luarannya sahaja, maka bolehlah kita mengharapkan pilihanraya awal akan terjadi. Jika tidak, semua petunjuk itu akan menjadi bahan mentah yang sekali lagi gagal dipintal dengan baik lagi meyakinkan oleh para pawang spin Abdullah – dan ada kemungkinan bahawa pilihanraya akan berlangsung menurut jadual, dengan segala bahaya yang mungkin akan dihadapi kerajaan Abdullah.

Tuesday

MENYELAMI MAKNA POLITIK BARU

Keputusan pilihanraya umum 8 Mac yang lalu disifatkan oleh banyak pihak sebagai sesuatu yang tidak dijangka. Istilah "tsunami" politik menggambarkan seolahnya telah berlaku satu gempa besar dalam "zon terbenam" politik Malaysia, yang seterusnya menghasilkan satu gelombang mega menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor; mengekalkan kerajaan PAS di Kelantan dan menafikan majoriti dua pertiga BN di Parlimen.

Adakah sepanjang tempoh dua tiga dekad yang lalu telah berlaku pergerakan perlahan "plak-plak tektonik" dalam zon terbenam politik Malaysia, yang seterusnya membuka jalan kepada kemunculan "politik baru" di negara ini? Politik baru ini mungkin muncul dalam bentuk budaya politik baru yang seterusnya membawa kepada perubahan institusi politik.

Professor Loh Kok Wah dan Professor Johan Saravanamuttu dalam buku mereka "New Politics in Malaysia", sebuah kumpulan makalah akademik yang diterbitkan selepas pilihanraya umum 1999, membicarakan tentang kemunculan budaya politik baru di Malaysia semenjak awal 1990-an.

Budaya politik baru ini, yang dikenali sebagai developmentalisme, menjadikan pembangunan material dan sikap individualis-konsumeris sebagai elemen penting dalam menentukan pilihan politik. Kemunculan budaya politik baru ini menjadikan wacana politik Malaysia tidak lagi didominasi oleh faktor kaum, tetapi diwarnai oleh kontestasi antara faktor kaum, demokrasi berpartisipasi dan pembangunan ekonomi.

Dalam konteks politik pilihanraya di Malaysia, dominasi wacana kaum telah mewujudkan dikotomi pollitik Melayu-Bukan Melayu yang agak ketara. Misalnya, ketika wacana kaum mendominasi politik negara dalam dekad 1980-an, Barisan Nasional (BN) paling berpengaruh di kawasan majoriti pengundi Melayu. DAP pula dilihat amat berpengaruh di kawasan majoriti besar pengundi Cina.

Trend ini mula berubah dalam dekad 1990-an. Pilihanraya umum tahun 1995 menunjukkan BN, sementara terus mendominasi di kawasan majoriti Melayu dan campuran, turut mengalami peningkatan sokongan di kawasan majoriti Cina. Daripada 25 kerusi Parlimen di kawasan majoriti Cina di Semenanjung Malaysia, BN memenangi 17 kerusi berbanding tujuh kerusi sebelumnya.

Dasar kerajaan yang lebih terbuka dalam isu hubungan kaum, terutamanya yang berkait dengan pendidikan bahasa ibunda dan kebudayaan bukan Melayu, dilihat sebagai antara faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan sokongan bukan Melayu terhadap BN.

Dasar Ekonomi Baru

Sementara itu, kepesatan pembangunan ekonomi dan peningkatan taraf hidup golongan Bumiputera/Melayu hasil pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB), turut mengurangkan risiko ketegangan kaum. Hal ini sedikit sebanyak mengurangkan dikotomi Melayu-Bukan Melayu dalam konteks politik pilihanraya di Malaysia.

Dikotomi Melayu-Bukan Melayu semakin terhakis dalam pilihanraya umum 1999. Politik kaum tidak lagi menjadi isu yang dominan dalam kempen pilihanraya, sebaliknya yang dominan ialah isu-isu bukan kaum seperti demokrasi berpartisipasi, anti-rasuah, pengagihan ekonomi yang adil dan ketelusan dalam pemerintahan.

Terdahulu, gerakan reformasi yang dipimpin oleh mantan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kemudiannya Barisan Alternatif, telah mengenengahkan aspek kepelbagaian ras dan budaya sebagai teras utama politik demokrasi di Malaysia.

Walaupun ramai pemerhati politik melihat dikotomi Melayu-Bukan Melayu masih dominan dalam pilihanraya umum 1999, terutamanya yang berkait dengan sokongan pengundi Cina kepada BN yang kononnya membantu parti itu mengekalkan majoriti dua pertiga di parlimen, sementara undi Melayu menyaksikan peralihan ketara kepada Barisan Alternatif, DAP hanya mengalami 0.8 peratus penurunan undi popular di kawasan majoriti besar Cina.

Malah, parti itu berjaya meningkatkan jumlah kerusi yang dimenangi di kawasan tersebut - daripada enam kerusi sebelumnya kepada tujuh kerusi. Undi popular DAP di kawasan majoriti sederhana Cina juga mencatatkan peningkatan dari 39 peratus sebelumnya kepada 43.3 peratus.

Peningkatan ini kemungkinan juga disumbangkan oleh sokongan pengundi Melayu kepada parti majoriti Cina itu. Ini bermakna, sementara faktor kaum masih merupakan salah satu elemen penting dalam politik Malaysia, tidak ada satu kaum pun di negara ini yang boleh dikaitkan sama ada dengan parti pemerintah atau pembangkang. Sokongan kedua-dua kaum Melayu dan bukan Melayu terbahagi kepada kedua-dua pihak.

Sementara sokongan kepada DAP di kawasan majoriti Cina terus meningkat dalam pilihanraya umum 2004 dan 2008, trend pengundian di kawasan majoriti Melayu menunjukkan peralihan sokongan berbolak balik kepada BN dan gabungan PAS dan PKR.

Pengundian rentas kaum

Umno berjaya menarik kembali sokongan pengundi Melayu pada 2004 dengan memenangi 63 daripada 71 kerusi parlimen di kawasan majoriti besar pengundi Melayu. Bagaimanapun, dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu, peralihan sokongan pengundi Melayu kepada PAS dan PKR telah mengurangkan penguasaan Umno di kawasan ini kepada 43 kerusi.

Lebih menarik, dalam pilihanraya umum lalu, trend pengundian rentas kaum di kawasan campuran telah mula memihak kepada gabungan parti-parti pembangkang dalam Pakatan Rakyat. Paling ketara ialah sokongan pengundi India yang selama ini disifatkan sebagai penyokong setia BN.

Pakatan Rakyat telah memenangi 14 daripada 26 kerusi parlimen di kawasan campuran di Semenanjung Malaysia, walhal dalam pilihanraya-pilihanraya umum sebelum ini, tiada kerusi di kawasan ini yang dimenangi parti pembangkang, kecuali satu pada 1999. Pakatan Rakyat juga berjaya menguasai Kedah, Selangor, Perak dan Pulau Pinang yang boleh disifatkan sebagai negeri campuran dari segi komposisi etnik pengundi.

Trend pengundian rentas kaum kepada kedua-dua parti BN dan Pakatan Rakyat membuka ruang kepada pembentukan sistem dua parti rentas kaum di negara ini. Dengan syarat kedua-dua parti ini mengambil sikap yang lebih moderat dalam isu-isu hubungan kaum, potensi pembentukan sistem dua parti rentas kaum menjadi semakin cerah.

Dalam sistem dua parti rentas kaum ini, tidak ada satu kaum pun yang boleh diidentifikasikan dengan mana-mana pakatan atau gabungan parti politik. Ini seterusnya boleh mewujudkan iklim pertandingan politik yang sihat dalam sebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia.

Dalam sistem dan budaya politik baru ini, tentu sekali soal hubungan kaum akan terus menjadi elemen penting politik Malaysia. Walaupun trend pengundian berubah, perbezaan kaum (communal cleavages) masih wujud. Isu keistimewaan Melayu, pendidikan bahasa ibunda, kebudayaan dan hubungan antara agama akan terus releven.

Namun begitu, kedua-dua gabungan atau pakatan parti-parti politik, yang hampir kesemuanya mempunyai asas kaum tersendiri, perlu menyedari bahawa kelangsungan politik mereka tidak lagi bergantung semata-mata kepada sokongan yang diterima daripada kaum masing-masing. Hal ini berkemungkinan akan mendorong kedua-dua gabungan parti untuk mengambil sikap yang lebih sederhana dalam isu-isu hubungan kaum, tetapi pada masa yang sama, berhati-hati agar sikap tersebut tidak akan dilihat sebagai tindakan mengalah atau "selling-out" kepada kaum lain.

Isu ternakan babi

Di samping faktor kaum, tentu sekali pencapaian merupakan faktor penting yang membezakan antara kedua-dua parti. Keabsahan politik parti-parti ini tidak lagi bergantung semata-mata kepada sentimen kaum atau kesetiaan kepada parti, tetapi kepada keupayaan masing-masing untuk menyediakan kehidupan yang lebih baik kepada rakyat.

Kemunculan golongan pengundi konsumeris-individualis, yang lebih mengutamakan keupayaan kerajaan untuk menyelesaikan masalah mereka - daripada memberi masalah kepada mereka - tentu sekali menuntut parti-parti politik memberi keutamaan kepada ‘prestasi' daripada sentimen.

Misalnya, isu projek ternakan babi moden di Selangor. Apakah rakyat melihat isu ini dari kaca mata sentimen, iaitu orang Melayu tidak suka kepada babi dan orang Cina, tidak kira apapun, mesti mempertahankan penternak babi; atau dari kaca mata ‘prestasi', iaitu parti manakah yang berupaya menawarkan penyelesaian terbaik kepada masalah pencemaran alam di samping memastikan bekalan babi tidak berkurangan?

Politik baru ini tentu sekali tidak muncul dalam satu vakum. Perubahan sosio-ekonomi, proses perbandaran, pemeluasan kelas menengah, kewujudan golongan konsumeris-individualis dan kesedaran terhadap politik demokrasi berpartisipasi yang stabil, memunculkan individu celik politik yang menilai secara kritis tindak-tanduk ahli politik dan dasar parti politik dan kerajaan. Dalam erti kata lain, golongan ini biasanya lebih bebas dalam membuat pilihan politik.

Sementara ramai penganalisis politik cuba memberi rasional kepada kemunculan gelombang tsunami politik dalam pilihanraya umum lalu dengan mengaitkan rantaian faktor peristiwa dan personaliti politik, plak-plak tektonik politik Malaysia - pembangunan ekonomi, proses urbanisasi, pemeluasan kelas menengah dan kemunculan golongan konsumeris-individualis rentas kaum - telah bergeseran sesama sendiri secara perlahan-lahan sejak beberapa dekad yang lalu.

Sementara rantaian faktor peristiwa dan personaliti memberi pelengkap kepada keributan tsunami itu, gelombang tsunami politik itu sendiri merupakan hasil daripada ledakan yang berlaku dalam "zon terbenam" politik Malaysia. Yang perlu diteropong oleh para penganalisis politik ialah sejauh mana ledakan itu telah menyebabkan perubahan struktural kepada lanskap politik Malaysia.


Oleh :
Marzuki Mohamad ialah pensyarah sains politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Beliau juga merupakan ahli jawatankuasa pusat Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).

KE MANA POLITIK MALAYSIA SELEPAS INI?

Kenyataan penuh Dr. Mahathir
Oleh Dr Mahathir Mohamad
Selasa, 20 Mei 2008

HARI ini, Mei 19, 2008 saya mengumumkan keputusan saya untuk keluar daripada UMNO. Isteri saya turut bersama.

Keputusan ini dibuat kerana UMNO yang ada sekarang bukan lagi UMNO yang ditubuh 62 tahun dahulu yang berjuang untuk bangsa Melayu, Agama Islam dan Negara Malaysia (Malaya); UMNO yang menggagalkan Malayan Union, memperjuangkan kemerdekaan Malaya dan Malaysia dan membangunkan Malaysia sehingga menjadi Negara yang termaju di antara Negara membangun di dunia.

UMNO yang ada sekarang hanya wujud untuk menyokong Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi, keluarganya dan tindakan serta dasar yang tidak secocok dengan kepentingan bangsa, agama dan negara.

Kepimpinan Dato Seri Abdullah jelas membawa kekalahan dan bencana kepada Barisan Nasional, UMNO, MCA, MIC, Gerakan dan PPP. Kemenangan UMNO di Sabah dan BN di Sarawak bukan kerana kepimpinan Dato Seri Abdullah.

Saya akan jelas satu persatu dasar-dasar dan tindakan Dato Seri Abdullah yang menjadikan Kerajaan pimpinannya dan parti BN dibenci oleh ahli-ahli parti komponen sendiri.

Walaupun sebelum perisytiharan ini saya adalah ahli UMNO tetapi sebenarnya selepas saya letak jawatan sebagai Perdana Menteri saya tidak dilayan sebagai ahli UMNO.

Saya tidak dibenarkan berjumpa ahli UMNO dan ahli UMNO tidak dibenarkan hadir apa-apa perhimpunan di mana saya dijemput sebagai jurucakap atau penyampai ucapan.

Menteri-Menteri yang dahulu berada dalam Kabinet saya tidak dibenarkan atau tidak berani atau tidak mahu jumpa saya lagi.

Jemputan oleh UMNO dan bukan UMNO kepada saya diarah ditarik balik oleh Mneteri Besar dan Polis.

Ramai pemimpin UMNO melepaskan kata-kata kesat kepada saya dan ada yang menyuruh saya keluar daripada UMNO walaupun mereka baru sahaja masuk UMNO. Tidak ada pemimpin UMNO yang pertahankan saya secara terbuka.

Wakil ke Perhimpunan Agong tidak dibenarkan menyuara pendapat mereka. Mulut semua orang ditutup.

Yang didengar hanyalah media arus perdana yang memuji Dato Seri Abdullah sehingga dia percaya dia begitu popular dan akan sapu bersih parti lawan dalam pilihanraya umum ke-12.

Hasilnya ialah kekalahan yang teruk bagi Barisan Nasional. Malangnya mesej yang hendak disampaikan oleh pengundi dan penyokong BN tidak dapat difahami oleh Dato Seri Abdullah.

Dia masih berkata dia menang. Ini sukar diterima oleh orang Kedah, orang Pulau Pinang, orang Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Oleh kerana Dato Seri Abdullah buta mata dan pekak telinga dan tidak faham mesej ahli BN, oleh kerana ahli UMNO pun turut bersama, oleh kerana proses demokrasi tidak berjalan, oleh kerana UMNO yang ada sekarang bukan lagi UMNO yang ditubuhkan 62 tahun dahulu, saya berpendapat penyertaan saya sebagai ahli UMNO tidak bermakna dan tidak berguna lagi.

Justeru itu saya ingin umumkan bahawa saya sudah keluar daripada UMNO.

Saya ingin tegaskan bahawa saya bebas dan tidak menyokong mana-mana parti lawan.

Saya akan pohon untuk masuk UMNO apabila Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi sudah berhenti daripada menjadi Presiden UMNO, Pengerusi BN dan Perdana Menteri Malaysia.

Dr Mahathir bin Mohamad (bekas ahli UMNO No 1)
Dr Siti Hasmah binti Mohd Ali (bekas ahli UMNO No 2)

Wednesday

Kekeliruan Identiti Menjadikan Kita Hilang Arah

Orang politik melayu-muslim kita, hampir kesemua aliran yang ada sedang kegilaan mendapatkan kuasa. Bagaikan seseorang yang sedang jatuh cinta yang terlampau dan sanggup mengorbankan apa sahaja. Bak kata P.Ramlee: “Berkorban apa saja, harta ataupun nyawa. Itulah kasih mesra, sejati dan mulia. Kepentingan sendiri tidak diingini, bahgia kekasih saja yang diharapi”.

Saya baru sahaja berjumpa dengan YAB Perdana Menteri secara peribadi di pejabatnya pada hari Khamis lepas. Saya memberikan pandangan dalam beberapa perkara. Antaranya mengenai tuntutan memaklumkan keislaman seseorang yang baru menganut Islam kepada keluarga. Saya bertanya maksud beliau, kerana saya amat tidak bersetuju jika itu dijadikan syarat.

Beliau memberitahu kepada saya itu bukan syarat pengesahan pendaftaran. Beliau akan membuat penjelasan nanti. Saya berterima kasih dan lega. Jika tidak, saudara-saudara muslim kita yang baru akan menjadi mangsa, sama ada tekanan keluarga atau tekanan undang-undang. Maka betapa Islam yang menjadi agama rasmi negara ini, penganutnya pula tertindas. Di manakah identiti islam dalam negara ini?

Melihat fonomena semasa, amat mendukacitakan kita. Orang politik melayu-muslim kita, hampir kesemua aliran yang ada sedang kegilaan mendapatkan kuasa. Bagaikan seseorang yang sedang jatuh cinta yang terlampau dan sanggup mengorbankan apa sahaja. Bak kata P.Ramlee: “Berkorban apa saja, harta ataupun nyawa. Itulah kasih mesra, sejati dan mulia. Kepentingan sendiri tidak diingini, bahgia kekasih saja yang diharapi”.

Saya fikir ramai di kalangan para pemimpin politik yang beragama Islam kita yang mungkin jika menyanyikan lagu ini semula maka begini bunyinya: “Berkorban apa sahaja, agama ataupun negara. Itulah bukti kerjasama sehati dan saksama. Kepentingan umat sendiri tidak diingini, bahgia pengundi, itulah yang diharapi”.

Saya tidak perkauman. Saya bukan pejuang bangsa. Tapi saya ingin berjuang untuk kepentingan umat Islam –tanpa mengira bangsa- dalam masa yang sama memberikan keadilan untuk semua. Namun dalam acuan dan kerangka yang diajar oleh Islam.

Saya tidak pernah menafikan hak bukan muslim dalam negara ini. Islam mengiktirafnya. Tapi saya bimbang dalam keinginan ahli-ahli politik muslim untuk menjaga hati pasangan mereka, mereka melupai identiti diri dan masa depan umat sendiri. Hinggakan dahulu ada yang mengkafirkan orang lain kerana kerjasama dengan parti bukan muslim atau memangkah calon yang bukan muslim, hari ini dunianya pun sudah terbalik.

Sepatutnya fatwa itu ditarik dahulu, atau diberikan penjelasan semula agar tiada siapa yang akhirnya mengkafirkan dirinya sendiri. Bukanlah isu itu yang hendak dibangkitkan, sebaliknya nak menjelaskan betapa tsunami politik boleh mengubah banyak perkara. Itu mungkin biasa. Tapi jangan sampai menggadaikan diri kita semua.

Sekali lagi, saya tidak fanatik melulu. Tulisan dan pendapat saya sentiasa stabil tentang perlunya Islam ini digambarkan secara lunak dan murni kepada non-muslim. Namun kali ini saya ingin meminta mereka semua berfikir, atau pembaca saya menyampaikan fikiran ini kepada mereka. Kecenderungan sesetengah mereka di akhir-akhir ini untuk menuntut berbagai perkara, agak merisaukan.

Apatah lagi mereka tahu, rakan-rakan politik mereka dari berbagai aliran akan melayan demi kerusi kesayangan atau idaman. Setiap warga negara dalam naungan politik Islami, boleh menuntut haknya jika benar itu haknya. Namun tuntutan sehingga kepada peringkat menghakis identiti negara ini sebagai sebuah negara muslim, amat berbahaya.

Mereka janganlah menyangka bahawa orang Islam di Malaysia begitu tidak adil. Sehingga kononnya ingin menjemput bantuan luar. Kita tidak ingin membabitkan dosa luar di bawa ke mari. Jika kita ingin menilai berdasarkan pendangan luar, kita mungkin boleh bertanya; adakah umat Islam di India mendapat hak seperti kaum hindu mendapat hak dalam negara ini.

Di India, masjid mereka diruntuhkan, mereka ada yang dibunuh, dirogol, disiksa dan berbagai lagi. Namun pernah itu dijadikan sukatan dalam memberikan hak dalam negara ini? Tentu sama sekali tidak. Islam pun berpegang bahawa seseorang tidak menanggung dosa orang lain. Lihatlah layanan yang diperolehi oleh masyarakat muslim di China. Bandingkanlah apa yang telah diperolehi oleh kaum cina bukan muslim di negara ini pula.

Lihatlah pula minoriti muslim di negara-negara majorirti hindu atau buddha. Jikalaulah sukatan luar itu diambil sebagai penilaian, tentulah buruk natijahnya. Lihatlah Amerika yang menyeru kepada demokrasi. Pertempuran di Iraq, Afghanistan dan kebangkitan rakyat Palestin yang dizalimi menentang kekasihnya Israel, turut ditanggung oleh rakyat muslim yang berada di Amerika. Mereka dilayan dengan cara yang menakutkan. Adakah hal ini dilakukan dalam negara ini? Kita telah hidup dalam keadaan aman. Keamanan ini jika dikoyak, sukar untuk dicantumkan kembali.

Apabila Islam diberikan kelebihan dalam negara ini, itulah adalah perkara biasa. Ini kerana Islam adalah agama rasmi negara dan majoriti penduduknya menganut Islam. Inilah juga berlaku di India, Thailand dan lain-lain yang mengutamakan agama negara. Bahkan negara-negara yang memakai lebel sekular di Barat memberikan keutamaan kepada agama Kristian melebihi agama lain.

Tiba-tiba ada pihak yang menganggap keistimewaan yang diberikan kepada agama Islam dalam negara ini sebagai tidak adil. Malangnya disokong pula oleh yang mengaku muslim. Padahal ada agama tertentu yang telah mengkasta-kasta sesama penganutnya pun. Sehingga ke tahap yang –pada penilaian Islam- amat tidak wajar dari segi kemanusiaan. Sehinggakan kasta bawahan tidak boleh makan atau bergaul bersama kasta atasan. Itupun diterima. Tiba-tiba dibantah kelebihan yang diberikan dari segi perlembagaan dan kewangan kepada agama Islam.

Pun begitu, kita juga dalam masa yang sama menyedari bahawa ada perkara yang berhubung dengan hak bukan muslim yang perlu untuk disemak dan diteliti semula. Jika ada kecacatan tentang hak mereka, bukanlah salah ajaran Islam, jangan mereka mentohmah Islam. Mungkin beberapa kesilapan penganutnya atau pengurusan yang tidak tepat.

Percayalah, tidak ada agama dalam dunia yang begitu meraikan kebajikan bukan penganutnya seperti ajaran Islam ini. Lihat al-Quran menyebut: (maksudnya) “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan memberikan sumbangan harta kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”. (Surah al-Mumtahanah ayat 8-9).

Bahkan Allah menjamin bukan muslim dalam keadaan yang sukar dengan menyebut: (maksudnya):“Dan jika seseorang dari kalangan musyrikin meminta perlindungan kepadamu, maka berilah perlindungan kepadanya sehingga dia sempat mendengar keterangan-keterangan Allah (tentang hakikat Islam itu), kemudian hantarlah dia ke tempat yang selamat. Demikian itu (perintah tersebut) ialah kerana mereka itu kaum yang tidak mengetahui (hakikat Islam). Bagaimanakah dapat diakui adanya perjanjian (keamanan) di sisi Allah dan RasulNya bagi orang-orang musyrikin (sedangkan mereka mencabulinya)? Kecuali orang-orang (musyrikin) yang kamu telah mengikat perjanjian setia dengan mereka dekat Masjid Haram. Maka selagi mereka berlaku lurus terhadap kamu, hendaklah kamu berlaku lurus pula terhadap mereka; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertaqwa. (Surah al-Taubah: 6-7). Apakah ada jaminan dalam nas-nas agama lain terhadap umat Islam?

Apa yang menjadi masalah pada hari ini bukanlah ajaran Islam yang perlu dbimbangi oleh mereka jika dilaksanakan dengan penuh penghayatan terhadap asas keadilan yang menjadi teras agama ini. Apa yang menjadi masalah adalah sikap dan kelakuan sesetengah umat Islam itu sendiri yang tidak menunjukkan imej yang baik tentang Islam.

Saya pernah pun membangkitkan berbagai isu yang salah ditangani oleh orang Islam. Dulu saya pernah bangkit ‘isu bin Abdullah’, isu jawab salam, isu murtad dan berbagai lagi. Begitu juga saya kurang setuju kita merebut jenazah yang tidak ada bukti yang kukuh tentang keislamannya. Sehingga menimbulkan salah faham, atau mudarat kepada Islam.

Rasulullah s.a.w pun tidak menuntut jenazah Raja Habsyah iaitu Najasyi yang menganut Islam secara sembunyi dan mati di sana. Kerajaan Habsyah adalah kerajaan Kristian. Keislaman Raja Najasyi adalah secara sembunyi. Orang Islam mengetahuinya keislamannya. Di sering berutusan dengan Nabi s.a.w. Namun apabila dia meninggal, Nabi s.a.w. hanya bersolat jenazah secara ghaib (tanpa kewujudan jenazah) di Madinah.

Dalam hadis al-Bukhari: daripada Jabir r.a: Nabi s.a.w bersabda -ketika kematian Najasyi-: Telah mati pada hari ini seorang lelaki soleh. Bangunlah dan bersolatlah ke atas saudara kamu Ashamah (nama Najasyi)”. Para sarjana fekah mengulas berbagai alasan tentang solat jenazah ghaib ini. Antara mereka ada yang menyebut disebabkan jenazahnya tidak disolatkan di tempat kematiannya kerana berada bersama dengan orang Kristian.

Jika jenazah Najasyi yang sayangi oleh Nabi s.a.w lagi nyata muslim di sisi orang Islam Madinah apabila tiada keupayaan untuk menuntutnya dibiarkan tanpa dituntut, demikianlah jenayah muslim biasa yang tiada bukti yang jelas, maka bagaimanakah kita hendak terus menuntutnya? Allah Maha mengetahui keadaan setiap hambaNya yang mati.

Mereka bukan Islam juga hendaklah menghormati perasaan umat Islam dalam negara ini. Mereka hendaklah meraikan perkara-perkara yang boleh menimbulkan sensitiviti umat Islam. Menghina ajaran Islam; seperti mencerca atau mengutuk Allah, atau para nabi wajib dielakkan dalam apa bentuk sekalipun.

Demikian juga seperti meminum arak di khalayak ramai, memakan, menjual atau menternak babi secara terbuka dan seumpamanya. Walaupun hal itu tidak menjadi kesalahan bagi mereka, namun ianya sensitif bagi umat Islam. Mereka boleh makan dan minum di kalangan mereka tetapi bukan secara terbuka sehingga menimbulkan keresahan.

Malangnya dalam negara kita, umat Islam sendiri telah double-standard, arak dan babi keduanya diharamkan Allah, tapi cuma babi sahaja yang dijauhi, sementara arak diiklan secara meluas. Sedangkan nas-nas pengharaman arak lebih banyak dan tegas dari larangan memakan babi. Sepatutnya pemerintah di setiap peringkat –negeri ataupun pusat- dalam negara ini meraikan identiti negara ini, jangan sampai kita menjadi pengekspot babi ataupun arak.

Identiti Islam dalam negara kita ini dari beberapa sudut amat samar. Maka tidak hairan jika muslim dan bukan muslim semakin keliru. Sesetengah pentas kita berkata kita ingin menghayati Islam. Tapi akhirnya yang nampak hanyalah slogan dan kain rentang semata. Saya tidak maksudkan dengan identiti Islam itu pemimpin negara ini kena berserban dan berjubah, atau pakaian rakyat jelata ditukarkan kepada fesyen arab, atau dendangan nasyid di sepanjang jalan, atau diharamkan hiburan dan filem seperti yang dibayangi oleh sesetengah pendendang negara Islam tanpa kefahaman yang betul.

Tetapi saya maksudkan identiti negara Islam itu prinsip-prinsip Islam mesti dipertahankan. Keadilan, ketelusan, keamanan dan kemuliaan negara berdasarkan Islam. Semua perdagangan, pertahanan, pendidikan, alam sekitar, hubungan sosial dan selainnya mestilah dibina atas prinsip-prinsip mulia yang diasaskan oleh Islam. Jika ini berlaku, maka Islam akan difahami dan dipandang tinggi oleh bukan Islam. Jika tidak mereka keliru dan tiada penghormatan kepada penganutnya.

Saya tidak tahu di manakah identiti Islam bagi negara ini jika saya berjalan di Bukit Bintang? Di manakah gambaran keindahan Islam yang menjaga kerosakan akal, jika pusat-pusat hiburan kita penuh dengan manusia mabuk dan hilang akal? Jika sampai sahaja ke gerbang negara ini,kedai-kedai arak dijual terbuka. Apakah negara ini kelihatan amat mundur kerana tidak manusia mabuk? Apakah bukan muslim akan rasa begitu tertindas jika arak tidak dipamirkan secara terbuka?.

Saya tidak fikir mereka merasa begitu. Akhirnya kita menghadapi krisis identiti diri. Antara slogan Islam dan penghayatan yang dilaksanakan. Seperti seorang artis yang keliru antara ingin menjadi penyanyi atau menjadi super-man. Krisis identiti ini juga kadang-kala seperti seorang yang berjantina lain, tetapi berkecenderungan lain. Akhirnya ‘saudara’ pun tidak, saudari pun tidak. Maka akhirnya mungkin dipanggil ‘saudarai’.

Negara kita ini perlu menjelaskan apakah identitinya yang sebenar? Setelah dijelaskan maka senanglah untuk kita menbuat penilaian atasan tindakan. Saya lihat kekeliruan sarat berlaku kepada semua jenama parti politik yang ada. Tsumani politik telah merubah banyak identiti negara dan parti.

Monday

Analisis Pilihanraya 2008 daripada kacamata wangcyber.com

Default


Sebagai seorang yang tidak beparti, juga tidak mengundi dan juga seorang yang neutral; saya berpendapat antara faktor kegagalan kepada BN untuk mendapat majori 2/3 ialah:

1. Faktor Anwar Ibrahim
Pada mulanya, namanya tenggelam dan tidak langsung disebut-sebut di dalam media arus perdana. Hanya yang diperkatakan ialah keadilan adalah parti untuk individu tertentu dan juga pembangkang diperalatkan oleh individu tertentu. Namun, apa yang saya ketahui daripada rakan-rakan saya, ceramah yang dihadiri oleh Anwar Ibrahim mendapat sambutan ramai sehingga mencapai lebih sepuluh ribu dalam sesuatu masa. Kemahirannya berpidato memang tidak dapat dinafikan lagi dan boleh memukau setiap orang yang hadir. Tarikh pilihanraya juga dikatakan ditetapkan agar beliau tidak boleh bertanding. Ini menjadi satu petanda yang beliau digeruni walaupun pihak BN mengatakan beliau sudah tiada tempat di hati rakyat. Dua tiga hari sebelum hari pengundian, nama beliau disebut-sebut di dalam media arus perdana sebagai pengkhianat negara, pertalian dengan barat, penyebab negara hampir bankrap dan banyak lagi. Sememangnya ini adalah nada yang sama semasa beliau dipecat daripada jawapan TPM yang dahulu. Ini telah membangkitkan gelora seperti luka lama berdarah kembali. Para penyokong beliau yang sudah lama duduk diam terasa bahangnya dan kembali geram lalu dinoktahkan dengan undi kepada pembangkang.

2. Faktor Mahathir
Tun Mahathir mempunyai pengikutnya yang tersendiri di dalam BN. Walaubagaimana teruk dia diperkatakan sebagai seorang tua yang sudah nyanyuk namun kredibiliti Beliau amat sukar disanggah. Beliau mempunyai pengalaman yang luas dan kritikan beliau kepada kepimpinan Abdullah Ahmad Badawi begitu kritikal dan tajam. Sekali-sekala dapat dilihat kritikan beliau yang boleh menjatuhkan terus PM namun padangan beliau masih lagi dapat ditepis. Namun, rakyat melihatnya sesuatu yang amat besar. Sedikit sebanyak rakyat berfikir bahawa jika orang yang sangat dekat dan memilih seseorang itu sebagai PM tetapi tidak dapat mempercayai orang itu lagi, adakah mereka perlu terus percaya? Sebenarnya, pihak pembangkang bijak memanipulasikan kenyataan Tun Mahathir bagi kepentingan mereka juga. Saya berpendapat Tun Mahathir berbuat demikian kerana padangannya tidak diambil endah setelah melakukannya secara tertutup. Lalu, beliau membuat kenyataan secara terbuka.

3. Faktor Abdullah Ahmad Badawi
Dipermulaan Datuk Sri Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri, imejnya sungguh sempurna. Beliau adalah cucu kepada TOk guru, seorang yang boleh menjadi imam, seoarang yang bersih, anti rasuah dan pembaziran. Itulah imej beliau di masa kemenangan besar BN di tahun 2004. Namun, imej beliau secara sedikit demi sedikit tecalar kerana pihak pembangkang telah memainkan serangan peribadi kepada beliau. Banyak risalah-risalah yang dikeluarkan yang menunjukkan beliau kuat tidur, memegang perempuan (Datuk Michelle yeoh) dan juga sebagai seorang Imam amalan baru, Islam Hadhari. Perkahwinan beliau dengan isteri yang tidak memakai tudung dan juga imej anaknya telah menyebabkan imej Imam beliau terjejas teruk.

4. Faktor Khairi Jamaluddin
Khairi Jamaluddin telah dikatakan sebagai individu yang menguasai PM oleh Tun Mahathir. Saya suka cara agresif beliau yang tidak memeperlihatkan watak sebagai seorang yang lembik seperti ketua Pemuda UMNO. Namun , beliau telah dikatakan sebagai seorang yang sangat angkuh dan sentiasa mengeluarkan kenyataan semacam beliau adalah orang yang sangat berkuasa. Walaupun latar belakang beliau agak menarik dan tidak dinafikan berhak diangkat sebagai seorang pemimpin namun, menantu Perdana menteri itu perlu berhati-hati mengeluarkan kenyataan.

5. Faktor harga barang naik
Ini adalah faktor nasional. Harga barang di sini bolehlah dikaitkan dengan harga minyak. Banyak papatanda yang menerangkan tentang harga minyak berbanding dengan negara-negara jiran namun ada yang mempersoalkan kenapa tidak dibandingkan dengan harga minyak di negara pengeluar minyak seperti di Brunei. Setiap tahun diwar-warkan bahawa Petronas telah untung berlipat kali ganda namun kenapa harga minyak semakin membebankan?

6. Faktor pendidikan
Kos pendidikan yang mahal, sekolah aliran cina dan peluang sama rata ke Universiti adalah isu yang dimainkan. Pihak pembangkang berjaya memainkan isu ini dan berjaya menarik pengundi cina. Pengundi cina diperkatakan sebagai amat sensitif dengan isu pendidikan.

7. Faktor jenayah
Kebanjiran pekerja asing dan dikatakan menyumbang kepada kadar jenayah negara juga menjadi isu utama. Kerajaan dikatakan gagal mengawal keadaan seperti kes Nurin dan juga Sharlini.

8. Faktor media arus perdana
Ramai mengatakan media arus perdana berat sebelah. Mereka sudah muak dengan keadaan itu. Apabila digembar-gemburkan perihal pemimpin pembangkang yang sentiasa mendapat publisiti negatif, kebencian semakin meningkat kepada media arus perdana.

9. Faktor tak nak keluar mengundi
Peratusan pengundian yang rendah sehingga 50% di sebuah-buah negeri yang BN kalah bukanlah disebabkan kerana faktor cuaca. Saya berpendapat mereka tidak ada semangat dan tidak mahu nenyokong BN. Pengundi hanya berdiam diri di rumah dan akan menerima sahaja apa keputusan yang dibuat. Namun, saya percaya ada yang menyesal pada hari ini setelah melihat keputusannya.

10. Faktor keselesaan
Majoriti yang besar pada tahun 2004 dimenangi oleh BN menyebabkan mereka tidak berasa gusar. Lihatlah! siapa yang sangka BN akan kalah di Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Selangor. Sebelum ini apa yang diperkatakan ialah merampas kembali Kelantan dan kalaupun adanya kejutan, negeri Perlis dan Terengganu sahaja yang mungkin bermasalah. Fokus adalah kurang kerana perasaan selesa ini lalu, BN tewas di negeri-negeri tersebut. Ada juga kerjaan negari yang "over-confident" seperti sasaran "PEMBANGKANG SIFAR 2010" namun mereka pula yang perlu menjadi pembangkang.

11. Faktor kerja kuat pembangkang
Setelah Terengganu kembali kepada BN dan Majoriti merosot PAS di Kelantan pada 2004,pihak pembangkang telah bekerja kembali kuat seperti tahun 1999. Hasilnya apa yang anda dapat lihat pada kali ini.

12. Faktor pembelaan kaum
Rakyat cina dan india merasakan mereka kurang terbela. Adakah mungkin kerana imej islam hadhari? Saya melihat kejadian seperti tuntutan mayat yang dikatakan beragama Islam dari keluarga bukan Islam menjadi isu yang amat sensitif di kalangan rakyat bukan Islam.

13. Faktor prestasi
Ada wakil rakyat yang dipilih tidak menepati kehendak rakyat di atas prestasi mereka. Ada bekas YB iaitu mertuanya yang didapati melakukan perkara yang menyalahi kuasa diketepikan namun menantunya dipilih pula. Bagi rakyat, ianya menunjukkan kronisme dan tidak dapat diterima.

14. Faktor simpati
Nurul Izzah iaitu anak kepada Anwar Ibrahim di suatu ketika dahulu di anggap puteri reformasi yang membela bapanya. Imejnya yang kuat bersemangat dan berani di ketika itu sudah cukup membuktikan beliau berhak dilantik sebagai YB. Mungkin ada undi simpati kepada beliau setelah apa yang dilaluinya selama ini di ketika bapanya di penjara.

15. Faktor dinasour
Contoh terbaik adalah YB di Sungai Siput yang memegang kerusinya semenjak 1974. Akhirnya ditolak rakyat pada hari jadinya.

16. Faktor dalaman
Ada perasaan yang tidak puas hati dengan pemilihan calon. Banyak calon luar diletakkan dan dipilih lalu tidak memperdulikan calon tempatan.Sebagai contoh ialah apa yang berlaku di Perak apabila calon Gerakan di letakkan di Lenggong yang sebelum ini, kawasan tradisi UMNO. Namun, sehari selepas itu, ianya diubah ke kawasan MB iaitu di Grik. Ini adalah contoh krisis dalaman namun ianya dapat ditangani segera. Ada maklumat yang mengatakan calon-calon di Lenggong membuat protes dan tidak menerima calon Gerakan. Mereka menyatakan hasrat menarik diri daripada bertanding jika calon Gerakan diletakkan disitu. Kemelut ini ekoran diatas dasar mengembalikan kerusi Bukit Gantang kepada UMNO agar M. Kayveas dapat bertanding di Taiping. MB Perak menitiskan air mata apabila mengumumkan pertukaran tersebut.

17. Faktor hindraf
MIC dinampakkan sebagai sudah tidak boleh diharap untuk memperjuangkan nasib India. Kebanyakkan undi India kepada pembangkang. Keadaan sungguh luar biasa apabila orang India dan Cina juga memakai t-shirt pas dan merayu undi untuk Pas di kawasan calon yang ditandingi oleh Pas dengan BN. Bendera- bendera Pas dipacakkan di perkampungan mereka. Mereka nampaknya tidak kisah menyokong sesiapa asalkan calon di satu pihak lagi itu melawan BN. Ini sesuatu yang amat mengejutkan dan hanya dapat dilihat pada pilihanraya tahun ini.

18. Faktor khabar angin
Banyak SMS dan Khabar angin dilemparkan seperti kenaikkan harga minyak lagi pada akhir bulan ini. SMS juga adalah satu penyebar khabar angin dan jenaka pilihanraya yang digunakan secara meluas sekarang ini. Antara SMS yang saya terima sekejap tadi ialah "SESIAPA ADA TERJUMPA SEORANG RAKYAT SELANGOR, RAMBUT PUTIH, BERLAGAK HANDSOME, BANGSA JAWA, RENDAH2, SILA HUBUNGI BALAI POLIS TERDEKAT.KUNCI PEJABAT MB ADA PADA BELIAU".

19. Faktor media alternatif
Media alternatif seperti blog dan laman web sudah menampakkan impaknya. Di saat-saat akhir pilihanraya, PM juga telah membuka laman web untuk mendekati rakyat namun masa sudah suntuk pada ketika itu.

20. Faktor sokongan kakitangan kerajaan
Kakitangan yang agak tidak berpuas hati kerana tiada bonus pada tahun ini mungkin memberikan undi protes kepada kerajaan. Ada yang menyokong pembangkang, buat undi rosak atau tidak mengeluarkan undi.

Namun begitu, saya agak khuatir dengan keputusan pilihanraya yang dikatakan tsunami ini kerana wujudnya dominasi tidak seimbang dan nampak seperti ke arah menghapuskan tradisi ketuanan politik kita. saya pasti akan mendaftar dan menyertai parti yang sudah banyak berjasa kepada saya. Kini, tiba masanya mereka memerlukan jasa saya pula. Ini hanyalah pendapat peribadi saya. Apakah pendapat anda pula?