Monday

Salahkah Orang Kafir Baca Quran?

PARA pemuka Islam kini kalut membuat laporan polis terhadap Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming (foto) kerana Kong Ming membaca sepotong ayat Quran dalam ceramahnya. Cara Kor Ming membaca ayat Quran itu dikatakan telah menghina dan mempersendakan kitab suci Islam itu.

Mufti Perak, Harunssani Zakaria juga turut sama bangkit mengecam dengan bertanya apa hak Kor Ming membaca ayat Quran kerana dia (Kong Ming) tidak beriman kepada Islam?


Kenyataan dan pertanyaan Harussani itu mengejutkan! Apakah orang kafir tidak boleh membaca ayat Quran? Begitu sekali kerasnya Islam sampai melarang orang bukan Islam daripa membaca kitab suci itu.

Dalam hal ini saya merasa anih dengan tingkah laku umat Islam negara ini yang begitu sensitive bila menyentuh soal agama. Sensitif yang berlaku itu pula tidak kena pada tempatnya. Macam mana orang bukan Islam hendak mengetahui keistimewaan Quran dan mujizat Nabi Muhammad s.a.w. itu kalau mereka tidak boleh membaca ayat al-Quran?

Tidak ada pula didalam Quran ayat-ayat menjelaskan Quran tidak boleh dibaca oleh bukan Islam. Yang ada ialah ayat-ayat Quran yang mencela mereka yang tidak beriman dengan al-Quran. Tidak ada juga ayat yang melarang orang kafir daripada menyentuh al-Quran?

Dalam hal ini siapakah yang tidak beriman dengan al-Quran? Saya rasa bukan saja Kor Ming tetapi orang Islam (Melayu) juga tidak beriman dan yakin dengan Auran dan sunnah.

Tidak beriman dan yakin dengan Quran ialah tidak mengambil ayat-ayat Quran sebagai panduan dalam memerintah negara. Demikian juga mereka yang menghina janggut nabi juga manusia yang mempersendakan Rasulullah.

Dalam kes Kor Ming ini saya tidak nampak yang Setiausaha DAP Perak itu mencela dan menghina al-Quran. Seharusnya umat Islam dan para pemuka Islam memuji langkah Kor Ming itu dan merasa bangga sebab Kor Ming merujuk kepada Quran. Beliau tidak merujuk kepada Bible, Taurat atau pun Zabur untuk menguatkan hujahnya. Tetapi dia rujuk kepada Quran. Itu merupakan satu keistimewaan kepada Islam.

Umat Islam negara ini khasnya mereka yang mempertikaikan tindakan Kor Ming itu saya rasa tidak luas pengetahuannya dalam ilmu agamanya. Mereka tidak sampai mencecah ilmu syariat, tariqat, hakikat dan marifat. Mereka lebih terkongkong dengan ideologi politik partisan.

Di Kelantan orang Cina membaca ayat Quran dalam cermah politiknya sesuatu yang tidak pelik dan asing. Tahun-tahun 70-an Pengerusi MCA Kelantan, Foo Chow Yong sering kali membaca ayat Quran dalam ceramah-ceramahnya dan juga ucapan rasmi sebagai Exco Kerajaan Kelantan.
Saya masih ingat ayat yang menjadi kesukaanaya ialah ayat dalam surah Aali-Imran: 103 yang bermaksud; Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai dan ingatlah nikmat Allah kepadamu."

Chow Yong membaca ayat itu menyeru orang supaya bersatu padu dan tidak berpecah belah. Seruan supaya berpadu adalah ajaran Islam. Maksud dan tujuannya samalah dengan ayat yang dibaca oleh Kor Ming itu yang bermaksud hendaklah kamu (pemerintah) berlaku adil sesama insane (manusia).

Kalaulah Kor Ming tersalah koute, kenapa perlu membuat laporan polis. Sepatutnya kesalahana itu ditegur dengan baik dan penuh hikmah. Shabul Samaah Mufti Perak, Harussani sepatutnya memanggil dan mengajar Kor Ming dengan bacaan yang betul dan benar. Beliau bukanya melenting dan menunjukkan sikap perang dengan bukan Islam.

Di Kelantan bila Chow Yong baca ayat Quran umat Islam tidak melatah. Tidak ada ustaz, atau pun tok iman dan NGO Islam yang membuat laporan polis mendakwa dia mempersendakan Islam. Ini menunjukkan rakyat Kelantan faham mengenai hal itu dan tidak mudah memandang serong kepada orang bukan Islam yang membaca ayat-ayat Quran.

Sepatutnya uamt Islam di Perak dan juga mereka yang mempertikaikan tindakan Kor Ming itu belajar dan mengambil iktibar apa yang dilakukan oleh rakyat Kelantan.


Sikap dan ketinggian kefahaman mengenai Islam itu nampaknya masih diteruskan oleh Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat (foto). Nik Aziz bila ditanya mengenai Kor Ming itu tidak melenting dan melihatnya penuh bijaskana. Katanya, “sepatutnya Kor Ming lama dah membaca al-Quran dan tindakan beliau itu hasil dakwah Pas.”

Mutfi Kelantan juga ketika itu Allahyarham, Datuk Haji Mohamad Noor, tidak pun menegur tindakan Foo Chow Yong itu. Apakah dalam soal ini, Murfi Perak Harussani merujuk kitab berlainan dengan kitab yang rujuk oleh Mufti Datuk Haji Mohammad Noor, Mutfi Kelantan dalam melihat kes Foo Chow Yong itu?

Cara pemuka Islam yang membuat laporan polis dan Mufti Perak menengur Kor Ming itu ia menyebabkan orang bukan Islam jadi semakin takut dan gerun untuk mendekati Islam. Bagi saya tindakan dilakukan oleh umat Islam yang bertujuan menyokong UBN itu tidak bersifat fatah dan berfahaman sempit.

http://msomelayu.blogspot.com/

Saturday

Terapi Solat: Khazanah Amalan Rasulullah SAW

Prof Dr Wan Abu Bakar (kanan) bersama Dr Fatimah dan Ng Siew Chok bersama buku mengenai rahsia solat dari segi sains.

HASIL kajian Jabatan Kejuruteraan Biomedikal Universiti Malaya mendapati setiap gerakan solat mempunyai manfaat tersendiri yang mampu meningkatkan tahap kesihatan secara menyeluruh.

Terapi Otot dan Kecergasan Fizikal Tubuh Badan

Profesor Dr Wan Abu Bakar Wan Abas yang mengkaji aktiviti otot memberitahu manusia perlu sentiasa melakukan regangan dan senaman kerana otot menjadi lebih kuat apabila selalu digunakan. Katanya, hasil kajian mendapati solat yang membabitkan gerakan tubuh seperti berdiri, tunduk dan bongkok menyamai senaman ringan.

“Kebanyakan otot serta sendi bergerak ketika solat. Umat Islam beruntung kerana solat yang wajib dilakukan setiap hari menyamai aktiviti senaman dan regangan yang memperkuatkan sistem otot dan fizikal tubuh,” katanya.

Malah, katanya solat sama seperti terapi fizikal yang jika dilakukan secara berterusan dan betul menghasilkan kesan positif terhadap tubuh. Beliau berkata, kajian lebih teliti sedang dilakukan untuk mengenap pasti otot yang aktif ketika solat.
Terapi Anti-Stres dan Kawalan Minda yang lebih Tenang & Fokus

Ng Siew Chok yang bertindak mengkaji isyarat otak semasa solat berkata, perubahan kimia berlaku apabila otak aktif. Proses kimia yang menyebabkan pergerakan ion atau atom membawa cas elektrik boleh diukur menggunakan elektrod yang diletakkan pada kulit kepala. Sejenis alat, iaitu EEG (Electroencephalography) digunakan untuk mengukur isyarat otak daripada aktiviti elektrik.

“Gelombang otak mempunyai beberapa frekuensi irama yang dipengaruhi oleh keadaan fizikal dan emosi. Jenis gelombang otak Alfa (8-13 Hz) menunjukkan keadaan tenang,” katanya.

Walaupun bukan Islam, Siew Chok kagum terhadap hasil kajian yang dilakukannya apabila mendapati keadaan dan pemikiran orang selepas bersolat tenang dan menyamai keadaan selepas bangun tidur.

“Ada fenomena menarik dalam solat, iaitu keadaan berdiri seketika sebelum sujud sebagai peringkat paling tenang ketika bersolat. Saya bukan Islam dan diberitahu bahawa keadaan itu adalah tamakninah,” katanya.

Ketika itu, katanya isyarat alfa meningkat secara mendadak yang menunjukkan seseorang itu berada dalam keadaan tenang.

Siew Chok berkata, solat juga meningkatkan penumpuan terhadap sesuatu perkara dan memperkuatkan kuasa otak.

Sehubungan itu, katanya solat membolehkan seseorang itu menyediakan otak untuk lebih bersedia terhadap sesuatu cabaran yang perlu dihadapinya dalam aktiviti harian.

Terapi Imbangan Komposisi Tubuh yang lebih Stabil

Dr Fatimah Ibrahim yang mengkaji komposisi tubuh semasa solat berkata, komposisi tubuh mengandungi empat komponen utama, iaitu tisu aktif, tisu tulang, komponen air dan lemak.

Beliau berkata, ada beberapa kaedah untuk mengukur komposisi tubuh, tetapi kajian itu menggunakan Analisis Penyepadanan Bio yang menghasilkan keputusan tepat, pantas dan selamat, berbanding pengambilan darah.

“Teknik ini tidak digunakan secara meluas di hospital negara ini, tetapi di Amerika Syarikat, teknik ini digunakan untuk menilai status penyakit seperti Aids, diabetes, demam denggi dan pelbagai penyakit kritikal lain,” katanya.

Dalam kajian ini, katanya model untuk mendapatkan komposisi tubuh terbaik adalah dengan melakukan lima perkara, iaitu solat lima kali sehari, memahami maksud bacaan dalam solat, solat berjemaah, rukuk dengan betul (90 darjah) dan melentikkan jari kaki ketika duduk antara sujud dan tahyat akhir.

Dr Fatimah berkata, orang yang tidak melakukan lima perkara ini mempunyai komposisi tubuh yang kurang baik.

Terapi Mengekalkan Kesihatan dan Memulihkan Tenaga yang Hilang

Katanya, kajian mendapati secara keseluruhan orang yang solat berjemaah mempunyai kesihatan lebih baik berbanding yang bersolat secara bersendirian.

“Kita mendapati apabila berjemaah, orang yang melakukan solat bersentuh bahu ke bahu. Tubuh manusia seperti bateri. Ketika bersolat, cas tubuh manusia mengalir seperti dalam litar dan akhirnya meneutralkan cas tubuh.

"Sebelum solat, ada orang yang penat dan ada yang tidak penat. Ketika solat, orang yang tidak penat dan mempunyai cas positif akan mengalirkan cas positif kepada orang yang letih dan mempunyai cas negatif,” katanya.

Katanya, ini yang menyebabkan orang yang bersolat jemaah mempunyai badan bertenaga dan lebih tenang.

Dr Fatimah berkata, solat tarawih dan berpuasa juga memberi kebaikan dan ini terbukti berdasarkan kajian yang dilakukan.

Sebelum Ramadan bermula, katanya komposisi badan diukur dan selepas 21 hari berpuasa, komposisi tubuh yang diukur semula mendapati keadaan tubuh sihat seperti kolesterol rendah akibat kadar pembakaran lemak yang meningkat serta paras glukos rendah.

Terapi Sakit Bahagian Pinggang

Selain itu, katanya posisi tubuh (posture) dalam solat dapat mengubat sakit pinggang. Malah jika berjumpa doktor, pesakit disuruh melakukan senaman seperti berdiri dan membongkokkan tubuh yang menyamai gerakan solat.

Beliau berkata, keputusan positif itu adalah berdasarkan ukuran saintifik dengan meletakkan beberapa sensor (pengesan) di tulang belakang pesakit untuk melihat isyarat otot.

Katanya, hasil kajian mendapati pesakit yang mengikuti terapi solat selama sebulan, iaitu dengan membuat rukuk 90 darjah, sakit pinggangnya berkurangan.

“Ini membuktikan terapi solat boleh digunakan untuk merawat sakit pinggang. Kita akan menerbitkan buku kedua terapi solat yang bukan saja sesuai untuk wanita normal, tetapi untuk wanita mengandung. Bukan Islam juga boleh mengikuti terapi ini dengan melakukan senaman sama seperti gerakan solat,” katanya.

Terapi Mati Pucuk

Jangan terkejut kerana solat boleh merawat Erektil Disfungsi (ED) atau lebih dikenali sebagai mati pucuk, masalah kesihatan yang lelaki amat takut.

Untuk lelaki normal, keupayaan seksual adalah tiga kali penegangan ketika tidur dan volum ketika ketegangan mesti lebih 200 peratus.

“Kajian dilakukan dengan mengukur zakar (pesakit diajar melakukan ukuran). Pada bulan pertama, tiada ketegangan langsung, tetapi selepas melakukan terapi selama dua bulan iaitu dengan melakukan solat tambahan, sudah ada ketegangan dan volum mencapai tahap normal,” katanya.

Beliau berkata, terapi adalah dengan cara melakukan solat sunat sebanyak tiga kali seminggu dengan setiap terapi sebanyak 12 rakaat atau kira-kira 30 minit.

Terapi Pesakit Jantung

Selain itu, katanya antara hasil kajian yang menarik perhatian pakar sakit jantung ialah mengenai kadar denyutan jantung kerana selama ini, kajian saintifik lain menyatakan bahawa kadar denyutan jantung paling rendah adalah ketika berbaring.

“Kajian mendapati ketika solat, keadaan sujud mencatatkan kadar denyutan paling rendah dan lebih baik berbanding ketika baring. Ini menunjukkan posisi tubuh ketika solat adalah bagus,” katanya.

Sehubungan itu, katanya kajian akan dilakukan dengan lebih meluas untuk melihat sama ada posisi tubuh ketika solat boleh merawat sakit jantung.

Katanya, pakar jantung gembira dengan hasil kajian itu kerana boleh memperkenalkan terapi solat kepada pesakit jantung untuk melakukan senaman. Ketika ini, setiap pesakit jantung perlu melakukan senaman selama 30 minit setiap hari. Allahu 'alam

Tuesday

Perak Memerlukan Perlembagaan Tubuh Yang Baru

http://msomelayu.blogspot.com

MEREKA yang tidak memilih politik sebagai kerjaya tetapi menganggap politik sebagai satu mekanisme terbaik untuk memilih pemimpin bagi mentadbir negara merasa mual dengan apa yang berlaku di Perak khasnya, dan apa yang berlaku dalam arena politik negara muasir ini.

Lebih-lebih lagi pergolakan politik di Perak itu menjadikan semua tekak mereka jenis itu merasa loya dan ada yang sudah termuntah. Mereka menjadi letih dan malas membicarakan soal politik yang dianggap sebagai tidak ada kesudahan dan moral lagi.

Satu masalah besar apabila rakyat sudah melihat politik itu seperti jambatan tahi ia bakal menimbulkan masalah kepada negara.

Seharusnya sebelum rakyat mengambil sikap membenci politik, kualiti politik negara ini perlu ditingkatkan. Orang politik sepatutnya berusaha dan bertanggungjawab bagi meningkat kualiti dan keyakinan umum kepada siasah serta menjaga wibawa mereka sebagai pemain politik negara ini.

Betapa hari ini rakyat diheret untuk berkencah dalam situasi itu yang tidak memberi keuntungan kepada mereka. Semuanya merugikan masa depan rakyat manakala pemain politik pula lebih untuk menjaga kedudukan dan kuasa mereka. Peripolitik orang politik sudah tandus dan kering.

Implikasi yang timbul dari keadaan itu, rakyat berada dalam keadaan tegang, hubungan Melayu sama Melayu yang bertentangan juga makin tegang dan kritis. Perkara-perkara yang menjadi rahsia bersama sebelum ini terpaksa diburaikan kerana untuk mempertahankan diri dan kerana ego masing-masing.

Pertalian saudara dan kepentingan bersama sudah mengecil dan di ketepikan kerana untuk menegak idealogi politik kebendaan dan kuasa masing-masing.

Orang politik tidak lagi berfikir untuk menjadikan politik sebagai alat untuk membawa kebaikan kepada rakyat. Politik bukan lagi wadah ataupun medan untuk memberi kesejahteraan rakyat dan mengurus negara dengan baik; memberi kesejahteraan dan keselamatan kepada rakyat.

Sebaliknya politik digunakan sebagai senjata untuk membendung kausa dan kekayaan sendiri. Sikap mementingkan diri dan kronis menjadi satu isme yang didewa-dewakan dalam politik.

Kalau mereka ada pelita fikir demikian, pergolakan politik seperti di Perak itu tidak akan berlaku. Apa lagi dalam keadaan ekonomi negara tidak menentu semuanya membebankan fikiran dan jiwa rakyat, mereka akan mencari masa lain untuk membuka langkah silap dan gelanggang gaduh. Bukannya waktu ini…waktu gawat.

Hari ini macam-macam kita dengar berlaku di Perak. Semuanya bermula daripada tindakan BN merampas kuasa yang dinaungi istana dan raja yang meragukan awal Februari lalu itu. Hari ini semua perkara ‘bercadas’ dan ‘berkadas’ antara satu sama lain. Seolah-olah negeri Perak kini tidak ada kitab tatacara hidup (perlembagaan) yang jelas dan sahih lagi.

Segala macam peraturan dan perkara dalam perlembagaan tubuh kerajaan negeri Perak seperti tidak sahih dan palsu atau boleh dipermainkan begitu saja. Sesiapa pun bebas bercakap dan mentafsir sendiri kemudian mempertahankan pandangan mereka sebagai benar walaupun ia jelas salah! Perlembagaan sudah tidak dihormati dan dipatuhi lagi, seolah-olah orang politik di Perak seperti buta huruf.

Betapa tidak di Perak hari ini ada dua orang menteri besar; seorang menteri besar istana dan seorang menteri besar rakyat. Keduanya mengaku adalah menteri besar yang sah. Ada dua barisan exco satu, exco lama satu exco baru. Begitu juga dengan kedudukan Speaker ada mengatakan kuasanya tidak sah dan tidak laku dan ada yang beranggapan Speaker masih sah dan berkuasa dan berhak melaksanakan tugas-tugasan mereka.

Kedudukan raja dan istana yang menjadi tempat rujuk dan naungan rakyat jelata juga sudah tidak dihormati lagi. Ada sebilangan rakyat yang menghormati raja secara membuta tuli dan ada yang sudah mula hilang kepercayaan dan kemuliaan institusi itu. Kata-kata raja juga bukan kata-kata pemutus lagi, apabila ada rakyat yang berani membantah dan pandangan raja hanya berlalu begitu saja.

Kebijaksanaan raja dan budi bicara raja juga tidak dihomartinya lagi. Keadaan hari ini payah untuk diputuskan siapa yang sebenarnya benar dan haq.

Lantaran kecamukan tidak berkesudahan itu maka berlakulah soal dakwa mendakwi. Menteri besar rakyat, Mohamad Nizar Jamlauddin memfaikan di mahkamah tinggi meminta mahkamah menentukan kedudukan Menteri Besar baru, Zambry Abdul Kadir sah atau tidak.

Pihak Zambry pula membuat laporan kepada SPRM dan minta mahkamah menentukan apakah keputusan Jawatankuasa Terpilih Dewan yang menggantungkannya selama 12 bulan dan ahli Exco lain selama 18 bulan sah atau tidak.

Terbaru, kerajaan pimpinan Zambry dikatakan akan meminta Jawatankuasa Hak dan Kebebasan yang dipengerusikan oleh Spaeker, V Sivakumar agar mengambil tindakan ke atas dirinya sendiri. Bukankah ini semua menunjukkan apa yang berlaku di Perak itu sudah mabuk dan menjadi seperti keluarga 69. Tempoyak sudah liat kerana ditenyeh dengan ulama petai dan jengkol.

Siapa salah? Yang jelasnya kalau Sultan Perak tahu menggunakan budi-bicara dan sungguh bijaksana kekecamukan ini tidak akan berlaku atau berpanjangan. Tetapi apabila ia berlaku dan kata raja tidak menjadi kata pemutus maka satu kebijaksanaan pihak istana yang diagungkan selama ini sudah tidak ada lagi.

Melihat suasana di Perak yang tidak ada kesudahan ini maka sukacita saya mencadangkan kalau pelembagaan Perak yang ada kini hendaklah dimansuhkan dan ganti dengan perlembagaan baru. Perak hendaklah gubal perlembagana baru yang meliputi semua aspek, baik kedudukan dan peranaan raja, kausa Dewan Undangan Negeri (DUN) dan perkara-perkara lain.

Perlembagana baru itu bolehlah membuat kesimpulan yang jelas mengenai sesuatu perkara misalnya mengenai bidang kuasa raja berpelembagaan, kuasa Menteri Besar sebagai eksekutif selepas dilantik memegang jawatan itu.

Pentafsiran-pentafsiran mengenai undang-undang juga hendaklah jelas dan tidak mengandungi makna dan maksud berlapis-lapis yang boleh menimbulkan masalah bila dipakai kelak.

Saya percaya hanya dengan adanya perlembagaan baru yang menjelaskan mengenai beberapa perkara penting seperti yang berlaku kini ia boleh menjernihkan keadaan dan insiden yang merugikan rakyat di Perak itu tidak akan berlaku lagi.

Yang nyatanya perlembagaan yang ada sekarang ini yang digunakan oleh kedua pihak dalam menegakkan pendirian masing-masing sudah tidak boleh dipakai lagi. Kerana kelonggaran pentafsiran perlembagaan itulah menyebabkan politik Perak kini berada dalam keadaan sembelit

AKAL MENGUKUR MAKLUMAT

Masalah paling besar dalam kalangan sesetengah yang memakai gelaran ‘agamawan’ atau tokoh agama adalah apabila mereka tidak memiliki manhaj atau method yang betul dalam memahami sesuatu fakta yang dikaitkan dengan Islam ini.

Lalu, atas kurang teliti, atau ‘kurang fikir’ atau ‘memang tak fikir’ mereka menelan semua perkara yang dikaitkan dengan agama samada hasil percakapan orang atau bahan bacaan. Dari situlah lahirnya khurafat, karut marut, tokok tambah, kekartunan pemikiran yang diberikan lebel agama.

Jika hal itu berterusan, maka kekeliruan terhadap agama akan berkembang lantas agama akan dipersenda dan didustai.

Inilah yang terjadi kepada agama Kristian di Barat pada hari ini sehingga penghormatan para penganutnya terhadap perlambangan utama agama tersebut; termasuk Tuhan dan Jesus menjadi bahan sendaan dan mainan. Ini kerana ajaran agama di Barat gagal menghadapi perkembangan akal kritis yang ada dalam kalangan mereka.

Ini berbeza dengan negara-negara yang rakyatnya berjiwa feudal, atau rakyatnya diharamkan berfikir lalu mereka menelan segala perkara, samada benar ataupun salah tanpa mampu, atau mahu berfikir. Inilah yang terjadi kepada penganut berhala totok yang menyembah apa sahaja yang terlintas atau difikirkan ajaib. Sesiapa yang pergi ke India akan dapat melihat kemandulan akal dalam beragama.

Sesuatu riwayat atau kisah atau matan yang hendak dianggap benar untuk dikaitkan dengan Islam dinilai secara kritis sejauh manakah kesahihan maklumat tersebut. Ini mesti dilihat kepada sumber maklumat; samada ia berasal daripada al-Quran dan al-Sunnah atau tidak?

Sementara jika riwayat itu bersumberkan hadis atau athar; hendaklah dipastikan ia riwayat yang diterima di sisi ilmu periwayatan. Bukan riwayat yang para perawi atau periwayatnya ditolak.

Setelah proses ini dilepasi, dinilai pula sejauh manakah kemunasabahan sesuatu teks atau riwayat itu. Adakah ia bertentangan dengan al-Quran, atau realiti yang nyata, atau sejarah yang tidak dipertikaikan, atau akal yang disepakati? Jika ini berlaku dan tiada jalan keluar untuk menserasikannya, maka riwayat itu ditolak.

Contohnya cerita bahawa Bahtera Nabi Nuh a.s. tawaf ka’bah dan bersolat di makam Ibrahim dua raka`at. Ini semua adalah dusta. Tidak masuk akal. Nabi Nuh a.s. wujud sebelum Ibrahim a.s. Sementara Kaabah dibina oleh Nabi Ibrahim dan Makam Ibrahim mengambil sempena nama Nabi Ibrahim a.s.

Di mana Kaabah dan makamnya ketika itu untuk Bahtera Nuh bertawaf? Dengan itu para ulama hadis hadis menolak cerita ini. Termasuk yang menempelak riwayat tersebut al-Imam al-Syafi’I (al-Jurjani, al-Kamil fi Du’afa al-Rijal, 4/270, Beirut: Dar al-Fikr). Malang sekali, masih ada penceramah agama yang mendendangkan kisah karut ini.

Beberapa email saya terima mengadu mengenai sebuah tulisan dalam akhbar ini yang menyatakan tentang sunat membuat bubur pada sepuluh Muharram kerana mengenangkan peristiwa pembunuhan Saidina Husain bin ‘Ali r.huma. Ada yang bimbang masuknya unsur syiah ke dalam masyarakat yang tidak diajar menilai sesuatu dengan kritis.

Saya kata; kita tidak bimbang asal-usul sesuatu unsur pemikiran atau kefahaman dari mana datangnya. Selagi ia benar atau bertepatan dengan fakta, datanglah dari mana sahaja, sekalipun dari Yahudi. Kebenaran tidak memilih bulu. Apa yang dibimbangi adalah unsur tersebut terpinggir jauh dari kebenaran.

Soal kelebihan amalan atau fadilat adalah ditentukan oleh Allah dan RasulNya. Dalam riwayat sahih yang manakah yang menyebut kelebihan membuat bubur hitam atau merah atau apa warna sahaja pada Hari ‘Asyura? Yang pasti ia tidak pernah ada. Apatahlagi peristiwa pembunuhan Husain bin ‘Ali berlaku pada tahun 61H, di zaman pemerintahan Yazid bin Mu’awiyah. (lihat: Ibn Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, 6/258, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).

Terlajak membicarakan tentang pembunuhan cucunda Nabi s.a.w ini, al-Husain bin ‘Ali yang amat kita cintai, ingin saya jelaskan bahawa ahli-ahli sejarah ramai yang berpendapat bukan Yazid yang membunuhnya seperti yang didakwa. Saya ingin memetik apa yang diulas oleh sejarahwan besar, al-Imam Ibn Kathir (meninggal 774H):

“Orang ramai mempunyai berbagai pendapat tentang Yazid bin Mu’awiyah. Ada yang mencintai dan mengangkatnya iaitu segolongan penduduk Syam yang beraliran Nasibiyyah. Adapun golongan Syiah Rafidah, mereka mengejinya dan mengada-adakan berbagai pembohongan yang Yazid tidak lakukan. Ramai mereka menuduhnya zindiq (kafir yang berpura muslim). Dia tidak sampai begitu. Sementara pihak yang lain, tidak menyukainya dan tidak pula mencercanya. Ini kerana mereka tahu dia bukan zindik seperti yang dituduh oleh golongan Syiah Rafidah, namun pada zaman pemerintahannya berlaku berbagai peristiwa yang jelek dan perkara-perkara yang dibantah, hodoh dan keji. Paling teruk adalah pembunuhan Husain bin ‘Ali di Karbala. Namun dia tidak tahu (mengarahkannya) dan barangkali dia tidak meredhainya” (al-Bidayah wa al-Nihayah, 6/256).

Kata tokoh pengkaji hadis al-Imam Ibn al-Salah (meninggal 643H):

“Tidak sahih di sisi kami bahawa Yazid memerintahkan agar dibunuh al-Husain r.a. Riwayat mereka yang dipercayai bahawa perintah agar dibunuh al-Husain dari orang yang mengepalai dalam pembunuhannya iaitu `Ubaid Allah bin Ziyad, gabenor Iraq ketika itu” (Ibn Tulun, Qaid al-Syarid min Akhbar Yazid m.s. 57, Kaherah: Dar al-Sahwah, Kaherah).

Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah (meninggal 728H) mempunyai ulasan yang menarik, katanya:

“Apabila kaum keluarga Husain datang kepada Yazid, dia memuliakan mereka dan mengiringi mereka ke Madinah. Diriwayatkan dia melaknat Ibn Ziyad atas pembunuhan al-Husain. Katanya: “Aku meredhai ketaatan penduduk Iraq tanpa membunuh al-Husain”. Namun begitu beliau tidak menampakkan bantahannya, membela kematiannya dan mengambil tindakan membunuh balas sedangkan itu adalah kewajipannya. Maka dengan itu, pendokong kebenaran mengutuknya disebabkan dia meninggalkan kewajipan di samping perkara-perkara lain. Adapun musuh-musuhnya mereka menokok tambah pendustaan ke atasnya berbagai-bagai lagi” (Ibn, Taimiyyah, Majmu’ al-Fatwa, 2/253, Riyadh: Maktab al-‘Abikan).

Unsur syiah bukan baru dalam masyarakat kita, walaupun ia belum lagi keterlaluan. Ini dapat dilihat bagaimana orang melayu menamakan akar-akar kayu dengan nama ‘Ali dan Fatimah; seperti tongkat Ali dan Kacip Fatimah. Tidak dinamakan tongkat Abu Bakr atau ‘Umar, tidak juga Kacip ‘Aishah, atau Habsah.

Dalam jampi juga ada menyebut: “fu kiri, fu kanan, berkat doa baginda ‘Ali”. Jika sekadar nama ‘Ali atau Fatimah tiada salahnya. Mereka ialah kaum keluarga Nabi s.a.w yang amat kita kasihi. Sebaliknya yang ditakuti apabila perkara yang tidak agama dianggap agama dalam Islam. Itu yang menakutkan.

Sehingga di Pakistan, Iraq, Iran dan kawasan-kawasan yang kuat pegangan Syiahnya, pada hari ‘Asyura mereka mencederakan diri masing-masing dengan alatan tajam kerana mengenangkan Saidina Husain dan kekejaman Yazid. Ribuan bahkan ratus ribu kaum Syiah berkumpul pada sepuluh Muharram saban tahun melukai tubuh dengan darah dan membasahi pipi dengan airmata mendendami Yazid dan mengenang al-Husain bin ‘Ali.

Lalu peristiwa hitam semalam, terus menjadi dendam hingga ke hari ini. Siapakah sasarannya? Apapun jawapannya, ia adalah antara sebab terpisahnya sunni dan syi’ah. Satu ajaran yang hidup dalam nostagia luka yang sebahagiannya mungkin benar, sebahagiannya mungkin palsu.

Apapun, saya tidak dapat bayang jika seseorang yang ingin menganut Islam hadir menyaksikan upacara yang dikaitkan dengan Islam yang dipenuhi manusia yang mencedera dan melukai diri sendiri, apakah dia akan terus menganggap agama yang membangunkan akal dan jiwa, mudah dan lurus mencapai Tuhan?

Atau mungkin dia tidak dapat membezakan antara ajaran Kristian yang mendakwa darah Jesus terpaksa ditumpah untuk menebus dosa manusia, atau mungkin dia akan keliru dengan agama sesat yang menyuruh penganutnya berjalan atas api dan melukai diri untuk menunaikan nazar atau menebus dosa? Saya tidak pasti. Apa yang pasti itu bukan sifat Islam seperti yang terkandung indah dalam al-Quran dan al-Sunnah.

Mohd Asri Zainul Abidin

Sunday

AKAR PERMASALAHAN POLITIK SEMASA

Frans De Walls, dalam bukunya Chimpanzee Politics (1982) ada mengungkapkan tentang ‘kelicikan Machiavellian’ ataupun ‘Machiavellian Intelligence’. Maksud yang ingin beliau huraikan ialah bagaimana kapasiti seseorang boleh memanipulasi keadaan sehingga menguntungkan nafsu peribadi. Tidak timbul soal prinsip atau tidak, asalkan matlamat menghalalkan cara. Biar siapa yang terkorban, sama ada keluarga, sahabat baik, prinsip agama, asalkan nafsu serakah ‘politik’ tercapai. ‘Machiavellian Intelligence’ boleh diterjemahkan melalui sikap berjanji, tetapi boleh bila- bila masa memungkiri janji. Boleh membohong, tetapi kadang- kadang sahaja bercakap benar. Boleh nampak baik dan ‘beriman’ di tempat awam, tetapi, boleh berwatakan ‘iblis’ jika di belakang orang. Boleh memuji depan orang, tetapi boleh mengumpat dan mengeji di sebaliknya. Semua ini tidak mustahil hari ini, kerana politik adalah segala- galanya.

Maka tidak menghairankan jika saling- sengketa perbalahan politik ada kaitannya dengan penganut faham politik ala Machiavellian. Apa bezanya dengan kriteria orang munafiq? Bukankah ciri orang Munafiq seperti yang terkandung dalam Hadith Sallahu’alahi Wasalam, iaitu bila berjanji suka mungkiri, bila bercakap suka berbohong dan bila diberi amanah suka khianati.

Apabila politik dilihat segalanya, makanya obsesi atau keghairahan terhadap politik melampaui batas. Apatah lagi apabila politik sebenarnya tidak mengenal prinsip. Tidak pernah dalam sejarah politik moden kejujuran dan kebaikan diletakkan di tempat paling atas sebagai prinsip paling utama. Prinsip yang mendominasi politik moden hari ini ialah semuanya berteraskan faham Machiavellian.

Benjamin Wiker dalam bukunya 10 Books That Screwed Up the World; And 5 Others Didnt Help menulis pengaruh Machiavellianisme yang telah mendominasi peta pemikiran politik semasa. Beliau mengesahkan bahawa sifat ‘iblis’ atau kejahatan ini akan sentiasa mendominasi karakter manusia, apabila melihatkan kebaikan sentiasa tunduk kepada ‘kelicikan’ iblis. Ini terbukti, bagaimana seorang hamba Allah yang mulia, pertama kali dilahirkan sebagai khalifah bernama Adam, tetapi ‘tumpas’ kepada bisikan Iblis.

Berapa ramai orang ‘alim atau ahli ibadat, yang kononnya rajin beribadat, tetapi rupanya diperdaya oleh Iblis kerana ujub dan takbur dengan sifat ‘alimnya. Ibn Qayyim Al Jauzi ada berpesan dalam bukunya ‘Talbis Iblis’ iaitu ‘Perangkap Iblis’ supaya orang beriman berhati- hati dengan permainan dan tipu helah iblis. Malah berapa ramai orang dermawan dan ilmuwan yang dihantar ke neraka kerana luarannya rajin menderma dan berbakti pada ilmu, namun rupanya ada niat keduniaan iaitu digelar sebagai dermawan dan ilmuwan. Kisah mereka ini ada dirakamkan dalam Hadith Sallahu’alahi wasalam.
Kebenaran Sering Tewas
Rupanya tipu helah iblis lebih berjaya dan ‘menang’ ke atas kebaikan. Hipotesis Benjamin Wiker mengesahkan kebenarannya. Makanya, dalam dunia politik moden apabila peta pemikiran didominasi oleh faham Machiavellian, tipu helah iblis sebenarnya yang melingkari ‘sarang’ politik itu. Sebab itu juga, biasanya sukar untuk kebaikan dan kebenaran menuju puncak di persada politik, kecuali di zaman- zaman tertentu, seperti Umar Al Aziz, Salahuddin Al Ayubi, Muhammad Al Fateh dan Khulafa Rashidin. Hatta zaman mereka pun ada saki baki watak ‘iblis’ seperti kaum munafiq, zindik dan kafir harbi, tetapi lingkarannya tidak sekuat lingkaran kebaikan.

Adakah kerana lingkaran ‘keiblisan’ dalam peta pemikiran politik semasa, makanya kita perlu merombak keseluruhan sistem politik moden, seperti membubarkan parti politik, tidak menjadi wakil rakyat, menghukum ‘kafir’ sesiapa yang berpilihanraya atau sebagainya? Barangkali persoalan ini perlu dijawab dengan jawapan yang berakar, iaitu worldview tentang politik semasa dan posisi kita dalam mengenal dan mengiktiraf kebenaran.

Gagasan demokrasi moden, seperti parlimen, parti politik, pilihanraya dan sebagainya dipersetujui oleh sebahagian besar ulama kontemporari seperti Sheikh Qaradawi, Dr Azzam Tamimi, Rashid Ghanushi dan ramai lagi. Persetujuan mereka tentang demokrasi moden bukan suatu yang ‘permanent’, tetapi sementara sahaja. Ini kerana dalam demokrasi moden, ada nilai yang selari dengan Islam seperti kebebasan hak asasi, bersuara, berkumpul, melantik pemimpin dan sebagainya. Ada nilai- nilai ideal dalam Islam yang boleh diselarikan dalam agenda demokrasi moden.

Namun, hipotesis Benjamin lebih ke hadapan. Berapa banyak parti berteraskan Islam atau yang ingin membawa ‘kebenaran’ berjaya di puncak kuasa, seperti di Algeria, Mesir, Turki dan Sudan? Kerajaan Hamas menang walaupun dengan sistem demokrasi moden tetap dinafikan kemenangannya! Asasnya ialah demokrasi moden yang ada hari ini bukan gelanggang berpihak kepada Islam. Semua undang- undang, falsafah, permainan dan pemainnya telah diatur oleh orang lain.

Apabila demokrasi moden ini dipaksa kepada ummat Islam, sebenarnya kita kekok dan janggal, kerana bukan gelanggang kita. Apakah pula kita berpindah kepada faham Misi Khalifah anutan Hizbut Tahrir? Mungkin terlalu ideal dan sekadar ‘bermimpi’ jika sekadar slogan kita mampu selesaikan masalah ummat Islam hari ini.

Dekonstruksi Autoriti dan Pengaruh Sekularisme
Banyak agenda asas terkorban apabila gelanggang demokrasi moden menjadi pertembungan politik faham Machiavellian. Ada dua perkara yang menjadi korban, iaitu kecenderungan mendekonstruksi autoriti dan seterusnya membuka ruang yang luas untuk faham sekularisme.

Apabila seorang mufti dihina kerana sekadar mengungkap firman Allah Ta’ala, “Taatlah kamu kepada Allah dan Rasul, dan pemimpin di kalangan kamu”, dalam situasi politik bergelora, makanya mufti itu dicerca, dihina dengan tuduhan keji seperti anjing kerajaan, makan rasuah, kaki bodek dan sebagai tuduhan hina. Sikap terlalu obses dengan politik menyebabkan sukar untuk melihat kebenaran dan mengakui kesilapan. Adakah pernah sebuah parti politik Melayu hari ini, tidak kira di pihak kerajaan atau pembangkang saling sokong menyokong antara satu sama lain dalam agenda bangsa Melayu dan Islam? Kerana terlalu ‘party- centric’, maka yang baik dikatakan buruk, yang buruk terus dihentam.

Agak pelik sebenarnya kerana seorang mufti yang terbukti kewibawaannya, apabila bercakap ‘seakan cenderung’ kepada keputusan pemerintah terus dihina dan dicerca oleh orang Islam sendiri yang obses dengan politik. Ini menaikkan lagi ‘keghairahan’ orang yang tidak seagama, kerana autoriti dalan agama Islam sedang beransur- ansur dimakan ‘anai- anai’ oleh umat Islam sendiri. Jika pihak mufti atau agamawan bercakap benar, walau tidak memihak kepada pihak parti, maka terus di’hantar’ ke lembah ketidakpercayaan. Makanya selepas ini siapa lagi yang boleh dipercayai sekiranya ada golongan agamawan atau ilmuwan bercakap benar, hanya kerana tidak memihak kepada sokongan parti politik?

Apabila autoriti dalam agama diserang, ia telah membuka ruang untuk faham sekularisme menyerbu masuk. Fenomena obses melampau kepada politik dalam demokrasi moden ini biasanya menguntungkan agenda ‘keiblisan’. Bukankah politik moden tidak kenal dengan ‘kebaikan dan kebenaran’? Apabila keiblisan diangkat tinggi, soal agama dan akhlak sekadar tempelan sahaja. Autoriti yang telah diruntuhkan menyebabkan faham kebenaran terpulang kepada keuntungan parti politik. Epistemologi kebenaran dilihat kepada sokongan parti politik, bukan lagi kepada akar kebenaran. Siapa yang bercakap benar dalam politik, walau berpandukan wahyu, akan dilihat sekadar pandangan peribadi, bukan pandangan hakiki. Makanya pihak lawan tidak akan menerima kebenaran itu.

Walhal dalam sejarah ketamadunan Islam yang lalu, tidak timbul entiti pemerintah dan pembangkang, yang ada hanya ra’ie (pemimpin) dan rakyat. Yang menjadi masalahnya dalam pemerintah dan pembangkang hari ini, majoritinya seagama dan sebangsa! Banyak kudrat dan masa dibazirkan akibat terlalu banyak sengketanya.

Peranan ulama dan ilmuwan dahulu pula bertugas menasihati pemerintah, dan tidak pula berada di posisi membangkang. Jika ada kemungkaran dan kezaliman, nasihat menjadi senjata para ulama dan ilmuwan. Imam Syafiee, Hanafi, Hanbali, Ghazali, Said Nursi dan ramai lagi, pernah dipenjara, dipukul dan dihina, tetapi tidak pula mereka mengumpul anak murid dan menentang pemerintah. Said Nursi Badi’uzzaman, ditakdirkan bertemu dengan Mustafa Kamal Attartuk, manusia moden paling kejam dan sekular. Pernah dipenjara beberapa kali, diancam bunuh, tetapi tidak pernah ada catatan beliau mengumpul pengikutnya menentang Attarturk. Yang ada ialah beliau mendidik dan mencetak generasi yang sedar dengan Islam. Apa yang terkelumit dalam hati ulama dan ilmuwan silam ialah rasa tidak reda dengan kezaliman yang dilakukan.

Wacana sekularisme dalam politik moden telah mendominasi, malah berakar dalam politik Barat.. Sebab itu pemisahan agama dan kuasa direkod awal- awal dalam perlembagaan negara mereka, seperti di Amerika Syarikat, negara pertama dikitiraf sebagai berjaya meletakkan pemisahan agama dan kuasa dalam perlembagaan mereka pada tahun 1791. Apabila wacana sekularisme terus mengisi ruang politik negara yang beransur- ansur meruntuhkan autoriti, maka akan timbul kekeliruan di kalangan rakyat dan ummat. Agenda agama Islam, kedudukan bangsa Melayu dan bahasa Melayu dipandang sepi. Agenda teras ini tidak lagi diangkat, kerana setiap orang mempunyai persepsi tersendiri yang relatif. Apatah lagi tiada lagi autoriti yang berwibawa dikitiraf untuk dijadikan rujukan dalam soal tersebut. Hatta agenda umum seperti kemiskinan, perpaduan dan ekonomi negara akan tergugat kerana epistemologi kebenaran tidak lagi berpandukan kepada agama, tetapi nafsu manusiawi. Tidak mustahil, faham Keynes, Hayyek, Locke, Hobes dan ramai failasuf Barat dijadikan pakar rujuk.

Kebenaran Jalan Selamat
Untuk mengatasi akar permasalahan politik semasa, apakah cadangannya? Jika bercakap semua ahli politik semasa persis ‘keiblisan’ pasti mengundang kemarahan mereka. Apatah lagi mereka yang terpalit rasuah, rakus dengan kuasa sehingga sanggup melompat parti demi habuan duniawi.

Apa yang ada pada kita ialah membetulkan worldview kita tentang keperluan dan sikap politik semasa. Apa yang akhirnya kita mahukan daripada sistem politik semasa ini? Adakah kekuasaan yang benar, tetapi hanya sementara sahaja? Ataupun potensi manusia yang ada peradaban yang tinggi, yang boleh meletakkan kebenaran di tempatnya? Kebenaran hakiki tidak boleh kompromi dengan ‘kebatilan’, ibarat minyak dan air yang tidak boleh bercampur.

Sudah tiba masanya kita meletakkan batu asas untuk menjadikan manusia yang lebih beradab, yang tahu hakikat kebenaran dan hakikat kebatilan, berpandukan epistemologi yang betul. Jika kebenaran hakiki diutamakan, silang sengketa politik semasa sekadar titik bengit yang ketinggalan jauh.

Mohd Hilmi Ramli

MELIHAT PPSMI SECARA JUJUR

Ketika akhbar-akhbar berbahasa Inggeris bertambah rancak dan gencar dijadikan medan untuk menyokong serta melancarkan desakan untuk mengekalkan Pelaksanaan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI), akhbar-akhbar berbahasa Melayu semakin lesu untuk menyiarkan pandangan bagi menukarkan PPSMI kembali kepada penggunaan bahasa Melayu.

Secara jelas hal ini menunjukkan betapa rendahnya tahap daya juang orang-orang Melayu dalam mempertahankan bahasa mereka. Begitu juga dengan peranan akhbar berbahasa Melayu walaupun menyedari bahawa dengan pengekalan PPSMI bermakna akhbar-akhbar berbahasa Melayu akan hilang daya saing dan seterusnya menghadapi pengecilan pasaran yang cukup kritikal dalam masa 40 tahun akan datang, namun kesedaran untuk berjuang mempertahankan survival mereka tidak muncul dalam benak akhbar-akhbar berbahasa Melayu ini.


PPSMI bukanlah satu persoalan yang melibatkan kotak perkauman sebenarnya, tetapi ia lebih memperlihatkan pertembungan antara pemikiran golongan vernacular cosmopolitan dan golongan nasionalis-awam. Dalam kata lain ia bukan pertembungan antara orang Melayu dengan orang bukan Melayu atau yang disebut sebagai antagonisme etnik, tetapi ia lebih merupakan pertembungan pemikiran liberal-kapitalis dengan pemikiran nasionalis-awam.

Pernyataan awal tadi bukan menjurus kepada arah perkauman (Melayu) tetapi melihat kepada keberadaan bahasa Melayu dalam Perlembagaan Malaysia, akta 152 dan 153 yang menyangkuti keprihatinan untuk menjaga survival orang-orang Melayu dalam memelihara kestabilan negara. Perbincangan tentang perkara ini akan diperkatakan kemudian.

Golongan vernacular cosmopolitan ini dianggotai oleh golongan menengah atas dan atasan yang meletakkan diri mereka sebagai komuniti global. Mereka keseluruhannya tidak lagi mempunyai keperibadian budaya oleh sifat kosmopolitannya serta ciri-ciri vernakular yang ada pada diri mereka; ditandai oleh sikap berkelompok (fragmented) dengan ciri elitis yang membentuk peribadi bercampur baur (hibrid).

Mereka hidup dalam persekitaran budaya global dan melihat kepentingan ekonomi pasaran bebas yang ditandai oleh persaingan dan pengejaran keuntungan daripadanya sebagai prinsip asas kehidupan. Teras kepada kehidupan sosial mereka adalah amalan neo-liberal dan sekularistik.

Menurut Homi K. Babbha, golongan ini, “configures the planet as a concentric world of national societies extending to global villages… moving in-between cultural traditions and revealing hybrid forms of life and art that do not have a prior existence within the discrete world of any single culture or language.” Mereka juga, “celebrates a world of plural cultures and peoples located at periphery, so long as they produce healthy profit margins within metropolitan societies”.

Akhir sekali citarasa golongan ini, “high culture colluded in emulating the canons of elite “English’ taste and conforming to its customs and comforts”. Sengaja diterakan dalam tulisan asal (bahasa Inggeris) untuk melihat pemikiran asal dan asli Babbha terhadap golongan vernacular cosmopolitan ini.

Kepercayaan mereka kepada, “right to different in equality” lebih difahami daripada persepsi neo-liberal-sekular-kapitalis, iaitu kepentingan materialistik dan ekonomikalistik adalah budaya masyarakat.

Dalam mempertahankan bahasa Inggeris yang dicintai mereka lebih daripada bahasa kebangsaan (yang menghalang ciri kosmopolitan mereka); mereka secara rambang dan myopic melahirkan kononnya keprihatian terhadap nasib masyarakat luar bandar yang dinafikan untuk menguasai bahasa Inggeris yang mereka anggap sebagai gerbang kepada kemajuan material dan vokasional tersebut. Pandangan yang salah (fallacy) ini dibuat oleh persepsi mereka yang salah – yang dilihat dari kacamata vernacular cosmopolitan mereka.

Kajiselidik yang dijalankan oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris di bawah Prof Dato’ Dr. Isahak Haron menunjukkan majoriti pelajar di sekolah rendah masih sukar untuk mengikuti pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, lantaran penguasaan bahasa Inggeris pelajar-pelajar terutamanya di luar bandar amat rendah.

Markah lulus bagi kedua-dua subjek tersebut ialah 40-45 peratus (bergantung kepada sekolah) iaitu gred C. Namun data tidak rasmi menunjukkan bahawa hanya 20-30 peratus yang lulus melepasi tahap gred C ini. 70 peratus pelajar yang terdiri daripada pelajar luar bandar adalah majoriti yang gagal dalam kedua-dua subjek tersebut.

Sementara itu, kajian yang dibuat oleh Centre of Malaysian Chinese Studies dalam satu kajian secara rawak menunjukkan bahawa 90 peratus guru tidak menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam mengajar kedua-dua subjek tersebut, tetapi menggunakan bahasa Melayu ataupun bahasa Mandarin. 87 peratus guru menghadapi masalah menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran dua subjek tersebut oleh kerana para pelajar tidak dapat memahaminya.

Sementara 67 peratus guru menyatakan mereka menghabiskan banyak masa untuk menterjemahkan arahan dan teks dalam kedua-dua subjek tersebut kepada bahasa ibunda para pelajar. 70 peratus daripada guru ini mendapati pelajar-pelajar mereka menghadapi masalah untuk menjawab soalan peperiksaan yang lemah penguasaan bahasa Inggeris mereka.

50 peratus menyatakan murid-murid mereka menjadi pasif apabila kedua-dua subjek ini diajar dalam bahasa Inggeris. Sementara 40 peratus daripada guru ini tidak dapat memberikan penjelasan yang jelas dalam bahasa Inggeris terhadap kedua-dua subjek ini.

Pada tahun ini seramai 518, 616 orang murid akan menduduki peperiksaan UPSR, dengan kertas peperiksaan masih lagi diadakan dalam dwi bahasa. Murid-murid ini adalah murid daripada peringkat pertama yang terlibat dalam PPSMI sejak tahun satu.

Daripada kajian-kajian yang dilakukan, apa yang paling pasti ialah PPSMI dilaksanakan tanpa menyediakan infrastruktur yang lengkap dalam membentuk kapasiti pelajar terhadap penguasaan bahasa Inggeris. Sepatutnya para pelajar terlebih dahulu dipastikan mempunyai keupayaan penguasaan bahasa Inggeris yang kuat untuk menerima PPSMI, sebelum dasar tersebut dilaksanakan.
Ternyata sistem pendidikan dan nasib setengah juta pelajar ini dikorbankan oleh keputusan politik yang gopoh dan terburu-buru, tanpa melihat secara objektif terhadap kesan serta implikasinya.

Suara golongan vernacular cosmopolitan yang mahu mengekalkan PPSMI kononnya membela nasib golongan luar bandar dalam menghadapi cabaran global adalah pandangan dan pemikiran yang tidak berasas. Ini adalah kerana PPSMI, ternyata daripada kajian-kajian ini akan memburukkan lagi pencapaian pendidikan pelajar-pelajar luar bandar, dan membuatkan mereka keciciran.

Pihak yang mendapat manfaat besar daripada PPSMI ini ialah 30 peratus golongan pelajar di bandar, khususnya minoriti vernacular cosmopolitan yang mungkin pula hanya merupakan 10 peratus sahaja daripada keseluruhan pelajar bandar yang mampu (ramai pelajar di bandar yang terdiri daripada golongan bawahan juga gagal dalam PPSMI).

Suara golongan vernacular cosmopolitan yang mahukan PPSMI dikekalkan sebenarnya adalah suara kelompok kecil yang berpengaruh dan berkuasa. Golongan ini secara umumnya mempunyai hegemoni intelektual terhadap dasar-dasar kerajaan.

Jika pihak kerajaan menerima suara golongan ini, bermakna kerajaan lebih melihat kepada kepentingan kelompok elit yang kecil dan meminggirkan kepentingan untuk lebih daripada 70 peratus penduduk Malaysia, yang kabur dan tidak tahu bahawa sesebuah dasar yang dilaksanakan itu membawa manfaat atau tidak kepada mereka pada jangka masa panjang.


Petikan 1

“Kajiselidik yang dijalankan oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris di bawah Prof Dato’ Dr. Isahak Haron menunjukkan majoriti pelajar di sekolah rendah masih sukar untuk mengikuti pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, lantaran penguasaan bahasa Inggeris pelajar-pelajar terutamanya di luar bandar amat rendah”

Oleh S.M. Zakir

RAHSIA NOMBOR

Pengasas rawatan terapi warna di Malaysia berpendapat, kalau seseorang tahu rahsia satu-satu nombor dan dapat menggunakan dengan betul, insya-Allah dia akan berjaya. "Tidak perlu jumpa bomoh-bomoh," katanya berseloroh. Lalu Prof. Dr. Norhisham menghuraikan rahsia nombor dan kegunaannya hasil kajiannya itu.

1 - Satu Lambang keunggulan Tuhan. Nombor kemakmuran, keutuhan diri,kekuatan,keberanian dan kekuasaan. Rumah bernombor 1 akan sentiasa makmur. Tetamu suka datang kerana suasana yang tenteram, damai dan tenang. Kalau orang yang bernaung di bawah nombor ini, dia seorang yangberani. Mempunyai pendirian yang kukuh, memiliki kekuatan fizikal dan mental.

2 - Dua Nombor ini bersifat pasangan seperti sejuk lawannya panas. Ia symbol pengesahan, penyaksian, perkaitan, syarat menemukan jawapan semula jadi dan jodoh. Menurut Prof. Dr. Norhisham, bagi seseorang yang sukar mendapat jodoh, berlindunglah di bawah nombor ini. Tidak perlu jumpa dukun atau mandi dibawah jambatan, cukup sekadar mengingati nombor itu. Untuk lebih mudah, ambil segelas air sejuk mentah atau air kelapa, lebih elok air zam-zam. Tuliskan nombor 2 di luar gelas, memadai menggunakan hujung jari. Kemudian minum, ingat nombor itu dan niatkan dalam hati untuk mendapat pasangan. "Lakukan tujuh kali atau tujuh hari berturut-turut. Insha-Allah..tak sampai sebulan pasangan yang sesuai akan diperoleh," tambahnya lagi.

3 - Tiga Rahsia akal, bijaksana, keceriaan, kesuburan, keseimbangan, pembalasan dan penindasan. Bernaung di bawah nombor ini menjadikan anda seorang yang pintar dan bijaksana. Biasanya apabila hendak melakukan sesuatu pekerjaan akal akan berkata-kata sama ada ia baik atau buruk. Boleh menjadi pencipta yang baik tetapi bermula dengan kemusnahan. Setelah melalui beberapa kegagalan baru menikmati kejayaan. Tapi kalau putus asa, habislah. Mudah memiliki sesuatu kekayaan, benda, rumah, kereta atau apa sahaja tetapi mudah pula melepaskannya. Pintar menyelesaikan setiap masalah walaupun terlalu rumit. Seorang yang subur, mempunyai anak ramai dan ibu bapa yang baik. Paling penting mereka ini awet muda.

4 - Empat Nombor ini membawa simbol rupa bentuk, kesempurnaan, kemantapan kedudukan, kewangan dan kehidupan. Lambang kekuasaan, kestabilan dan lengkap. Ia stabil dan tidak mudah di ganggu-gugat atau dipengaruhi. Kekuatan mereka yang bernombor 4 ialah mampu melihat melalui daya imaginasi. Agakan mereka selalunya tepat dan kalau merancang,insha-Allah berhasil. Ramai arkitek, jurutera dan pereka-pereka bernaung di bawah nombor ini.

5 - Lima Simbol kreatif, intelek, mampu mempengaruhi, pemikir, bijaksana, pengkritik dan tahap intelekual yang tinggi. Kalau menjadi hakim, dia akan laksanakan tugas dengan bijaksana dan dapat menyelesaikan segala masalah, perbalahan, kerumitan dan kesusahan. Kekuatannya adalah pada kata-kata. Mampu mempengaruhi orang lain membuat keputusan. Pandai memujuk, merayu supaya pertelingkahan dapat dileraikan. Jika anda tidak mampu membuat keputusan, ingatkan 5, nescaya Mudah semuanya.

6 - Enam Hati-hati dengan 6 jika anda lemah semangat, jangan gunakannya kerana syaitan dan iblis mudah merasuk. 666 adalah lambang syaitan - gandaan kelemahan bagi mereka yang lemah semangat. Tetapi 6666 pula adalah kekuatan dan kesempurnaan kerana ia adalah bilangan ayat al-Quran. Kalau nombor peribadi anda 6, anda suka meramal dan boleh meramal dengan tepat. Mulut masin. Suka pada benda ghaib, bolehmelihat dan menembusi alam ghaib. Bagi yang belum kahwin tetapi sudah mempunyai pasangan atau idaman hati cubalah ingatkan 6 dan niatkan pada air seperti nombor 2. Percayalah tidak sampai sebulan niat akan terlaksana.

7 - Tujuh Inilah nombor paling baik. Selain itu ia juga lambang pembalasan, memerintah, membangkitkan tenaga dalaman, pelindung, pemusnah dan penghalau hantu. Insha-Allah doa mereka dimakbulkan jika mengulangi 7 kali. Mereka juga bersifat melindungi dan mampu memerintah dengan baik. Nombor ini digunakan untuk menghalau hantu yang meresap di dalam badan. Caranya mudah - palitkan nombor 7 dengan menggunakan kapur ditempat yang sakit. Ia hanya mujarab dilakukan pada malam 13, 14 dan 15 (bulan penuh). Ataupun pelindung ibu yang sedang sakit bersalin daripada dimasuki iblis.

8 -Lapan Orang Cina cukup suka nombor ini. Kebanyakan mereka sanggup bayar berpuluh ribu ringgit untuk mendpatkannya - untuk plat kereta atau rumah. Memanglah nombor itu mendorong ke arah menjadi semakin kaya tetapi sampai satu tahap jatuh bankrap. Sebabnya.. kerana mereka tidak tahu 8 sebenarnya bermaksud penamat kehidupan. Bagaimanapun nombor ini memang baik jika tahu rahsianya iaitu ia mendorong ke arah kekayaan, kemantapan, kehidupan, keadilan, sempurna, lengkap dan akhirnya kematian. Jika anda tidak tahu rahsia 8, jangan sesekali cuba menggunakannya. Dari segi sains oksigen terletak dalam atom 8. Sebab itulah jika tidak cukup oksigen orang akan mati.

9 - Sembilan NOMBOR ini lambang kebenaran. Kerana itu polis menggunakan999? Ia juga lambang tenaga yang kuat. Sebab itulah ia disimbolkansebagai perjuangan, kepahlawanan, peperangan dan pertikaian. Bagaimana pun mereka yang bernaung di bawahnya mudah terlanjur dalam perbuatan dan percakapan atau suka lepas cakap. Tapi, jangan bimbang..walaupun mudah terlanjur tetapi anda seorang yang cukup sempurna dalam hal ilmu keduniaan. Nombor ini boleh digunakan untuk mencari semula barang yang hilang. Ingat nombor 9, barang yang hilang akan jumpa semula, jika tersalah simpan! 10 atau 0 Sombol keabdian Yang Mencipta, Maha Kuasa. Kebesaran yang tidak dapat diukur dengan apa sekali pun. Tidak ada permulaan dan tidak ada pengakhiran - tiada penamat. Ia sentiasa akan berlingkar dalam pusingan yang sama tanpa ada titik akhir. Satu nombor yang cukup kuat, tidak mampu dikalahkan oleh segala ilmu yang ada. Tidak ada orang bernung dibawahnya. Hanya Pencipta memilikinya.

Menurut Prof. Dr. Norhisham, mengetahui nombor peribadi penting kerana melaluinya kita dapat mengenal diri. Hidup akan lebihteratur, sentiasa berwaspada ketika membuat perhitungan dan insha-Allah.tidak wujud penyesalan. Kita tidak perlu mencari Tok Piah, Kam tukang tilik, minyakcenduai Batin Yat atau bertemu bomoh fotostat bagi mencari barang hilang. Anda mampu meramal masa depan sendiri, menghalau hantu, mencari pasangan dan mendapat kekayaan. Semuanya akan menjadi nyata kalau anda tahu apa rahsia nombor peribadi anda.

Nak tahu nombor peribadi? Formula secara ringkasnya: Campurkan tarikh lahir anda. Misalnya 12-12-1969, 1+2+1+2+1+9+6+9 = 31 ( 3+1=4) Jadi nombor peribadi anda adalah 4. Tetapi itu bukanlah perkiraan yang tepat. Ia hanya anggaran kasar sahaja. Ujian secara rohani diperlukan kerana hanya kita yang tahu rahsia sendiri...

Saturday

PUISI BUAT SAHABAT

Sejenak di Alam Rumahtangga

Kata pujangga perempuan bagaikan angin

Lembutnya melenakan ributnya menggusarkan.

Adakalanya mereka seperti ibu menyaji kasih, menghidang sayang

Adakalanya mereka seperti anak ingin dibelai, minta dimanjakan

Adakalanya mereka seperti nenek berleter seadanya, merungut semahuannya.

Namun, teman kembara dalam kehidupan yang sementara ini.

Bahagia dan derita kita sangat berkait dengan mereka.

Psst....

Tiba-tiba isteri merajuk, pandai-pandailah memujuk

Buka telinga, tajamkan pendengaran,amati suaranya

Teliti dengan hati yang terseni, rasional atau emosi ?

Andainya emosi, belailah emosi itu

Jangan cuba dihadapkan secara rasional

Kerana sidia tak akan terdaya

Mengunyah hujah,berilah walau seribu sebab lengkap dengan perangkaan statistik

Atau dokumen saintifik berserta dengan beberapa affidavit

Dia tetap melulu kerana fikiran sudah berjerebu.

Dalam situasi ini fikiran telah ditawan perasaan

Sebaiknya, perhaluskan kata, perindahkan bahasa

Jinakkan perasaan, hadiahkan senyuman.

Masih gagal ?

cuba gunakan sentuhan, semarakkan belaian.

Masih gagal juga ?

Tunggu saja rajuknya reda

Emosi isteri bagai riak-riak air dalam cawan

Jangan digoncang...... buat selamba

Lambat laun, gelombang akan tenang

Air dicawan akan kita minum jua.

Tapi awas.....

Kalau ternyata, rajuknya berfakta

Masamnya berdata, geramnya berilmiah

Marahnya ada prima facie

Ini rajuk taraf tinggi namanya

Perlu ditangani berhati-hati

Kalau ternyata benar,apa salahnya kita terima

Mengaku lalu berjanji serta berikrar

" Sayang abang tak ulang lagi "

katakan " Sayang....abang alpa "

bisikkan " Darling.. I lupa.."

Hulurkan tangan, pinta kemaafan

Pendekatan kasanova, tapi hati suci

Rajuk isteri seperti mangga muda

perisanya masam tetapi...

Kalau kena cicahnya, enaknya akan terasa.

Ingat, api yang panas, padam oleh salji yang dingin.

Arghh...

tiba-tiba isteri merungut

Malah kadangkala agak mengugut

Minta aksesori serta perabut

Minta Villa yang tersergam indah

Atau mahligai di lereng bukit

Sedangkan kita bukan Shah Jehan yang mampu membina Taj Mahal buat isterinya

Tetapi isteri pula, persis Nur Jehan yang meminta petanda keagungan cintanya

Katanya " Seabadi permata....

segermelapan intan " ...

Sedangkan ditangan kita cuma cincin tembaga.

Aduh...

Peritnya mengukur cinta

Dalam ukuran mayam atau menimbang setia

Menerusi Bursa Saham papan utama

Kasih isteri, turun naik

Mengikut kadar tukaran wang asing.

Tiada guna menyesali diri

diakan dulu pilihan kita ?

Semasa mekarnya dia dihargai, dipuja-puji

Dia kini sudah menjadi ibu pada anak-anak kita

Sudah takdir...

Permata yang dipilih perlu digilap semula.

Namun putus asa jangan sekali

Terimalah dia, dengan redha.

Justeru isteri pada hakikatnya adalah bayang-bayang suami

Wanita adalah tulang rusuk yang bengkok

Luruskan dengan berhati-hati bertegas tapi jangan berkeras

Lembut tapi jangan reput.

Katakan ringgit bukan segala-galanya

Lalu pada saat yang kudus setelah bersolat bersama bisikkanlah " Duhai isteriku...

Marilah kita bina perkahwinan ini dengan cinta yang sejati

Marilah kita kutip rezeki dengan keringat tersuci

Kita cari harta, tetapi itu bukan segala-galanya

Padamu isteri,istanamu, di hati ini

Padamu sayang kalung cintamu, di jiwa ini."

Puuuh...

Akan tiba masanya bila 'isteri' di hati tapi kurang di mata

Usia meningkat kecantikan tergugat

Dulu yang kita lihat mulus kini beransur pupus

Betis, tidak lagi bunting padi

Pipi, bukan lagi pauh dilayang

Apakah dengan itu akan berkurang cinta kita?

Jika berkurang, nyatalah cinta kita selama ini cinta di mata bertapak di body

Tapi jika cinta tetap kekal malah semakin bertambah ertinya cinta kita di hati, berpasak di budi.

Itulah cinta sejati.

Namun tidak salah di samping menyanjung budi,

Kita merampingkan 'body'

Kalau ada kesempatan ajaklah dia bersenam, amalkan puasa sunat

Tapi ingat niat kerana Tuhan bukan kerana ingin kuruskan badan

Tapi Tuhan Maha Penyayang

Dia pasti membantu isteri yang memburu keredhaan suami

Tak salah kalau mohon kesihatan, kecantikan dan kecergasan

Sama-samalah merampingkan badan yang terlebih dikurangkan

Jangan sesekali mencemuh apalagi menjauh

Apa gunanya membandingkan isteri dengan perawan.

Bukan masanya lagi merenung dara tapi kini saat menghitung dosa

Lalu ajaklah isteri sama-sama menambah bakti

Moga-moga cinta kita kekal ke hujung usia di dunia ini dan di akhirat nanti

Itulah yang dikatakan hidup berdua, 'selepas' mati pun bersama.

Uhhh....

Kekadang isteri mengamuk dengan ombak prasangka dan taufan cemburu

Apa bukti setiamu suami ?

Apakah tandanya hanya aku di hatimu ?

Kekadang disergahnya kita ketika keringat masih membasah, baru menjengah pintu rumah.

Ketika itu nilailah diri

Mungkin kita berdosa dengan Tuhan atau bersalah dengan insan

Mungkin banyak kezaliman dan penganiayaan yang telah kita lakukan

Lalu datang teguran, amaran dan peringatan

Salam Sahabat Sebagai Ingatan

Friday

Tahun Baru Cina

Malam Tahun Baru Cina di Meizhou, China
Juga dinamakan Tahun Baru Qamari, Perayaan Musim Bunga
Diraikan oleh terutamanya tamadun Asia Timur
Jenis China, kebudayaan, agama Buddha
Keutamaan Hari pertama kalendar Cina (qamari)
Tarikh 2008 7 Februari
Tarikh 2009 26 Januari
Tarikh 2010 14 Februari
Perayaan sambutan Tahun Baru, perhimpunan keluarga, jamuan sekeluarga.
Berkaitan dengan Perayaan Tanglung yang mengakhiri perayaan ini

Tahun Baru Cina (Cina Tradisional: 春節, Cina Ringkas: 春节, pinyin: Chūnjíe, "Perayaan Musim Bunga" atau Cina Tradisional: 農曆新年, Cina Ringkas: 农历新年, pinyin: Nónglì Xīnnián, "Tahun Baru Takwim Qamari") merupakan perayaan terpenting orang Cina bagi menyambut tahun baru dalam kalendar qamari Cina. Kalendar qamari Cina terbahagi kepada kitaran 12 tahun dan dinamakan sempena nama haiwan. (Lihat Tarikh perayaan di bawah.)

Tahun Baru Cina melambangkan permulaan, titik permulaan dalam nasib dan kehidupan. Sebelum hari tahun baru bermula, sanak saudara yang jauh akan kembali berkumpul. Rumah akan dicuci dan segala hutang-piutang dikutip atau dibayar agar mereka tidak sentiasa dikelilingi hutang sepanjang tahun yang baru. Mercun dibakar pada tengah malam bagi menandakan bermulanya tahun baru dan bagi menghalau puaka dan nasib malang. Rumah-rumah dihiasi dengan buah limau sebagai simbol murah rezeki, bunga dan pokok limau.

Tahun Baru Cina diraikan dengan jamuan yee sang dan kuih bakul. Kaum keluarga akan makan besar dengan masakan tradisi seperti daging itik, daging salai, sosej, kuih pulut, dan limau mandarin. Golongan muda pula akan melawat golongan tua dan menerima wang ang pau dalam sampul merah bagi melambangkan nasib baik, yang diberikan oleh orang yang berkeluarga kepada mereka yang masih belum kahwin. Perarakan tarian naga atau singa akan diadakan, dengan kereta berhias yang diiringi bunyi gendang. Lima belas hari selepas perayaan Tahun Baru Cina, perayaan Tahun Baru Cina ditamatkan dengan perayaan Chap Goh Mei.

Tahun Baru Cina bukan sahaja diraikan oleh kaum Cina di merata dunia, malah turut dirayakan oleh bangsa Korea, Vietnam, Mongol dan Miao (Hmong China) yang dipengaruhi oleh China dari segi kebudayaan dan keagamaan, maka turut memakai kalendar qamari Cina.
Isi kandungan
[sorok]

* 1 Tarikh perayaan
* 2 Sejarah
* 3 Mitos
* 4 Sambutan perayaan
o 4.1 Sebelum Tahun Baru
o 4.2 Hari pertama
o 4.3 Hari ke-2
o 4.4 Hari ke-3
o 4.5 Hari ke-5
o 4.6 Hari ke-7
o 4.7 Hari ke-9
o 4.8 Hari ke-15
* 5 Hidangan Tahun Baru
o 5.1 Jamuan pertemuan semula
o 5.2 Intisari makanan
* 6 Amalan Tahun Baru
o 6.1 Ang pau
o 6.2 Pasar Tahun Baru
o 6.3 Bunga api
+ 6.3.1 Larangan mercun
o 6.4 Pakaian
o 6.5 Shou Sui
o 6.6 Simbol
o 6.7 Bunga
o 6.8 Ikon dan hiasan
o 6.9 Balik kampung
o 6.10 Rumah terbuka
* 7 Ucapan
o 7.1 Selamat Tahun Baru
o 7.2 Gong xi fa cai
o 7.3 Ucapan lain
* 8 Pantang-larang sewaktu perayaan
o 8.1 Menerima tuah
o 8.2 Menghindari malang
* 9 Nota dan rujukan
* 10 Pautan luar

[sunting] Tarikh perayaan

Rencana utama: Astrologi Cina

Sambutan Tahun Baru Cina di Chinatown, London.

Tarikh hari tahun Baru Cina dari 1996 hingga 2019 (dalam kalendar Gregory) adalah disenaraikan seperti berikut, besertakan lambang haiwan dalam zodiak Cina dan lambang dahan buminya. Nama-nama dahan bumi tersebut bukan perkataan bahasa Cina bagi haiwan-haiwan tersebut.
Haiwan Dahan bumi Tarikh
Tikus 子 zǐ 19 Februari 1996 7 Februari 2008
Lembu 丑 chǒu 7 Februari 1997 26 Januari 2009
Harimau 寅 yín 28 Januari 1998 14 Februari 2010
Arnab 卯 mǎo 16 Februari 1999 3 Februari 2011
Naga 辰 chén 5 Februari 2000 23 Januari 2012
Ular 巳 sì 24 Januari 2001 10 Februari 2013
Kuda 午 wǔ 12 Februari 2002 31 Januari 2014
Kambing 未 wèi 1 Februari 2003 19 Februari 2015
Monyet 申 shēn 22 Januari 2004 8 Februari 2016
Ayam 酉 yǒu 9 Februari 2005 28 Januari 2017
Anjing 戌 xū 29 Januari 2006 16 Februari 2018
Khinzir 亥 hài 18 Februari 2007 5 Februari 2019

[sunting] Sejarah

Sebelum Dinasti Qin, tarikh perayaan permulaan sesuatu tahun adalah tidak jelas. Ada kemungkinana bahawa awal tahun bermula dengan bulan 1 ketika Dinasti Xia, bulan 12 ketika Dinasti Shang, dan bulan 11 ketika Dinasti Zhou di China. Namun, adalah diketahui bahawa "bulan lompat" yang dipakai untuk memastikan kalendar qamari selari dengan matahari, sentiasa ditambah selepas bulan 12 ketika Dinasti Shang (menurut catatan tulang orakel yang masih wujud) dan Zhou (menurut Sima Qian). Maharaja pertama China Qin Shi Huang menukar dan menetapkan awal tahun pada bulan 10 pada 221 SM. Sama ada Tahun Baru diraikan pada awal bulan 10 atau bulan 1, atau kedua-duanya, itu tidak diketahui. Pada 104 SM, Maharaja Wu yang memerintah sewaktu Dinasti Han menetapkan bulan 1 sebagai awal tahun, yang masih kekal sampai masa ini.

[sunting] Mitos
Puisi Tahun Baru Cina tulisan tangan ditampal pada pintu ke rumah orang, di Lijiang, Yunnan, China.

Menurut legenda, pada zaman dahulu, Nián (年) ialah seekor raksasa pemakan manusia dari pergunungan (dalam versi-versi lain, dari bawah laut), yang muncul setiap 12 tahun, sekitar musim sejuk, untuk memburu manusia. Orang ramai kemudiannya percaya bahawa raksasa Nian sukar menahan bunyi bising dan warna merah, maka mereka mengusirnya dengan letupan, bunga api dan penggunaan warna merah secara meluas. Adat-adat inilah yang membawa kepada perayaan Tahun Baru yang sulung. Guò nián (Cina Tradisional: 過年, Cina Ringkas: 过年), yang bermaksud "menyambut tahun baru", membawa erti harfiah "meredah raksasa Nian".[1][2]

[sunting] Sambutan perayaan

Sambutan Tahun Baru Cina ditandakan oleh penziarahan ahli kelaurga saudara-mara dan sahabat, serta penggunaan warna merah yang berlebihan. Ang pau diberi kepada orang muda dan kanak-kanak oleh orang tua dan yang telah kahwin.

[sunting] Sebelum Tahun Baru

Pada hari-hari sebelum Tahun Baru, keluarga-keluarga Cina membersihkan rumah mereka secara menyeluruh, kerana mereka percaya bahawa pembersihan ini menghalau nasib malang dan musibah yang menimpa pada tahun yang berlalu serta menyediakan rumah mereka untuk menjemput nasib baik. Penyapu dan pengumpul habuk disimpan pada malam sebelum Tahun Baru dan hari pertama agar nasib baik itu tidak boleh disapu keluar. Ada orang yang mengecat rumah, pintu dan sisi tingkap dengan warna merah. Rumah dihiasi potongan kertas yang ditulis pepatah mengucap kebahagiaan dan kemakmuran dalam bahasa Cina.

Acara terbesar pada malam Tahun Baru Cina ialah jamuan pertemuan semula. Hidangan yang terdiri daripada ikan terdapat di atas meja makan untuk tujuan paparan sempena jamuan ini. Di China utara, adalah juga menjadi adat untuk memakan ladu untuk jamuan ini. Ladu melambangkan kemewahan kerana bentuknya berupa tongkol emas Cina. Ang pau bagi ahli terdekat dalam keluarga kadang-kadang diberi sewaktu jamuan pertemuan semula. Paket ini sering mengandungi duit dalam bilangan nombor tertentu yang mencerminkan tuah dan kehormatan.[3]

[sunting] Hari pertama
Perayaan Tahun Baru Cina, pada hari kelapan, di pinggir kota Vancouver, Kanada.

Hari pertama adalah hari bagi mengundang dewa-dewi dari kayangan dan bumi. Kebanyakan orang yang meraikannya, terutamanya penganut agama Buddha, menghindari diri daripada memakan daging pada hari ini kerana adalah dipercayai bahawa ini memastikan mereka akan lanjut usia.[4]

Paling penting sekali, hari pertama Tahun Baru Cina merupakan masa apabila keluarga Cina menziarahi orang tua mereka dan ahli keluarga paling senior dalam seluruh keluarga mereka, biasanya ibu bapa, datuk nenek atau moyang.

Terdapat juga keluarga yang mengundang tarian singa sebagai upacara simbolik untuk menyambut tahun baru sambil menghalau puaka dan musibah dari rumah.

[sunting] Hari ke-2

Hari kedua Tahun Baru Cina atau hari "membuka tahun" (Cina Tradisional: 開年, Cina Ringkas: 开年, kāi nián) menyaksikan anak perempuan yang telah kahwin untuk menziarahi ibu bapa kandung mereka.[5] Menurut tradisi, anak perempuan yang telah kahwin mungkin tidak banyak berpeluang menziarahi keluarga kandung sendiri.

[sunting] Hari ke-3

Hari ketiga perayaan ini dipercayai ramai sebagai hari yang tidak sesuai untuk menziarahi saudara mara atas kepercayaan berikut:

Hari ini dikenali sebagai "mulut merah" (赤口 chì kǒu), yang bermaksud bahawa adalah amat mudah untuk terlibat dalam pergaduhan, maka hari ini tidak sesuai untuk ziarah-menziarahi, sebaliknya berdiam di rumah sahaja[5] Keluarga yang mengalami kematian ahli terdekat dalam jangka masa tiga tahun lalu tidak akan menziarahi rumah sesiapa sebagai tanda penghormatan kepada si mati. Hari ketiga Tahun Baru wajar dijadikan hari menziarahi kubur.[6]

[sunting] Hari ke-5

Di bahagian utara China, ladu (Cina Tradisional: 餃子, Cina Ringkas: 饺子, jiǎozi) dijadikan sarapan pada pagi "pecah lima" (破五, pò wǔ). Ini juga merupakan ulang tahun hari lahir Cai Shen, dewa kekayaan Cina. Di Taiwan, perniagaan biasanya dibuka semula pada hari tersebut dan diserikan oleh pemetik api.

[sunting] Hari ke-7

Hari ketujuh dikenali sebagai hari jadi orang ramai (人日, pinyin: rén rì, Kantonis: yan yat), iaitu hari yang mana usia setiap orang ditambah lagi setahun menurut pengiraan kalendar qamari Cina.[7]

Inilah harinya bila salad ikan mentah lambung, yee sang, dimakan. Kaum sekeluarga berkumpul untuk melambung salad berwarna-warni dan menyampaikan hajat bagi menambahkan kekayaan dan kemakmuran. ini merupakan adat resam yang terutamanya diamalkan oleh kaum Cina di rantau Asia Tenggara, seperti Malaysia dan Singapura, tetapi jarang diamalkan oleh kaum Cina di merata dunia selain rantau tersebut.[7][8]

[sunting] Hari ke-9

Hari kesembilan tahun baru merupakan hari bagi kaum Cina untuk menyembah Maharaja Jed di Kayangan (天公 tiān gōng) di tokong agama Tao.

Tambahan pula, hari ini dianggap sebagai "tahun baru" suku kaum Hokkien. Apabila tibanya tengah malam pada hari kelapan tahun baru, suku Hokkien menyembahkan doa syukur kepada Maharaja tersebut. Penyembahan ini termasuk tebu kerana tebu pernah digunakan untuk melindungi suku Hokkien dari ancaman penghapusan beberapa generasi lalu.

Teh dituang sebagai adat bagi menghormati orang ternama.

[sunting] Hari ke-15

Ini adalah hari terakhir perayaan Tahun Baru Cina yang diraikan sebagai Yuánxiāo jié (Cina Tradisional: 元宵節, Cina Ringkas: 元宵节), atau Chap Goh Mei (十五暝) dalam bahasa Hokkien, versi Cina bagi Hari Valentine. Tāngyuán (Cina Tradisional: 湯圓, Cina Ringkas: 汤圆), bebola pulut manis dalam sup, dimakan pada hari ini. Bergantung kepada amalan setempat, hari yang sama ini juga dikenali sebagai Perayaan Tanglung.

[sunting] Hidangan Tahun Baru

[sunting] Jamuan pertemuan semula

Jamuan pertemuan semula (Cina Tradisional: 團圓飯, Cina Ringkas: 团圆饭 tuányuán fàn) diadakan pada malam sebelum Tahun Baru, ketika semua ahli keluarga, sama ada tinggal di rumah atau jauh dari kampung halaman, bertemu untuk perayaan. Jamuan ini biasanya diadakan di rumah yang didiami anggota keluarga paling tua. Jamuan ini amat kaya dengan makanan yang lazimnya merangkumi daging ayam dan ikan. Ikan (Cina Tradisional: 魚, Cina Ringkas: 鱼, pinyin: yú) sebagai makanan penting, tidak dimakan sampai habis (sebaliknya, bakinya disimpan semalaman), bak pepatah Cina nián nián yǒu yú (Cina Tradisional: 年年有餘, Cina Ringkas: 年年有余), yang bermakna "semoga ada lebihnya setiap tahun", yang sama bunyinya dengan "semoga ada ikan setiap tahun."[3][9]

[sunting] Intisari makanan
Nama Bahasa Cina [*] Huraian
Luohan zhai 羅漢齋 (罗汉斋) luóhàn zhāi Luohan zhai ialah hidangan vegetarian yang biasanya merangkumi 18 bahan, sering disaji pada hari pertama Tahun Baru. Sejenis lumut berbentuk rambut manusia, disebut "fat choy" dalam bahasa Kantonis sering menjadi ciri-ciri utama hidangan Buddha dan sajian lain, kerana namanya sama bunyinya dengan "kemakmuran". Suku kaum Hakka biasanya menyaji kiu nyuk (扣肉) dan yong tau fu.
Ikan 魚 (鱼) yú Ramuan yang penting sepanjang sambutan tahun baru. Sebutan perkataan Cina bagi ikan serupa dengan "lebihan" (bahasa Cina: 餘; pinyin: yú). Ramuan utama bagi yee sang.
Yee sang 魚生 (鱼生) yúshēng Salad ikan yang dilambung cebisan ramuannya apabila disambung untuk menyambut tuah.[8]
Ladu jiaozi 餃子 (饺子) jiǎozi Ladu ini dimakan di China utara kerana bentuknya serupa dengan tongkol emas Cina kuno, seolah-olah berisi tuah.
Limau mandarin 金橘 jīnjú; atau
柑 gān Limau ini merupakan buah-buahan paling kerap ditemui semasa perayaan tahun baru.
Kuih bakul 年糕 niángāo Kuih ini paling laris didapati di China timur (Jiangsu, Zhejiang dan Shanghai) kerana namanya serupa sebutan dengan "kian tahun kian tinggi".[2]
Mi Mi dihidangkan tanpa dipotong, melambangkan panjang hayat, namun amalan ini tidak terhad kepada sambutan tahun baru.
Gula-gula Gula-gula dan buah-buahan kering disimpan dalam kotak gula-gula Cina berwarna merah atau hitam.
Tikoy Puding yang diperbuat daripada tepung pulut, kanji gandum, garam, air, dan gula. Warna gula yang digunakan menentukan warna puding ini (putih atau perang).

[*]: Tulisan Cina diberi (tulisan Cina ringkas disediakan dalam kurungan jika berlainan dari bentuk tradisionalnya) diikuti pinyin.

[sunting] Amalan Tahun Baru

[sunting] Ang pau

Secara tradisi, ang pau atau sampul merah (Cina Tradisional: 紅包, Cina Ringkas: 红包, pinyin: hóng bāo, bahasa Hokkien (POJ): âng-pau; bahasa Hakka: hung bao; 利是, 利市 atau 利事, bahasa Kantonis: lai shi atau lai see) diedarkan sepanjang sambutan Tahun Baru Cina, oleh pasangan suami isteri atau orang tua kepada muda-mudi yang belum berkahwin. Adalah satu kebiasaan untuk orang dewasa memberi sampul merah ini kepada kanak-kanak.[2]

Sampul merah ini sentiasa mengandungi wang, sama ada dua ataupun seratus ringgit. Jumlah wang dalam angpau sepatutnya bermula (bukan berakhir) dengan angka genap, kerana angka ganjil dikaitkan dengan wang tunai yang ditukarkan dalam upacara pengebumian (帛金, bó jīn). Oleh sebab angka 4 dianggap membawa sial, kerana perkataan untuk empat sama bunyinya dengan mati, maka wang dalam angpau tidak boleh berjumlah 4 ringgit. Sementara itu, angka 8 dianggap bertuah (kerana sama bunyinya dengan "kaya"), maka 8 ringgit selalu didapati dalam angpau. Kadang-kala syiling coklat dimasukkan dalam angpau.[10]

[sunting] Pasar Tahun Baru
Membeli-belah di Pasar Tahun Baru Kreta Ayer, Singapura

Pasar khas didirikan menjelang Tahun Baru untuk menjual barangan Tahun Baru. Pasar ini biasanya berbentuk pasar terbuka dan menampilkan barangan bunga, mainan, pakaian dan sebagainya kepada para pembeli untuk membeli hadiah untuk kunjungan tahun baru atau sebagai hiasan rumah.

[sunting] Bunga api

Pada zaman silam, batang buluh yang berisi serbuk meriam dan dibakar untuk menghasilkan letupan kecil pernah digunakan di China untuk mengusir puaka. Pada zaman moden pula, kaedah ini berubah menjadi penggunaan mercun pada musim perayaan. Mercun biasanya diikat pada tali panjang berlakur yang digantung. Setiap batang mercun digulungkan dalam kertas merah kerana warna merah itu bertuah, dan berisi serbuk merian dalam terasnya. Apabila dibakar, mercun melepaskan bunyi meletup-letup yang kuat. Oleh sebab mercun biasanya berangkai dalam bilangan ratusan, mercun menghasilkan letupan memekakkan yang dipercayai boleh mengusir roh-roh jahat. Penyalaan mercun juga melambangkan peristiwa yang ria dan menjadi satu aspek penting dalam sambutan Tahun Baru Cina.[11]

[sunting] Larangan mercun

Meskipun penggunaan mercun adalah sebahagian amalan tradisi dalam sambutan tahun baru, namun selama ini telah menyaksikan kejadian yang memilukan. Setiap tahun adanya laporan mengenai pengguna mercun hilang penglihatan, anggota badan, atau menderita akibat kecederaan serius yang lain, terutamanya pada musim perayaan. Maka, kerajaan-kerajaan dan pihak-pihak berkuasa akhirnya menguatkuasakan undang-undang yang mengharamkan sepenuhnya penggunaan mercun untuk tujuan peribadi, terutamanya atas sebab-sebab keselamatan.

* Tanah Besar China: Mercun diharamkan di kebanyakan kawasan bandar, namun Beijing menarik balik larangannya pada tahun 2006 setelah sedekad, dan undang-undangnya tidak selalu dikuatukasakan.[12] Di kawasan luar bandar pula, mercun masih digemari ramai dan lorong-lorong selalu diliputi warna merah bangkai mercun.

* Hong Kong: Bunga api diharamkan atas sebab-sebab keselamatan. Namun begitu, kerajaan kolonial sebelum tahun 1997 dan kerajaan SAR selepas itu juga mengadakan pertunjukan bunga apa di Pelabuhan Victoria pada hari kedua Tahun Baru Cina. Pertunjukan seumpamanya juga diadakan di bandaraya-bandaraya dalam dan luar China.

* Singapura: Pengharaman separa dikanakan terhadap mercun pada Mac 1970 setelah berlakunya kebakaran yang meragut enam nyawa dan mencederakan 68 orang lain.[13] Ini dilanjutkan menjadi larangan penuh pada tahun 1972, selepas berlakunya letupan yang mengorbankan nyawa dua orang[14] serta satu serangan terhadap dua orang polis yang cuba menghalang sekumpulan orang daripada membakar mercun pada Februari 1972.[15] Bagaimanapun, pada tahun 2003, kerajaan membenarkan mercun dilepaskan pada musim perayaan. Ketika kegiatan menyala mercun di Kreta Ayer, tepat pada waktu malam hari pertama Tahun Baru Cina, mercun dilepaskan dalam keadaan terkawal oleh Lembaga Pelancongan Singapura. Peristiwa-peristiwa lain yang membenarkan mercun ditentukan oleh lembaga pelancongan atau pertubuhan kerajaan lain. Namun begitu, mercun tidak boleh dijual secara komersial.

* Malaysia: Mercun juga dilarang atas sebab-sebab yang sama dengan Singapura. Bagaimanapun, kebanyakan orang Malaysia berupaya menyeludup mercun dari Thailand untuk memenuhi kehendak diri mereka.

* Indonesia: Mercun dan bunga api dilarang penggunaanya di khalayak awam ketika Tahun Baru Cina[16], terutamanya di kawasan-kawasan yang kebanyakan penduduknya bukan kaum Cina agar menghindari apa-apa pertelingkahan antara kaum, kecuali di beberapa kawasan metropolitan seperti Jakarta and Medan, di mana tahap toleransi sosial antara kaum cukup memuaskan.

* Amerika Syarikat: Pada tahun 2007, Bandaraya New York menarik balik larangan mercun setelah sedekad, agar membenarkan pertunjukan 300,000 batang mercun dibakar di Chatham Square, Chinatown.[17]

[sunting] Pakaian

Pemakaian yang melebihkan warna merah sering dipakai sepanjang Tahun Baru Cina kerana dipercayai warna merah akan menakutkan roh jahat dan nasib malang. Tambahan, orang yang memakai baju baru dari kepada hingga kaki pula melambangkan permulaan baru pada tahun baru.

[sunting] Shou Sui

Shou Sui (Cina Tradisional: 守歲, Cina Ringkas: 守岁) berlangsung apabila ahli keluarga berkumpul bersama pada malam selepas makan malam bersama dan mengenangkan tahun yang telah berlalu semetara menyambut tahun yang akan tiba. Sesetengahnya percaya bahawa anak-anak yang Shou Sui akan memanjangkan usia ibu bapa.[18]

[sunting] Simbol

Sepanjang 15 hari Tahun Baru Cina, orang akan mula melihat pantang larang atau kepercayaan budaya tradisional dengan maksudnya yang boleh mengelirukan orang yang tidak menyambutnya. terdapat sebab yang menerangkan semuanya, bukan sekadar hiasan, yang berputarkan warna merah. Pada satu-satu masa, emas merupakan warna pendamping bagi sebab yang sangat jelas. Satu sebab baik dan biasa bagi poster merah berbentuk berlian dengan aksara 福 (fú), atau "tuah" yang dipamerkan sekitar rumah dan pintu. Tanda ini sering kelihatan tergantung terbalik, memandangkan perkataan Cina 倒 (dǎo), atau "terbalik", berbunyi sama dengan 到 (dào), atau "tiba". Maka, fú dào melambangkan ketibaan tuah, kegembiraan dan kemakmuran.[19]

[sunting] Bunga

Berikut merupakan hiasan bunga yang paling biasa pada Tahun Baru dan sering dijual ketika pasaran tahun baru.

Hiasan Bunga Maksud
Bunga plum melambangkan tuah
Kumkuat melambangkan kemakmuran
Narcissus melambangkan kemakmuran
Bunga kekwa melambangkan panjang umur
Buluh tumbuhan digunakan sepanjang tahun
Bunga matahari bermaksud tahun yang elok

[sunting] Ikon dan hiasan
Ikon Makna Ilustrasi
Ikan Ikan koi sering kelihatan dalam lukisan. Sajian berhias yang memaparkan ikan juga dapat dilihat. Ikan melambangkan lebihan atau simpanan tambahan supaya ada lebih untuk hidup pada baki tahun. Ikan berpadu dengan pepatah Cina 年年有餘 (niánnián yǒuyú).[9]
Jongkong Yuanbao Yuanbao emas (金元宝; jīn yuánbǎo) melambangkan wang dan/atau kemewahan. Jongkong berbentuk Yuanbao ini merupakan perantara pertukaran piawaian di China zaman silam.
Tanglung Tanglung kertas Cina tradisional ini biasanya berbeza daripada tanglung yang digunakan ketika Perayaan Kuih Bulan. Tanglung ini berwarna merah dan selalunya berbentuk bujur. Tanglung-tanglung yang digunakan pada hari ke-15 Tahun Baru Cina untuk Pesta Tanglung, dinyala terang-terang, berwarna-warni, dan berbagai-bagai saiz dan bentuknya.
Perhiasan Hiasan secara amnya menyampaikan ucapan Tahun Baru. Poster kaligrafi Cina memaparkan peribahasa Cina. Hiasan-hiasan lain termasuk gambar Tahun Baru, simpul Cina, keratan kertas dan gurindam.
Tarian singa Tarian singa sering diadakan pada Tahun Baru Cina. Adalah dipercayai bahawa pukulan gendang yang kuat dan bunyi simbal yang memekakkan serta wajah singa yang menari dengan agresif sekali boleh mengusir puaka jahat. Tarian singa juga dipamerkan pada upacara pembukaan perniagaan orang Cina.
Cai Shen Cai Shen (Cina Tradisional: 財神, Cina Ringkas: 财神) merupakan dewa kekayaan yang disembah orang agar memperoleh tuah dan berkat pada malam Tahun Baru dalam kepercayaan Cina. Kehadiran dewa ini sempena Tahun Baru Cina serupa dengan Santa Claus sempena Krismas.

[sunting] Balik kampung

Waktu Tahun Baru Cina juga menyaksikan penghijrahan manusia bermusim yang terbesar, apabila warga luar bandar yang bekerja di kawasan bandar China, serta juga orang Cina seberang laut di seluruh dunia pulang ke kampung halaman untuk berjamuan bersama sanak saudara pada malam tahun Baru. Tempoh ini dipanggil "Chunyun" (Cina Tradisional: 春運, Cina Ringkas: 春运) dan boleh disamakan dengan fenomena "balik kampung" sewaktu masyarakat Melayu menyambut Aidilfitri. Masyarakat Cina Malaysia tidak terkecuali daripada balik kampung, maka timbulnya keperluan mengetatkan kawalan keselamatan jalan raya khususnya untuk perayaan ini seperti mana yang dijalankan ketika Aidilfitri.

[sunting] Rumah terbuka

Ketika menyambut perayaan utama di Malaysia, rumah terbuka diadakan oleh golongan pembesar negeri untuk menjemput rakyat berbilang kaum dan agama, dan juga pelancong asing, beraya bersama-sama. Tahun Baru Cina tidak terkecuali, dan rumah terbuka perayaan ini dianjurkan oleh pembesar kaum Cina.

[sunting] Ucapan

Tahun Baru Cina diserikan dengan ucapan yang diucap dengan kuat dan ghairah, yang dikenali sebagai "ungkapan pembawa tuah" (Cina Tradisional: 吉祥話, Cina Ringkas: 吉祥话, pinyin: jíxiáng hùa).

[sunting] Selamat Tahun Baru

"Selamat Tahun Baru" (Tulisan Cina Tradisional: 新年快樂; Tulisan Cina Ringkas: 新年快乐; pinyin: xīnnián kuàilè; Bahasa Kantonis (Yale): sānnìhn faailohk; bahasa Hokkien (POJ): Sin-nî khòai-lo̍k) ialah ucapan kontemporari yang mencerminkan pengaruh barat ini diterjemah secara literal dari ucapan Happy new year yang kerap didengar di negara Barat. Namun di bahagian utara China, "guò nián hǎo" (Cina Tradisional: 過年好, Cina Ringkas: 过年好) yang dijadikan ucapan tradisi, bagi membezakannya dari Tahun Baru antarabangsa, boleh dipakai dari hari pertama hingga hari kelima tahun baru.

[sunting] Gong xi fa cai
Kung Hei Fat Choi di Lee Theatre Plaza, Hong Kong

"Gong xi fa cai" (Tulisan Cina Tradisional: 恭喜發財; Tulisan Cina Ringkas: 恭喜发财; pinyin: gōngxǐ fācái; Bahasa Kantonis (Yale): gūnghéi faatchòih; bahasa Hokkien (POJ): Kiong-hí hoat-châi; bahasa Hakka: Kung hei fat choi), yang diterjemah sebagai "Tahniah dan semoga mendapat rezeki". Ungkapan ini yang sering tersalah angggap sebagai bersinonim dengan "Selamat tahun baru" mula digunakan berabad-abad lalu. Dua aksara pertama ungkapan ini mempunyai kepentingan sejarah yang lebih lama (menurut legenda, ucapan tahniah adalah bagi kejayaan menghadapi raksasa Nian dengan selamat, namun secara praktis ini juga boleh melibatkan kejayaan mengharungi keadaan musim sejuk yang teruk)[20]; manakala dua aksara terakhir ditambah sebagai menyentuh idea kapitalisme dan konsumerisme yang makin penting di kalangan masyarakt Cina seluruh dunia. Ucapan ini kerap didengar di kalangan komuniti yang berbahasa Inggeris sewaktu Tahun Baru Cina di beberapa tempat dsi dunia yang mempunyai komuniti berbahasa Cina yang ketara, termasuk komuniti pendatang Cina yang lama menetap selama beberapa generasi, serta pendatang baru dari tanah besar China, Hong Kong, Macau dan Taiwan, dan pendatang transit (khususnya golongan siswa).

[sunting] Ucapan lain

Terdapat ucapan lain bagi Tahun Baru Cina, antaranya boleh dijerit dengan sekuatnya tanpa mengira penerima dalam situasi tertentu. Contohnya, memecah objek ketika tahun baru dianggap tidak bagus, dan jika berlakunya sedemikian "Suìsuì píng'ān" (Cina Tradisional: 歲歲平安, Cina Ringkas: 岁岁平安) diucapkan serta-merta, yang bermakna "semoga keamanan berkekalan tahun demi tahun". 歲 (Suì, bermaksud "usia") sama bunyi dengan 碎 ("pecah"), sebagai demonstrasi bagi kegemaran orang Cina "bermain-main" dengan perkataan dalam bahasa mereka. Melalui cara yang sama, 年年有餘 (Niánnián yǒuyú), hajat penambahan hasil setiap tahun, memanipulasi suku kata yú yang juga ditulis 魚 (ikan), menjadikannya ungkapan utama bagi sajian tahun baru berikan dan juga lukisan dan grafik ikan yang digantung pada dinding atau dijadikan hadiah.[2][9]

Ucapan-ucapan ini juga diujar sebelum menerima angpau oleh kanak-kanak, apabila bertukar hadiah, menziarahi tokong, atau ketika melambung ramuan-ramuan yee sang di Malaysia dan Singapura.

Kanak-kanak nakal sering berjenaka dengan mengucap (Cina Tradisional: 恭喜發財,紅包拿來, Cina Ringkas: 恭喜发财,红包拿来, pinyin: Gōngxǐ fācái, hóngbāo nálái), yang diterjemah menjadi "Tahniah dan semoga peroleh rezeki, mintalah bagi ang pau."

[sunting] Pantang-larang sewaktu perayaan

[sunting] Menerima tuah

* Membuka pintu dan tingkap dianggap 'menjemput masuk' tuah pada tahun baru.
* Membiarkan lampu menyala semalaman dipercayai menhalau hantu dan puaka pembawa musibah yang mampu mempengaruhi nasib sekeluarga sepanjang tahun.
* Gula-gula dan manisan dimakan untuk "memaniskan" nasib sepanjang tahun bagi pemakannya.
* Pembersihan rumah di setiap sudut wajib dilangsungkan sebelum hari tahun baru agar mudah menerima tuah bagi tahun yang menjelang.
* Ada orang yang percaya bahawa apa yang berlaku pada hari pertama mencerminkan peristiwa yang akan berlangsung sepanjang tahun. Maka, orang Asia mengambil kesempatan untuk berjudi pada hari pertama ini bagi menaruh harapan untuk menambah kekayaan.
* Memakai selipar baru yang dibeli sebelum tahun baru bermaksud 'memijak' orang yang bergosip tentang pemakainya.

[sunting] Menghindari malang

* Membeli kasut baru dianggap pembawa malang bagi sesetengah orang Cina kerana perkataan bahasa Kantonis bagi "kasut" sama bunyinya dengan perkataan "kasar" atau "sukar".
* Membeli seluar baru juga dipandang sebagai pembawa malang kerana perkataan Kantonis bagi "seluar" sama bunyinya dengan "pahit". (Namun ada yang menganggapnya sebagai positif, kerana perkataan bagi "seluar" dalam dialek itu juga sama bunyinya dengan "kaya".)
* Menggunting rambut juga ditegah kerana perkataan bagi "rambut" sama bunyinya dengan "hasil". Maka "menggunting rambut" juga dipandang sebagai "memotong hasil" dalam bahasa Kantonis.
* Mencuci rambut juga dianggap sebagai mencuci keluar kekayaan (namun perihal kebersihan sering telah mengatasi tradisi ini.)
* Menyapu lantai juga dilarang pada hari pertama kerana ini akan menyapu keluar tuah bagi tahun baru.
* Perbualan mengenai kematian juga kurang sesuai bagi beberapa hari terawal Tahun Baru Cina kerana ini turut dianggap tidak bagus.
* Membeli buku juga membawa malang kerana perkataan sesetengah dialek Cina bagi "buku" sebunyi dengan perkataan bagi "hilang".

Thursday

MEMANFAATKAN BULAN MUHARRAM

Oleh : Abu Haaziq Adnan bin Ishak
http://ceria.my/proquransunnah/

Sungguh pantas masa berlalu. Tanpa disedari bulan Muharram kunjung tiba lagi. Tahun baru 1430 Hijriyah tahun ini mudah diingati kerana ketibaannya hampir serentak dengan tahun baru 2009 Masihi. Tanpa kita sedari juga sebenarnya usia kita semakin bertambah, rezeki kita juga semakin berkurangan, ajal semakin hampir dan kehidupan yang sebenar iaitu kehidupan akhirat juga semakin menghampiri kita.


Kehadiran bulan Muharram tahun ini sebaiknya kita mengambil manfaat sebaik mungkin kerana bulan ini mempunyai banyak kelebihannya. Sebab itu terdapat golongan yang ghairah beramal dalam bulan ini. Namun terdapat beberapa perkara yang perlu diambil perhatian dalam beribadat dalam bulan ini. iaitu ;

1.Melakukan Perubahan ke Arah Kebaikan

Dengan kata lain kita juga hendaklah melakukan hijrah. Hijrah di sini dengan maksud berubah daripada melakukan kejahatan kepada kebaikan, daripada berakhlak buruk kepada berakhlak mulia dan daripada tidak bertakwa kepada bertakwa kepada Allah. Hijrah sebegini akan terus berkekalan sehingga hari kiamat. Sabda Nabi saw : “Orang yang melakukan hijrah yang sebenar ialah yang meninggalkan perkara yang dilarang oleh Allah”. ( Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim).


Sambutan Ma’al Hijrah yang diadakan dengan penuh semangat dan pelbagai acara akan menjadi sia-sia dan tidak berfaedah sekiranya ia tidak disusuli dengan perubahan sikap dalam diri setiap individu muslim ke arah yang lebih baik.

2. Berpuasa Sunat

Bulan Muharram merupakan salah satu daripada bulan-bulan haram. Berpuasa pada bulan ini pada dasarnya dijanjikan dengan pahala yang besar. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud : “Puasa yang paling utama selepas Ramadan ialah bulan Allah,Muharram dan solat yang paling utama selepas fardu ialah ialah solat malam”.(Riwayat Imam Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi, Baihaqi, Ahmad)


Hadis ini dengan jelas menyatakan keutamaan berpuasa pada bulan Muharram berbanding bulan-bulan lain selain Ramadan. Hadis ini juga menjadi hujah bahawa kita digalakkan berpuasa sunatpada bulan Muharram lebih banyak berbanding bulan-bulan lain.

Puasa bulan Muharram lebih lagi digalakkan pada hari ’Asyura iaitu pada 10 Muharram. Puasa ‘Asyura ini pada asalnya adalah wajib. Kemudian menjadi sunat setelah puasa Ramadan difardukan sebagaimana sabda rasulullah saw hadis riwayat Muawiyah ra berkata : aku mendengar Nabi bersabda : Hari ini adalah hari ‘Asyura tidaklah wajib kamu berpuasa tetapi saya berpuasa. Maka sesiapa yang mahu ia boleh berpuasa dan sesiapa yang tidak mahu ia boleh berbuka. ( Imam al-Bukhari dan Muslim).

Galakan berpuasa pada hari ‘Asyura ini berdasarkan hadis riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim bahawa Ibn Abbas berkata : “Aku tidak melihat Rasulullah saw mengutamakan hari puasa yang dilebihkan atas hari lain kecuali hari ini, iaitu hari ‘Asyura dan bulan Ramadan”.

Berpuasa pada hari tersebut juga akan mendapat keampunan dosa setahun yang lalu sebagaimana hadis riwayat Abu Qatadah berkata bahawa Baginda saw ditanya tentang puasa ‘Asyura. Baginda menjawab :”Ia menghapuskan (dosa) setahun yang lepas”.( Riwayat Imam Muslim).

Terdapat sebahagian ulama yang berpendapat puasa pada hari ‘Asyura ini hendaklah dilakukan bersama sehari sebelumnya iaitu dinamakan juga dengan hari Tasu’a (hari kesembilan). Ini berdasarkan hadis hadis Ibn Abbas ra : “Ketika Rasulullah saw berpuasa pada hari ‘Asyura dan menyuruh orang ramai supaya berpuasa, mereka berkata:Wahai Rasulullah saw Sesungguhnya hari itu adalah hari yang diagungkan oleh orang-orang Yahudi. Maka Nabi saw bersabda :”sekiranya aku masih hidup tahun hadapan, tentu aku akan berpuasa pada hari kesembilan”. ( Riwayat Imam Muslim)

Ada sebahagian golongan menyunatkan berpuasa pada hari 9,10,11 Muharram berdasarkan hadis Ibn Abbas : Hendaklah kamu perpuasa pada hari ‘Asyura dan hendaklah kamu menyalahi orang Yahudi padanya, berpuasalah sehari sebelum dan sehari selepasnya.

Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan al-Bayhaqi. Namun begitu hadis ini tidak boleh dijadikan hujjah untuk mensyariatkan sesuatu amalan kerana hadis itu adalah da’if lagi mungkar seperti yang dikatakan oleh Imam al-syaukaniy dalam Nayl al-Awtar. Al-Albaniy juga menghukum hadis itu da’if.

Oleh itu kita boleh memilih sama ada hendak berpuasa hanya pada hari ‘Asyura atau hendak berpuasa dua hari berturutan iaitu pada hari Tasu’a dan ‘Asyura. Kedua-dua cara ini mempunyai sandaran dalil masing-masing daripada hadis yang sahih. Seseorang itu juga boleh berpuasa pada hari-hari dalam bulan ini tanpa ditetapkan hari tertentu berdasarkan umum hadis keutamaan bulan Muharram berbanding bulan-bulan yang lain.

3. Puasa Khas 1 Muharram dan Sembilan awal Muharram

Walaupun bulan Muharram mempunyai banyak keutamaan, Namun diingatkan bahawa terdapat sangat banyak hadis tentang kelebihan beramal dalam bulam Muharram ini bertaraf palsu dan mungkar yang tidak boleh diamalkan sama sekali kerana sabda Rasulullah saw riwayat Imam al-Bukhari :” Sesiapa yang melakukan sesuatu amalan bukan daripada perintah kami maka amalan itu tertolak
( tidak diterima”).

Selain daripada puasa yang disebutkan di atas tiada lagi puasa khas yang lain seperti puasa khas 1 Muharram atau puasa khas Sembilan hari awal Muharram. Amalan ini berdasarkan hadis palsu iaitu;

1) Nabi bersabda :” Barangsiapa yang berpuasa pada akhir Zulhijjah dan hari pertama Muharram maka tidak telah mengkhatamkan tahun yang lalu dan memulakan tahun baru dengan puasa yang Allah jadikannya penghapus dosa selama lima puluh tahun. Hadis ini dikomentar oleh Ibn al-Jauziy sebagai palsu( al-Maudu’at).
2) Nabi bersabda :”Barangsiapa yang berpuasa sembilan hari dari awal maka Allah membina untuknya sebuah kubah yang luasnya satu batu persegi dan mempunyai empat buah pintu”.
( palsu,lihat al-Maudu’at, al-Fawaid)

Terdapat juga golongan yang menyunatkan amalan-amalan khas pada hari ‘Asyura seperti mandi, bersuci, solat khas malam ‘Asyura, memotong kuku, memakai wangian, memakai celak, menziarahi orang sakit, bersedekah, membuat bubur ‘Asyura dan banyak lagi amalan-amalan lain. Semua amalan tersebut dijanjikan dengan ganjaran-ganjaran yang tidak masuk akal. Amalan-amalan tersebut dihukum oleh ulama muhaqqiq sebagai bid’ah kerana tiada sandaran dalil yang sahih dari Rasulullah saw dan para sahabat ra. Bahkan upacara tersebut mencermin amalan Yahudi, Nasrani dan orang Quraisy zaman jahiliah dan perayaan Syiah Rafidhah sesudah kedatangan Islam. Imam mUslim meriwayatkan dari Abu Musa al-Asy’ariy katanya :” Adalah penduduk Khaibar berpuasa pada hari ‘Asyura dan mereka menjadikannya sebagai hari raya serta mereka memakaikan wanita-wanita mereka dengan perhiasan dan pakaian yang cantik-cantik.

Amalan-amalan di atas juga tidak pernah disunatkan oleh mana-mana imam empat mazhab.

4. Memasak Bubur ‘Asyura

Memasak bubur ‘Asyura juga telah sinonim dengan bulan ini. Memasak bubur ini tidak menjadi masalah sekiranya seseorang itu berkeinginan untuk menjamu sanak saudara dan orang ramai. Menjamu makan merupakan amal soleh dan menepati ajaran al-Quran dan sunnah. Ia jadi masalah bila ditetapkan hanya pada bulan Muharram, tidak boleh pada bulan yang lain. Lebih teruk lagi bila amalan ini disandaran kepada Rasulullah saw. Perkara ini merupakan satu pendustaan atas nama Nami Muhammad saw. Ada juga yang menyandarkannya kepada Nabi Nuh as. Semua kisah tersebut adalah cerita dongeng Bani Israil. Demikian ditegaskan oleh Imam Ibn Kathir ra dalam kitabnya Qashas al-Anbiya’.

5. Doa Awal Tahun

Berdoa merupakan satu ibadat dan perintah Allah SWT berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud : Berdoalah kamu kepadaKu, nescaya aku mustajab untuk kamu”.( Surah Ghafir ayat 60)


Begitu juga banyak hadis-hadis yang mendorong kita agar sentiasa berdoa. Sesiapa sahaja boleh berdoa pada awal Muharram dengan doa yang dikehendaki berdasarkan umum ayat al-Quran di atas. Mengadakan majlis khas dengan upacara khas dan dibaca doa khas pada awal tahun dan akhir tahun dengan anggapan akan dihapuskan dosa selama setahun perlukan dalil yang sahih daripada amalan Nabi saw atau para sahabat. Tapi ternyata tiada satu pun hadis Nabi saw atau atsar yang menunjukkan para sahabat mengamalkan doa khas Muharram. Mustahil akan ada hadis Nabi saw dalam perkara ini memandangkan penetapan tahun Hijriyyah ini ditentukan oleh Amir al-Mukminin Sayidina Umar bin al-Khattab ra iaitu setelah lama kewafatan Rasulullah saw.

Konklusinya, kita hendaklah berhati-hati dalam mengamalkan sesuatu amalan agar amalan kita sentiasa menepati sunnah Rasulullah saw. Beramal dengan hadis palsu dan hadis yang tidak sahih mengakibatkan amalan kita tidak diterima oleh Allah SWT. Alangkah beruntungnya seseorang yang kembali ke akhirat dalam keadaan amalannya yang diterima oleh Allah SWT dan alangkah malangnya seseorang yang mengadap Allah SWT, tiba-tiba mendapati amalannya ditolak. Fikir-fikirkanlah….

Rujukan utama : Kesempurnaan Ibadat Puasa ; Drs Abdul Ghani Azmi Hj Idris